Chapter 13

Romance Completed 9464

BAB 13

Amanda masuk ke dalam rumahnya perlahan-lahan. Takut jika Abas terbangun lalu memarahi dia. Nanti bukan setakat marah, tumbuk dan tampar juga melayang sekali.

Terang sahaja ruang tamu rumah. Barang-barang bersepah sana sini menunjukkan mood bapa tirinya itu tidak boleh dijamin. Amanda menuju ke dapur. Perutnya lapar. Dia perlu mengisi perutnya sebelum naik ke bilik dan mengambil barang yang penting untuk lari dari rumah. Itulah perancangan Amanda dari awal lagi. Sebenarnya dari dulu lagi dia terfikir untuk meninggalkan sahaja Abas. Dia perlu membina kehidupan yang baru. Dia mahu mencari kerja dan mengumpul duit secukupnya. Biar dia hidup sendiri sahaja.

Amanda membuka rak di atas dapur. Dia mahu mengambil tin sardin yang terdapat di sana. Tinggal satu lagi yang tinggal. Amanda tersenyum.

"Huh, apa aku peduli. Ini duit aku juga." Kata Amanda. Tin sardin itu dikebas.

Kemudian, piring diambil lalu dia mencedok nasi yang sudah ada di dalam tudung saji. Tin sardin dibuka dan dituang ke atas nasi tanpa memanasnya terlebih dahulu . Amanda sudah terbiasa memakan nasi dan lauk yang sudah sejuk.

Amanda makan dengan golojoh seperti sudah lama dia tidak mengisi permintaan perutnya. Kaki sebelah dinaikkan di atas kerusi. Mungkin kelihatan agak ganas sedikit, tetapi dia sudah terbiasa. Setiap kali dia tersedak, air di dalam botol besar diteguk terus tanpa menggunakan gelas. Amanda puas dengan cara makan begitu.

Selesai sahaja makan, dia mempercepatkan langkahnya naik ke bilik. Dengkuran Abas dari dalam bilik sebelah kedengaran. Amanda buat tidak peduli sahaja. Dia memusingkan tombol pintu biliknya. Sejurus sahaja pintu bilik dibuka, matanya dibesarkan. Terkejut. Oh my God.. what the hell is this?.

Biliknya itu sudah tidak serupa dengan keadaan ketika dia tinggalkan dahulu. Barang-barangnya bertabur di atas tilam. Laci-laci yang ada semua sudah terbuka dari rangkah pemegangnya.

"Sial kau Abas. Bilik aku kau sepahkan ya.. bodoh punya orang tua!" spontan ayat makian keluar dari mulut Amanda.

Amanda mencapai beg besar yang berada di atas almarinya. Pakaian-pakaiannya dimasukkan ke dalam beg itu. Dia menolak almari besar ke tepi. Tabung dan sebuah kotak kecil yang disorokkan di sana, diambil dan dimasukkan juga ke dalam beg.

"Nasib baik lah tabung aku kau tak kebas.. " kata Amanda. Dia lantas menzip kembali beg tersebut. Kemudian disandang pada bahu. Dia melangkah keluar dari biliknya. Cepat-cepat dia menuruni tangga. Kasut Nike disarungkan ke kaki. Tanpa mengikat tali kasut, dia berlari laju meninggalkan halaman rumah.

Sudah jauh Amanda berlari. Dia menyinggah di perhentian bas yang terletak tidak jauh darinya. Lenguh kaki Amanda berlari tadi. Siap dikejar dengan anjing gila lagi semasa dia melalui kawasan perumahan orang-orang kaya. Amanda melabuhkan punggungnya di kerusi panjang yang disediakan.

Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Kawasan sekeliling diperhatikan. Kemudian dia tersenyum.

"Baru kau tahu Abas. Biar kau mati sahaja di dalam rumah tu seorang." Ucap Amanda sendirian. Dia gembira kerana sudah berjaya melarikan diri dari tempat yang menyeksa jiwanya. Dia merasa bebas!

"Sepatutnya dari dulu lagi aku lari dari rumah berpuaka tu." Kata Amanda. Dia melihat lagi sekelilingnya. Hujan renyai-renyai mula turun membasahi bumi. Lampu-lampu jalan menjadikan dirinya tidak berada di dalam kegelapan. Haba yang terhasil selepas dia berlari tadi perlahan-lahan meninggalkan tubuhnya kesejukan di sana. Amanda mengeluarkan baju sejuk dari dalam beg yang dibawa, lantas disarungkan ke tubuh.

Tatkala dia hendak menutup kembali beg itu, kotak kecil yang berada di dalam menyekat zip daripada bercantum. Amanda mengambil kotak itu perlahan. Dia membukanya. Gambar-gambar kenangan ketika dia di sekolah menengah diteliti satu-per-satu. Sudah lama dia tidak membuka kotak itu. Banyak gambar yang disimpan di dalamnya.

Gambar yang sudah dilihat diletakkan di bahagian belakang. Begitu juga gambar yang seterusnya. Sesaat kemudian, mata Amanda tertumpu pada satu gambar yang berjaya mengusik kembali hatinya yang sudah sekian lama berkarat. Pada gambar itu, kelihatan Amanda, Gia, Adie dan Zarul yang sedang tersenyum gembira. Masing-masing memakai baju sekolah. Gambar itu diambil selepas mereka tamat menjawab kertas soalan terakhir SPM. Hatinya sayu mengenangkan persahabatan mereka. Tiba-tiba dia dihimpit rasa rindu yang menebal. Rindu hendak bergurau senda dengan mereka.

Menyedari sahaja emosinya yang dipukul dek kenangan lama, Amanda cepat-cepat memasukkan kembali gambar-gambar itu ke dalam kotak tersebut sebelum dimasukkan pula ke dalam beg. Beg dizip kasar. Hujan yang turun semakin lebat memanah bumi. Amanda berbaring di kerusi panjang itu berbantalkan beg yang dibawa. Sesekali tubuhnya terkena pada percikan air hujan yang membawa dingin malam.

"Aishh.. sial punya hujan! Sejuk gila!" Maki Amanda. Kemudian, dia terdiam. Ada sesuatu yang hingkap menusuk ke dasar hati. Sejak bila kau sudah pandai memaki, Amanda? Mulut kau sekarang sudah biasa dengan kata-kata yang kasar. Walhal, pada awalnya kau tak pernah begini. Kau dah berubah!

Amanda mencebik. Entahlah. Dia juga benci akan dirinya. Benci untuk memegang watak sebagai Amanda.

"Aku menyesal jadi Amanda! Kenapa bukan orang lain sahaja yang jadi aku?!" Jerkah Amanda. Marah kepada pembuat jalan hidupnya. Dia merasa tidak adil. Kenapa semua orang boleh hidup bahagia, sedangkan dia terpaksa mengharungi semua derita itu sendirian? Kenapa? Kenapa jalan cerita hidup dia dikarang sebegini??

Amanda memejamkan mata rapat-rapat! Hati terasa perih dengan terjahan perasaan sendiri. Dia juga tidak tahu gelora apa yang terjadi di dalamnya. Apa yang pasti, perwatakannya itu diukir seiring dengan perjalanan cerita hidupnya. Jangan salahkan aku kalau suatu hari nanti aku jadi jahat! Siapa suruh bagi aku watak susah seperti ini. Bodoh! Watak yang bodoh! Cerita yang bodoh!. Padam sahajalah bab ini dari tulisan takdir yang menyeksakan!! Aku sudah penat!

Amanda mengeluh! Ada bisikan yang menghasuti jiwa. Semua yang terjadi bukan salah kau, Amanda. Kau adalah mangsa keadaan. Bukan hidup begini yang kau pinta. Kau tak pernah ada salah! Maki lah sepuas hati. Itu adalah jalan terbaik untuk meredahkan kemarahan dan dendam!

Amanda mendengus! Fikirannya tidak berhenti bercakap sendiri.

"Diam!!! Aku nak tidur, bodoh!!" Teriak Amanda. Teriakannya itu ditujukan kepada diri sendiri atau kepada pengarang cerita. Mungkin dia sudah gila. Tetapi dia tidak kisah! Hidupnya tertekan sejak kebelakangan ini. Dia rela menjadi benar-benar gila. Andai itulah takdirnya. Kadangkala Amanda membandingkan hidupnya dengan orang lain. Dia merasa sangat kecil. Hanya keluhan sahaja yang diluahkan dari dulu. Kau bodoh Amanda! Hidup kau sudah hancur! Kau lebih baik mati sahaja dari dulu!

"Aku cakap diam. Diamlah!!" Jerit Amanda lagi. Dahinya berkerut menahan marah. Ketika itu, tiada lagi kalam yang mampu ditulis. Biarlah kau berehat dahulu, Amanda. Kau akan faham jalan cerita ni nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience