BAB 21

Romance Series 123204

AKRAM melepaskan keluhan panjang dek jenuh berjalan di dalam gedung perabot tiga tingkat ini. Dia sedia maklum Mawar itu seorang yang cerewet daripada pengalaman mereka cari baju dan barangan kahwin sebelum ini tapi kali ini, terlebih cerewet. Tingkat satu dua kali pusing, tingkat dua sekali pusing, tingkat tiga, dua kali pusing dan sekarang kembali ke tingkat satu semula. Satu apa pun belum dibeli.

   "Mawar. Cuba kau tengok jam pukul berapa. Aku tak nak sampai kena halau dengan pak guard," giat Akram dengan muka mengantuknya.

Mawar yang begitu fokus membelek satu perabot ke satu perabot, mengerling sekilas pada Akram di sisi. Tajam kerlingan bersama kerutan di dahi.

   "Why not kau tolong aku pilih? Banyak bunyi."

   "Aku rasa dah berbuih mulut aku suggest mana yang elok, semua kau reject."

   "Dah kau pilih yang bukan-bukan."

   "Kau ni cari meja solek yang macam mana sebenarnya? Yang boleh terbang ke? Yang boleh bercakap? Itu tak kena, ini tak kena. Asalkan ada cermin, ada mejanya, ada kerusinya, dahlah tu. Beli."

Boleh pulak mereka bertikam lidah membuatkan beberapa orang manusia lain mencuri pandang.

Akram kemudiannya bergerak ke arah satu meja solek di situ.

   "Beli yang ini," katanya sambil meletak tangan di atas bingkai cermin. Berharap pengembaraan mencari satu set meja solek berakhir.

Mawar mendekati perabot paparan itu. Serius menilik setiap inci. Beberapa detik, dia geleng.

   "Tak nak. Cermin and kerusi rendah."

   "Yang ini?" Laju Akram bergerak ke calon seterusnya.

Seperti tadi, Mawar membelek tekun. Hujungnya, geleng kepala.

   "Laci banyak sangat. Jadi ruang setiap laci tu kecik-kecik aje. Better ruang dalam tu luas."

   "Yang ini?"

   "Mmm... Bucu tak cantik."

   "Macam mana dengan yang ni?"

   "Nope. Tak sesuai dengan warna bilik."

   "Yang ni pulak?"

   "Kerusi empat bulat, tak nak tak nak."

    "Haaaahhh..." Akhirnya Akram bercekak pinggang melepas keluhan. Sebelah tangan meraup sekali rambut ke belakang sambil mengumpul kesabaran. Bibir memaksa segaris senyuman saat matanya mencari muka tak bersalah Mawar.

   "Cuba kau cakap kat aku, meja macam mana kau nak? Kerusi bentuk apa kau nak? Cermin ajaib apa kau nak? Hmh?"

   "Kan aku dah cakap, aku nak yang macam kat Ikea tu. Yang aku tunjuk dalam kereta tadi. Cermin bujur and besar. Lepastu boleh slide kiri kanan. Dalam tu ada compartment untuk letak barang. Meja dia aku nak yang ada pull-out drawer. Kerusi pulak mesti matching warna, tak terlalu rendah and ada kusyen."

Jadi naik darah tinggi pula Akram mendengar penjelasan Mawar sampai tergaru-garu kepala kalahkan kera.

   "Tadi, aku ajak pergi Ikea, kau cakap jauh. Datang yang depan tangga ni, kau memilih pulak. Aku tak fahamlah, Mawar. Tak faham, tak faham."

Penyebab sakit kepala Akram langsung tak rasa bersalah sama sekali. Bersahaja Mawar jongket bahu lalu membuka langkah perlahan dengan kedua-dua tangan di belakang. Gaya komando turun padang.

Nak tak nak, terpaksalah Akram menyusul sebelum berjalan seiring.

   "Habis tu macam mana? Esok aku busy. Boleh ke tunggu weekend?"

   "Takpelah lambat beli pun. Aku bukan urgent sangat nak guna. Kau nampak kan, barang aku tak banyak. Aku tumpang ajelah meja kau dulu."

Akram terangguk-angguk. Diam sejenak mengira masa yang telah dihabiskan di sini. Kalau boleh sweet-sweet tak apalah jugak nak pusing atas bawah. Ini dari awal masuk sampai ke sudah nak bertikam lidah.

Tika ini aman antara mereka. Melihat Mawar tenang mengimbas kiri kanan, dia menggunakan peluang yang ada untuk memandang Mawar dalam diam. Spontan bibir menjongket senyum. Mawar sentiasa cantik di matanya tapi bila tiada jelingan tajam dan kerutan di dahi, dia akui Mawar terlihat jauh lebih cantik.

Apa Mawar ada darah Arab? Kening, alis mata, bulu mata, hidung, bibir.... indah. Semuanya indah. Melihat keindahan Mawar sedekat ini, jujurnya dia masih terasa bagai bermimpi.

   "Asal kau pandang aku macam tu? Senyum-senyum macam orang gila."

Prang! Berkecai lamunan indah Akram apabila suara Mawar kedengaran. Ayat sekali bagi, menusuk kalbu betul.

Mujurlah Akram sudah kemaruk cinta. Dikata gila pun masih mampu tersenyum. Sengaja dia menempel dekat di sisi Mawar konon bermanja.

   "Saja."

   "Ish. Buang tabiat kau ni." Mawar menolak tubuh tinggi lampai Akram menjauh daripadanya sebelum dia melajukan langkah.

Kesudahannya, mereka balik tangan kosong.

* * * * *

   "Kau pakai losyen ni ke?" tanya Akram sambil memegang botol warna ungu.

Mawar yang baru saja duduk di atas katil, angguk sekali tanpa ayat sinis seperti biasanya. Menepuk-nepuk bantal tanda bersedia ingin tidur.

Melihat itu, Akram menilik botol di tangan. Sebelah tangan memegang hujung tuala tergantung di lehernya

   "Designer, musk blossom..." Terkumat-kamit dia membaca apa yang tertera di botol. Rambutnya yang masih lembap pun tak dikeringkan lagi. Dia membuka penutup botol dan mendekatkan botol itu di hidungnya.

Ada senyum bergayut di bibir. Bau ini. Haruman ini. Bau haruman inilah yang ada pada Mawar. Yang setiap detik menusuk rongga hidung, mencuit jiwa lelakinya. Dia... suka.

   "Akram, tutup lampu. Aku nak tidur dah," kata Mawar menarik perhatian Akram.

Akram meletakkan semula botol losyen di atas kabinet lalu menapak ke arah katil. Dia yang berseluar pendek dan baju T lengan pendek itu berdiri di tepi katil memandang Mawar. Rambutnya dikesat-kesat menggunakan tuala.

   "Dah nak tidur? Awal lagi ni. Borak dulu."

Dia bergerak menyangkut tuala pada ampaian kecil dekat pintu sebelum memanjat naik duduk di sebelah Mawar yang sudah pun berbaring mengadap siling.

   "Mawar... Bukak mata, jangan tidur dulu..." Dah macam anak kecil Akram menggoncang-goncang tubuh Mawar.

Tak tahulah sebab mengantuk atau sebab penat, Mawar tak mudah melenting. Dia celik mata meski tidak berkutik. Matanya berkedip-kedip membalas pandangan Akram.

Ketawa Akram melihatnya. Comel!

   "Kau sedar ke tak ni?"

   "Kau ni... Orang nak tidur pun tak senang." Akhirnya Mawar angkat tubuh, duduk menyandar belunjur kaki. "Tadi beria nak balik cakap dah lewat. Sekarang cakap awal lagi, sibuk nak berborak."

Akram masih bersila dalam senyuman walau ditempelak.

Beberapa saat, tiada siapa membuka bicara. Mawar diam menekur dinding bertentangan sementara Akram diam menekur seraut wajah Mawar.

Terdetik rasa berbunga dalam hati Akram mengingatkan tiada lelaki lain dapat melihat betapa indahnya Mawar Safiya ketika ini. Rambut yang hitam pekat, wajah yang bersih. Berapa kali dia perlu ulang? Indah. Semuanya indah.

Ah sudah. Jantungnya macam nak meletup. Dia rasa macam nak menangis. Sungguh!

   "Mawar."

   "Mm?"

   "Boleh aku sentuh rambut kau?"

   "Hah?" Barulah Mawar menoleh pada Akram dengan mata lebih cerah berbanding tadi. Hilang kantuknya. "Kenapa? Kau nak kenakan aku lagi kan?"

Akram ketawa kecil. Dia menggeleng. "Tak... Aku tanya betul. Boleh ke aku sentuh rambut kau?"

Berkerut dahi Mawar memandang Akram atas bawah. Tapi kemudian, dia jongket bahu dan kembali menyandar tubuh.

Melihat tanda hijau itu, Akram angkat tangan. Tapak tangannya singgah di kepala Mawar. Mengusap-ngusap kepala Mawar sebelum jemari kasarnya mengelus rambut lebat Mawar. Rambut yang hitam pekat, lebat dan lembut. Cukup mengasyikan.

Tiada sebarang bunyi melainkan desiran pendingin hawa. Menambahkan keasyikan Akram. Melihat Mawar terlelap dek sentuhan tangannya, dia hanyut dalam menatap setiap inci wajah Mawar. Jantungnya berdegup aneh. Hatinya diasak pelbagai rasa. Jiwanya... jiwanya mendambakan Mawar Safiya.

   "Tak." Pantas dia menyedarkan dirinya sendiri. Pandangan segera dialih, mengawal nafsu yang meronta. "Jangan jadi bodoh, Akram. Jangan ulang kesilapan kau, jangan hancurkan kepercayaan dia."

   "Apa dia?" Mamai Mawar bertanya. Mengantuk sangat gayanya. Entah sedar ke tidak dia kembali berbaring. Mengiring ke arah Akram.

Akram senyum lagi sambil menarik selimut ke paras bawah dada Mawar. Dia juga mengubah posisi ke posisi baring mengiring ke arah Mawar. Menongkat kepala agar dapat melihat wajah sang isteri dengan lebih jelas. Jarak mereka begitu dekat, hampir tiada ruang antara dua tubuh.

   "Mawar."

   "Mmm."

Tawa Akram meletus mendengar respon Mawar. Dah tidur tapi masih boleh berespon.

   "Kau cakap rambut kau pendek sebab aku. Tapi tu kan dah 15 tahun." Sebelah tangannya mengelus lembut rambut Mawar. Maklumlah, jarang sekali Mawar beri peluang keemasan macam ni.

Untuk soalan Akram, beberapa detik masa diambil untuk otak Mawar memproses jawapan.

   "Aku dah selesa rambut pendek. Senang nak urus. Lebih bawah bahu sikit, aku potong."

"Cantik."

"Hmh?" Mawar buka mata dek kaget. Kotlah dia salah dengar tapi dilihat, Akram di depan mukanya cuma tersenyum manis tanda tiada niat gurauan.

"Cakap apa?"

"Cantik. Rambut panjang, rambut pendek, dua-dua cantik." Romantis suara serak garau Akram mengulit telinga Mawar.

Bungkam Mawar dibuatnya. Tersekat suara di kerongkong kerana hati dijentik rasa aneh. Dia marah bila Akram mengutuknya tapi bila dipuji... aneh pula rasanya. Tak adalah dia nak marah, tak juga dia berbunga-bunga. Segan? Entah.

Dan belum sempat lagi hati nak menghadam rasa aneh itu, tiba-tiba jemari kasar Akram merayap di mukanya. Tak sempat dia berbuat apa. Merinding tubuh tatkala jemari itu bergerak perlahan. Dari ubun-ubunya, turun ke kening, turun lagi ke kelopak matanya membuatkan dia pejam. Apabila jemari itu melurut ke batang hidung, matanya kembali dibuka. Agak lama Akram mengelus-elus batang hidungnya sebelum beralih ke pipinya. Pipi yang entah bila merona merah. Hangat terasa mengusir kantuk. Yang ada cuma debaran dalam dada, sebu dalam perut. Yang anehnya, dia membiarkan saja tingkah Akram. Aneh!

"Kau ada darah Arab?" Suara Akram perlahan. Mengusik sukma Mawar.

Bahaya. Bahaya. Mawar telan liur. Anak mata dilarikan pada dada Akram. Lebih selamat daripada pandangan redup lelaki itu.

"Arab celah mana? Mengarut je kau."

"Ya? Yakin tak ada mix? Ke kau anak angkat?"

"Tsk." Mawar angkat semula pandangan mata. Melihat Akram sudah senyum sampai ke telinga.

Menyedari pipinya masih disentuh Akram, dia menepis sekali. Berkerut dahi.

"Kau tu yang anak angkat. Mak dengan bapak baik, adik pun elok perangai tapi kau?"

"Kenapa dengan aku?" Akram masih tenang. Suara juga masih perlahan, separuh berbisik. Dia cuba merebahkan lengan di atas pinggang Mawar namun gagal dek ditepis Mawar.

"Kau still benci aku?" sambung Akram ingin tahu. Dia sedar jawapan Mawar mungkin akan mengguris hati tapi dia tetap ingin tahu.

Seketika, tiada sebarang jawapan daripada Mawar.

Mawar menatap lama wajah tenang Akram seolah berfikir dalam. Sedikit sebanyak mengacau perasaan Akram.

"Kau selalu ganggu aku, sakitkan hati aku and semua tu tinggalkan satu rasa dalam diri aku."

"Jadi kau benci aku?"

Mawar diam dulu. Ya, dulu memang dia bencikan Akram. Bukan tak suka tapi benci. Bertahun-tahun diganggu, dikacau, diusik sejak kecil sampai sekolah menengah, semua itu mengumpul satu rasa benci. Tapi... apa rasa benci itu masih ada? Setelah mengenali Akram lebih dekat, dia sedar yang... Akram tidaklah seteruk dulu.

Namun egonya terlalu tebal untuk dia mengakui dengan terang. Jadi dia pusing tubuh mengadap siling lalu menarik selimut ke paras dagu.

"Past tense."

"Hmh?" Akram bingung.

"Tadi kau tanya sama ada aku masih bencikan kau and my answer is past tense."

Akram diam beberapa saat. Beberapa saat saja untuk dia mengerti kiasan Mawar.

Ahhh... Macam mana dia tak kemaruk? Comel. Mawar Safiya terlalu comel!

"So macam mana dengan present tense? Is it antonim 'benci'?"

Mawar menoleh dengan muka berkerut. "Apa ni? Jangan nak peningkan kepala aku, esok aku nak kerja."

Pft! Akram malah ketawa. Entah apa yang lucu.

"Kau pernah bencikan aku. So sekarang macam mana? Kau dah sukakan aku?"

"Jangan perasan."

"Jawab dulu kalau kau tak nak aku kacau kau tidur."

"How about you then?"

"Me? Aku tak pernah bencikan kau. Sedetik pun tak pernah and I could never hate you."

Mawar terkedu. Kosong dalam kepala mendengar pengakuan Akram. Tiada kata melepasi dua ulas bibirnya dan dia memandang ke dalam mata Akram. Cuba mencari kebenaran di balik kata-kata yang barusan didengar. Lama...

Dimana akhirnya dia angkat tubuh membuatkan Akram bingkas melakukan tingkah yang sama. Mereka duduk bertentangan.

"Akram. Aku nak kau jawab betul-betul soalan aku. Jangan jawab mengarut, fikir sebelum jawab."

Akram angguk.

"10 tahun lepas, dua bulan sebelum SPM. Kau ingat kita ada kelas malam kan?"

Dap! Jantung Akram bagai ditusuk besi. Terpempam. Mulut bagai dikunci, perut dibelit sebu.

Apa... apa Mawar cuba katakan? Apa Mawar tahu? Tak, tak. Mustahil Mawar mampu memandang matanya jika wanita itu tahu perkara sebenar. Jadi kenapa? Kenapa--

"Akram. Kau dengar tak soalan aku?"

"Hmh?" Akram telan liur serasa kesat. Dia dapat rasakan mukanya berubah pucat. "Ya. Aku ingat."

"Malam tu, Cikgu Aida halau kau keluar kelas sebab kau buat masalah. Kau sorang aje yang tak ada dalam kelas. Kau sorang aje keluar awal. Kau... buat apa lepastu? Kau terus balik atau kau pancitkan tayar basikal aku?"

Mawar ketap bibir mengawal rasa takut. Berat. Berat untuk dia buka kenangan silam. Berat untuk dia buka kotak memori 10 tahun yang lalu tapi dia perlukan jawapan daripada Akram. Dilihat Akram membisu tak berkutik. Sukar untuk di baca air muka Akram saat ini.

Begitu juga Akram sendiri. Dia tidak tahu reaksi mukanya sendiri. Apa terlalu ketara? Apa masih berdarah? Tak... Jangan terlalu ketara. Mawar baru saja nak membuka pintu besar antara mereka. Dia tahu dirinya tak ubah seorang pengecut tapi dia mahu Mawar di sisinya.

"Tak." Sepatah. Cuma sepatah perkataan keluar daripada mulutnya sebelum dia raup muka sendiri. Pandangan Mawar dibalas lagi bersama rasa bersalah.

"Aku... terus balik rumah."

"Betul kau tak pancitkan tayar basikal aku?"

"Tak. Bukan aku."

Giliran Mawar pula terdiam. Mukanya berubah kendur mendengar jawapan Akram. Seolah disimbah sebaldi air, luntur satu rasa yang dipendam selama 10 tahun.

Jadi... dia yang salah. Jadi... dia membenci orang yang salah. Ya. Tiada bukti menunjukkan Akram orang yang pancitkan tayar basikalnya malam itu tapi selama 10 tahun dia menanam andaian tak berasas. Bukan Akram yang menjadi penyebab dia menjadi mangsa malam itu tapi 10 tahun dia menyalahkan Akram. Tayarnya yang pancit malam itu cumalah alasan untuk dia menyalahkan seseorang atas takdir buruknya. Meskipun betul Akram yang memancitkan tayarnya, tetap saja bukan Akram yang....

Ahh... Kepalanya berdenyut.

"Tidurlah. Aku mengantuk," dalihnya masih begitu ego untuk meminta maaf. Dia kembali membarinngkan tubuh. Kali ini membelakangi Akram.

Membiarkan Akram masih terkaku lemas. Lemas dalam rasa bersalah. Lelaki itu terus merenung susuk belakang tubuh Mawar. Dia ingin memeluk tubuh itu, dia ingin merayu kemaafan. Tak. Dia tak layak. Tapi dia tetap ingin meminta maaf, memohon keampunan. Dia ingin menebus kesalahannya.

'Maafkan aku, Mawar. Aku... masih seorang pengecut. Aku takut kau akan lebih bencikan aku. Maafkan aku...'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience