LIMA

Romance Series 5664

Sudah lama rasa ingin tahu itu menyelubungi hatinya. Setiap kali berada di pejabat, dia berasa seolah-olah diperhatikan. Semua teman sepejabat lelaki dipandang dengan rasa curiga namun tiada seorang pun yang dapat disabitkan kesalahan. Pagi itu dia sudah bertekad untuk bertanya kepada Najwa. Mungkin wanita itu tahu sesuatu.

“Kak… Alys nak tanya sikit boleh tak?” Alyssa Az-Zahra sudah berdiri di sisi meja Najwa sebaik sahaja wanita itu meletakkan beg tangannya di dalam laci. Suara lembut Alyssa Az-Zahra membuatkan Najwa memandang tepat ke wajah gadis itu.

“Akak belum sempat duduk, dik. Apa sangat yang penting tu sampai tak boleh nak tunggu akak duduk ambil nafas?” soal Najwa dengan senyuman. Matanya segera terpandangkan sehelai jaket kulit hitam yang berlipat kemas di tangan gadis itu.

“Ni…” tunjuk Alyssa Az-Zahra pada Najwa. Raut wajah comel itu penuh dengan tanda tanya membuatkan Najwa tersenyum sumbing.

“Ni apa?” tanya Najwa bodoh.

“Ni... akak tahu tak jaket siapa?” suara gadis itu perlahan sahaja. Mungkin bimbang pertanyaannya di dengari oleh rakan sekerja lain. Bukan dia tidak mahu berkongsi cerita dengan teman rapatnya, Shima dan Salwa cuma dia mahu bertanya dahulu kepada Najwa.

“Bukan Alys punya ke?” duga Najwa. Alyssa Az-Zahra menggelengkan kepalanya.

“Bukan. Alys mana ada jaket macam ni. Lagipun jaket ni besar kot bila Alys pakai.” Jujur gadis itu memberitahu. Tangannya masih mengusap-usap jaket itu.

“Akak tak tahu lah, dik. Akak ingat kau punya sebab nampak kat badan kau masa demam hari tu. Dah tanya pada Shima atau Salwa? Mana tahu dorang punya ke?” usul Najwa.

“Ni lah yang Alys musykil ni kak. Lepas akak keluar hari tu, Alys terus tertidur lepas makan panadol. Sedar-sedar aje jaket ni ada kat badan Alys. Ni jaket lelaki kot kak sebab besar semacam je bila Alys pakai.” Adu Alyssa Az-Zahra.

“Akak tak tahu siapa punya. Kau simpan aje lah. Adalah tu yang kesian kat kau masa demam hari tu.” Najwa membalas selamba.

“Alys dah basuh kak. Tinggal nak pulangkan aje pada yang empunya baju ni. Dah puas belek tapi tak ada nama pun kat jaket ni.” Alyssa Az-Zahra bersuara kecewa.

Sebenarnya dia ingin mengucapkan terima kasih pada tuan punya jaket itu. Terima kasih kerana ambil berat dan kasihankan dirinya.

“Wah… ada secret admirer lah adik akak ni.” Tiba-tiba Najwa mengusik.

“Ini bukan secret admirer kak, tapi ni seram admirer!” bidas Alyssa Az-Zahra pantas. Mulutnya memuncung.

“Hahaha… seram admirer pun boleh lah dik. Ada jugak yang minat kat kau ni rupanya?” Tak puas Najwa mengusik.

“Apa akak ingat Alys ni tak laku ke?” marah gadis itu. Pantas tangannya menampar lembut lengan Najwa.

Ehem...ehem…

“Apa yang tak laku?” suara garau itu mengejutkan mereka berdua. Pantas kedua-duanya berpaling.

“Assalamualaikum bos.” ucap mereka serentak.

“Waalaikumsalam… happy nampak pagi ni?” soal Rafeq Iskandar dengan senyuman. Wajah kedua-dua wanita itu dipandang silih berganti.

Tiba-tiba matanya tertancap pada jaket kulit berwarna hitam di tangan Alyssa Az-Zahra. Wajahnya berubah. Dadanya tiba-tiba berdebar tetapi dia cuba berlagak tenang. Sepasang mata Najwa yang memandangnya tajam dengan senyuman yang sukar ditafsirkan dibalas.

“Alys ni tengah cari siapa yang selimutkan dia dengan jaket ni masa dia demam hari tu. Nak pulangkan semula jaket tu katanya.” Najwa bersuara selamba.

Alyssa Az-Zahra yang mendengar kata-kata itu segera menguis tangan Najwa. Dia kalau boleh tidak mahu lelaki itu tahu apa-apa walaupun lelaki itu termasuk juga di dalam senarai lelaki-lelaki yang dicurigai di pejabat itu.

Namun begitu hatinya sendiri menidakkan. Tidak mungkin Rafeq Iskandar yang menyelimutkan dia dengan jaket kulit itu.

“Kalau dah tak ada yang mengaku, simpan aje lah. Apa masalahnya?” beku nada suara Rafeq Iskandar tiba-tiba. Dia meneruskan langkah untuk ke biliknya.

Najwa mengerutkan kening. Dia tahu jaket itu milik Rafeq Iskandar kerana dia pernah melihat lelaki itu memakainya sebelum ini. Tetapi kenapa Rafeq Iskandar menafikannya?

“En Rafeq…” panggil Alyssa Az-Zahra tiba-tiba. Langkah kaki itu terhenti dan dia menoleh ke belakang. Dadanya sudah rasa mahu pecah. Senyuman mengejek Najwa turut terpampang di matanya.

“Hmm… hmm... jaket ni... bukan Encik Rafeq punya kan?” soal Alyssa Az-Zahra gagap. Entah kenapa soalan itu terkeluar dari ulas bibirnya. Hendak memandang tampang Rafeq Iskandar, dia tidak berani. Jadi dia hanya menunduk sambil mengunjukkan jaket kulit hitam itu.

“Bukan!” Hanya sepatah jawapan yang diterima dan lelaki itu kembali meneruskan langkah ke biliknya.

“Sudah-sudah lah tu Alys. Kalau dah tak ada siapa yang mengaku jaket tu dia punya, kau anggap je lah abang jaga tu yang letak kat badan kau masa kau tidur.” Salwa mengusik Alyssa Az-Zahra sewaktu dia ke meja gadis itu. Ketika itu Rafeq Iskandar tiada di pejabat kerana ada mesyuarat di luar.

“Kau jangan buat aku seram boleh tak, Sal?” marah Alyssa Az-Zahra. Dia tidak suka dengan keadaan ini. Keadaan di mana dia terpaksa mencurigai setiap teman pejabatnya. Sampaikan abang jaga yang selalu tersenyum dan menegurnya setiap pagi pun dia mula curiga.

“Aku gurau je lah.” Balas Salwa masih dalam senyuman mengusik.

“Kau lupakan je semua tu. Kau sepatutnya bersyukur sebab dalam diam ada juga orang yang minat kat kau. Lainlah macam aku ni…” Shima pula bersuara.

Setiap ayat yang keluar dari mulut gadis itu memang mengundang bahan gelak. Alyssa Az-Zahra yang sedang runsing juga boleh tergelak.

“Kau kalau bercakap memangkan… memang bajet minta simpati. Minta tangan sekali.” Marah Alyssa Az-Zahra dengan senyuman.

“Entah-entah Encik Jamil tak, Alys?” Salwa sekali lagi membuat andaian. Jari telunjuknya di ketuk-ketuk ke dagunya sendiri gaya orang sedang berfikir.

“Ish... tak mungkin Encik Jamil lah Sal. Dia dah kahwin kot. Mati aku kalau kak Odah tahu.” Alyssa Az-Zahra menafikan andaian itu. Terbayangkan Jamil sedang menyelimutkan dia dengan jaket kulit itu membuatkan Alyssa Az-Zahra seperti mahu ketawa.

“Haa… Tak pun Encik Amir…” Salwa sudah mula tak senang berdiri mendengar andaian Shima itu. Wajahnya tiba-tiba membahang.

“Itu aku syak jugak tu…” balas Alyssa Az-Zahra tanpa sedar.

“Sal… muka tu kenapa merah?” tegur Najwa bila dia perasan dengan perubahan wajah gadis itu. Serentak tiga pasang mata memandang ke arahnya.

“Wei Sal...kau kenapa?” Shima mula membahan. Memang tadi niatnya sengaja mahu mengenakan Salwa. Dalam diam dia tahu Salwa meminati Pengurus Bahagian Sumber Manusia itu.

“Tak ada apa-apalah. Tiba-tiba aku rasa macam aircond ni tak kuat pulak. Panas!” Spontan Salwa membalas. Kata-katanya itu membuatkan mereka semua tertawa.

“Kan bagus senyum macam tu. Dah tak payah serabut nak fikir. Nanti Alys akan tahu juga. Tuan punya jaket tu mesti kantoi satu hari nanti.” Entah macam mana Najwa boleh terlepas cakap begitu.

“Betul ke kak? Ke akak tahu siapa orangnya?” gasak Shima pada Najwa. Cepat-cepat Najwa menyambung kerjanya.

“Akak tak tahu siapa orangnya. Tapi Allah kan tahu…” Najwa cuba berlapik kata. Dalam hati dia mengutuk diri sendiri yang terlanjur kata.

Cuma sampai sekarang Najwa masih tidak faham kenapa Rafeq Iskandar tidak mahu mengaku yang jaket itu miliknya. Apakah lelaki itu malu? Tapi kenapa mesti malu? Tak salah rasanya sebagai seorang ketua Rafeq Iskandar mengambil berat hal kesihatan pekerjanya.

Tapi takkan lah semua pekerja yang sakit mahu dia selimutkan dengan jaket kulitnya? Najwa mula bersoal jawab sendiri. Ish…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience