SEDANG Akram menikmati bihun goreng, Mawar pula serius membelek kamera aksi warna hitamnya. Dah lama tak guna pakai jadi dia perlu pastikan kamera itu masih berfungsi dengan baik. Mujurlah ada terselit dalam salah satu beg yang dia ambil daripada rumah sewa tempoh hari.
Hari ini hari dia nak jalankan 'underground mission'nya dengan Tajul. Jadi dia dah bersedia. Seluar kargo warna coklat, hoodie warna hitam dan selendang belit di leher. Senang untuk dia berlari, senang untuk dia menyorok identiti.
"Kamera baru ke?"
Tiba-tiba suara serak Akram memecahkan dinding sepi di ruang makan. Sekali gus menarik perhatian Mawar.
Mawar angkat kedua-dua kening, jeda beberapa saat sebelum menangkap soalan Akram barusan. Kamera yang dia pegang segera dia masukkan ke dalam beg galas belakang di atas kerusi sebelah.
"Tak... Ini kamera lama aku. Jarang aku guna."
"Kenapa? Mana kamera besar gedabak kau tu?" soal Akram lagi dalam bersahaja menghirup horlick kegemarannya.
Mawar diam dulu. Tak menyangka Akram peka tentang dirinya walaupun nampak acuh tak acuh aje sebelum ni.
"Ada... Aku tak guna yang tu harini."
"Oh..." Terangguk-angguk Akram sebelum dia menyandar tubuh. Selesai makan. "Macam mana kau boleh jadi fotografer? Memang minat kau ke?"
"Kenapa tanya?"
"Saja. Takkanlah aku nak tahu tentang isteri sendiri pun tak boleh. Mestilah aku nak kenal kau lebih lagi. Kita nak hidup bersama sampai mati kot."
Spontan muka 'what-the-fish' terpampang di muka Mawar tanpa sempat dikawal. Masih tak dapat biasakan diri dengan kelancaran Akram menuturkan hal begini.
"Haahh..." Dia mengeluh apabila Akram tampak setia menanti jawapannya. Sempat dia meneguk minuman berkafeinnya sebelum buka mulut.
"Aku ni tak pandai macam kau. Belajar itu ini bagai nak rak pun, result tak seberapa. Tak ada sebab tertentu pun. Masa aku nak pilih course dulu, aku main pilih aje ikut mana aku mampu hadap."
"Tapi kau ada talent. Aku dah tengok hasil kerja kau."
"Yelah tu."
"Iya... Cuma kalau kau nak asah lagi skill kau, kau kena banyak ambik gambar aku. Jangan risau, aku photogenic."
Pft! Tawa Mawar meletus kecil. Sinis bercampur lucu. Tapi tanpa banyak bicara, dia mengeluarkan semula kamera dari dalam beg galasnya. Pemidang tilik dibawa ke mata kirinya, lensa dihala ke arah Akram bertentangannya.
Melihat itu, Akram senyum memeluk tubuh gaya bersahaja.
Klik! Butang pelepas pengatup ditekan sekali.
"Okay tak? Tengok." Pantas Akram menyua tubuh nak melihat hasil gambarnya tadi. Tak menyempat.
Untung mood Mawar cerah harini. Mawar juga menyua tubuh dan kamera agar Akram dapat melihat. Senyum bergayut di bibirnya memandang skrin paparan.
Akram yang sekilas melihat senyum itu ikutan tersenyum senang sebelum dia menekur skrin paparan kamera.
"Approved. Kau memang ada bakat, Mawar. Plus, modelnya tu aku."
"Kau bayar aku, nanti aku print untuk kau. Print banyak sikit biar kau boleh gantung satu dalam kereta, satu dalam ofis, satu bawah bantal. Kau suka sangat diri kau sendiri kan?" Perli Mawar walau senyum masih di bibir.
Akram tak membidas. Senyum-senyum dia menatap wajah Mawar dibunga rasa bahagia. Kalau setiap pagi dia dapat melihat senyum indah Mawar, diperli sejuta kali pun dia sanggup tadah telinga.
Malang buat Akram bila dia sedar dia bukanlah anak CEO Megah Holding jadi dia perlu bekerja ikut waktu. Nak terus menatap muka kesayangan tak mampu, dia terpaksa angkat punggung memegang pinggan dan cawan.
"Letak situ je. Aku cuci," kata Mawar tanpa memandang Akram kerana sedang memasukkan semula kamera ke dalam beg galas.
Kemudian barulah dia ambil pinggan dan cawan daripada tangan Akram lalu dibawa ke singki. Kerana memang itu yang dia buat setiap pagi sejak bergelar isteri, dia jadi terbiasa.
Tak dia sedari Akram yang tercegat merenung susuk belakangnya dengan pandangan cinta membuak. Membuak kerana tidak pernah terluah.
Usai Mawar membersihkan singki dan meja makan, mereka berjalan seiring sampai ke pintu utama. Mawar tidak terus keluar. Dia cuma memerhati gerak-geri Akram yang menyarung kasut kulit di ruang kabinet kasut.
"Tak nak turun sekali?" tanya Akram yang sudah pun berada di luar garis pintu selepas memakai kasut. Berdiri bertentangan Mawar.
Mawar geleng merangka alasan kerana sebenarnya dia dan Tajul dah berpakat nak jumpa di bawah untuk ke rumah Dato Hilman.
"Aku tertinggal barang dalam bilik. Kau pergi jelah dulu."
Mendengar itu, Akram menelannya bulat-bulat tanpa syak wasangka. Seperti biasa, tangan dihulur pada Mawar dan Mawar menyambut baik. Tangannya itu disalam Mawar bak isteri mithali.
Antara satu hal yang dia suka dengan Mawar adalah Mawar masih melakukan rutin seorang isteri tanpa perlu dipaksa walaupun bab lain sentiasa jeling mata terbalik. Mungkin umi dah pesan dari awal tapi sungguh, dia agak terkejut bila kali pertama Mawar meminta tangannya untuk disalam sebelum dia berangkat kerja. Walaupun pertama kalinya muka Mawar merona merah kerana malu.
"Harini aku tak boleh ambik kau. Tak sempat sebab maybe aku pun balik lewat," maklum Akram sambil tangan kirinya mengusap kejap kepala Mawar yang tunduk mencium tangan kanannya. Bahagia memenuhi segenap hati.
"Lewat sangat ke? Malam?" soal Mawar pula. Dia bukan apa, dia... penakut orangnya. Nak pula kalau berkaitan hantu.
Akram senyum. "Kenapa? Rindu aku?"
"Tak kuasa aku. Lebih baik aku jadi pungguk rindukan bulan."
"Dah elok Allah buat jadi manusia, teruslah jadi manusia... Jangan nak melebih-lebih mintak jadi pungguk. Belajar sikit rasa bersyukur."
"Whatever. Jawab soalan aku. Kau balik lewat sampai malam ke?"
"Tak... Sempat solat maghrib kat rumah."
"Mm." Mawar angguk tanda puas hati dengan jawapan itu. "Dah. Pergilah kau sana. Tadi cakap nak keluar awal."
"Nak geraklah ni tapi... cuba kau dekat sikit."
"Asal? Tak nak aku."
"Cepatlah... Ada benda atas kepala kau."
"Apa dia?"
"Meh la sini aku buang... Nanti merayap dalam tudung, masuk dalam telinga, ha. Sudah kerja kena operate."
Mawar kerut dahi. Penuh curiga dia mengimbas Akram atas bawah, atas bawah sebelum akhirnya terpaksa akur. Dia menapak selangkah ke arah Akram. Walaupun dia memang lebih rendah daripada Akram, tetap saja dia tundukkan sikit tubuhnya agar Akram dapat membuang apa saja yang ada di atas kepalanya. Asalkan bukan keturunan labah-labah, dia janji tak akan menjerit.
"Buang cepat."
"Ya, kejap."
Akram ketap bibir menahan tawanya daripada terlepas. Haruman Mawar membuatkan kepalanya pusing separuh tak keruan. Ini kot rasanya mabuk cinta.
"Cepatlah... Ada ke tidak? Kau main-main kan? Aku dah-" Tak sempat Mawar menghabiskan bicara apabila satu rasa hangat singgah di bibirnya.
Sekali. Sesaat. Hangat.
Tapi cukup buat Mawar kaku terkedu. Bulat mata namun dia tidak berkutik. Syok berat.
Sedangkan Akram yang mengucup bibir Mawar malah tersenyum sampai ke telinga menampakkan barisan gigi putih bersih. Bercahaya seluruh muka.
"Morning kiss for my sugar. Plus, there's nothing on your head." Sempat dia berbisik di cuping Mawar sebelum cepat-cepat menyusun langkah pergi meninggalkan Mawar.
Speechless. Flabbergasted.
Mawar benar-benar kaget sampaikan dia bertukar jadi patung cendana selama beberapa minit. Apabila dia sedar, barulah dia rasa ada sesuatu menjalar seluruh muka. Rasa panas. Tak perlu tengok cermin, dia yakin kulit mukanya merah padam.
Chup! Bunyi kucupan jelas di telinganya membuatkan lambat-lambat jemarinya menyentuh bibirnya sendiri. Hangat. Masih hangat.
Seumur hidup. Seumur hidup dia tak pernah diciu- tak. Jangan kata dicium. Dikucup pun tak pernah oleh mana-mana lelaki.
"First kiss aku..." Bibirnya diketap rapat. Tatkala mengimbas semula babak sesaat Akram mengucupnya...
"First kiss aku!!!" Dah macam orang tak betul dia menghentak-hentak kaki dengan badan dihayun kiri kanan. Tercebir bibir semacam nak menangis. Bak anak kecil!
"Jaga kau, Akram. Balik nanti, siappp kau! First aku..."
Share this novel