BAB 19 : MIMPI

Romance Series 123204

ZAP!

Tubuhnya terangkat laju, nafasnya berombak dan matanya luas terbuka. Ambil masa beberapa detik untuk dia sedar keberadaannya.

Liurnya ditelan kesat. Liar anak mata melinggas sekeliling disusuli helaan nafas lega.

   "Mimpi rupanya..." Dia raup muka sendiri. Bibir beristighfar tiga kali sebelum dia menekan punat lampu meja sebelah kepala katil.

Cahaya yang tidaklah terlalu besar menyimbah ke ruang yang barusan gelap.

Mawar lantas menoleh ke sebelah kanannya. Jatuh pada muka Akram yang sedang lena.  Bukan main lagi berdengkur siap.

   "Ni semua sebab mulut kau cakap Tajul tu bernafsu. Aku dah mimpi pelik-pelik," omelnya geram. Membayangkan mimpi tadi pun dia jadi merinding batang tengkuk.

   "Mulut kau yang salah, aku pulak yang kena mimpi mengarut. Kau? Seronok tidur," sambungnya sebal.

Dia gigit bawah bibir sendiri. Menatap wajah sang suami. Bukan tatapan kasih sayang, sebaliknya tatapan merangka olah.

   "Akram." Mawar seru sekali.

Apabila tiada sahutan, dia mendekatkan jarak muka.

   "Akram, kau tidur ke?" Dia cuba lagi.

Tiada reaksi.

Oleh itu, senyum nakal auto merekah di bibir. Bantal kepalanya dia pegang, dia angkat, dan... pap!

Dihempuk tepat pada muka Akram sekali gus membuatkan Akram tersentak kecil.

Menggelekek tanpa suara Mawar ketawa kerana Akram belum terjaga daripada lena.

   "Ooo... Pesen tidur mati rupanya..." getusnya menahan lucu.

Melihat peluang yang ada, dia segera merangkak turun daripada katil. Beria mencari pen penanda dakwat kekal untuk menconteng muka Akram namun baru saja memegang batang pen itu, dia mendapat bisikan ibu peri.

   'Tak baik buat macam tu. Esok dia kerja... Why not tunggu hari cuti nanti? Barulah lebih seronok...'

Kepala terangguk-angguk mendengar bisikan itu. Dia kemudian menyimpan semula pen penanda ke dalam beg alat tulisnya lalu naik ke atas katil. Duduk di sisi tubuh Akram, anak mata menatap wajah lelaki itu untuk kedua kali. Setiap inci wajah itu diteleti.

Waktu jaga pantang berlaga mata rasa nak gaduh. Ini kalau tengok waktu lena, tak adalah jengkel mana. Bahkan makin lama dia menatap, makin sukar dia alihkan pandangan.

Kulit yang agak gelap, bersih saja kulitnya. Hidung yang mancung, mewarisi hidung Puan Ameeta. Bibir yang... kalau mengukir senyum, manis satu muka. Rahang yang kuat, maskulin. Rambut ikal yang hitam pekat.

   "Hmh..." Mawar melepas keluhan. "Kalau dari dulu perangai kau elok, maybe aku pun boleh tersuka kau. Rupa dah ada, perangai pulak tak seberapa."

Kepalanya digeleng-geleng, bersedia untuk sambung tidur. Bantal ditepuk-tepuk dan lampu meja dimatikan. Ada dua jam lagi sebelum azan subuh berkumandang.

Sebaik saja merebahkan kepala, dia angkat separa tubuhnya. Dengan menongkat sebelah siku, dia melepaskan jentikan kuat di dahi Akram. Tak perlu banyak gambaran, bunyinya saja sudah cukup menjelaskan tahap kuatnya. Entah retak ke tidak tengkorak lelaki itu.

   "Hahh... Lega hati aku," ucap Mawar bersama senyuman. Barulah dia bisa tidur dengan nyenyak.

* * * * *

   Akram membelek mukanya sendiri di depan cermin panjang pada pintu almari. Tangan masih memegang tali leher yang baru dipakai sekerat jalan. Baru dia perasan dahinya ada tanda merah.

Lantas dia berpaling ke belakang, mencari Mawar. Isterinya itu tenang memeriksa isi beg galas belakang.

   "Mawar. Cuba kau tengok dahi aku. Nampak merah tak?" tanya Akram mendekati Mawar dekat rak tiga tingkat.

Mawar buat-buat tak bersalah menilik dahi sang suami. Dekat jarak mereka sehingga nafas menyentuh kulit. Kemudian barulah dia berundur setapak.

   "Sikit je ni... Nyamuk kot. Tak pun, nak tumbuh jerawat."

Dahi Akram berlapis nipis. Dia bergerak semula ke depan cermin. "Muka aku jarang naik jerawat."

   "Jarang bukan tak pernah kan? Nama pun manusia biasa, Akram... Alah, nanti hilanglah tu."

   "Ek?" Akram masih tak berpuas hati. Jelas sangat tanda merahnya. Bila disentuh, ada rasa sakit sipi sipi.

Melihat tingkah Akram, Mawar terpaksa ketap bibir sendiri menahan tawa. Dia nak pandang muka Akram pun tak berani, takut tawa terlepas tak ingat dunia. 

   "Cepatlah keluar makan. Aku dah buat roti bakar. Karang sejuk, keras kejung rotinya." Akhirnya dia memilih untuk cepat-cepat keluar membawa beg galas belakang dan tas tangan.

Sempatlah dia ketawa perlahan ketika meletakkan beg di atas sofa ruang tamu. Siap mengipas-ngipas muka sendiri dek rasa hangat satu muka. Dia bukan orang jenis mudah terhibur tapi kalau dan dia geli hati, macam nilah. Merah padam satu muka.

Apabila sudah terkawal, Mawar bergerak ke ruang dapur. Ketika dia menuang horlicks suam ke dalam cawan Akram, Akram muncul mengambil tempat di meja makan seperti biasa. Lelaki itu siap berkemeja merah gelap dan tali leher hitam. Rapi dan menawan.

   "Kau ni, muka gangster sarip dol tapi tiap pagi minum horlicks," kata Mawar sambil melabuhkan punggung. Dia cuma mengadap secawan Nescafe, teman Akram sarapan.

   "Habis tu kau expect gangster minum apa pagi-pagi hari? AliCafe? ExtraJoss? Ke Redbull?" tempelak Akram pula. Bersahaja menghirup minuman kesukaanya. Roti bakar dan Kaya pun dia santap dengan tenang walau dijeling Mawar.

"Balik nanti aku ambik kau," sambungnya ringkas menarik perhatian Mawar.

   "Kenapa? Takut aku balik dengan Tajul?"

   "Seriously, Mawar? Semalam kita berdamai and harini kau nak gaduh lagi? Dah sebut nama mamat tu kenapa? Hilang selera aku."

   "Kau yang mula dulu. Kenapa tiba-tiba nak jemput aku balik kerja? Sebab kau tak percaya aku kan?"

   "Kau memang kepala angin, kuat buat andaian sendiri. Aku nak jemput kau sebab harini aku ada masa. Insya-Allah, aku boleh balik on time. Lagi satu, aku nak ajak kau pergi Ikea. Cari perabot mana kau nak..."

Mawar juih bibir. Reaksi orang ego namanya. Dia rasa bersalah sebab dah serkap jarang tapi masih tak nak mengaku perasaan itu.

Mujurlah tampak comel di mata Akram. Lelaki itu senyum bersama gelengan sekali.

   "Aku percayakan kau," ucapnya tanpa memandang Mawar. Bersahaja.

Mawar yang mendengar, disimbah rasa malu. Itulah masalah dia. Kalau Akram tak semenggah, dia jengkel. Tapi kalau Akram baik macam ni, dia kekok.

   'Ish. Muka pun aih. Tak pandai cover langsung. Dengar macam tu pun nak blushing ke?'

   "Alang-alang tu, aku nak bagitahu."

   "Mm?" Akram angkat kening, membalas pandangan mata Akram.

Dengan pandangan dan suara itu, Mawar kelu dek satu perasaan aneh menikam jantung. Dup dap dup dap.

   "Ehem! Err... Harini aku keluar dengan Tajul, naik kereta dia. Ada interview rumah client."

   "Kat mana?"

   "Damansara Heights."

Akram angguk. Tiada riak tegang sama sekali. "Kan aku dah cakap. Kalau urusan kerja and kau maklum aku, aku izinkan. Melainkan kalau ada option lain tapi kau tetap pergi dengan dia."

Mawar jongket bibir sebelum menghirup minumannya. Tiada yang salah pun dengan kata-kata Akram tapi yelah. Dia mengaku yang dia memang ego kalau di depan Akram. Tak nak kalah dan tak nak mengaku salah. Titik.

   "Mawar, aku ada bagitahu tak yang Azfar nak balik Malaysia minggu depan?" Selepas suapan roti terakhir, Akram membuka topik baru.

Blur sejenak Mawar jadinya. "Siapa Azfar?"

   "Tsk tsk tsk... Azfar adik akulah... Adik ipar kau, satu-satunya adik ipar kau..."

   "Ahhh..." Panjang betul Mawar punya 'ah' bila mana sel otaknya bersambung. Terbayang wajah kecil berkulit cerah dengan senyuman lembut. Itu bayangan berbelas tahun lepas.

"Lama betul aku tak nampak dia. Muka dia sekarang pun tak kenal. Hari kita nikah pun dia tak balik."

Akram angguk. "Habis sekolah, dia buat diploma di Singapore. Lepastu sambung degree di South Korea. Intern pun kat sana. Tak sure dia balik terus atau balik kejap sebab dia ada cakap yang dia dapat tukar branch sini."

   "Oh... So apa soalan kau tadi?"

   "Aku ada bagitahu tak Azfar nak balik Malaysia minggu depan?"

   "Ada. Baru je kau bagitahu."

   "Good."

Begitulah perbualan mereka berakhir. Isu ditutup.

* * * * *

   "Bunga!"

Merinding bulu roma Mawar tatkala suara riang Tajul menyambut ketibaannya di lobi bangunan. Ini semua angkara mimpi semalam!

   "Bunga! Bunga!" Terhegeh-hegeh Tajul mendekati Mawar dengan mood cerianya seperti biasa. Hari ini berkaca mata bulat.

   "Mana contact lens kau?" Itu soalan pertama keluar daripada mulut Mawar.

Tajul sengih. "Hilang masa mandi."

   "Agaknya mata dua biji tu kalau boleh cabut letak, dah lama kau buta kan?"

   "Sampai hati kau, Bunga. Pagi hari dah sumpah aku benda tak elok. Tak baik..."

   "Hmm..." Mawar diam sejenak merenung muka Tajul. Dia kemudian bergerak ke ruang menunggu agar tak menghalang laluan manusia lain.

Sudah pastilah Tajul mengekor tanpa perlu disuruh.

   "Muhammad Tajul Cheng."

   "Aku ada buat salah lagi ke?"

   "Dengar soalan aku baik-baik and jawab within three seconds."

Tajul angguk serius. Lagak macam nak jawab soalan kuiz antarabangsa. Medal emas jadi taruhan.

   "Kau suka aku ke?"

   "Suka."

   "Choi!" Kuat Mawar menolak bahu Tajul sampai terdorong beberapa setapak ke belakang lelaki itu. "Kau suka aku?"

   "Mestilah aku suka kau. Kau kawan baik aku, soulmate aku, the one and only yang boleh faham aku. Kalau kau tak ada, macam mana aku nak hidup?"

Mawar diam. Kerut dahi cuba membaca air muka Tajul. Tampak ikhlas dan jujur. Aih. Ini pasal mimpi semalam dia sampai jadi paranoid.

Akhirnya nafas panjang dihela. Dia bergerak lagi, duduk pula di atas sofa baldu yang tersedia di ruang menunggu itu.

Tajul mengambil tempat bertentangan. Bingung dengan sikap aneh Mawar.

   "Kenapa kau tanya macam tu? Kau tak suka aku?" Lirih nada suaranya.

Mawar geleng. "Semalam aku mimpi buruk."

   "Mimpi apa?" Tak jadi Tajul sedih berpanjangan, dia berminat dengan cerita Mawar.

   "Aku mimpi, lepas kau tolong aku semalam, kau tak terus balik. Kau duk dalam kereta kau sambil renung apartment Akram. Lepastu kau cakap nak..."

   "Nak apa?"

   "Nak bunuh Akram sebab dia sukakan aku."

  "Astaghfirullahalazim!" Sungguh kaget reaksi Tajul. Bulat bola mata dengan mulut terbuka. Sepakej dengan mengucap selepas istighfar.

"Bunga... Kau nampak muka aku macam muka Mona Fendy ke? Kau nampak aku macam manusia yang berani cabut nyawa orang ke?"

Mawar serba-salah. Terasa bodoh dia paranoid cuma kerana mimpi. Tajul bunuh orang? Pijak semut pun kecoh satu ofis.

   "Sorrylah, Tajul..."

   "Sampai hati kau."

   "Ala... Maaf, maaf."

   "Habistu kenapa tanya aku suka kau ke tak?"

   "Well, kot kau suka aku lebih daripada seorang kawan."

   "Tak berani aku! Kau tu isteri kepada Akram Hidayat yang aku kagumi, Bunga."

Tajul menyua tubuh ke depan, pandang kiri kanan. "Walaupun korang kahwin bukan sebab cinta, tapi dia tetap suami kau and kau isteri dia. Macam mana aku suka kau, aku akan suka dia macam tu jugak."

Terangguk-angguk Mawar tanda berpuas hati dengan jawapan Tajul. Lega...

   "By the way, lelaki yang kau kagumi tu pesan, suruh aku jangan rapat sangat dengan kau sebab kena jaga batas and status aku. Plus, aku dah tak boleh keluar berdua dengan kau kalau bukan sebab kerja."

   "Hah?" Jatuh bahu Tajul kali ini. Muka macam gagal segala ujian dalam Malaysia. "Bungaaa... Aku tak boleh hidup tak ada kau di sisi aku."

   "Aku bukan pindah alam lain, Tajul. Kau jangan over."

Melihat Tajul tayang muka merajuk manja, Mawar cuma jongket bibir atas konon jelik. Dia kemudian mengerling jam di pergelangan tangan.

   "Yang kita santai sangat kat sini, Cik Mira bising tak nanti?"

   "Oh lupa. Jadual interview pukul sepuluh pagi so aku dah bagitahu Cik Mira and dia bagi keluar awal."

Mawar berdecit dengan muka nak telan orangnya. "Asal tak cakap awal-awal? Dah rugi lima belas ringgit aku. Baik aku pergi ke rumah menteri tu terus. Ini dah satu hal datang sini, lepastu pergi lagi."

   "Sorry... Aku lupa."

   "Itu lupa, ini lupa. Kau ingat ke tidak menteri mana kau nak interview?"

   "Ingat... Dato Hilman, menteri kewangan."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience