Chapter 16

Romance Completed 9464

BAB 16

Pagi menjelang tiba..

Amanda membuka matanya. Siling bilik direnung kosong. Mindanya cuba mengimbas kembali apa yang terjadi. Memori diputar. Semalam, dia melarikan diri dari rumah. Kemudian berteduh di perhentian bas. Ketika itu hujan turun dengan lebat. Dia menahan kesejukan akibat terkena dengan tembias hujan yang tidak henti-henti menyerang bumi. Di saat itu juga, sebuah kereta berhenti di hadapannya. Seorang lelaki muncul sebelum dia jatuh pengsan. Lelaki itu adalah..

"Zarul?!" Amanda terduduk. Dia terlopong. Memorinya berjaya menangkap apa yang telah terjadi semalam.

Perlahan-lahan Amanda memandang sekeliling. Mungkinkah dia berada di rumah Zarul sekarang ini?

Amanda bangun dari katil dan membuka pintu bilik. Dia meninjau setiap sudut rumah itu. Terpegun. Dia merasa asing!

"Kau dah bangun, Amanda?"

Amanda menoleh.

Langkah Zarul yang baru sahaja menuruni tangga hendak ke dapur tersekat apabila terserempak dengan Amanda yang baru sahaja keluar dari bilik tetamu. Amanda tidak menjawab pertanyaan Zarul. Sebaliknya, dia hanya terdiam dan terkaku. Kalut mencari sudut di mana dia boleh bersembunyi dari Zarul. Hatinya tidak senang dengan pandangan mata Zarul.

Amanda merasakan bahawa Kewujudan Zarul hanya mengingatkan dia tentang perwatakan bodoh dan tidak matangnya dahulu. Dia mahu memulakan hidup baru dan melupakan segalanya. Dia mahu mewujudkan Amanda yang sudah tidak kisah lagi dengan perjalanan hidup yang tidak adil. Dia mahu jiwa yang bebas!

Tanpa mengucapkan sebarang perkataan kepada Zarul, Amanda berpaling lalu melangkah masuk ke dalam bilik semula. Dia tidak tahu apa yang dia lakukan. Apa yang pasti, dia belum bersedia untuk bersemuka dengan Zarul. Amanda mencari di mana beg besar yang dibawa bersamanya semalam. Dia mahu meninggalkan tempat itu. Dirinya tidak layak!

Zarul terkebil-kebil sendirian. Kelakuan Amanda agak pelik. Kenapa dengan kau Amanda?

Zarul mengetuk pintu bilik tetamu.

"Amanda. Mandilah dulu. Lepas tu, kita boleh sarapan bersama." Ujar Zarul.

Amanda tidak memberi respon. Zarul mengeluh. Dia menganggap sahaja Amanda mendengarnya.

Zarul merenung lama pada pintu yang tertutup itu, kemudian dengan hati yang berat dia meneruskan langkah menuju ke dapur. Belum sempat paip singki dipusing, Zarul terdengar pintu bilik terkuak.

Amanda keluar dengan membawa begnya yang besar. Dia tercari-cari jalan keluar.

"Kau nak pergi mana?" Soal Zarul dari muka pintu dapur.

"Keluar." Jawab Amanda pendek.

"Ke mana? " Soal Zarul lagi.

Amanda diam. Dia terus melangkah meninggalkan Zarul apabila matanya menangkap pintu utama. Dia tidak mahu berlama-lamaan di situ.

Zarul mengejar Amanda.

"Stay lah dulu.." Dia bimbang melihat Amanda yang sudah mahu beredar. Hatinya enggan melepaskan. Padahal baru semalam mereka bertemu. Rindu dia dengan Amanda masih belum terbalas. Dia mahu melihat Amanda lama-lama. Bukan atas dasar nafsu, tetapi hati dia yang mahu.

Amanda memegang tombol pintu, dia mahu keluar dari rumah itu secepat yang boleh. Belum sempat tombol dipusingkan. Zarul menahan tangannya. Tangan Amanda terasa panas. Automatik Zarul meletakkan belakang jarinya di dahi Amanda.

"Kau demam, Amanda. Rehat lah dulu." Ujar Zarul lembut.

Amanda tidak menghiraukan Zarul.

"Kau nak pergi mana?" Soal Zarul. Soalan yang sama disoalkan tadi. Ertinya dia benar-benar ingin mengetahui di mana arah tujuan Amanda. Amanda demam disebabkan hujan semalam. Zarul risau.

"Lepas.."

"Jawab aku, kau nak pergi mana?. Kalau ya pun nak jalan, sarapanlah dulu." Kata Zarul. Intonasi suaranya mungkin agak berlainan. Tetapi dia tidak bermaksud apa-apa. Dia cuma risau.

'Kau sakit, Amanda. Jangan pergi mana-mana. Kau buat aku risau' bisik hati Zarul.

Amanda menarik tangannya kasar. Zarul tersentak. Amanda berusaha lagi untuk membuka pintu rumah. Namun, Zarul pantas menahan Amanda kali kedua. Dia menggenggam tangan Amanda. Degil sangat..

"Lepas lah.." Bentak Amanda. Dia cuba untuk menarik tangannya kembali. Zarul malah mengeratkan genggamannya. Dia merenung tajam ke dalam mata Amanda.
Mencari punca kelakuan Amanda.

"Kalau kau nak pergi mana-mana. Aku akan hantar sekejap lagi. Tapi, kau makanlah dulu.."

Amanda mendengus. Dia tahu Zarul mengambil berat tentangnya. Cuma entah dari mana perasaan itu muncul, dia terasa seperti dikongkong dan dia tidak suka.

"Kau siapa? Kau siapa nak halang aku keluar?"

Zarul tergamam.

"Lepaskan tangan aku." Kata Amanda. Wajahnya jelas menahan marah.

"Kenapa dengan kau ni, Amanda?" Zarul tidak puas hati. Kelakuan Amanda itu berbeza dengan Amanda yang pernah dia kenal dahulu.

"Lepaskan aku lah bodoh! Aku tak mahu hidup di bawah kongkongan manusia lagi! Aku tak mahu tengok muka orang yang ada dalam masa silam aku! Aku rela mati sahaja! Sial!" Jerit Amanda. Luahan pedih berserta makian. Itulah yang dia rasa. Turun naik nafasnya menahan amarah yang membuak-buak dalam hati. Hati Amanda memberontak!

Zarul terkejut mendengar perkataan yang keluar dari mulut Amanda. Dia terguris. Sakit hati dan kecewa dengan Amanda. Benarlah.. Amanda yang dia kenal dahulu bukan Amanda yang berada di depannya.

Perlahan-lahan tangan Amanda dilepaskan.

"Kau berubah. " ucap Zarul perlahan.

Zarul memusingkan tombol pintu. Pintu dibuka. Kemudian tanpa berkata apa-apa, dia berlalu ke dapur kembali, membawa hati yang tercalar dek makian Amanda.

Amanda terdiam. Menyedari dia telah membuat Zarul terasa dengan apa yang diluahkan tadi. Air matanya jatuh. Dari dasar hati yang paling dalam, timbul sedikit sesalan. Benarlah.. Kata-kata lebih tajam dari mata pedang. Dia yakin Zarul sudah terluka.

Amanda membunuh perasaan itu. Dia adalah Amanda yang baru. Dia harus kuat untuk meneruskan hidup tanpa membelek pada kisah silamnya lagi.

'Maafkan aku, Zarul.. Aku juga tak pasti dengan hati aku.. Aku dah tak kenal diri aku siapa.. lupakan aku. Aku bukan Amanda yang kau cari.' Kata hati Amanda.

Sekali Air bah, pantai pasti berubah.

Nekad.

Amanda meninggalkan rumah Zarul tanpa menoleh ke belakang. Hendak ke mana? Dia sendiri tidak tahu. Langkah kaki dihayun meninggalkan kisah silam. Menuju ke destinasi yang tidak jelas. Hati Amanda sudah lama hancur. Tiada siapa yang mampu mengubatnya lagi.

Di dapur, Zarul bersandar pada dinding. Dia mendongak ke atas sambil menekup mukanya dengan tangan. Kecewa!

Bagai kaca terhempas ke batu.

Mungkin aku silap, aku tak seharusnya berharap macam ni..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience