Chapter 17

Romance Completed 9464

BAB 17

Abas memegang pisau di tangan. Senyuman terukir jahat apabila melihat Amanda keluar dari rumah banglo. Semalam apabila dia tersedar dari tidur, Abas perasan yang Amanda datang ke rumah dan pergi membawa barang-barangnya. Puas dia meredah hujan membawa dendam dan marah untuk mencari Amanda. Senang-senang sahaja Amanda mahu melarikan diri dari rumah itu. Jangan harap dia mahu melepaskan Amanda. Sesaat dia sampai di persimpangan, Abas ternampak Amanda didukung masuk ke dalam kereta oleh seorang lelaki.

Dan sekarang, dia berada di depan rumah milik lelaki itu sambil tersenyum lebar di tempat persembunyiannya menunggu Amanda yang kian mendekat.

"Huh, dasar perempuan murahan. Kau tunggu Amanda." Abas mendengus.

Ketika Amanda melalui jalan raya yang sunyi itu, Abas melompat di hadapannya sambil mata pisau diacukan kepada Amanda. Amanda terkejut.

"Ini kerja kau rupanya, bermalam di rumah lelaki. Memang perempuan murahan! Mesti kau dah dapat duit banyak.. Ya la. Sebab kau diguna pakai oleh lelaki kaya.." Abas ketawa. Jerlingan mata memandang rumah banglo milik Zarul.

"Jangan ganggu hidup aku lagi." Pinta Amanda. Dia gerun melihat pisau yang tajam di tangan Abas.

Abas mencebik. Baginya satu kelucuan. Muka Amanda ketakutan seperti awal-awal dulu.

"Baru sekarang kau nak takut? Setelah kau tinggalkan aku sendirian di rumah tu." Perli Abas.

Amanda berundur ke belakang apabila mata pisau itu dilibas-libaskan berhampiran dengan wajahnya.

"Mana duit yang kau dapat dari lelaki tu? Bagi aku!"

Amanda menggelengkan kepala.

"Tak ada! Aku tak jual diri lah sial!" Kata Amanda. Dia perlu membela dirinya.

Abas tidak hairan dengan kata-kata Amanda. Bahasa kesat itu sudah sebati di dalam jiwa. Sudah terbiasa mendengar dan mengucapkan perkataan-perkataan tersebut.

"Kau jangan tipu aku!" Abas cuba merampas beg yang dibawa oleh Amanda. Amanda memeluk beg itu dengan kuat.

"Aku cakap tak ada. Tak ada lah!!" Jerit Amanda.

Abas tidak berputus asa. Dia tidak percaya. Malah tangannya semakin rakus menarik beg Amanda.

"Jangan sampai aku bunuh kau macam mak kau juga!" Jerkah Abas.

Amanda terkedu. Beg yang dipeluk terlepas.

Matanya memandang pisau yang masih digenggam kemas oleh Abas. Cahaya matahari yang memancar menyebabkan ada kilauan pada mata pisau itu. Sekelip mata kejadian yang berlaku beberapa tahun dahulu terlintas di minda. Bukan tentang ibunya sahaja. Tapi tentang seseorang.. Amanda terundur ke belakang. Tiba-tiba dia merasa takut dan tidak selamat.

Abas tersenyum puas setelah beg Amanda berjaya dirampas. Dia menyelongkar beg tersebut. Mencari duit yang dibayangkan. Kotak kecil yang berada di dalam beg itu dibuang ke jalan apabila mendapati hanya gambar-gambar lama sahaja di dalamnya. Segala isi pada kotak itu terkeluar.

Tabung Amanda dikopek. Ada tiga keping not RM10 sahaja di dalamnya. Abas mendengus kasar.

"Mana?! Mana lagi duit yang kau sorokkan tu?" Sergahnya.

Amanda ketakutan. Dia tiada kudrat untuk melawan. Mata pisau itu masih ditatap ngeri. Traumanya datang semula!

"Aku besarkan kau sampai sekarang. Kau balas balik dengan perangai yang sial kau ni?!" Jerkah Abas. Matanya dibesarkan.

"Mari aku ajar kau cara buat duit! Mari aku jual kau!"

Abas menarik Amanda kasar. Amanda meronta-ronta ingin dilepaskan. Lengan baju Amanda terkoyak hinggalah bahu belakangnya terdedah.

"Lepaskan aku.. jangan bunuh aku." Rayu Amanda. Dia diserang ketakutan. Amanda tidak mahu nyawanya mati di hujung mata pisau milik Abas seperti ibunya atau sesiapa sahaja.

Abas mendengus. Benci mendengar kata rayu Amanda. Dia menolak Amanda dengan kuat. Amanda terjatuh di jalan tar. Tangannya luka. Dia menangis. Dia trauma melihat muka Abas. Memori silamnya berlegar-legar di ruang ingatan.

Abas menggenggam erat pisau yang dipegang. Dia mahu membunuh Amanda. Amanda kalau hidup asyik menyusahkan dia. Lebih baik mati sahaja.

Abas mengacukah mata pisau itu kepada Amanda. Sengaja dia menakut-nakutkan Amanda. Dia tahu, Amanda pernah trauma dengan insiden kematian istrinya. Amanda pernah takut untuk melihat benda yang tajam dan bersinar.

"Lepaskan Amanda!" Zarul muncul di belakang mereka.

"Kau siapa?! Kau tak ada kena mengena dengan hal ni lah!" Jerkah Abas. Kemunculan Zarul menyebabkan dia sedikit cuak!

Mata Zarul memandang pisau di tangan Abas.

"Buang pisau tu." Arah Zarul.

Abas tersenyum sinis. Dia terus mengacukan mata pisau kepada Zarul.

"Kau pun takut juga?" Abas mula melangkah ke arah Zarul. Berlagak tidak tergugat dengan kehadiran anak muda itu.

Zarul berundur selangkah ke belakang. Berhati-hati dengan tindakan Abas yang seterusnya.

Abas ketawa terbahak-bahak. Kini dia mempunyai dua orang mangsa.

Abas mula menyerang Zarul. Zarul mengelak lalu menendang belakang Abas. Abas jatuh tertiarap di jalan. Pisau yang digenggam itu terlepas.

Abas cuba untuk bangun lagi. Dia mahu menyerang Zarul kali kedua. Namun, bunyi siren polis kedengaran.

"Saya dah telefon polis." Ujar Zarul tenang.

Abas ternganga. Bergegar lututnya apabila disebut tentang polis. Belum sempat dia melarikan diri. Zarul terlebih dahulu menendang Abas dengan kuat, tepat mengena perut. Abas mengadu kesakitan. Mulutnya sempat memaki hamun!

Kereta polis berhenti di hadapan mereka. Tangan Abas digari. Abas meronta-ronta ingin dilepaskan.

"Aku tak kalah lagi lah!!" Jerit Abas sebelum dia disumbat masuk ke dalam kereta hitam milik polis.

Sementara itu, Zarul mendapatkan Amanda yang masih ketakutan. Meskipun Abas telah tertangkap, Amanda masih seperti tadi.

"Amanda, kau okey?" Soal Zarul. Kesian melihat keadaan Amanda. Baju Amanda sudah terkoyak. Zarul mengambil sehelai kain yang ada di dalam beg Amanda. Dia menutup bahagian yang terkoyak di bahu Amanda.

Gambar-gambar yang bertaburan di atas jalan itu dikutip. Itu semua gambar kenangan mereka. Rupanya Amanda masih menyimpannya.

"Amanda.." sebut Zarul perlahan sebelum seorang polis memanggil namanya dan meminta dia melaporkan kejadian tadi.

Tanpa disedari, Ada sepasang mata yang memerhati kejadian tersebut dari hujung simpang, tidak jauh dari mereka.

"Amanda.." bisik Suraya.

Zarul membuka pintu bilik, dia merenung dari muka pintu.Amanda terbaring lemah di atas katil. Sedang tidur. Kejadian tadi sangat berat untuknya.

Perlahan-lahan Zarul menerpa ke tepi katil. Dari dekat, dia merenung wajah Amanda. Hilang segala kecewa di atas kelakuan Amanda terhadapnya pagi tadi. Di saat ini, dia malah merasa kasihan terhadap Amanda. Dia merasa bersalah kerana tidak mengetahui apa yang telah mengubah Amanda sejauh begini. Nasib baiklah hatinya terdetik untuk mengejar langkah Amanda ketika Amanda sudah meninggalkan rumahnya. Nasib baik jugalah, Amanda selamat. Dia sudah merasa bersyukur.

Zarul meletakkan belakang jarinya di dahi Amanda. Panas. Lebih panas dari sebelumnya. Amanda demam. Zarul risau.

Pada tangan Amanda terdapat luka akibat jatuh ditolak oleh Abas. Bertambah risau hati Zarul.

Dia menuju ke dapur, mengambil sebekas air dan kain kecil di dalam rak. Tidak lupa dengan kotak kecemasan sekali. Kemudian Zarul membawanya ke bilik. Dia perlu merawat Amanda.

Dia perlu ada di sisi Amanda..

Amanda membuka mata perlahan. Kepalanya berpinar-pinar. Pening masih terasa. Suhu bilik yang sejuk itu membangunkan dia.

Amanda terkejut melihat Zarul yang duduk tertidur di tepi katil. Amanda memegang dahinya yang ditutup dengan kain lembab. Dia tahu Zarul yang meletakkan kain lembab itu untuk menurunkan suhu badannya. Luka di tangannya juga telah dibalut oleh Zarul. Serta merta hati Amanda terharu dan menyesal di atas kelakuan kasar terhadap Zarul pagi tadi. Zarul yang menolong dia ketika Abas hendak membunuhnya di jalan. Kalau Zarul tiada, mungkin dia sudah lama mati.

Amanda menangis dalam senduan. Dia merasa bersalah.

"Zarul.." perlahan mulutnya menyebut nama Zarul. Pertama kali nama itu keluar setelah sekian lama dipadamkan. Sebak. Air matanya jatuh bersama sesalan.

Zarul terjaga. Dia menggosok matanya. Melihat Amanda yang sedang menangis, dia risau.

"Kenapa ni.. Amanda?" Soal Zarul. Dia cemas.

Amanda menangis lagi. Soalan Zarul itu membuatkan hatinya terharu. Hati yang sebelum ini keras, perlahan-lahan cair...

"Amanda.. " panggil Zarul lembut.

"Sejuk.." Satu perkataan sahaja yang keluar dari mulut Amanda. Sayu kedengaran.

Zarul terus mencapai remote control yang melekat pada dinding bilik lalu dihalakan kepada aircond. Suhu bilik dinaikkan sedikit.

Amanda memejamkan matanya kembali. Kepalanya masih terasa berat. Dengan sisa air mata dan senduan itu, dia tertidur semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience