Chapter 7

Romance Completed 9464

BAB 7

Amanda melangkah keluar dari rumah. Kasut jenama Nike disarungkan ke kaki. Dia berdiri lalu membetulkan beg sandang di bahu.

"Kau nak pergi mana pula tu?!" Jerit Abas, bapa tirinya dari dalam rumah.

"Jalan." Jawab Amanda pendek.

"Aku besarkan kau bukan untuk berfoya-foya, bodoh!!" Jerit Abas lagi.

Amanda mendengus.

Tanpa menunggu makian yang akan keluar daripada mulut orang tua itu lagi, Amanda berlari meninggalkan rumah. Tidak sanggup dia mendengar suara Abas.

Dia mahu menenangkan fikiran seketika. Di mana-mana sahaja kakinya melangkah, dia sudah tidak kisah. Asalkan jiwanya terasa bebas dari cengkaman kuku besi Abas.

Lima tahun hidup bersama bapa tirinya itu, Amanda sudah cukup terseksa dengan cacian dan kata-kata kesat yang selalu sahaja dilontarkan.

Bagi Amanda, hidupnya sudah tidak bermakna lagi. Dahulu, dia sangka dia dapat menyambung pelajarannya setelah berpindah dari kampung secara paksaan. Namun, hampa! Dia malah disuruh untuk berhenti sahaja. Mati-matian dia berkeras mahu sambung belajar. Hanya tumbuk dan tampar yang diterima setiap kali dia cuba mengungkit tentang itu. Bapa tirinya bukan kisah sangat tentang pelajaran. Amanda malah dipaksa berkerja. Sehinggakan dia merasa, hidupnya diperguna-gunakan. Dia protes! Dia berdendam!

Bunyi hon kereta mematikan lamunannya. Baru Amanda sedar, dia berhenti tepat-tepat di tengah jalan.

"Tepilah! Orang nak lalu!" Suara pemandu kereta itu menyakitkan hatinya.

Amanda merenung tajam pemandu tersebut. Nafasnya turun naik menahan marah. Pemandu itu kalut. Pandangan mata Amanda penuh dengan dendam.

"Suka hati aku lah nak berhenti dekat mana!! Kau ingat ini jalan kau?! Bodoh!!" Jerit Amanda marah. Dia terus berlari meninggalkan kawasan itu. Hatinya benar-benar protes. Mahu saja dia membaling batu kepada pemandu itu.

Amanda memasuki simpang yang sunyi dari laluan kereta. Dia berjalan melalui beberapa rumah besar. Kemudian membelok pula ke lorong sebelah kiri.

Bangunan-bangunan yang tinggi berdiri tegak tidak jauh dari tempatnya. Bandar itu memang luas.
Rambut panjang menghurai ditiup angin yang berlalu. Dia menyeluk poket beg sandang, getah rambut dicapai. Kemudian dia mengikat rambutnya itu.

Amanda menghelakan nafas kuat. Tanpa destinasi yang jelas, dia terus melangkah.

Adie berjalan pantas ke lobi hospital. Ubat di tangannya dipegang erat. Dia geram dengan Zarul. Zarul menelefonnya dan mengadu sakit kepala, migren. Tapi bukan itu yang menjadi isu. Adie geram dengan Zarul kerana dia sudah menasihati agar rakannya itu untuk berehat di rumah sahaja. Tetapi Zarul malah memandu ke hospital dan mengatakan dia menunggu Adie di lobi.

Dari jauh dia melihat Zarul sedang duduk tertunduk sambil memicit-micit kepalanya di ruangan menunggu. Zarul berpakaian kemas lengkap dengan baju kemeja tanpa kot. Dia nampak seperti baru keluar dari pejabat.

Adie dengan kot putih panjang mencecah paha menerpa laju ke arah Zarul.

"Nah.. Acetaminophen." Adie menghulurkan ubat di tangannya kepada Zarul.

Zarul terkejut.

"Apa tu?" Soalnya.

"Paracetamol" kata Adie. Kalau tentang ubat-ubatan dialah pakarnya. Zarul menyambutnya perlahan.

Tanpa dijemput, Adie melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah Zarul.

"Bro, kau ni menyakitkan hati betul, dah tau sakit migren, buatlah cara sakit. Yang kau sanggup drive pergi tempat kerja aku apa kenapa? Risau aku. Kalau jadi apa-apa, siapa susah? Aku juga." Adie mula membebel. Dia sebenarnya risau dengan Zarul. Bila sakit kepala Zarul menyerang, tengok cahaya matahari pun dah tak sanggup. Migren ni ubat yang paling mujarab adalah tidur sahaja. Malangnya Zarul jarang mendengar nasihat dia.

Zarul menelan dua biji panadol yang diserahkan tadi. Air mineral yang sentiasa dibawa itu diteguknya separuh. Tiada cara yang lebih baik untuk dia mendapatkan ubat bagi mengurangkan sakit kepalanya itu, selain daripada meminta bantuan dari Adie. Adie adalah hospital pertama dia. Zarul tiada daya hendak beratur panjang atau menyinggah ke kedai ubat memata-mata hanya untuk mendapatkan ubat yang lebih senang didapati jika memintanya pada Adie. Lagi pula, dia selalu sahaja dianggap sebagai pendatang asing dek wajah kacukannya itu. Maka, ia menjadi salah satu sebab kenapa dia malas hendak berurusan di kuanter.

Zarul menarik nafas yang panjang sebelum menghadap kembali bebelan Adie sesi yang kedua.

"Air mineral boleh pula kau bawa merata-rata, ubat yang aku bagi hari tu, kau bagi tinggal je dekat rumah. Alih-alih bila dah sakit, kau cari aku pula. Lepas ni jangan dah kau bergantung dengan ubat. Menyusahkan aku je tahu. Nasib aku ni baik hati. Yang kau tak singgah kedai ubat tepi jalan je kenapa? Nak juga cari aku." Bebel Adie lagi. Mahu diikutkan hati, dia masih belum puas memberi ceramah kepada kawannya itu.

Zarul merenung Adie dari atas ke bawah.

"Tak pernah aku nampak kau pakai kot putih." Kata Zarul. Menukar topik perbicaraan.

"Aku ada dekat makmal tadi." Balas Adie. Bebelannya berjaya dialihkan oleh Zarul sekelip mata.

"Pergilah sambung kerja kau, aku nak balik pejabat sekejap. Ada dua fail lagi yang aku kena cover untuk meeting minggu depan." Zarul berdiri.

Adie ikut berdiri.

"Kau biar betul bro. Minggu depan tu lama lagi. Kau yakin boleh drive ?" Tanya Adie. Dia bukan sahaja risau tentang kesihatan Zarul, malah dengan pengurusan masa Zarul juga. Zarul menyiapkan semua kerja sekali gus yang sepatutnya boleh dilakukan beransur-ansur. Minggu depan lama lagi kot. Apa lah sangat dua fail itu.

"Don't worry, aku kan ada lesen." Zarul menepuk bahu Adie sebelum meninggalkan Adie terkulat-kulat sendirian.

Adie memuncungkan mulutnya. Dia bercakap pasal kesihatan Zarul. Bukannya lesen. Ish-ish-ish

Tubuh Zarul hilang sebaik sahaja Zarul memasuki lorong untuk ke parking kereta. Lalu, Adie pun beredar menuju ke makmal hospital kembali. Dia perlu menyambung kerjanya yang tertangguh gara-gara Zarul.

Zarul memasuki lorong untuk ke parking kereta. Tanpa sengaja dia terlanggar dengan seorang perempuan yang berjalan bertentangan arah dengannya.

Perempuan itu hampir terjatuh. Namun, Zarul sempat menyambutnya. Pandangan mereka bersatu. Tetapi beberapa saat sahaja. Kemudian, pantas tangan Zarul ditepis. Debaran di hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Sorry, miss. Saya tak nampak tadi." Kata Zarul meminta maaf.

Perempuan itu menundukkan kepalanya dan terus sahaja berlalu meninggalkan Zarul.

"Miss?!" Panggil Zarul.

Panggilan tidak diendahkan.

"Miss?!" Panggil Zarul lagi.

Perempuan itu hanya meneruskan sahaja langkah kakinya tanpa menoleh ke arah Zarul.

"Suraya binti Ismail."

Langkah Suraya terhenti serta-merta. Zarul menerpa ke arahnya.

"Nah.. Awak tercicir IC tadi." Zarul menghulurkan IC itu kepada pemilik asal.

Dengan tergetar-getar Suraya menyambutnya. Kemudian terus berlalu tanpa mengucapkan terima kasih.

Zarul hanya menggeleng. Kelakuan Suraya menghairankan dia. Oh..well mungkin Suraya hendak bergegas. Zarul bersangka baik. Lantas, dia meninggalkan tempat itu. Dan terus menuju ke keretanya.

Malam menjelang tiba, Amanda masih sendirian. Dia berjalan memasuki lorong-lorong bangunan yang sunyi. Mahu ke mana, dia sendiri tidak pasti. Lorong yang dilalui itu sunyi sahaja. Yang ada pun hanya bunyi-bunyi sayup kenderaan yang lalu lalang kerana lorong itu tersorok sedikit dari jalan besar.

Di hujung jalan tersebut, sekumpulan samseng sedang tersenyum melihat kehadiran Amanda.

"Nampaknya mangsa memasuki jerat dengan rela." Kata seorang lelaki yang botak. Dia tersenyum lebar. Yang lain juga tersenyum.

Langkah Amanda terhenti di tengah jalan apabila dia menyedari tempat itu tidak selamat. Dia lantas berpaling dan berpatah balik daripada meneruskan laluannya tadi. Amanda mempercepatkan langkahnya. Dia boleh mendengar bunyi tapak-tapak kaki yang mengikutinya. Amanda menggigit bibir risau. Pasti samseng-samseng itu tidak mahu melepaskan dia. Dalam diam, Amanda memaki dirinya sendiri kerana terambil jalan yang salah.

Tanpa menoleh ke belakang, Amanda berlari laju meninggalkan kawasan itu. Tapi, dia malah dikejar dari belakang. Lebih kurang lima orang lelaki yang mengejarnya. Dia tidak berputus asa. Kelajuan dimaksimakan.

Amanda membelok masuk ke lorong yang agak sempit berbanding tadi. Dari jauh dia boleh melihat jalan keluar menuju ke tempat laluan orang ramai. Jalan itu sahaja menjadi haparan untuk dia meloloskan diri dari samseng-samseng yang mengejarnya.

Semasa berlari, Amanda menggenggam beg sandangnya dengan erat. Takut ditarik dari belakang. Jarak antara dia dan samseng-samseng itu hanyalah beberapa depa sahaja. Keselamatannya masih tidak dapat dijamin sepenuhnya.

Belum sempat kaki Amanda melangkah keluar dari lorong itu, rambutnya disentap kuat dari belakang.

"Aghh!!" Jerit Amanda kesakitan.

Sentapan itu menyebabkan dia jatuh tergolek ke lantai sebelum tong sampah besar yang berada di tepi dinding menimpah ke atasnya.

"Aku dapat dia!!" Jerit seorang lelaki. Dia ketawa puas. Nafasnya turun naik menahan kepenatan berlari. Samseng-samseng lain yang baru sampai juga begitu.

"Laju juga perempuan ni lari ya." Ujar satu suara lagi. Dia juga tercungap-cungap kepenatan. Lelaki itu menarik tangan Amanda. Amanda dipaksa berdiri. Padahal pada masa itu, Amanda masih dalam kesakitan. Bau sampah melekat di badannya.

"Sakitlah bodoh!! Lepaskan aku!!" Jerit Amanda apabila tangannya digenggam erat oleh lelaki tersebut.

Samseng-samseng itu hanya ketawa. Seronok melihat mangsa yang meronta-ronta ingin dilepaskan.

Lelaki yang memegang tangan Amanda merenung Amanda dengan sinis.

"Kau ingat senang-senang je ke nak lari dari kami.. Kami ni.. Aghh!!" Amanda mengigit tangan lelaki itu dengan kuat. Genggaman terlepas. Tanpa berlengah, Amanda berlari menyelamatkan dirinya. Dia takut ditangkap kali kedua.

"Kejar dia!!" Arah lelaki itu.

Amanda berjaya keluar dari lorong tersebut, dia mahu menjerit meminta tolong. Tapi kelelahannya membataskan dia untuk bersuara.

"Kau jangan lari!! Aku bunuh kau!!" Jerit lelaki tadi.

Amanda panik. Dia menyusup masuk ke dalam sebuah bangunan yang berdekatan. Dia ternampak pintu lift sedang terbuka, pantas dia berlari ke dalam lift itu dan menekan butang supaya pintu lift tertutup kembali dengan segera. Seorang pemuda yang turut berada di dalam lift tersebut terkejut melihat kemunculan Amanda.

Amanda kelihatan sangat comot dan berbau sampah. Dia jatuh terduduk kelelahan sebaik sahaja pintu lift tertutup.

"Excuse me.. saya tak sempat nak keluar tadi." Kata pemuda itu. Dia baru sahaja mahu melangkah keluar, Amanda pula tiba-tiba masuk lalu menutup lift itu.

Amanda menoleh. Melihat siapa gerangan yang bersuara.

Mata bertemu mata. Hati berdebar.

Pemuda itu terkedu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience