"AAMIIN ya rabbal alaamiin...”
Akram meraup mukanya di hujung doa panjangnya sebelum dia mengubah posisi ke arah belakang menghadap makmumnya.
Senyum bahagia bercampur syukur mekar di wajah saat menatap seraut wajah Mawar di depan mata. Terasa bagaikan mimpi. Mimpi dia menjadi imam buat cinta pertamanya. Cinta dari masa kecilnya. Cinta terakhirnya juga. Hampir saja air mata lelakinya tumpah lagi diasak rasa indah ini.
Rerama berterbangan di taman dalam hatinya.
Mawar yang direnung Akram tanpa sepatah kata dijerut rasa segan dan janggal. Nanar anak mata mengelak berlaga mata.
“Tak nak salam?” Suara Akram kedengaran memecah dinding sepi.
Mawar angkat muka. Tambah gugup saat bertentang mata redup Akram. Sejak bila Akram pandai menggoda begini? Esh!
“Nah.” Akram menyua tangan di depan Mawar dimana akhirnya Mawar menyambut tangan kasarnya itu.
Mawar menyalami tangan Akram.
Sedetik, Akram membalas dengan kucupan hangat di dahi Mawar.
Satu kucupan saja cukup untuk buat Mawar terkaku kelu. Dia... sekali lagi disimbah rasa aneh. Rasa yang mungkin namanya jatuh cinta tapi sebahagian daripada dirinya cuba menafikan.
Akram senyum melihat reaksi Mawar. Jarang sekali dapat melihat yang namanya Mawar Safiya diam begini.
“Terima kasih sebab sudi jadi makmum saya,” ucap Akram mengejutkan Mawar.
Sedikit membulat mata Mawar membalas andangan Akram. Terkejut kerana tiada lagi kata nama ‘aku kau’ digunakan.
Mana Akram yang tak guna tu? Ini siapa?
“K-kau dah kenapa? Peliklah,” balas Mawar menggaru-garu batang leher berlapik telekung. Rasa nak meletup dalam dada.
“Kita sekarang dah sah jadi suami isteri. Tak kisah kita nikah atas dasar apa tapi hubungan kita tak lagi macam dulu. Saya suami awak dan awak isteri saya. Saya tak minta ‘bersayang’ bagai. Cukuplah selain ‘aku kau’."
Mawar diam. Suara serak Akram begitu tenang dan lembut tidak seperti biasanya.
“Mula detik akad dilafaz, saya terima segala kekurangan dan kelebihan awak dan saya harap awak pun sama. Saya akan tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang suami tapi saya tak pernah paksa awak untuk tunaikan sesuatu yang awak belum bersedia,” sambung Akram lagi.
Ambil masa beberapa detik untuk Mawar memahami apa yang Akram cuba sampaikan. Kulit mukanya merona merah.
Ya. Dia... belum bersedia menunaikan tanggungjawab batinnya sebagai seorang isteri. Salah satu alasan dia tidak berniat ingin berumah tangga ialah kerana itu tapi bagaimana Akram bisa menebak apa yang ada dalam fikirannya?
“Saya takkan paksa awak tapi saya ada satu saja permintaan.”
Mawar telan liur. Berdebar. “A-apa dia?”
“Saya tak nak kita tidur asing.
Walau apa jadi sekalipun, walau masih tak ada rasa cinta dalam hati awak untuk saya, saya nak kita tetap tidur sekatil. Awak jangan risau. Saya janji tak akan sentuh awak tanpa izin awak, Mawar.”
Mawar mencebik semacam nak menangis. Dia tidak pernah marasa perasaan ini. Perasaan dihargai, perasaan dihormati dan perasaan...
cinta?
Tak, tak. Bukan cinta. Dia cuma... terharu. Ya. Terharu.
“Asal nangis?” Akram ketawa kecil sambil menyeka lembut cecair putih di pipi Mawar.
Mawar yang malu cuma menggeleng kepala konon menafikan.
“Masuk habuk,” dalihnya memberi jawapan paling klise.
“Yalah. Habuk, debu, daun kering semua masuk mata kan?”
Kali ini Mawar melirik tajam.
"Haip... Mata tu, mata... Tak baik jeling suami.”
“Esh. Belum apa-apa dah guna kuasa veto.”
“Eh sudah semestinya...”
* * * * *
Mawar dan Orked mengurut kaki Puan Saodah di ruang tamu. Tegang labu betis dek terlalu banyak berjalan.
“Esok kamu bermalam rumah mentua kamu kan?” tanya Puan Saodah sambil mata melekat pada kaca TV yang memaparkan drama melayu.
“Macam pelik aje kan? Kakak dah ada suami, dah ada keluarga mentua,” sampuk Orked masih tidak percaya status kakaknya sudah berubah.
Jangankan Orked, Mawar sendiri masih tak boleh nak hadam status sendiri. “Haah, umi. Sehari je sebab esok orang dengan Akram dua-dua kena masuk kerja. Dah lama sangat cuti.”
“Habis tu bulan madu kamu berdua macam mana?”
“Bulan madu apanya... Sibuk, umi.”
“Tak bolehlah macam tu. Pengantin baru kenalah ambil waktu pergi berbulan madu.”
Mawar menjuih bibir sedang tangan masih memicit-micit labu betis Puan Saodah. “Tengoklah macam mana.”
Puan Saodah melepaskan keluhan pendek. Pandangan dialihkan pada Mawar. Sayu pula sehinggakan gerak Mawar mati agar dapat bertentang mata.
“Kakak, kamu kena ingat. Kamu dah jadi isteri orang. Umi harap sangat kamu dapat jaga diri kamu dengan baik. Jaga suami kamu. Pakai makan minum dia, jaga. Hati perasaan dia, jaga. Rumah tangga, jaga. Tempat kamu sekarang bukan dengan kami lagi. Syurga kamu, ada dengan suami kamu. Ingatlah pesan umi ni baik-baik...”
“Umi...” Mawar bangun memeluk sang ibu. Sebak membalut hati mendengar ucapan sebegitu keluar daripada mulut ibunya. Sedar bahawa dia sekarang menggalas tanggungjawab bukan ke atas dirinya sendiri saja. Tapi juga suami dan keluarga yang baru dibina.
“Dahlah, kak. Jangan sedih.” Puan Saodah menepuk-nepuk belakang tubuh Mawar. Pelukan dileraikan bersama sedikit air mata.
Orked dalam diam merakam babak hiba itu sambil menahan air matanya.
“Dah lewat ni, pergi masuk tidur. Akram mana?”
“Akram dekat luar, tengah berbual dengan abah,” jawab Orked bagi pihak Mawar.
Dahi Mawar berlapis hairan. “Abah berbual? Biar betul.”
“Iya... Cuba tengok kat gazebo luar.”
Mendengar itu, Mawar lantas bangun berjalan ke arah jendela.
Dilihat benarlah abahnya sedang berbual dengan Akram di gazebo. Rancak pula tu. Lain macam penangan Akram sampai berjaya ‘berkawan’ dengan komando.
Kerana tidak mahu mengganggu perbualan itu, Mawar pun masuk ke dalam bilik tidur tanpa Akram. Teringatkan permintaan Akram tentang tidur sekatil, dia mula membersihkan tilam daripada segala habuk kalau ada. Bantal juga ditepuk-tepuk dan disusun elok. Bantal peluk dia letakkan di tengah-tengah sebagai benteng antara dia Akram. Selimut tebal atau comforter dia tarik menutupi tubuhnya hingga ke paras dada. Bila yakin malam pertamanya akan selamat, barulah dia pejamkan mata tanpa menutup lampu.
Selang sepuluh seminit, Akram menapak masuk ke dalam kamar. Tersenyum melihat Mawar yang sudah pun tertidur macam robot. Lucu melihat bantal golek ditengah-tengah katil.
Tidak berlamaan, dia yang berseluar daripada kain pelikat itu bergerak ke bilik air. Mencuci kaki sebelum perlahan-lahan memanjat naik ke atas katil agar tidak mengganggu lena Mawar.
Tubuhnya terbaring miring ke arah Mawar. Tapak tangan digunakan untuk melapik kepala sendiri. Kerana lampu dibiar terpasang, dia dapat melihat wajah Mawar dengan jelas. Dengkuran halus isterinya kedengaran tanda tubuh keletihan.
Akram senyum lagi. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Bahagia dapat melihat Mawar sedekat ini.
“Terima kasih, Mawar Safiya.”
Dek kaget, kelopak mata Mawar spontan terbuka. Yang anehnya, dia tidak bergerak untuk menjauh.
“Terima kasih kenapa pulak?”
“Eh eh. Tak tidur rupanya... Berlakonlah ni? Bajet Snow White tunggu prince charming?” giat Akram tersenyum bahagia.
“Kau ni kan.”
Mawar mencuba angkat tubuh namun gagal apabila Akram lebih pantas meletakkan gekarnya di atas sisi lengan gadis itu. Bersahaja tapi berat sehingga memaksa Mawar terus berbaring miring. Mereka bertentang muka.
Pandangan redup Akram cukup mendebarkan Mawar walau luarannya Mawar menayangkan muka sebal nak telan orang seperti biasa.
“No more ‘aku kau’. Thought we talked about it. Hmh?” Gemeresik pula suara Akram kedengaran dengan muka redup menggoda.
Hampir gugur jantung Mawar dibuatnya. Geli-geleman campur kejutan budaya. Sampaikan air muka sukar menzahirkan apa yang dirasa.
Dahi masih berkerut. Yang pasti tak adalah hati berbunga bak heroin drama Korea. Akhirnya dia berdeham sekali seraya menolak lengan Akram yang menindih lengannya. Posisi baringan juga diubah menghadap siling. “Sorry. Aku… masih tak biasa. Bagi aku masa sikit lagi, aku cuba.”
Kemudian kepala menoleh, membalas pandangan Akram. "Semua ni baru untuk aku. Kau tahu aku tak suka kau kan? Jadi macam mana kau expect aku boleh ubah semuanya dalam sekelip mata? Ni bukan novel cinta, Akram."
Akram diam mendengar luahan Mawar. Hati terjentik halus menyedari dia tak disukai Mawar tapi dia sedar diri dan cuba memahami posisi Mawar.
Melihat reaksi tenang Akram, Mawar angkat tubuh, duduk menghadap lelaki itu. "Dan aku tak nak kau pun paksa diri kau berubah just sebab nak jalankan tanggungjawab kau. Aku faham kau kahwin dengan aku sebab parents kau. Kau jugak cakap kau pilih aku sebab kita dah kenal lama. Kau tak perlu nak jaga hati aku and aku pun tak pernah nak jaga hati kau. So it is what it is. Jangan ubah apa-apa, Akram."
"Mmm," gumam Akram riak bersahaja. Bersahaja luaran kerana dalamnya dia sedang memujuk hati agar tidak terasa.
Nak saja dia berterus-terang yang tiada siapa memaksa dia untuk menikahi Mawar. Bergelar suami Mawar itu adalah kemahuannya. Impiannya... Tapi benarlah kata Mawar. Ini bukan novel cinta dimana perasaan benci boleh berubah cinta sekelip mata.
Jadi akhirnya dia senyum. Sebelah tangan menongkat sisi kepala.
"Fine then. Tapi jangan cakap kasar. No cursing words at all. Cursing is forbidden.”
Dia mengalihkan bantal golek ke tepi lalu mengesot tubuhnya rapat ke tubuh Mawar dan sebelum sempat Mawar mengelak, lengannya sekali lagi diletakkan di atas dada Mawar membuatkan wanita itu terbaring tanpa rela.
“Akram! Kau buat apa ni? Jangan nak lebih-lebih eh. Kau cakap apa siang tadi?” Bersungguh Mawar cuba menolak lengan Akram sedangkan Akram cuma tayang muka tak bersalah bersama senyum simpulnya. Jelas senang dapat menikmati momen ini.
“Akram Hidayat. Aku kira sampai tiga, kau alih lengan kau sekarang.”
“Aku ingat janji aku so kau jangan risau. Tapi tak salah aku nak tidur sambil peluk kau kan? Aku tak biasa tidur beralih tempat. Takut...”
“Esh… Tak sukalah. Rimas, panas.”
“Hmh? Panas?” Laju Akram angkat kepala, mencari mata Mawar. Tatkala pandangan mereka bersua, dia belah senyum nakal mengundang kerutan di dahi Mawar.
“Kau fikir apa?” Mawar telan liur diketuk debaran.
“Nothing. Kalau panas, bukaklah baju.”
“Akram Hidayat!”
Hahahaha! Tawa Akram melambung tinggi apabila Mawar berjaya menepis lengannya. Bahkan sempat wanita itu menarik kasar rambutnya sekali.
“Haa… Geram betul aku.” Nafas Mawar berombak sambil menjarakkan tubuh daripada Akram yang miang kalahkan ulat bulu malam ini. Dia nak mengamuk pun tak boleh kuat suara dek takut didengar ahli keluarganya yang lain.
Akram masih tersenyum-senyum tak serik sama sekali. Masih seronok nak menyakat. “Tidurlah, sayang. Esok kalau bangun mata lebam, mesti orang ingat kita ‘kerja’ lebih masa.”
Mawar mati kata, terlopong mulut mendengar ucapan nakal Akram. Sumpah geli! Dia pun terkadang suka layan drama cintan cintun. Sengih sorang-sorang sambil menggelupur kalau tengok babak hero cakap macam ni dekat heroin tapi bila Akram Hidayat yang menuturkan skrip, perutnya jadi sebu. Mual, loya!
'Ah. Rosak fantasi romance aku.'
“Aku nak tidur, kau jangan kacau aku. Tangan kau, jaga. Nak peluk, kau peluk diri kau sendiri. Jangan nak gatal jadi ulat bulu. Faham?”
Akram ketawa senang. Meski diomel Mawar. Tingkah Mawar mencari posisi tidur paling selamat diperhati lucu.
“Mana bantal golek aku tadi?” soal Mawar setelah kembali membaringkan tubuh.
Bersahaja Amar mencapai bantal golek dari atas lantai lalu diberi pada Mawar. Senyum memanjang tidak berkisah jelingan tajam Mawar. Dia setia berbaring menghadap sisi wajah Mawar. Terasa bagai mimpi.
Bersama senyum itu, jemari kasarnya diangkat lalu menyentuh sipi rambut Mawar.
Sekali gus mengundang decitan Mawar. Berkerut dahinya merenung muka sang suami.
"Ha, eloklah buat muka macam tapir lapar. Esok bangun, bersambung kening tu baru tahu," usik Akram sengaja nak menyakitkan lagi hati Mawar.
"Yang kau sentuh rambut aku kenapa? Ingat aku tak tahu?"
"Tak... First time tengok rambut kau pendek. Dulu kan rambut panjang sampai ke pinggang. Dahlah panjang, tebal, menggerbang macam pontianak."
"Haaa... Alang-alang kau dah bangkitkan isu ni..." Pantas betul Mawar angkat tubuh. Duduk dalam posisi kaki 'W' meski abahnya pernah melarang dia duduk begitu.
"Kau nak tahu kenapa rambut aku pendek?"
"Kenapa?" Akram duduk bersila, bertentang mata.
Belum sempat lelaki itu mendengar jawapan, mukanya malah dihempuk bantal. Padu bunyi hempukannya.
"Aduhh... Mawar!" Suara Akram dalam kawalan walau barusan diserang hendap. Berkerut dahi memandang Mawar yang terangguk-angguk dengan riak 'ha-baru-puas-hati-aku'.
"Siapa punya kerja letak tahi lembu atas kepala aku? Siapa kalau bukan jebon menyerupai manusia?"
Mawar cengkam bantal, semacam bersedia nak lepaskan hempukan kedua. Sakit hati berkurun lama belum hilang ya. Segar diingatan macam mana jijiknya dia rasa, macam mana panas kulit kepala terasa, macam mana busuknya dia bau. Sampaikan tak sanggup nak cuci banyak kali rambut. Itu yang dia suruh uminya potong. Budak-budak lagi masa tu. Sejak daripada tu, terus dia pakai tudung.
"Kenapa? Dah lupa? Nak aku ingatkan? Kau. Jebon bertopengkan manusia tu, kau. Kalau bukan sebab kau, aku takkan potong rambut aku tau."
Akram tersenyum-senyum cuba menahan tawa. Lucu mengingatkan akalan nakalnya suatu masa dulu.
Macam mana dia boleh lupa? Tiada satu hal pun tentang Mawar pudar dari dalam ingatannya.
"Kau gelak? Hmh? Kau gelak?" Mawar hayun bantalnya namun sempat dihalang lengan Akram.
"Tak... Aku tak gelak. Aku senyum je. Kelakar tengok kau. Kau memang grumpy kan? Tak padan dengan nama lembut, tuan cepat melenting. Moody memanjang."
"Kelakar sebab yang nakal tu kau. Yang jebon tu kau. Memanglah kelakar. Kalau mangsa macam aku, kau rasa aku boleh gelak-gelak, senyum-senyum?"
Tawa Amar meletus kecil. Mengakui kata-kata Mawar. Beberapa saat memandang wajah bersih Mawar, jemari kasarnya sekali lagi menyentuh rambut wanita itu. Lembut sentuhannya dan tak lama. Lirikan sebal Mawar tidak dia pedulikan.
"Tak boleh ke kau maafkan semua salah silap aku zaman belum akil baligh tu?"
"No. Kalau mintak maaf pun tak ikhlas, jangan harap aku nak maafkan."
"Kau tak boleh rasa keikhlasan aku?"
"Tak."
"Hmm... Maybe sebab aku memang tak ikhlas kot."
"I knew it!"
Pak! Hempukan kedua berjaya mengenai sasaran.
Tersenyum puas hati Mawar melihat Akram menggosok-gosok pipi sendiri. Dia segera membetulkan kedudukan bantal lalu berbaring seolah-olah tiada jenayah dibuat.
"Tutup lampu sana. Aku nak tidur. Layan kau, buat naik darah aku adalah."
Akram senyum. Tidak berganjak pun. Diam menatap wajah Mawar. Muka baru dihempuk tapi hati berbunga-bunga. Terujanya belum hilang sejak sah bergelar suami kepada Mawar Safiya.
“Selamat malam, Mawar Safiya.”
“Sekali lagi aku dengar suara mabuk ketum kau cakap mengarut, aku sumbat bantal golek ni dalam mulut kau.”
"Kau tunggu turn kau tidur bilik aku esok. Aku buat kau tidur atas almari, lapik kepala guna sarung bantal aje."
"Tak kisah. Tutup lampu cepat."
Share this novel