"MACAM tak ada tempat lain kau nak ajak bincang," ucap Mawar sebaik saja mendekati salah satu meja kosong di dalam restoran Sushi King yang terletak di tingkat tiga bangunan AEON Cheras Selatan. Dia sama sekali tidak menggemari susyi.
Dia yang berseluar jeans dan hoodie kuning bersama selendang lilit hitam itu tetap saja menarik kerusi sebelum melabuhkan punggung.
Gadis cantik berbaju kurung moden bersamanya juga melakukan hal yang sama, duduk bertentangannya.
Orked Natalia nama si cantik manis itu. Adik kepada Mawar yang berusia 25 tahun. Personalitinya berbeza daripada Mawar. Mawar agak kasar sementara Orked lembut ala gadis melayu.
Ha. Bawah Orked, ada dua lagi adik perempuan. Nantilah berkenalan.
"Aku bukan nak ajak kau makan sangat pun..." Perlahan suara Orked kedengaran. Mengerot-ngerot bibir tanda membawa hajat.
Mawar sandar tubuh, tayang muka 'dah-kenapa-kau'.
"Hmh. Aku tahu kau tak datang dari Bangi semata-mata nak ajak aku makan. Cakap ajelah, tak payahlah heret aku sampai kedai ni. Kau tahu aku tak makan susyi kan?"
"Aku..." Orked teragak-agak.
Sekejap menyentuh muncung tudung bawalnya, sekejap memintal jemari yang bersatu di atas meja.
"Cakaplah cepat. Aku banyak kerja nak buat ni..."
"Aku nak kahwin."
Berkerut satu muka Mawar mendengar ucapan itu. Mereka saling bertentang mata.
"Dahtu? Apa masalah? Kahwin ajelah. Dengan Taufik kan? Apa kaitan dengan aku?"
Buang tabiat agaknya adiknya ini seorang. Buat macam bercinta dengan alien susah sangat nak cakap.
Dia dah muak tengok muka Taufik yang selalu ada tiap kali dia dan Orked keluar bersama. Dari zaman universiti.
"Masalahnya, aku nak kahwin dalam tahun ni. Mak Taufik suruh nikah bulan Disember. Ini dah bulan Ogos..."
"Empat bulan tak cukup ke korang buat persiapan nak nikah? Amboi. Nak buat majlis grand dua belas tahun dua belas bulan ke?" Lancar saja mulut Mawar bab menempelak Orked kerana dia tahu Orked bukanlah macam Aina yang bijak membidas.
"Kak..." Manja Orked hentak kaki sekali dengan monyok nak menangis.
"Apa kau ni? Jangan buat malu akulah."
"Aku tak boleh kahwin selagi kau tak kahwin..."
Barulah Mawar terdiam kali ini. Mulut masih terbuka kecil dek otak menghadam ucapan Orked. Tak sedar kepala terangguk-angguk tanpa suara.
Haah. Lupa... Long story short, abahnya yang merupakan seorang guru matematik itu agak tegas orangnya. Garang pun iya. Dia dan adik-adik dari kecil lagi dah dididik kalahkan angkatan tentera.
Sampaikan sudah besar panjang pun, masing-masing belum berani nak berkelakuan 'tak senonoh' depan abah. Depan umi bukan main bertekak adik-beradik bagai nak tercabut anak tekak. Dengar saja enjin kereta abah, terus elok berpelukan. Dan pointnya kat sini, abah sangat suka kekalkan tradisi lama. Salah satunya, tak boleh langkah bendul.
Langkah bendul. Adik-adik tak boleh kahwin selagi dia yang sulung ini tak kahwin dulu. Titik. Ini bukan cobaan ya. Bukan yang 'ala... bukan haram pun. Pujuk sikit, okeylah tu...'. No. Encik Khalid a.k.a abah, bila dikata A, maka A jawabnya. Biarpun semua anak daranya membujang sampai mati. Ha begituuu...
"Macam mana, kak?" Orked bersuara setelah sepi menjengah beberapa minit.
Mawar sedar sendiri. Tubuh kurusnya disua ke depan, tangan di letak di atas meja. "Hmm... Aku mintak ajelah gelang emas ke, cincin emas ke. Ha, bolehlah kau langkah bendul."
"Dah call umi semalam. Umi cakap jangan nak mereka kerja sia-sia.
Abah tak kasi punya... Taufik nak bagi satu set berlian pun abah takkan terima. Kau kena nikah dulu."
"Ish. Aku boyfriend pun tak ada, nak nikah dengan siapa? Tok kadi?"
"Kak..." rengek Orked lagi.
Muncung dah sedepa. Comel betul. Aih. Mawar kalau lembut manja macam gini, tentu comel juga.
"Tsk," decit Mawar menggaru-garu lengan kiri. Serabut pula kepala otak pagi hari ni. "Abah pun satu. Islam itu dah cukup mudah, cukup elok. Kenapalah nak rumitkan ikut adat resam bagai."
"Kalau kau berani, cuba cakap macam tu depan abah. Mana tahu terbuka pintu hati abah nak bagi aku nikah dulu."
"Haah. Pintu hati abah terbuka, pintu keranda aku pun terbuka sama."
"Hmh..." Orked mengeluh. Dah lima tahun dia dan Taufik bercinta. Sakit kepala bila lelaki itu mendesak untuk berkahwin.
"Okey. Hari Jumaat ni, tulat kan? Kita semua balik untuk majlis tahlil pak da. Tengoklah. Aku cuba cakap dengan abah."
"Betul ke?" Bersinar mata Orked seakan tidak percaya. Muka terharu dipaku pada muka sambil dia meraih jemari kakaknya. "Thank you, kak..."
Mawar buat-buat menyampah.
Biasalah, kakak sulung. Dia jenis tak meluahkan sangat kasih sayang buat adik-adik. Mulut berkata kasar tapi dalam hati, dia sentiasa mahukan yang terbaik buat mereka. Biarpun diri sendiri harus berkorban.
"Ish. Dahlah. Aku nak masuk kerja. Baru pukul sebelah pagi, karang bising bos aku tu. Kau bawak kereta elok-elok. Jangan main sondol aje side mirror orang."
* * * * *
"Bunga!"
Mawar menoleh ke arah suara yang menyeru namanya sebaik saja dia melangkah masuk ke ruang pejabatnya di tingkat tiga bangunan ini. Dilihat seorang lelaki berambut pendek ala kadet wataniah melambai teruja ke arahnya. Lagak macam tak berjumpa setahun.
Itulah partner in crimenya, Tajul. Bersemangat orangnya. Dia yang tak berapa ada semangat ini bersahaja mendekati meja bersebelah dinding kaca.
Ruangan pejabat ini menempatkan lima kelompak meja. Satu kelompok ada empat meja yang dirapatkan secara bertentangan. Macam meja zaman kita sekolah tadika dululah...
Jadi sekarang, Mawar duduk di meja bertentangan Tajul, membelakangi dinding kaca. Di sebelahnya meja kosong kerana 'penghuni'nya cuti bersalin. Di sebelah Tajul pula seorang wanita 30-an. Jenis tak bergaul wanita itu sorang. Editorlah kononnya.
Eh kejap. Lupa nak terangkan kerja Mawar. Mawar ini seorang fotografer untuk sebuah syarikat produksi. Banyak cabang syarikat itu tapi Mawar bertugas di bahagian majalah. Setiap bulan syarikatnya akan mengeluarkan satu majalah.
Terkadang dua. Isu yang diutamakan adalah berkaitan politik, tokoh berjaya dan bisnes. Isu lain diselit sebagai penyedap rasa.
Tajul pula bertugas sebagai penulis artikel merangkap wartawan. Lebih kurang begitulah.
"Bunga," seru Tajul lagi beria menggerakkan kerusi berodanya agar lebih dekat dengan Mawar. "Kau terlepas moment penting tadi."
"Moment apa?" Mawar kurang berminat. Pokoknya muka Mawar ini memanjang muka tak puas hati. Muka nak marah orang. Muka macam... 'kenapalah aku ada kat sini'. Hah. Macam tulah.
"Bulan ni akan keluarkan dua isu. Yeap!"
"Hah?" Mawar kerut dahi. Dia baru saja nak mula untuk keluaran September. Isu Ogos baru saja keluar.
Esh.
"Guna yang September atau baru?"
"Baru. Datuk Lee Chong Wei tu anjak ke September half."
"Damn it."
"Eh tak. Kalini jackpot, weh."
"Kenapa?"
"Cover depan September... ialah... dudududu... drum rolls!" Teruja benar Tajul dengan gaya bermain dramnya. Nak buat saspen tapi jadi malah sakitkan hati Mawar.
Pak! Mawar mengetuk kepala Tajul menggunakan pembaris kayu.
"Kau jangan sampai aku dududu kepala sampai jadi petak macam adudu."
Tajul menyeringai. "Akram Hidayat. Peguam paling hot dalam Malaysia."
"What?" Mawar terkejut.
Hampir terbangun daripada wkerusi tapi untung Tajul lebih pantas memegang tali hoodie gadis itu.
"Aku tahu kau anti dia tapi, kau bayangkan kalau kita dengan jayanya dapat jadikan dia cover depan majalah kita yang tak berapa nak hidup ni. Bayangkan. Jumlah cetakan meningkat, nama The Legacy disebut-sebut. Artikel aku, hasil karya kau, kita akan jadi duo of the year, gaji kita akan-"
"Boleh tak kau jangan berangan sampai ke langit ayah pin? Orang tak kisah siapa tulis artikel. Orang tak kisah siapa yang ambik gambar. Kau ingat dorang nampak ke nama kita yang besar semut kat majalah tu?
Mohon sedar diri."
Tajul mencebik mendengarkan fikiran negatif Mawar. Lelaki berdarah campur melayu-cina itu menyandar tubuh sambil menjeling Mawar. "Well at least kita dapat orang yang betul-betul popular."
Mawar pula menjeling. Meluat.
Dia membuka laptop untuk mula menyunting gambar yang diambil sebelum ini tapi Tajul masih tidak mengalah. Tajul menarik semula aura positifnya agar mengusir aura negatif Mawar.
"Macam mana nak contact dia? Aku call secretary dia tak dapat. First tu dia angkat. Bila aku cakap aku dari The Legacy, nak temu bual Akram, terus putus. Maybe line tak cantik."
Mawar menoleh. Kerut dahi merenung muka seposen Tajul. Tak tahulah macam mana kawannya ini seorang terlalu husnudzon. Rasa nak diberi jurus tamparan berganda.
"Kau cuba call lagi tak?"
Tajul angguk. "Tak angkat.
Sibuk maybe?"
"Aku dah cakap dia berlagak kan? Syarikat suam-suam kuku macam kita, kau ingat dia nak layan ke? Eh memang tidak la... Dia nak tunggu magazine high class sembah dia, baru dia layan. Setakat-"
"Ish kau ni. Buruk sangka manjang. Asal bad mood sangat? Period? Sembelit?" sela Tajul tak dapat nak mengalahkan aura Mawar. Dengan dia sekali jadi nak marah.
Macam biasa, Mawar akan jeling mata terbalik. Dia kembali menekur skrin laptop.
"David cakap dia bagi bonus."
"Berapa?" Sepantas kilat Mawar menoleh. Cerah biji mata. Bab duit jangan dibuat main. Dia dahlah pokai teruk sejak kerja dengan syarikat sengkek ini. Kerja bagai nak rak, gaji sendat.
Tersenyum bangga Tajul bila rancangannya berhasil. Tiada bonus pun sebenarnya. Tapi tak apa. Dia sanggup tarik duit gajinya sendiri untuk Mawar asalkan dapat menjadikan Akram Hidayat sebagai kulit majalah.
"Dia tak cakap berapa tapi tengok muka macam berbaloi. Jomlah. Bila lagi nak merasa gaji lebih masuk akaun kan?" pujuk Tajul cuba mengumpan Mawar.
Kali ini Mawar berfikir sejenak.
Tertarik.
"Okey. Jom ikut aku."
Share this novel