Chapter 15

Romance Completed 9464

BAB 15

Zarul sedang duduk di ruang tamu sendirian. Sesekali dia memandang ke pintu bilik tetamu yang berada di sebelah dapur. Hatinya berdebar. Kemudian dia menyandarkan badan ke sofa. Siling direnung kosong. Tetapi, fikirannya berpusing-pusing tidak menentu.

Ketika di perhentian bas tadi, Amanda tiba-tiba sahaja pengsan. Zarul panik lalu membawa Amanda balik ke rumah. Sekarang hatinya pula risau. Gusar dan gelisah. Dia tidak tahu kenapa. Tetapi wajah Amanda yang pucat tadi membuatkan dia merasa begitu.

Perempuan yang pernah meninggalkan dia dahulu itu sedang berada di rumahnya sekarang. Zarul seakan tidak percaya. Hatinya pernah terluka dan berdarah disebabkan oleh Amanda. Kisah silam itu terimbas kembali di kotak ingatan. Bunyi kayuhan basikal dan roda yang bergeseran pada tanah itu terdengar kembali.

Zarul meletakkan tangannya menutupi wajah. Dia tidak mahu teringat lagi!

"Amanda.." Sebut Zarul spontan. Dari hati, terbit di bibir.

Dia juga bingung dengan dirinya sendiri. Sepetutnya dia sudah lama melupakan Amanda. Amanda yang pernah meninggalkan dia! Amanda yang pernah membuat dia terseksa! Meskipun dia sedar, kadangkala dia merindui Amanda.

Sudah sekian lama Zarul membina tembok untuk tidak diperlihatkan lagi kenangan yang lalu. Dia sudah cukup penat bertahan mengharungi hari-hari selepas Amanda meninggalkannya. Baru tadi, tembok itu sudah runtuh tatkala memandang wajah Amanda yang sepatutnya sudah lama terkubur.

"Mungkin aku masih sayangkan dia.." ucap Zarul perlahan. Kemudian dia menggeleng.

"Tak. Tak boleh. " Zarul cuba menafikan perasaannya. Lalu dia melepaskan keluhan berat.

Jujur, dia sendiri terseksa.

Zarul memejamkan matanya. Dia teringat senyuman manis Amanda ketika mereka masih bersama.

'Kalau aku cakap aku sukakan kau? Macam mana?'

Suara Amanda menembusi ruang memorinya.

Zarul berdiri. Telefon yang berada di atas meja dipandang sepi. Dia teragak-agak untuk memberitahu tentang Amanda kepada Adie dan Gia. Zarul menoleh pula pada jam di dinding. Sudah pukul 2:35 pagi. Mungkin mereka sudah tertidur dibuai mimpi.

Zarul bergerak ke jendela. Langsir diselak sedikit. Hujan masih lebat seperti tadi.

Zarul memegang tekaknya, dia kehausan tiba-tiba. Dengan langkah kaki yang perlahan Zarul menuju ke dapur. Tetapi sesaat dia melalui pintu bilik tetamu, langkahnya berhenti.

Entah perasaan apa yang mendorongnya, tangan Zarul menangkap tombol pintu. Lalu dipusingkan. Pintu bilik dibuka perlahan. Dia menerpa ke arah Amanda yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Wajah yang pucat itu ditatap sayu.

Sudah sekian lama, Amanda..

Aku rindu kau.. sangat..

Bunyi guruh berdentuman memecahkan kesunyian malam. Kilat bercahaya memancar membelah dada langit. Hujan yang turun dengan lebat memukul cermin tingkap tanpa henti. Bunyi bumbung yang diserang dengan titisan dari langit itu juga berlawanan dengan bunyi angin yang bertiup.

Suraya terjaga dari tidurnya. Dia menangis teresak-esak. Mimpi itu datang lagi. Mimpi buruk yang menelan ketenangan jiwanya.

Deringan telefon berbunyi. Suraya mencapai perlahan telepon di tepi katil. Lalu panggilan disambut.

"Jangan menangis.." ucap suara itu lembut.

Suraya diam.

"Mimpi buruk lagi?"

Suraya menganggukkan kepalanya. Air mata yang jatuh dikesat dengan tangan. Seolah akur dengan suara yang meminta dia berhenti menangis. Tangisan ditahan.

"Tidurlah.. lupakan dia.." Sayu kedengaran.

"Saya perlukan awak." Kata Suraya.

Suara itu terdiam sesaat. Bunyi guruh kedengaran lagi.

"Pandang sebelah awak. Saya di sini." Ujar suara itu syahdu seiring dengan bunyi angin yang bertiup.

Suraya menoleh sebelahnya. Bayang-bayang hitam yang kelihatan di dinding bilik, perlahan-lahan menyelubungi seluruh ruangan itu. Kemudian, muncul seorang lelaki dari sudut bilik tersebut. Dia mendekati Suraya sambil tersenyum kepadanya.

"Afiq.."

Suraya bangun. Lalu memeluk tubuh lelaki itu. Tangisan yang ditahan tadi terlepas juga. Afiq membalas pelukan Suraya.

"Saya takut.." luah Suraya.

"Tengok saya.." Suraya mendongak kepalanya. Pelukan dileraikan sedikit. Tetapi tangan masih berlingkar di tubuh Afiq.

"Awak kata, awak kuat.."

Suraya menarik tangannya. Dia berpaling. Air matanya jatuh lagi.

"Awak tak faham.. mimpi tu..mimpi tu.. seakan membunuh saya.. orang yang sama juga yang muncul.. dan.. dan saya takut.. Saya keseorangan.. Awak tak ada.." Dalam senduan Suraya meluahkan apa yang dihadapinya. Dia keseorangan. Dia perlukan teman.

Afiq memusingkan Suraya kembali menghadap wajahnya.

"Saya sentiasa ada, Suraya.. di sini.." Afiq meletakkan jari telunjuknya di hati Suraya. Suraya menepis.

"Awak tipu. Setiap kali saya perlukan awak. Awak menghilang!" Suraya memeluk tubuhnya. Marah.

Afiq tersenyum.

"Awak tak berubah.." ujarnya.

Suraya menoleh. Bayangan Afiq sudah hilang. Serta merta Suraya menjadi panik. Dia memandang sekeliling biliknya.

"Afiq!! Jangan tinggalkan saya!! Awak di mana?!" Jerit Suraya.

"Afiq?!" Panggil Suraya. Dia menangis di sana.

Pintu bilik ditolak dari luar.

"Suraya, kenapa ni??" Bibik Nina bergegas menerpa ke arahnya. Dia menarik Suraya ke dalam pelukan. Risau melihat Suraya tercari-cari akan sesuatu. Suraya menangis di dalam pelukan Bibik Nina.

"Dia pergi lagi." Ujar Suraya sedih.

Bibik Nina mengangguk. Cuba memahami maksud di sebalik kata-kata Suraya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience