"PAGI buta dah call aku kenapa kau?" Sangatlah 'mesra' Mawar menyambut panggilan daripada Tajul.
Maklumlah, tadi kena bangun awal solat subuh jemaah. Lepastu ingatkan boleh tidur, rupanya Akram buat buang tabiat nak makan maggie goreng. Dia yang bini solehah ni, terpaksalah masak maggie goreng. Maggie goreng kosong aje. Dah petinya kosong, nak letak apa?
Dia memang jenis selalu skip sarapan tapi rule number three, teman si jebon tu makan. Jadi tercongoklah dia duduk depan Akram. Gila agaknya makan maggie kari pagi buta.
Dan sekarang dia tak cukup tidur, mood nak telan orang. Mangsanya? Tajul.
"Bunga... Kau masuk kerja tak? Aku dah seminggu tak tengok muka kau. Dah rindu sangat ni." Suara Tajul meleret-leret tanda benaran rindu.
Mawar yang siap berseluar palazo, blaus pendek dan selendang malas itu merengus sekali sambil cepat-cepat menapak keluar daripada kamar. Dah lewat!
"Aku banyak benda nak story dengan kau. Terutamanya pasal husband kau jadi cover majalah. Meletop top top. Bos atas manyak suka hati," ujar Tajul macam tak menyempat berbual di ofis nanti.
Mawar tak kisah langsung soal itu. Majalah yang ada muka Akram tu pun dia belum pegang lagi. Lama sangat cutinya.
Dalam duk dengar Tajul berpotpet potpet, kaki brek mengejut betul-betul di depan pintu. Belum sempat keluar. Teringat beg galas belakangnya yang tertinggal di atas katil jadi dia patah balik. Panggilan telefon dimatikan tanpa amaran. Kalut dia mencapai beg galas belakangnya lalu bergerak keluar sekali lagi namun kali ini ada gangguan kedua pula.
Langkah kaki berhenti di depan pintu salah satu bilik di dalam apartmentnya ini. Kata Akram, bilik kerja lelaki itu.
Dia dah lewat, tadi kalut sangat tapi... entah kenapa hati seakan tertarik dengan bilik ini. Dia berdiri betul-betul di depan pintu. Merenung pintu bilik itu dengan fikiran separa kosong. Dia berfikir sesuatu dan dia tak tahu apa yang dia fikir. Yang pasti, dia tak sedar tangannya sudah diangkat ke arah tombol pintu.
"No."
"Mak kau no!" Terkejut beruk Mawar tatkala satu suara berbisik di cuping telinganya.
Dia berpaling ke belakang, melihat batang tubuh Akram tercegat memasang senyum di wajah.
Pap! Akhirnya dia lepaskan tamparan kuat di dada bidang Akram. Bersungguh dia urut dada sendiri dek masih terkejut.
"Kau nak aku mati sakit jantung ke?"
Akram ketawa lucu menggosok-gosok dada yang barusan ditampar. Bersahaja lelaki berkemeja hitam dan kot serona itu bergerak agar tubuhnya membelakangi pintu bilik kerjanya.
Mawar pun kembali berpaling tubuh, berdiri setentang. Kening hampir bersambung.
"Kau buat apa kat sini? Tak pergi kerja lagi? Bukan ke tadi cakap ada hal penting?"
"Aku patah balik, nak tengok kau."
"Kenapa nak tengok aku? Nampak aku macam haiwan dalam zoo ke? Nak tengok tengok bagai."
"Yelah... Tadi muka kau mengantuk sangat gayanya. Kotlah kau tertidur. Kang tak pasal-pasal kena buang kerja."
"Alahai... Baiknya Encik Akram. Sanggup patah balik takut hamba Allah ni hilang mata pendapatan."
"Itu satu hal. Satu lagi, aku takut kau tinggal rumah tak tutup lampu, tak tutup air-cond. Melambunglah bil elekrik aku bulan ni."
Spontan Mawar tayang muka jengkel. Berpeluk tubuh tak puas hati. "Dasar berkira. Kau ingat aku ni tak boleh harap sangat ke?"
Akram cebir bibir sambil jongket bahu seolah sengaja nak tambah lagi rasa sebal Mawar.
Sedetik, air mukanya berubah serius. Tak. Bukan serius. Lebih kepada tidak main-main. Dia mencari sepasang mata Mawar.
"One more thing, Mawar."
"Apa dia?"
"Rule number four, do not enter this room."
Mawar diam. Matanya mengerling sekilas pintu di belakang Akram. Aneh.
"Kenapa? Kau sorok girlfriend kau ke kat dalam?"
Akram terhibur mendengar tuduhan Mawar. Senyum menampakkan gigi putihnya yang tersusun elok. Manis...
Melihat itu, Mawar hampir saja tergoda. Tambahan pula pagi ini Akram lengkap berpakaian formal. Kemas dan rapi. Haruman Dior Sauvage juga menusuk rongga hidungnya.
Haish. No, Mawar. Jangan kemaruk sangat.
"K-kau ingat aku hadap sangat nak masuk ofis kau? Tak ingin aku!" Pantas dia melarikan pandangan agar tidak ketahuan jantungnya berdegup aneh.
Akram masih senyum. Ikutkan hati, nak saja dia kucup setiap inci muka merah padam Mawar. Tapi ditahan segala rasa kerana takut Mawar lebih jauh berundur. Dia akan ambil masa perlahan-lahan. Mawar sudah jadi milliknya. Cepat atau lambat, dia akan buka pintu hati Mawar tanpa paksaan.
"By the way..." Hampir saja dia lupa tujuan asal dia berpatah balik sekerat jalan tadi.
Beberapa keping wang kertas dikeluarkan daripada dompet kulitnya lalu dihulur pada Mawar.
Mawar angkat kening, cerah biji mata melihat wang ringgit yang paling dia suka.
"Ini buat belanja minggu ni. Elaun kau, mulai bulan depan aku akan start transfer ke akaun kau setiap awal bulan."
Senyum Mawar merekah walau cuba ditahan. Tak terus menolak, dia menyambut huluran Akram.
"Ish kau ni. Lain kali selitlah dalam purse aku ke, letak bawah lampu meja tu ke. Bagi depan depan macam ni, seganlah aku," ucapnya meski riak muka berkata lain. Duit pun dah selamat masuk tas tangannya.
Akram hampir ketawa kecil.
Sah, Mawar Safiya. Kalau orang lain mesti tolak dua, tiga kali sebelum terpaksa terima. Tapi kalau Mawar, macam ginilah dia.
"Ehem." Mawar berdeham sekali, mengawal air muka. "Aku tak ada terhutang budi dengan kau eh. And aku tak ada niat nak kikis harta kau. Kau dengan rela bagi aku. Ingat tu."
"Hutang budi, kikis harta apa kau ni. Kau dah jadi wife aku. Dah memang tanggungjawab aku and aku tak buat sebab terpaksa."
"Wuuu... So sawit," perli Mawar dengan muka menganjing di hujung kata telus Akram. Langsung tak serius.
Redha sajalah Akram mampu. Nak cepuk, dia rasa kelakar tengokkan muka Mawar. Biar ajelah.
"Kau tak nak pergi kerja lagi ke?"
"Kerja? Dah pukul berapa?"
"7:45."
"Weh... Aku dah lewat!!"
* * * * *
"Itulah kau... Mentanglah pengantin baru, first day lepas cuti panjang kau datang lambat. Mau tak bising supervisor?" Rancak mulut Tajul mengomel serancak kakinya cuba berjalan seiring Mawar.
Mawar baru saja dibebel Amira di pejabat penyelianya itu dan Tajul yang dari awal tadah telinga depan pintu, terus menambah bebelan.
Mereka sudah tiba di meja masing-masing. Tak tunggu lama untuk Tajul seret kerusi berodanya mendekati Mawar. Pantang berenggang.
"Kenapa kau datang lambat? Kau buat apa dengan laki kau semalam?" Separuh berbisik suara Tajul kali ini membuatkan Mawar tayang muka jijik.
Mawar menolak sekali tangan kerusi Tajul agar menjauh. Sungguh dia cakap, Tajul memang tak boleh hidup tanpa dia. Sungguh!
"Aku lambat, sebab kau. Kau yang telefon aku waktu aku tengah bersiap. Faham?" Dia jeling sebelum menghidupkan komputer riba.
"Ala... kau ni. Aku just excited nak sembang dengan kau. Dahlah wedding day kau aku tak dapat datang. Ceritalah... Macam mana perasaan and pengalaman kau bergelar isteri peguam terkenal, Pujaan Malaya?"
"Maybe aku tak cukup darah Melayu dalam diri aku sebab dia absolutely bukan pujaan aku."
"Habis tu kenapa kahwin dengan dia?"
Mawar diam. Menoleh pada Tajul yang terkebil-kebil dengan muka polos menanti jawapan.
Haihhh... Tajul ni antara orang special dalam hidup dia walaupun dia tak pernah lisankan pada Tajul sendiri. Orang pertama yang dia kenal masa mula-mula sertai The Legacy. Jadi... rasa macam tak sedap hati nak berbohong. Lagipun dia perlukan seseorang untuk dia luah perasaan kan? Siapa lagi kalau bukan Tajul? Aina juga BFFnya cuma... Tajul is number one.
"Muhammad Tajul Cheng." Nama Tajul meniti di bibir Mawar setelah nafas panjang ditarik.
Spontan Tajul tegakkan tubuh dan mendekatkam jarak mereka. Dia tahu ini perkara penting dan serius apabila nama penuhnya disebut.
Mawar pandang kiri kanan. Suasana dalam pejabat aman. Semua orang fokus dengan kerja masing-masing. Kerana terlalu aman, dia terpaksa dekatkan sikit lagi jaraknya dengan Tajul. Takut didengar telinga tak diingini.
"Aku akan bagitahu kau satu rahsia besar tapi kau kena janji atas nama kau sendiri yang kau takkan bocorkan rahsia aku kat sesiapa pun."
Tajul telan liur. Mata sepetnya sempat ditenyeh sekali tanda bersedia untuk fokus tahap tidak berkedip.
"Dengar sini. Aku, kahwin dengan Akram bukan sebab cinta."
"Wh-"
"Syh!" Sepantas kilat Mawar menyambar lengan Tajul yang hampir saja terbangun kaget. Dia cerlung mata pula tanda amaran membuatkan Tajul mengangguk-angguk.
"Aku kahwin dengan dia sebab adik aku. Adik aku, tak boleh kahwin selagi aku tak kahwin. Adat langkah bendul."
"Langkah bendul?" Tajul kerut dahi, bingung.
Dia dilahirkan dalam keluarga Melayu-Cina tapi kerana arwah ibunya meninggal dunia ketika dia masih kecil, jadi dia dibesarkan oleh ayah dan keluarga ayahnya yang Cina semuanya.
Mujurlah Mawar agak penyabar pagi ini. Dia menerangkan secara ringkas maksud langkah bendul.
"Wah... Aku speechless. Like how? Macam mana dia boleh terfikir nak kahwin tanpa cinta? Dia lelaki perfect kot. Aku yang lelaki pun fikir dia attractive, takkanlah tak ada perempuan yang nakkan dia?"
Mawar menjeling terbalik mendengar pujian itu. Menyampah.
"Setiap manusia ada kekurangan dan kau nampak dia perfect tu, luaran sahaja. Dalam dia?"
"Ish kau ni. Tak baik..."
"Anyway, selain aku dengan Akram, kau sorang aje tahu rahsia ni so kalau pecah lubang, siap kau."
"Jangan risau. Sampai ke liang lahad aku bawak rahsia kau. Tapi... aku banyak benda lagi nak tanya. Terkejut aku tak hilang lagi, Bunga. Ni... bukan kau reka cerita cinta untuk buat buku ke apa kan? Sebab storyline dia ni-"
"Eih. Tak ada masa aku," pintas Mawar jongket bibir atas.
Dia memang suka tayang muka macam tu. Muka meluat, muka moody, muka jijik, muka sinis dengan muka seposen. Itulah muka-muka yang selalu guna.
"Dah. Kau pergi buat kerja kau."
Tajul mencemik sedih. Lambat-lambat kembali ke mejanya setelah menggunakan waktu kerja dengan bersembang hal peribadi.
Mereka buat kerja masing-masing. Tekun sampaikan tak bercakap selama lebih dua jam.
Jam 11:05 pagi, Tajul bangun daripada kerusinya. Menggeliat seraya berjalan menuju ke pantri. Beberapa minit kemudian, dia membawa dua muk di tangan. Satu diletakkan di atas mejanya, satu lagi dia letak di atas meja Mawar. Milo panas untuk dia, Nescafe suam untuk Mawar.
"Bila tarikh interview menteri yang kau cakap sebelum ni?" Mawar bertanya sedang mata fokus pada skrin komputer riba. Tekun menyunting gambar.
Tajul melabuhkan punggung di atas kerusi. "Interview mana?"
"Masa aku kat kampung, kau ada call aku cakap kau dah dapat tarikh nak interview menteri sorang tu..."
"Oh... Ya, ya. Esok. Esok dia jemput kita pergi rumah dia. Tak sabar, right?Bila lagi nak jejak kaki rumah pak menteri negara. Dengar kata, calon perdana menteri kita. Tak sabar kan?"
"Mm, yelah..." Mawar seperti biasa, tak kisah sangat reaksinya. Artis ke, atlet ke, menteri ke, macam tulah reaksinya. Tidak berminat.
"Tajul." Dia terlintas sesuatu di benak kepala. Barulah mata mencari muka teman baiknya itu.
"Habis kerja nanti, kau ada plan tak?"
Tanpa fikir panjang Tajul menggeleng. "Kenapa?"
"Tolong aku boleh? Aku bayar kau."
"Kalau dah bayar, bukan tolong namanya."
"Ha, aku upah kau."
"Apa dia?"
"Nanti, bawak aku pergi rumah sewa aku. Aku nak ambik barang-barang aku."
"Oh... No hal, no hal."
"Lepastu hantar aku dengan barang aku sekali ke rumah Akram."
"Serius? Aku boleh tengok rumah Akram Hidayat??" Luas mata Tajul dipanah teruja.
Mawar geleng kepala. Tak faham betul kenapa orang hype sangat dengan yang namanya Akram. Lagi tak faham dengan kepala otak Tajul yang teruja nak jumpa semua orang.
Jebon tak semenggah pun nak dipuji melambung. Entah.
* * * * *
Ruang dalam pejabat cuma kedengaran desiran pendingin hawa. Sesekali bunyi kertas dibelek.
Akram duduk di atas kerusi kulit, sedang fokus meneliti fail berisi maklumat kes. Riaknya cukup serius. Terserlah karismanya disitu sehinggakan kliennya yang duduk bertentang tika ini, tak berkata walau sepatah. Sabar menanti dia buka mulut terlebih dahulu.
"Ada bukti lain selain daripada screenshot perbualan ni?" Akhirnya Akram bersuara memecah dinding sepi. Jelas suara serak garaunya itu kedengaran. Tiada nada candaan seperti ketika dia bersama Mawar.
Farhana, wanita 42 tahun yang merupakan isteri kepada ahli politik ternama, diam sejenak sebelum menggeleng suram. Orangnya cantik, sangat cantik tapi wajah kelam menanggung derita.
Akram tenang, mengangguk dua kali. Fail ditutup dan diletak ke tepi. Jemarinya bersatu di atas meja.
"Puan cakap yang Dato Hilman selalu pukul puan. Puan ada ambik gambar sebagai bukti? Atau mungkin ada rakaman waktu Dato Hilman abused you psychically?"
"Tiap kali dia pukul saya, saya akan ambik gambar sebagai bukti tapi setiap kali tu jugak dia akan rampas telefon saya and destroyed it. Selagi lebam saya tak surut, dia akan kurung saya dalam bilik." Berkaca mata Farhana menceritakan hal itu. Jelas menunjukkan betapa trauma dan takutnya dia.
Akram diam. Masih serius walau air mata wanita di depannya hampir tumpah.
Dia berfikir-fikir sejenak.
"Awak nak charge atas keganasan rumah tangga sahaja atau-"
"Tak. No. Saya cuma... nak bebas. I just want a divorce. Semua peguam yang saya jumpa sebelum ni tak nak ambik kes saya sebab dorang tahu tak mudah nak kalahkan Dato Hilman. Jadi kalau Encik Akram rasa mustahil untuk saya tegakkan keadilan, just tolong saya bebas daripada dia. Please..."
Senyum sinis bergayut nipis di bibir kiri Akram. Bersahaja dia angkat bahu sekali.
"Well, I don't know what kind of lawyers you dealt with before but I'm not one of them. Kalau your husband did abused you, he will be punished according to the law. We will fight. And of course, you will get your freedom."
"Terima kasih, Encik Akram. Terima kasih sangat-sangat. Saya... saya tak tahu macam nak luahkan rasa terima kasih saya. Lima tahun saya menderita.... Dan saya nak encik tahu. Dato Hilman bukan manusia biasa. Dia... gila. Once dia dapat tahu tentang encik handle kes saya, nyawa encik dan orang terdekat encik dalam bahaya."
"Thanks for your concern, Puan Farhana. But I'm used to dealing with crazy people."
* * * * *
Usai solat maghrib, dia bergerak ke ruang tamu. Meluaskan pandangan mencari kelibat seseorang yang dinanti sejak tadi. Tapi malangnya, masih lagi dia sendiri berada di dalam apartmentnya ini.
Dahinya berkerut nipis saat memandang jam dinding ruang tamu. Hampir jam lapan malam dan isterinya belum pulang.
Yang dia tahu, waktu kerja Mawar habis pukul 5:30 petang. Dan Mawar jugak ada bagitahu yang dia selalu balik malam sebab kerja lebih masa atau sebab ada temu bual yang perlu dilakukan pada waktu malam.
Tapi masalahnya, dia dah mesej sejak petang tadi tak dibalas Mawar. Telefon lima, enam kali pun tak dijawab wanita itu. Mestilah dia risau. Tentang culik semalam, dia cuma bergurau. Kalau benaran terjadi, rasanya dia bakal gila separuh mati.
"Tsk. Petang tadi orang nak jemput, cakap nak balik sendiri. Lepastu dah malam tak reti balik lagi," omel Akram sambil mengatur langkah ke dalam kamar.
Dia duduk di atas birai katil, mencapai telefon bimbit lalu menghubungi nombor Mawar untuk yang ke... entah berapa kali.
Tit... Tit... Tit...
Boleh tahan berdebar di balik dada mendengar bunyi talian belum bersambung. Macam mana kalau Mawar betul-betul diculik sebab mulut celoparnya semalam?
Akhirnya dia matikan panggilan itu, kemudian didail lagi.
Tit... Tit... Tit-
"Hello?" Suara Mawar menyambut dengan nada sebal seperti biasa.
Jelas terpancar kelegaan di wajah Akram. Lelaki itu meraup muka sendiri sebelum bangun bercekak sebelah pinggang.
"Hidup lagi kau, Mawar... Ingatkan sesat kat negara mana. Aku call tak angkat, mesej kat Tele pun kau tak reply."
"Phone aku mati, tak ada bateri. Kat ofis tak ada charger phone android."
"Habistu ini kau cas macam mana? Guna tenaga solar?"
"Aku guna charger aku yang kat rumah sewa..."
Akram kerut dahi. Diam sejenak.
"Rumah... sewa? Kau ada kat rumah sewa ke? Bukan ke kita dah bincang semalam, malam ni kita pergi ambik barang kau sama-sama." Nadanya berbaur terkilan. Riak berubah mendung tak terkawal.
"Apa masalahnya. Sama je. Asalkan aku dapat ambik barang aku kan."
"Macam mana kau nak pindah barang kau? Ke nak aku datang sekarang?"
"Datang buat apa? Tak payah, tak payah. Tajul ada ni. Kitaorang dah siap masuk barang dalam kereta, kejap lagi gerak balik."
Dap! Tertusuk jantung Akram mendengar ucapan selamba Mawar. Terpempam. Bayangan wajah lelaki berkulit cerah dengan gaya rambut nipis melintasi layar mata. Memulas perutnya sehingga rasa sebu. Gelap sesaat pandangan mata. Sungguh...
Apa yang ada dalam kepala Mawar Safiya? Kenapa perlu minta tolong lelaki lain sedangkan dia ada sebagai seorang suami?
Ah... Tak matangkah dia kerana timbul rasa begini? Terkilan, sungguh terkilan.
Liurnya ditelan, tangan menyentuh kejap dada yang serasa sakit.
"Kau..." Bibir cuba berkata sesuatu tapi tersekat di kerongkong.
"Bunga, cepatlah. Cakap nak singgah makan." Satu suara kedengaran dari hujung talian menyapa telinga Akram. Suara lelaki.
Hampir saja Akram melempar telefon ke dinding namun dia cuma ketap gigi, menggenggam telefon itu. Kuat, menampakkan urat hijau di belakang tapak tangannya.
Tit. Dia memutuskan talian tanpa sepatah kata. Merah padam kulit mukanya menahan rasa bergelora. Suara lelaki barusan terngiang-ngiang mengocak gelora.
"Bunga huh? So he even calls you by a special name."
Share this novel