BAB 15

Romance Series 123204

"DAH sampai, keluar keluar. Rumah sejengkal pun nak tidur kau ni," giat Akram seraya melangkah keluar daripada kereta. Sengaja nak menyakat Mawar sedangkan Mawar tak lelap walau sesaat.

Mawar yang berjubah Abaya hitam dan tudung bawal biru sempat jeling mata terbalik sebelum turut melangkah keluar. Bergerak ke arah but Toyota Camry putih milik Akram.

   "Family kau tak sampai lagi ke? Tak ada orang pun." Dia bertanya apabila menyedari cuma ada kenderaan milik Encik Rauf di pekarangan rumah.

   "Sekarang pukul lapan pagi. Orang baru nak keluar cari sarapan, Mawar oi. Kau ingat family aku semua keturunan Ultraman ke, terbang sampai? Family mak aku dari Kedah, family bapak dari Pahang. Ha. Masuk kepala otak sikit info aku bagi ni," ujar Akram menujah sekali dahi Mawar membuatkan Mawar menepis sebal.

Pagi-pagi hari dah nak bergaduh.

   "Aku tanya, jawab elok-eloklah. Tak payah nak kaitkan dengan Ultraman, Batman, Cicakman bagai."

Akram ketawa kecil, tangan mencapai pemegang beg pakaian dari dalam but.

   "Tak payah angkat semua. Esok nak balik KL kan, ambik yang mana nak pakai je. Malas aih aku nak kemas," kata Mawar menyangka Akram nak mengeluarkan barangannya sekali gus mengundang senyum sinis Akram.

   "Lah. Yang malas tu kau. Aku ni rajin aje. Beg kau, kau angkutlah sendiri. Ni aku ambik beg aku."

Menonong Akram bawa bagasi dan beg galas belakangnya menuju ke dalam rumah.

Mawar ketap gigi merenung susuk tegap Akram hilang daripada pandangan. Berdongkol rasa dalam hati. Nak disumpah, teringat pula pesanan uminya suruh jadi isteri yang baik. Sabar... Sabar...

Akhirnya dia mengeluh sekali. Dia ambil satu beg galas berisi pakaian sehari semalam dan satu bakul kecil berisi barang mandian lalu menyusul jejak Akram tadi. But kereta, sengaja tak ditutup nak menyakitkan hati empunya kereta.

Menapak saja lantai dalam rumah, Mawar memperlahankan gerak. Matanya diluaskan ke segenap ruang dalam rumah tinggi ini. Interior rumah klasik. Rumah kayu cat warna coklat gelap. Ruang tamunya luas, tiada perabot di tengah-tengah. Bilik pun banyak. Semua nampak rapi dan tersusun.

   "Jebon ni pun satu." Dia baru sedar yang Akram tinggalkan dia tanpa bagitahu bilik mana dia perlu tuju. Dasar lelaki tak budiman.

Nak tak nak, dia menapak perlahan-lahan memanjangkan leher sambil mata melinggas bilik mana bakal di'sewa' malam ini. Mujurlah dia nampak kelibat Akram di dalam salah satu bilik. Pantas dia berjalan masuk ke bilik itu tanpa salam.

   "Semalam kau datang rumah aku, aku bukan baik lagi ajak kau masuk bilik aku, tunjuk itu ini macam ejen hartanah, sampai turn aku kau boleh tinggal aku kat luar macam tu aje kan? Tak reti nak balas budi baik orang?" Rancak sungguh mulut Mawar membebel siap dengan mimik mukanya sekali.

Akram yang sedang mengeluarkan pakaian daripada bagasi tersenyum-senyum. Bersahaja dia menyusun pakaiannya di dalam almari.

Mawar jeling apabila Akram tidak memberi respon. Dia berpeluk tubuh sambil menapak ke arah katil. Punggungnya dilabuhkan di birai katil, anak mata mula mengimbas segenap ruang.

Ruang kamar yang bersih dan sederhana luas. Tiada pendingin hawa, ada kipas atas. Tiada siling putih seperti di rumahnya. Jendela pertama, mengadap pekarangan rumah. Jendela kedua, sebelah kiri katil. Sebelah kanan katil pula pintu kamar itu sendiri.

Dia luaskan lagi pandangan tanpa suara. Melihat ada rak putih dipenuhi buku-buku. Dia sedia maklum yang Akram memang genius sejak kecil. Perangai aje yang tak semenggah.

Selain rak buku, cuma ada almari pakaian. Ringkas tapi mencukupi. Patutlah kemas dan rapi mata memandang.

   "Dah puas scan bilik ni?" Suara serak Akram menarik perhatian Mawar.

Akram bergerak ke arah jendela kayu lalu membuka jendela dua pintu itu. Sejuk angin pagi berpusu masuk. Kemudian dia berpaling ke arah Mawar.

   "Tu, kat sana tempat kau," katanya menunjuk ke arah atas almari. "Nanti aku letak sarung bantal buat lapik kepala kau. Alah, kepala kosong buat apa lapik bantal kan?"

   "Ooo... Ini balasan kau ek? Aku dah bagi tebu, kau balas tuba. Aku dah bagi madu, kau balas racun."

   "Kau hempuk muka aku dua kali, Mawar. Bersyukurlah aku tak balas cara sama. Isi bantal aku jenis kekabu lama. Kau tahu kan macam mana? Sekali hempuk, boleh ke belakang batang hidung kau."

   "Sesuai sangat kau jadi lawyer. Bercakap tak menang orang." Jeling mata sajalah Mawar mampu bila dah tiada idea nak membidas.

Akram ketawa kecil, lucu dengan gelagat Mawar.

Belum sempat Akram nak mengusik lebih, tiba-tiba Puan Saodah dan Encik Rauf muncul dari balik langsir. Tersenyum-senyum penuh makna. Makna apa, makna datang nak soal siasat la tu.

   "Mak, bapak..." sapa Mawar sambil bangun menyalami ibu dan bapa mentuanya. Sopan santun.

Tapi sumpah dia kekok nak ubah panggilan daripada 'Chik Meeta', 'Chik Rauf' kepada 'mak', 'bapak'. Kejung lidahnya masa kali pertama nak sebut.

Puan Ameeta menarik lembut tangan Mawar duduk semula di atas birai katil sementara Encik Rauf masih berdiri di muka pintu.

   "Maaflah mak tak sambut Mawar datang tadi. Mak dengan bapak keluar kedai Pak Kori kejap."

   "Tak apa. Saya pun baru sampai."

Akram peluk tubuh, letak tangan kanan di mulut menyembunyi senyum. Geli hati melihat perubahan serta-merta Mawar. Talam dua muka betul.

   "Hmm... Minta maaflah, rumah mak rumah biasa aje. Bukan rumah batu macam rumah Mawar. Panas sikitlah kalau jam kemuncak nanti." Puan Ameeta berbahasa lagi. Merendah diri walhal rumahnya sudah cukup selesa dan nyaman memandangkan banyak pokok di kiri dan kanan.

   "Rumah ni dah jadi rumah Mawar sekarang. Jadi nak buat apa, buatlah. Nak makan apa, makanlah. Jangan malu jangan segan," sambung wanita cantik itu.

Mawar angguk, sempat mencari mata Akram seakan meminta bantuan kerana dia janggal nak bercakap. Tak tahu nak balas apa. Tambahan pula, dua pasang mata tak beralih daripada mukanya. Janggal, sumpah janggal!

Akram tak membantu sama sekali. Tak guna punya jebon!

   "Erm... Boleh ke bapak nak tanya, macam mana Mawar dengan along boleh kahwin? Sejak bila bercinta? Macam mana boleh bercinta?" Keluar juga soalan mahal itu daripada mulut Encik Rauf. Minatlah dia bab begini. Belum lagi dia ulang cerita kisah cinta dia dengan isterinya dulu.

Mendengar soalan itu, bulat mata Mawar mencari  Akram. Isyarat S.O.S dihantar penuh terdesak.

Senyum nakal bergayut di bibir Akram.

   'Kau mintak pertolongan orang yang salah, Mawar.'

  "Macam ni, bapak... Mawar dah lama sukakan along. Sejak kecik-kecik dulu lagi..." Dia membuka cerita dengan muka 'ia-ia' membuatkan bola mata Mawar terjegil macam nak terkeluar.

"Along tak layan sangat sebab yelah, along kan sibuk belajar, mana ada masa nak fikir pasal jodoh. Plus, kalau jodoh orang sekampung. Kalau boleh nak elak sebab karang tak puas naik kereta balik beraya. Nak singgah R&R pun tak boleh. Tapi nak buat macam mana. Mawar bersungguh nakkan along. Ikut along kesana kesini, merayu-rayu cakap nakkan along. Akhirnya along terima sebab mungkin dah sampai jodoh. Bercinta tu tidak sebab Mawar suruh along terus jumpa abah, mintak izin kahwin."

   "Oh..." Serentak Encik Rauf dan Puan Ameeta mengangguk-angguk. Percaya bulat-bulat dengan plot rekaan Akram.

Mawar toksah kiralah tahap panas dalam hati. Kuat ketap gigi sampai bergerak-gerak rahangnya. Sepasang mata menikam tajam muka tak bersalah Akram. Dia tahu lelaki itu sengaja tak membalas pandangannya.

   'Kau tunggu, jebon. Kau tunggu...'

   "Alhamdulillah... Mak berkenan jodoh along..."

Mawar mengendurkan ketegangan pada air mukanya apabila Puan Ameeta beralih perhatian padanya. Lembut tangan wanita itu mengusap-usap pahanya.

   "Mawar perempuan yang cantik, baik budi bahasa dan kita pun kenal keluarganya. Bahagia hati mak hah," ucap Puan Ameeta jujur. Berkaca bola mata.

Sekelip mata hati yang panas turun suhunya. Mawar jadi terharu. Dia dapat rasakan kasih sayang Puan Ameeta walau baru sehari memegang gelaran menantu.

Haish... Kalaulah Akram itu sebaik Puan Ameeta dan Encik Rauf.

   "Eh. Mawar rehatlah dulu. Kumpul tenaga sebab nanti ramai ahli keluarga nak menyapa. Takut Mawar penat," celah Encik Rauf membuatkan Puan Ameeta cepat-cepat berdiri.

   "Ha. Mawar rehat dulu ya. Nak apa-apa, bagitahu je along, mak atau bapak."

Mawar angguk, tidak menghalang. Setelah pasangan itu tiada, barulah dia menghela nafas lega. Talam berubah muka, tajam pandangannya mencari Akram.

Awal-awal lagi Akram ketawa.

   "Siapa suruh kau memandai reka cerita tadi? Aku kejar kau kesana kesini? Hmh? Kau memang sengaja nak kenakan aku kan?" Bertih meletup di bibir Mawar.

Sesuailah tahi lalat kecil duduk di bawah bibir kiri. Satu lagi di bawah mata kanan. Bibir petah mengomel, mata rajin menjeling.

   "Kau jugak cakap aku kena pandai berlakon dan siap sedia dalam apa jua keadaan. Kita kena pastikan tak ada sesiapa pun syak tentang perkahwinan kita. Demi Orked."

   "Perlu ke buat cerita aku terhegeh-hegeh nakkan kau?"

   "Habis tu kau ada idea kalau tiba-tiba orang tanya kau? Kalau tergagap-gagap, kantoi kau."

Mawar terdiam. Mengakui hujah Akram. Ish, geram betul. Benci perasaan kalah debat dengan yang namanya Akram Hidayat.

Nak tak nak, dia mengalah awal. Dia bergerak menutup pintu kamar lalu tudung kepala ditanggalkan. Tiada rasa segan atau kekok sama sekali walau Akram berada di ruang yang sama. Semacam dah terbiasa. 

   "Hoi hoi hoi. Nak landing mana tu? Tempat kau atas sana," giat Akram sebaik saja melihat Mawar bersedia nak meniarap di atas katil.

Mawar capai bantal golek, dilemparnya ke arah Akram membuatkan lelaki itu galak ketawa kerana berjaya menepis.

Dek malas melayan, dia meniarap di jua di atas katil berlapik cadar merah. Bau cadar baru.

   "Ha, tidurlah kau. Nanti family aku datang, jangan harap kau boleh berkelip."

Dan... yup. Benarlah kata Akram. Hari ini hari yang padat buat Mawar. Dia tidak menyangka ahli keluarga Akram begitu ramai. Otaknya yang sedia bengap, terpaksa bekerja lebih masa untuk mengingat dan mengecam wajah-wajah baru.

Keluarga Puan Ameeta semuanya berbangsa India. Keluarga Encik Rauf juga ramai sampai penuh satu rumah yang luas. Akram pula ingatkan boleh mambantu tapi rupanya ada saja akalan lelaki itu nak mengenakannya menggunakan kuasa veto di depan keluarga dan dia cuma mampu tersenyum disakat itu ini.

* * * * *

Apabila malam hampir melabuh tirai, barulah ahli keluarga beransur pulang. Jam satu pagi Mawar akhirnya dapat tidur. Terlentang di atas katil dek terlampau penat.

Akram masih belum tidur. Dia berjaga dengan duduk bersila di atas lantai sambil menyandar pada katil. Bertemankan lampu kaki, dia melakukan kerjanya penuh tekun. Ada kertas kerja yang perlu dia siapkan segera.

Sesekali dia pasti menoleh ke belakang memastikan Mawar dalam kedaaan selesa. Terlebih selesa gayanya. Seluas-luas katil dijajah.

   “Akram.” Tiba-tiba kedengaran satu suara menyeru membuatkan Akram pantas menoleh.

Dilihat Mawar angkat tubuh ke posisi duduk. Mamai menggosok-gosok mata yang berat dihempap kantuk.

   “Kenapa?” soal Akram lembut. Romantis benar bunyinya.

Mawar memandang Akram. Muka agak buruk. Rambut kusut. Entah dia tidur atau berperang.

   “Nak buang air.”

   “Pergilah.”

   “Dah pukul berapa?”

Akram mengerling jam di pergelangan tangannya yang memang jarang sekali ditanggalkan.

   “Tiga pagi.”

   “Temanlah aku. Bilik air jauh sangat.”

   “Siang garang kalahkan rimau belang. Malam takut hantu ke?”

   “Tsk,” decit Mawar sambil turun dari atas katil. Dia mencapai tuala menutup kepala. Tercegat di muka pintu menanti Akram. Mata pun tidak terbuka sepenuhnya.

“Cepatlah...”

   “Cakap elok-elok.”

   “Tsk. Akram…”

   “Ya?” Penuh makna Akram angkat kening menanti Mawar mengalah.

Dan kerana dah tak tahan sangat nak membuang air kecil, Mawar terpaksa akur. “Akram, teman aku pergi bilik air please?”

   “Tak nampak ke orang tengah sibuk, banyak kerja ni? Tahu penakut, lain kali bawak botol kosong masuk bilik,” omel Akram tetap saja bangun berdiri. Dalam diam mengawal rasa berbunga-bunga dalam hati.

Mereka berjalan seiring menuruni anak tangga ke dapur. Melewati dapur, barulah tiba di bilik air. Memandangkan lampu dapur tidak terpasang, keadaan di situ agak gelap.

   “Bukalah lampu bilik air dulu,” arah Mawar.

   “Ya Allah... Ni hah. Lampu kat sini, depan mata. Berapa kali nak kena bagitahu?” Akram menunjukkan pada suis lampu pada dinding luar bilik air.

Mawar cuma menjuih, bukannya nak masukkan dalam memori.

Akram mengeluh kecil saja. Dia menunggu di depan pintu bilik air sementara Mawar menyelesaikan urusan di dalam. Lebih kurang lima minit, Mawar pun keluar. Melihat peluang yang ada, otak nakal Akram merangka olah nak mengenakan Mawar.

Dalam kiraan tiga dalam hati, dia terus menutup lampu lalu berlari laju meninggalkan Mawar.

   “Ada hantu kat dapur!”

   “Akram!!” Sepantas kilat Mawar turut berlari bak lipas kudung sampaikan terbang melayang tuala di kepala.

Tiba di dalam bilik, Amar ketawa tanpa suara kerana berjaya kenakan Mawar. Senak perut dia ketawa, merah padam satu muka sedangkan Mawar termengah-mengah di muka pintu. Muka macam nak menangis bercambur sebal. Hilang terus kantuknya.

   “Aduh... Sumpah kelakar,” ucap Akram di hujung tawa. Mengesat tubir mata yang basah.

   “Sampai hati kan? Kau memang nak kena. Dari siang lagi tak habis-habis kenakan aku,” luah Mawar menapak ke arah katil lalu memanjat naik untuk sambung tidur.

Akram mendekati, duduk di sisi Mawar. Dia cuba menyentuh pipi Mawar tapi Mawar pantas menepis.

   “Aku gurau manja sikit dah nak marah... Janganlah garang sangat.”

   “Gurau manja apa macam tu? Kalau aku tersadung dekat tangga tadi macam mana? Kau nak tanggungjawab ke?”

   “Tangga tu satakat aku hidup ni, tak pernah ada orang tersadung. Kau berlari ke, mengesot ke, merangkak sekalipun, takkan tersadung punya. Jangan risau.”

   “Cakap dengan kau buat sakit hati.”

   “Olololo...” Tangan Akram mengusap kepala Mawar lagak memujuk anak kecil. “Sakit hati ya?
Tidur, tidur. Esok nak jalan jauh kan.”

Mawar menjeling. Tubuhnya kembali dibaringkan bersedia untuk sambung tidur.

   “Kau tak tidur ke?” Dalam sebal pun dia tetap bertanya.

Akram senyum dan geleng. “Ada kerja sikit lagi. Tidurlah dulu.”

   “Esok kalau kau mengantuk time drive, siap. Aku tak nak drive.”

   “Eleh. Macamlah kau tahu bawak kereta.”

Mawar diam. Matanya dipejam rapat tanda tidak mahu meneruskan perdebatan.

Cukup menghiburkan hati Akram. Melihat sekujur Mawar sudah terbaring di depan mata, Akram tidak dapat menahan rasa sayang yang membuak-buak jadi dia tunduk mencium pipi Mawar sekali.

Yang anehnya, Mawar cuma mematungkan diri. Mungkin kerana terkejut dan tak tahu harus berespon bagaimana. Atau mungkin dah kembali lena. Mudah betul tidurnya.

Akram senyum bahagia. Ubun-ubun Mawar diusap seketika sebelum dia menyambung kerjanya yang terhenti tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience