MAWAR resah gelisah. Dia sudah siap berbaju kurung ungu dan selendang serona. Tidak keluar sejak kedatangan keluarga Akram tapi mundar-mandir di ruang kamarnya.
Dia langsung tidak mengkhabarkan pada keluarganya tentang risikan Akram jadi dia tidak tahu bagaimana reaksi mereka terutamanya abah. Ibunya sempat menjengah kamar tapi tidak berlamaan kerana hendak melayan tetamu. Bercampur bingung dan keliru orang tua itu. Adik-adiknya pula disuruh siapkan juadah di dapur jadi belum ada yang menempel bertanya beribu soalan.
Aduh... Masa ni jugalah perut nak meragam. Meragam pun sebab terlalu berdebar. Janganlah Akram buat perangai tak semenggah di depan abahnya.
“Kakak!” Tiba-tiba Orked muncul meluru ke arahnya dari muka pintu.
Terkejut beruk Mawar dibuatnya. Dia mengurut dada sendiri.
“Kak, betul ke kau nak kahwin dengan anak Chik Meeta?” soal Orked yang usai menghidangkan minuman pada tetamu.
Mawar sedang gemuruh. Sejuk kulit tangannya menyentuh tangan Orked. Mereka sama-sama berdiri dekat.
“Macam mana kat luar? Kau tengok muka abah macam mana? Abah marah tak?” soalnya bertubi-tubi.
“Hm... Tak tahu. Tapi muka abah merah sikit. Kan abah serius memanjang jadi aku tak tahu dia marah ke tidak. Tapi betul ke kau nak kahwin? Atau kau buat semua ni sebab aku?”
“Iyalah. Karang tak pasal kau nikah kat Thailand. Kan dah susahkan aku.”
“Kak!” Mata Mawar berkaca. Kaget dan tak menyangka sama sekali.
Mawar yang dijentik rasa sayu melihatkan sepasang mata adiknya segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Berlagak kental.
“Alah. Kau jangan risau. Aku bukan menderita ke apa. Aku dengan Akram memang suka sama suka. Asalnya kami tak adalah plan nak nikah segera. Dah kau yang kalut nak nikah tahun ni, terpaksalah aku awalkan,” dalihnya agar Orked tidak perlu menanggung rasa bersalah atas keputusannya sendiri.
“Tapi kau cakap aku tak ada boyfriend.”
“Dia bukan boyfriend aku. Aku dengan dia tak pernah bercinta cuma aku tahulah dia suka aku dan dia tahu aku suka dia. Faham?”
“Tiba-tiba?”
“Yalah. Tiba-tibalah sebab kau jugak yang nak nikah bulan dua belas kan? Kalau tidak mungkin tahun depan kot aku kahwin dengan dia.”
Orked terdiam kali ini. Lama merenung muka Mawar untuk mencari sebuah kebenaran di balik kata.
“Kakak...” rengek Orked akhirnya sambil menjuih bibir seakan nak menangis.
Dia lantas memeluk tubuh Mawar kerana terlalu lega dan gembira. Bercampur banyak rasa sebenarnya tapi sekurang-kurangnya dia dan Taufik sudah ada harapan.
Mawar tersenyum saat memeluk Orked. Hampir saja air matanya tumpah tapi dia tahan jua. Asalkan adik-adiknya bahagia, dia pun akan tumpang bahagia. Soal jodohnya dia tak peduli kerana dia tak pernah berangan nak berkahwin dengan lelaki sempurna sedangkan dirinya ini sudah tercalit noda.
Tapi bagaimana pula dengan Akram? Adakah dirinya berdosa kerana membiarkan Akram menikahinya tanpa mengetahui perkara sebenar?
“Kakak,” celah satu suara menyedarkan Mawar.
Mawar dan Orked serentak melempar pandang ke arah muka pintu. Puan Saodah melambai tanda meminta Mawar segera ke ruang tamu.
Barulah debaran yang tadi reda, kembali mengocak dada. Mawar tarik nafas dalam lalu dihembus perlahan.
“Goodluck, kak,” bisik Orked memberi semangat.
Dengan lafaz bismillah, Mawar menyusun langkah sopan keluar dari kamar membuntuti langkah Puan Saodah ke arah ruang tamu dimana Akram sekeluarga dan Encik Khalid berada.
Puan Saodah sudah kembali duduk di sebelah Encik Khalid sementara Mawar menggigil satu tubuh kerana debaran makin menggila. Mata abahnya tidak berani dipandang, dia jalan menunduk menyalami tangan Puan Ameeta sebelum melabuhkan punggung di atas lantai seperti Akram.
Akram duduk di atas lantai dekat Encik Rauf dan Puan Ameeta yang duduk dia atas sofa.
Mawar pula duduk di atas lantai dekat Encik Khalid dan Puan Saodah yang juga duduk di atas sofa.
Yang teruna manis bersila, yang dara sopan bersimpuh. Elok dan sepadan jika lihat daripada luaran begini.
“Mawar. Ini kami dah bincang tentang kamu dengan Akram. Jadi lepas dah bincang, kami mak ayah ini setuju saja rancangan anak-anak,” ujar Puan Ameeta bersama senyum tak lekang kerana gembira.
Terkedu sejenak Mawar dibuatnya. Bulat mata memandang Puan Ameeta. Kemudian beralih pada Puan Saodah yang juga tersenyum ke arahnya. Lambat-lambat dia melirik pula pada Encik Khalid. Serius saja abahnya itu tapi tiada riak tegang sama sekali.
Haih. Kenapa mudah sangat ni? Lancar semacam. Jadi sia-sialah dia duk gemuruh macam nak pecah dada?
“Sempat ke persediaan nak buat dalam masa sebulan ni? Ke dah ambil cuti kerja untuk selesaikan urusan kahwin?” tanya Puan Saodah ingin tahu.
Mawar yang mati kata, diam membisu. Anak matanya saja bergerak mencari mata Akram tanda meminta lelaki itu memberi jawapan.
Akram tampak tenang. Segak malam ini berseluar jeans dan baju T polo warna hitam.
“Insya-Allah, sempat aje. Balik kerja boleh cari barang. Hujung minggu pun boleh. Mana yang boleh settle kat KL, kami settle sana je. Sekarang tak cuti lagi. Dalam seminggu sebelum hari nikah, baru saya apply cuti. Untuk majlis pulak nak ambil katering sepenuhnya.”
“Pak cik tak setuju.”
Dap!
Kecut perut Mawar apabila suara garau abahnya memangkas sesuatu. Tang mana pula yang tak setuju?
Semua mata tertumpu ke arah Encik Khalid. Puan Saodah dan Puan Ameeta sedikit risau riaknya. Cuma Encik Rauf dan Akram kekal tenang.
“Kenapa nak upah katering? Mana adat nenek moyang kita? Kumpulkan orang sekampung, kumpulkan saudara-mara, sama-sama merewang untuk kuatkan ukhuwah kita. Mana kamu nak buang adat resam kita tu?”
“Boleh, pak cik. Kalau nak masak sendiri, tak ada masalah. Saya cuma tak nak susahkan keluarga pak cik dengan Mak Odah sebenarnya tapi kalau dah pak cik cakap macam tu, saya setuju ikut cara pak cik.” Tersusun dan tenang suara serak Akram menutur kata.
Terangguk-angguk kepala Mawar mendengarnya. Tak sangka pula Akram ada sisi begini. Kalau dia diajukan soalan bab nenek moyang begitu, terus tergagap-gagap sampai ke esok.
“Lagi satu pak cik tak nak kamu bawa Mawar keluar malam dengan alasan nak beli barang kahwin.”
“Kami tak pernah keluar malam.
Keluar siang pun tak pernah sebenarnya. Pak cik jangan risau.
Nanti kalau kami nak keluar beli barang atau ukur baju pengantin, kami akan bawa teman.”
“Hm.” Encik Khalid mengangguk dua kali tanda dia berpuas hati engan jawapan seteguh itu.
‘Bravo. Syabas betta.’ Mawar menepuk tangan dalam hati meluluskan bakat lakonan Akram. Sampai tidak sedar kepalanya terangguk-angguk. Asyik sangat hati bermonolog.
“Eh jemputlah makan. Karipap aje ada kat dapur rumah saya,” pelawa Puan Saodah senang hati. Mana tak senang hati. Anak sulung yang dah berusia 27 tahun akhirnya akan menamatkan zaman bujung dan dia akan menimang cucu tak lama lagi.
Ruang tamu itu cuma kedengaran suara Puan Saodah dan Puan Ameeta rancak berbual tentang perkahwinan nanti. Encik Rauf menyampuk sesekali sahaja sementara Encik Khalid sekadar tumpang mendengar.
Mawar dan Akram pula buka mulut hanya ketika ditanya beberapa soalan.
Begitulah keadaannya sehinggalah Akram dan keluarga minta untuk pamit. Sempat juga Puan Ameeta mencadangkan Mawar dan Orked tumpang Akram balik ke KL esok pagi tapi ditolak mentah-mentah oleh Encik Khalid tanpa lapik. Untung saja Puan Ameeta dan Encik Rauf itu memahami orangnya.
Maka, malam itu semuanya berjalan lancar meski Mawar terpaksa menjawab banyak soalan dari ibu dan adik-adiknya.
Ah. Tak apalah. Asalkan bukan abahnya yang menyoal siasat.
* * * * *
"Bunga!!" Tajul berlari kalut meluru ke arah Mawar yang entah bila terlelap di meja kerja.
Mamai Mawar terjaga sambil mengelap muka sendiri. Sempat menoleh sekeliling dengan mata separuh terbuka sebelum kerut dahi memandang Tajul yang berdiri di sisi mejanya.
“Hesh kau ni. Terkejutlah aku. Tak nampak ke aku tidur ni? Penat tahu tak?”
“Tidur apanya. Tu kat bawah.” Tajul tampak teruja. Macam nak melompat-lompat pun ada.
“Ada apa kat bawah? Bos besar datang ke?” Barulah Mawar pun mulai kalut. Pantas menyapu-nyapu muka sendiri memastikan tiada air liur basi berbekas.
Tapi Tajul malah menggeleng.
“Lagi dasyat dari tu. Kat bawah, Encik Akram datang. Dia sendiri datang nak minta maaf kes di pejabat dia hari tu and dia setuju nak jadi cover majalah kita," ujarnya bersemangat membuatkan Mawar hampir tersedak liur sendiri.
Bayangan wajah manis berjambang hitam itu melintasi layar mata Mawar. Tidaklah teruja seperti Tajul.
“Mimpi apa dia datang tempat kita yang tak seberapa ni?”
“Ish kau ni. Tak habis habis nak bitter. Jomlah. Dia dah tunggu kat lobi bawah. Jomlah...” gesa Tajul menarik-narik lengan Mawar.
Mahu tak mahu, Mawar terpaksalah menurut walau dia masih penat dan mengantuk. Kamera jenama Canon yang dia atas meja dia capai sebelum membuntuti langkah Tajul turun ke lobi.
Di lobi, dia melihat Akram sudah menanti di ruang menunggu yang mempunyai satu set sofa baldu warna biru berserta meja kaca empat segi. Tampan berseluar slack hitam dan kemeja warna navy.
Orang-orang yang lalu lalang di lobi itu sepertinya tertarik dengan kehadiran Akram. Ada yang berbisik-bisik teruja dan ada juga yang mencuri tangkap gambar.
Mawar dan Tajul mendekati.
“Sorry lambat, Encik Akram,” ucap Tajul menahan teruja.
Akram memandang Mawar untuk beberapa saat sebelum mengalihkan pandangan pada Tajul pula. Dia senyum sebelah.
‘Huh. Ingat hensem?’ Sempat lagi Mawar mengutuk dalam hati. Ada saja tentang Akram yang tidak kena di matanya.
Tapi demi sebuah konten terpaksalah Mawar melakukan tugasnya. Tajul dan Akram duduk di atas sofa, memulakan sesi temu bual dengan beberapa soalan asas. Dalam masa yang sama, dia berdiri mengambil gambar Akram. Barulah nampak gayanya sebagai jurugambar profesional.
Setelah lebih kurang dua puluh minit, soalan asas dan soalan penting sudah mendapat jawapan. Tajul bersedia untuk mengajukan soalan cepumas pula.
“Encik Akram sudah berpunya atau masih solo? Sebab ramai peminat Encik Akram yang nak sangat tahu tentang status Encik Akram. Dan kalau Encik Akram sudah berpunya, macam mana penerimaan si dia bila ramai peminat perempuan yang menggilai Encik Akram di laman sosial?”
Fuh. Tajul menghela nafas lega usai meluahkan soalan yang sudah lama dicipta. Kutlah dia ada rezeki mendapat berita eksklusif.
Mendengar soalan itu, Akram tersenyum tenang. Dia melirik ke arah Mawar yang masih berdiri. Cuba bertentang mata tapi kelihatannya Mawar sedang fokus pada kamera, menilik sesuatu. Mungkin tidak mendengar pun soalan emas Tajul.
“Hm... Ya, saya dah berpunya dan akan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.”
Tajul tercengang. Mati kata. Tidak menyangka sama sekali dia akan mendengar khabar sepenting ini. Sumpah dia terkejut kerana Akram Hidayat yang Malaysia kenal, tidak pernah berkongsi perihal peribadi. Tapi ini... jackpot!
‘Sabar Tajul. Bawa bertenang...’
“Tahniah, Encik Akram. Jadi macam mana penerimaan bakal isteri Encik Akram tentang populariti Encik Akram di kalangan peminat wanita?”
“Hm... Yang tu kena tanya tuan punya badan sendiri,” balas Akram tersenyum manis.
Tajul sedikit keliru tapi cuba untuk tidak ketara. “Maksud Encik Akram?”
“Mawar. Apa perasaan awak dengan populariti saya di kalangan peminat wanita? Awak okey ke dengan semua tu?”
Tiba-tiba saja Akram menyoal pada Mawar membuatkan Mawar yang tadinya membelek gambar-gambar yang diambil spontan angkat muka. Blur.
Sedangkan Tajul, sudah kaku dihempap kejutan. Tidak berkedip matanya memandang Mawar.
Bingung yang amat. Rasanya seperti sel otaknya dileraikan dan tiada lagi yang berhubung.
“Kenapa?” Mawar bertanya bila dua pasang mata melekat padanya. Dia barusan hilang fokus.
“Kawan awak tanya, apa perasaan awak bila saya ada ramai peminat perempuan,” ulang Akram mengundang kerutan di dahi Mawar.
Mawar memandang Tajul yang kalahkan rupa nampak hantu. “Kenapa kau tanya dia macam tu?”
“Sebab awak kan bakal isteri saya,” celah Akram bersahaja.
Giliran Mawar pula kaget. Bulat mata memandang Akram macam nak diterkamnya lelaki itu.
“Weh!!”
* * * * * *
“Kau ni kan!” Kuat Mawar menampar lengan Akram sebaik saja tiba di tempat parkir.
Geram betul bila Akram bertindak sesuka hati tanpa berbincang terlebih dahulu. Dia dah rancang nak bagitahu Tajul dan teman serumahnya bila dah dekat dengan waktu nikah. Malas nak serabut kepala dengan soalan bertubi-tubi tapi belum apa-apa, Akram dah memandai bagitahu Tajul.
Tajul pula dia tak tahulah macam mana keadaan sekarang. Masih bernyawa atau dah masuk alam lain. Alam ketidakpercayaan.
“Kau ni. Khabar baik mestilah kena kongsi,” kata Akram bersisa senyum lucu sambil menggosok-gosok lengannya yang barusan ditampar. Boleh tahan pedih.
Mawar menjeling sebal. “Aku dah plan nak bagitahu sendiri tapi nantilah sikit... Bukan sekarang.”
“Tak reti nak berterima kasih kau kan? Aku sampai dah clearkan jadual aku harini semata-mata untuk syarikat hidup segan mati tak mahu kau ni.”
“Lah. Bukan aku mintak pun kau datang. Kau datang ke, kau tak datang ke, hujung bulan ni gaji aku tetap masuk.”
“Ish ish ish... Apalah dosa bos syarikat kau ni yang malang sangat dapat pekerja macam kau. Sungguh aku cakap, kau ni tak ada keikhlasan bekerja.”
“Bertapa kat celah gunung mana kau sampai boleh baca keikhlasan orang?”
“Tak perlu sampai nak bertapa celah gunung, celah gua. Tengok muka pun dah tahu. Kau apa tahu, sebab yang tak ikhlas tu kau.”
“Hmh.” Jeling Mawar lagi.
“Kau kalau sebulan dua lagi main jeling macam tu, aku takut bola mata kau rosak aje. Yang putih kat depan, yang hitam kat belakang. Tengoklah tak percaya.”
“Suka hati akulah mata aku.”
“Tk tsk tsk...” Akram menggeleng-geleng kepala.
“Ini, kau naik bas, bertolak pukul berapa semalam?” Dia bertanya mengubah topik.
Mawar berpeluk tubuh. Ruang parkir tepi jalan tika ini tak ada manusia. “Dua petang.”
“Sampai sini pukul berapa?”
“Tujuh lebih macam tu.”
“Komando kau ada cakap apa-apa tak lepas aku balik?”
“Tak. And kau pulak cakap apa kat abah sampai dia terima kau?”
“Ha...” Akram tersenyum bangga sambil menjongket-jongket kening. Siap melambung-lambung pula kunci kereta di tangan. “Aku ni muka calon menantu, mak cik. Mana-mana orang tengok muka, terus berkenan nak buat menantu. Tak perlu nak menipu sunat bagai.”
“Ish kau ni. Cakap yang betullah... Abah tanya apa? Kau cakap apa?”
“Malaslah aku cerita. Kau ingat ni astro ke ada ulang tayang? Tapi boleh tahan dasyat bapak kau. Ada ke patut dia test aku mengaji.”
Mawar sedikit kaget. “Mengaji? Jadi macam mana? Kau boleh mengaji tak?”
“Eh kau.” Akram tayang muka sentap disoal begitu. “Tengok kaki la... Kau jangan sampai aku ruqyah kau sekarang. Lintang-pukang jin belaan kau lari.”
“Kau tu yang bela jin!” Mawar cuba menampar lengan Akram tapi Akram lebih pantas mengelak.
Ketawa besar lelaki itu melihat muka sebal Mawar. Boleh pula mereka berlari berkejaran di tempat parkir bak babak filem hindustan sebelum dua-dua mengah dan berhenti berkejaran.
"Fuh! Penat aku." Akram menyeka manik peluh di dahi, tersenyum lucu kerana pandangan tajam Mawar di depannya.
"Kalau kau datang tempat kerja aku sekali lagi, siap kau," ugut Mawar.
Sikit pun Akram tak ambil pusing. Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluar lalu dihulur pada Mawar. "Masukkan number fon kau. Nanti ada benda nak bincang, takkan aku nak pos surat letak stem."
Bersama jongketan bibir kiri, Mawar tetap menyambut huluran Akram namun belum sempat dia buat apa yang disuruh, mata membuntang tatkala terpandang gambar pada skin utama telefon lelaki itu. Dan reaksinya itu cukup untuk buat tawa Akram meledak tinggi.
"Kau!" Mawar cuba mengetuk kepala Akram menggunakan telefon di tangan tapi Akram mengelak dalam masih ketawa.
Sumpah, kembang kempis kembang kempis dada Mawar menahan geram dan sebal. Sekali lagi gadis itu memandang skrin telefon. Jelas gambar dia memenuhi skrin itu. Gambar dia ketika lengan tersepit di tingkap kereta. Muka gelabahnya buruk gila.
Haih. Kau bagilah aku kesabaran, Ya Allah... Demi Orked, demi Orked.
Mawar tarik nafas dalam lalu dihembus perlahan. Cuba mengawal amarah meski tawa Akram bagai minyak petrol menyimbah bara dalam hati.
Kuat ibu jarinya menekan skrin telefon. Sepuluh digit nombor telefonnya sudah dia masukkan. Dengan bersahaja, telefon itu dia lambung separa tinggi ke arah Akram. Untung saja Akram sempat menyambut.
"Hoiii... Iphone baru ni, mak cik... Kau ingat ni Nokia zaman batu ke kau nak lambung macam tu?" Akram mengusap-ngusap telefon miliknya bak harta paling berharga sebelum memasukkannya ke dalam poket seluar.
Mawar jongket bibir atas lagi. Tayang muka meluat.
"Nanti aku call," sambung Akram bila Mawar tidak bersuara.
Mendengar itu, Mawar cuma jeling mata terbalik lalu membuka langkah meninggalkan Akram tanpa sepatah kata.
Akram masih tidak berganjak. Senyum sendiri menghantar susuk tinggi lampai Mawar sehingga hilang daripada pandangan.
Share this novel