MAJLIS tahlil berlangsung dengan meriah. Lauk pauk, kuih muih, habis tidak bersisa. Naib baiklah Mak Uda cadangkan buat lebih daripada jumlah jemputan. Biarpun keletihan, tapi keluarga Encik Khalid dan Puan Saodah bersyukur kerana majlis tahlil buat arwah ibu bapa mereka berjalan lancar.
Sekarang jam 10:30 malam. Para tetamu sudah pada pulang. Saudara-mara dari dekat mahupun jauh juga beransur pulang. Tingallah empat dara di dapur sedang mencuci pinggan mangkuk, gelas cawan, periuk senduk segala bagai. Masing-masing muka jelas tampak penat dan mengantuk. Salah selisih bahu mahu bawak bergaduh. Sebelum itu, marilah berkenalan ringkas ya.
Yang sedang mencuci pinggan dekat singki, Orked. Anak kedua dan mengajar di sekolah rendah sekitar Bangi. Yang sedang membilas pinggan di sebelah Orked pula, Melur namanya. Lebih tinggi daripada si kakak. Bertubuh agak berisi dan berkaca mata bulat. Sedang belajar di UPSI Tanjung Malim, berusia 19 tahun. Kembarnya yang sedang mengelap pinggan di atas lantai bernama Kamelia, seiras tapi tidak berkaca mata. Juga belajar di tempat yang sama.
Mawar, Orked, Melur, Kamelia. Ha... Berbunga-bunga ruang dapur. Arwah opah merekalah yang berikan nama itu kepada mereka. Klasik habis.
"Kenapa dengan akak ni? Gelisah semacam aje," tegur Kamelia melihatkan Mawar di sisinya yang semacam tidak senang duduk sedari tadi.
Melur yang sejenis pendiam, langsung tidak menoleh.
Cuma Orked yang menoleh melihat Mawar. Fikirnya, Mawar mungkin gusar bab nak meluahkan isu perkahwinannya dengan Taufik pada abah esok pagi.
Tapi yang sebenarnya, Mawar resah memikirkan ugutan Akram petang tadi. Majlis dah lepas. Apa betul Akram menunggu dia di luar pagar sekarang? Kalau betul, macam mana dia nak jumpa mamat gila tu? Siang bolong pun abahnya tak bagi dia berduaan dengan lelaki, apatah lagi di malam hari begini? Aduh...
"Kak," seru Kamelia lagi menyedarkan Mawar.
"Dik, cuba kau tengok abah buat apa," arah Mawar pada Kamelia tanpa pucuk pangkal.
"Kenapa?"
"Esh budak ni. Banyak tanya. Pergilah ajelah orang suruh."
"Tsk." Kamelia terpaksa menurut walau mulut berdecit tidak puas hati.
Dia berjalan ke arah langsir pintu dapur. Langsir labuh mencecah lantai itu diselak lalu batang leher dipanjangkan cuba mengintai ruang tamu. Memandangkan ada koridor pendek menghubungkan dapur dan ruang tamu, dia menyelusuri perlahan koridor itu bak pencuri. Anak mata melilau dan melihat, abahnya sedang berbual dengan beberapa orang lagi saudara mara yang belum pulang. Lantas, dia kembali ke dapur. Macam tahu tahu saja tugasnya, dia merapatkan tubuh di sisi Mawar.
"Abah kat ruang tamu. Bersembang dengan pak su, Abang Idham dengan pak uda," bisiknya perlahan.
"Rancak tak?"
"Rancak, kak. Sembang bab politik."
"Okey." Mawar segera bangun. Tergesa-gesa melurut lengan baju kurungnya yang dia lipat separa siku. Tudung sarung juga dirapikan memastikan tiada rambut terkeluar.
Hairan adik-beradik memerhati tingkahnya.
"Kau nak pergi mana? Nak cakap dengan abah sekarang ke?" soal Orked ingin tahu.
"Tak," geleng Mawar. "Aku nak keluar depan tuuuu aje. Sekejap, tak lama. Korang bertiga, cover line untuk aku kalau abah tanya. Pastikan kalau abah bangun dari sofa, korang jerit kuat-kuat."
"Tapi..."
"Dah, diam. Aku pergi dulu," pamit Mawar lalu mengatur langkah waspada keluar lewat pintu dapur.
Terjengket-jengket jalannya melintasi laman rumah sampailah ke luar pagar. Dan benarlah, memang Akram tercegat di luar pagar rumahnya.
Tenang merokok memandang langit dan bintang.
Amboi, kau.
"Kau dah gila ke?" Entah sedar ke tidak Mawar pantas menarik lengan Akram menjauhi pintu pagar besi dan berlindung di balik pagar batu. Agar orang di balik pagar tidak dapat melihat mereka. Maklumlah. Lampu jalan terang menyimbah. Kalau tak menyorok, duduk sebatu pun nampak.
Akram yang masih berkain pelikat dan baju melayu warna merah itu menjentik putung rokoknya ke tepi. Menghembus sekali asap putih ke arah kiri.
"Tetamu dah balik semua kan?
Majlis dah selesai. Kau baru keluar?"
"Kau ingat, pinggan cawan yang kau guna buat letak makan tadi, beratur sendiri masuk singki? Cuci sendiri, lap badan sendiri, merangkak masuk kabinet sendiri? Hah?"
Akram ketawa kecil. Tidak tertahan melihat kecomelan Mawar bila marah marah begini. Tambahan pula jarak mereka agak dekat. Mawar berdiri betul-betul di depannya. Bersuluh lampu jalan, wajah bersih Mawar terlihat indah. Mengusik rasa ingin memiliki.
"Senyum senyum, kenapa kau?" giat Mawar tayang muka jelik. Dia berundur setapak ke belakang bila menyedari jarak antara mereka.
Berdeham pula sekali.
"Kau ni makan apa sejak habis sekolah eh? Tinggi melangguk. Tengok. Dah sama tinggi dengan aku hah," giat Akram sambil tapak tangannya menyentuh sekali atas kepala Mawar seperti cuba mengukur ketinggian mereka namun Mawar menepis laju.
"Aku nak pendek ke, nak tinggi ke, apa masalah kau?"
"Bukanlah masalah... Cuma tak naklah kalau nanti kau makin tinggi, sama dengan tiang lampu jalan sana tu. Tak sesuai atas pelamin kita nanti."
"Hah?" Mawar kaget. Bulat mata, jeda sejenak. Otak memproses semula apa yang barusan didengar. Kutlah dia salah dengar. "Pelamin apa kau ni?"
"Hmh... Aku ada benda nak cakap dengan kau," ucap Akram disusuli keluhan panjang.
Lelaki itu dengan bersahajanya tunduk mengutip satu ranting kayu dan mematahkan ranting itu sedikit demi sedikit.
"Cakap pasal apa? Kau jangan nak mengarut malam-malam ni, Akram. Karang kalau abah aku tahu, mati kau."
"Aku nak ajak kau kahwin dengan aku."
"Hah?" Sekali lagi mata Mawar membuntang. Lebih luas daripada tadi. Mulut pun bulat terbuka. Dahi toksah cakaplah. Beribu lapis. Bingung dalam kepala. Tidak tahu sama ada Akram berkata serius atau main-main. Tapi kalau dilihat muka bersahaja di depannya saat ini, nampak macam serius. Eh peninglah!
"Kau cakap apa ni? Kahwin? Kau nak ajak aku kahwin? Macam ajak main pondok pondok? Kau gila ke? Nak kenakan aku lagi kan? Ini dah melampau, Akram." Ada getar dalam suaranya kali ini kerana jujurnya dia sedikit terkejut.
Maklumlah. Kali pertama 'dilamar'. Yang melamar pula tak lain dan tak bukan, Akram Hidayat. Musuh azali yang hampir sembilan tahu dia tidak bertegur sapa. Dan dia tak adalah taruh perasaan pada Akram cuma... yalah. Normallah untuk rasa gugup bila dilamar begini kan?
"Aku dah fikir lama benda ni sebenarnya." Akram kekal tenang. Habis dipatahkan ranting, dia menyandar pula pada pagar batu sambil berpeluk tubuh. Bukan main redup lagi pandangan membalas mata Mawar.
"Kau... fikir apa?"
"Macam ni... Aku kan dah 27 tahun. Anak sulung. Karier ada, pendidikan ada, rupa ada, tapi satu saja aku tak ada."
"Otak?"
"Tak. Pasangan. So, mak dengan bapak aku dah bising. Setiap hari suruh aku nikah. Diaorang takut, kalau dah masuk 30-an tak nikah lagi, sampai tua aku takkan nikah. Kau tahu kan mak aku Indian? Well, tak semua Indian berfikiran macam tu tapi mak aku, ya. Dia dah paksa aku, jodohkan aku dengan orang tu, orang ni, aku naik pening tau. Sebab aku jenis... tak suka bercinta. Tak ada masa. Jadi macam mana aku nak tunaikan harapan mak bapak aku, dalam masa yang sama aku tak nak sampai mainkan hati anak dara orang?" Panjang lebar Akram berhujah membuatkan Mawar melopong tadah telinga. Hujahan yang direka semata-mata. Ibu bapanya tidak pernah pun mendesak soal jodoh.
Lelaki itu menyambung lagi. "Dan akhirnya, aku dapat idea. Why not aku nikah dengan kau. Aku dah kenal kau so tak ada masalahlah bab keserasian sebab memang tak ada keserasian sama sekali. Kau pun tak suka aku jadi tak perlulah aku serabut kepala nak jaga hati kau sebab kau pun tak pernah nak jaga hati aku. Dan yang penting, aku tak gunakan anak dara orang untuk kepentingan aku. Mak bapak aku pun happy. So that's the story of my proposal."
Mawar terpempam. Terkesima. Terkedu. Mati kata, hilang bicara.
Otaknya yang agak berat, bertambah berat mendengar penjelasan Akram.
Biol.
Biol sungguh.
Beberapa minit tercengang macam orang bodoh, akhirnya dia sedar sendiri. Mengurut batang tengkuk, merangka ayat dan barulah bersedia untuk buka mulut.
"Akram Hidayat."
"Ya, aku terima nikahnya dengan..."
"Weh!"
"Oh. Sorry, sorry. Aku banyak sangat fikir pasal hari nikah nanti."
Mendengar jawapan selamba badak Akram, Mawar tak dapat lari daripada mempamerkan muka mual nak muntah. Tak hingin!
"Okey dengar sini. First, kau sedar tak apa kau cakap tadi?"
"Sed-"
"Syh. Syh, Syh. Bagi aku habis cakap dulu. Kau diam. Turn kau dah tamat."
Akram angguk sambil mencebir tanda 'as you said'.
"Okey. Kau sedar tak apa kau cakap tadi? Kau, cakap macam orang gila. Macam orang bawah pengaruh dadah. Faham? Nak cermin? Nak ulang sekali lagi depan cermin?"
Akram jongket bahu, buat isyarat mengunci mulut sendiri.
"Dan yang kedua, apa maksud kau 'tak nak gunakan anak dara orang lain'? Dahtu aku? Kau nak gunakan aku untuk kepentingan kau, tak ada masalah macam tu?"
"Mm mm mmm mm mm." Akram menggumam, cuba berkata sesuatu tapi dia tidak membula mulut.
Cukup menyakitkan hati Mawar.
"Cakaplah."
"Okey." Barulah Akram bersuara.
"Apa pulak untuk kepentingan aku aje? Mak kau dah bagitahu aku tadi yang kau tak ada calon. Mak kau dah kempunan nak dukung cucu, sedara mara kau pulak kalut tanya bila nak nikah. So win-winlah. Kita kahwin untuk status. Buat masa sekarang."
"Eiw! Apa maksud kau buat masa sekarang?"
"Mana tahu akan datang yang paksa jadi rela."
"Minta jauh simpang malaikat empat puluh empat!"
Tok!
"Ah!" Spontan Mawar mengaduh bila jari Akram sepantas kilat menjentik kuat dahinya. Bunyi macam tengkoraknya dah retak.
"Mulut kau jangan dibuat sumpah macam tu... Tak baik..." pesan Akram gaya abah abah.
Mawar merenung tajam muka Akram sambil menggosok-gosok dahi sendiri. Boleh tahan sakit.
Sedetik, Akram pasang muka serius. Berdiri tegak di depan Mawar. "Kau dengar sini, Mawar Safiya. Selak sikit tudung mak cik kau tu kasi jelas apa aku nak cakap. Aku ajak kau nikah ni, bukan cobaan..." Sempat lagi dia mengajuk nada dari skrip filem klasik Pendekar Bujang Lapok.
"Aku ajak kau nikah ini perkara serius. Bila aku dah ajak anak dara orang nikah, maknanya aku dah sedia jalankan tanggungjawab aku. Bukan lepas nikah aku nak campak kau dalam gaung pun. Aku nak mintak tolong kau selesaikan masalah aku supaya mak aku happy, bapak aku happy. Dan kau, aku tahu tak ada orang hendakkan kau jadi anggap aje aku tolong kau."
"Kejap. Ada banyak benda salah kat sini. First, ramai yang nakkan aku. Aku aje yang tak ada masa nak melayan, faham?"
"Yalah..."
"Hai. Lain macam nada kau tu. Kau tak percaya?"
"Lah. Kan aku cakap 'yalah' tadi. Aku percaya. Percaya sangat..." Sengaja Akram menaikkan mata ke atas di hujung kata.
"Okey fine. Kau tak percaya."
"Tak kisahlah aku percaya ke tidak. Sekarang aku nak tanya kau. Kau nak kahwin dengan aku ke tidak?"
"Tak nak!" jawab Mawar sebulat suara. Teguh jawapannya tanda tidak akan berbolak-balik. Dia siap berpeluk tubuh konon 'yup. that's my final answer'.
Disangka Akram akan memaksa tapi ternyata, Akram terlihat tenang dan bersahaja dengan penolakannya. Sepi mencelah beberapa detik meski bunyi kenderaan dari jalan raya utama masih kedengaran. Sepinya cuma antara mereka. Janggal pula Mawar jadinya.
"Kau... marah ke? Kau jangan plan nak santau aku eh. Jangan terfikir nak cari minyak dagu, kau tahu hukumnya apa kan?"
Tawa Akram meletus lucu. Manis pula menampakkan barisan gigi yang tersusun bersih. "Membazir duit aku aje nak cari minyak dagu bagai. Jin iblis tengok kau pun lari balik. Macam mak lampir."
Mawar terangguk-angguk kerana lega Akram masih 'normal'.
"Tapi aku nak bagitahu kau yang lamaran aku masih valid sampai kau terima. Kau masuk dalam, jangan terus tidur. Kau mandi dulu sebab bau kau pun dah macam kambing. Lepas dah mandi, kau pakai telekung, kau solat istikharah banyak-banyak. Solat sampai kau nampak muka aku. Boleh?" Lembut dan gemersiklah pulak suara serak Akram kali ini.
Terkebil-kebil kering tekak Mawar tidak mampu membalas. Bingung dengan sikap Akram yang berubah-ubah. Keliru dengan niat Akram dan... aneh dengan apa ada dalam hatinya. Kenapa perlu berdebar?
"Dahlah. Kau masuk dalam. Aku balik dulu. Esok petang aku dah nak balik KL. Kau nak tumpang aku tak?" Nada Akram berubah lagi. Tidak lagi romantis seperti barusan. Cukup untuk buat Mawar tersedar.
"Er... Tak nak. Aku lebih rela jalan kaki dari sini sampai KL."
"Rajin betul. Sebab tu kau sampai sekarang tak ada kereta sendiri," tempelak Akram lalu beredar pergi sebelum sempat Mawar membalas.
Mawar cuma mampu ketap gigi menyorot susuk belakang Akram berjalan pergi. Kalau ikutkan hati dia nak menyumpah seranah Akram sampai puas tapi hatinya kala ini agak terganggu. Jangan kata hati. Otaknya juga sama. Setiap patah ucapan Akram tadi berlegar-legar dalam kepala. Pelbagai andaian cuba menyurup masuk dalam celah benaknya. Cuba menghuraikan apa tujuan sebenar Akram tapi ianya berakhir dengan sakit kepala.
Entah! Dia tidak tahu.
* * * * *
Kepulangan Akram menarik perhatian Encik Rauf yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tapi cuma untuk sekilas pandang saja.
Kebetulan Puan Ameeta dari dapur nak menuju ke bilik tidur, berhenti di belakang sofa dengan muka yang masih basah. Wanita itu sentiasa berwuduk sebelum tidur.
"Patutlah senyap aje. Mak tengok kereta ada, tuannya tak ada rupanya," sapa Puan Ameeta tak jadi masuk bilik.
Akram senyum manis. Berjalan ke arah Encik Rauf yang selesa berbaring di atas lantai ruang tamu.
Dia pun melabuhkan punggung di atas lantai, di sisi ayahnya itu.
"Along ambil angin sekejap. Dah lama tak jalan pusing kampung," balas Akram ringkas.
Puan Ameeta menyusun langkah lalu punggung diletak di atas sofa tiga serangkai. "Dah lama ke along keluar?"
"Lepas along hantar mak dengan bapak, along terus keluar. Mak tak perasan?"
"Tak..."
"Macam mana nak perasan kalau awak menonong panjat anak tangga tak pandang kiri kanan... Tak menyempat nak guna tandas," sela Encik Rauf sedang mata masih melekat pada kaca TV. Tangan pula tak lepas memegang alat kawalan televisyen.
Akram senyum seperti biasa. Sudah biasa bila bapanya memerli ibunya. Tapi bila bermesra, kalah pengantin baru. Bersemut hah.
"Erm..." Akram mencuri ruang kecil untuk menyuarakan sesuatu. "Mak, bapak, along ada something nak bagitahu."
Puan Ameeta tampak berminat sementara Encik Rauf santai dan tenang.
"Memandangkan esok along dah nak balik KL, along rasa better along bagitahu sekarang."
"Bagitahu apa, nak? Risau pula mak dengar." Puan Ameeta perlahan-lahan turun dari sofa untuk duduk dekat anak dan suaminya.
"Tak ada apa masalah pun, mak. Kenapa nak risau..." Akram tersenyum sambil mengusap sekali belakang tapak tangan Puan Ameeta.
"Along sebenarnya, plan nak kahwin tahun ni," sambungnya tidak teragak-agak sama sekali. Seolah-olah dia sudah lama merancang dan bersedia akan segalanya.
Kali ini, Encik Rauf sepertinya berminat. Lelaki berkain pelikat tanpa baju itu angkat tubuh, duduk bersila menghadap Akram.
Puan Ameeta yang terkejut, sudah kelu lidah. Yalah. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba nak kahwin. Bercakap fasal perempuan tak pernah sekali dia dengar daripada mulut anak sulungnya ini seorang.
"Eloklah tu, long. Bila kamu nak nikah? Kamu nak nikah dengan siapa?" soal Encik Rauf senang.
Akram tersenyum simpul. Teruja nak membahas soal perkahwinan setelah sekian lama menyimpan hasrat.
"Insya-Allah dalam tahun ni. Along baru saja lamar dia. Belum ada kata putus. Mak dengan bapak doakanlah along."
"Eh. Kenapa belum ada kata putus? Dia tak nak kahwin dengan along ke?" Puan Ameeta sedikit gusar. Memang dia jenis cepat risau.
Akram kekal tenang dan matang dalam bicara. "Dia cuma perlukan masa, mak. Sebab along tak pernah cakap pun bab nikah kahwin ni semua. Dia pun tak sangka along akan lamar dia. Insya-Allah, bila dia dah terima, along akan kenalkan dia pada mak dengan bapak."
Encik Rauf mengangguk-angguk kepala tanda dia tiada masalah dengan rancangan itu. Cuma Puan Ameeta saja terdiam sejenak berfikir-fikir.
"Orang bandar ke, long?" soalnya ingin tahu.
"Hm... No comment. Mak akan tahu bila tiba masanya nanti."
"Alah, Meeta. Awak kan suka suprise suprise ni. Awak juga yang selalu suruh saya buat suprise untuk awak. Besok hari jadi dia, eh dia suruh kita buat suprise. Tak jadi ke supriselah macam gitu..." celah Encik Rauf mengundang cubitan manja si isteri.
"Itu suprise lain, cik abang... Ini lain. Awak tak mahu tahu ke siapa bakal menantu sulung awak?"
"Awak yakin ke menantu sulung? Jangan-jangan adik yang dekat luar negara sana dah menikah dengan si rambut perang," usik Encik Rauf lagi disusuli tawa besar apabila tangan Puan Ameeta menampar pahanya bersama jelingan tajam manja.
Akram yang melihat pun ikut tumpang ketawa bahagia.
Ah... Bapaknya tak berubah walau dah berpuluh tahun menikah.
"Along pun dah bagitahu mak dengan bapak, jadi along harap mak dengan bapak dapat terima siapa saja bakal isteri along tu nanti. Insya-Allah, orangnya baik luar dan dalam," ujarnya selang beberapa saat. Tenang dia tersenyum, memandang ke dalam anak mata sang ibu. Pandangan yang sudah cukup membisikkan keyakinan di hati wanita berambut ikal itu.
Puan Ameeta menarik lembut lengan Akram untuk mendakap tubuh anaknya itu. Belakang kepala Akram diusap-usap penuh kasih sayang yang dia tidak pernah jemu untuk curahkan sehingga hujung nyawanya.
"Mak sentiasa doakan yang terbaik untuk along, untuk adik."
"Habis tu saya ni? Siapa yang nak doakan?"
Tawa Akram meletus mendengar Encik Rauf selamba badak merosakkan suasana. Dia kemudian mendepa satu lengan menarik bahu bapaknya masuk ke dalam dakapan yang hangat. Mereka tiga beranak saling berpelukan bahagia.
"Bapak pun sentiasa doakan anak dan isteri bapak yang terbaik. Nanti dah sampai masanya, along bawalah dia datang rumah kecil kita ni."
"Insya-Allah,bapak. InsyaAllah..."
Share this novel