ENAM

Romance Series 5664

Kalau kau tahu,

Perasaan sendiri jadi keliru,

Mengapa hati tak mahu mengaku?

Kalau kau tahu,

Hati sarat dengan rindu,

Mengapa perasaan cuba ditipu?

***********************************************************

Mencari pemilik jaket kulit hitam yang penuh misteri itu hanya sia-sia. Sehingga ke hari ini masih tiada siapa-siapa pun yang mahu menuntut jaket itu darinya. Kerana itu, terus dipendamkan sahaja niatnya mahu memulangkan jaket itu pada tuannya kerana dia pasti satu hari nanti dia yakin pemiliknya akan datang menuntut jaket yang mahal harganya itu.

Sejak kebelakangan ini dia kerap memakai jaket itu ketika di pejabat kerana suasana sejuk yang agak melampau. Hujan lebat setiap hari dan kesejukan alat penghawa dingin membuatkan tubuh kecilnya tidak dapat menangkis rasa sejuk. Sekurang-kurangnya jaket kulit itu dapat juga memberikan kehangatan pada tubuhnya.

Kadang-kadang otak nakal Alyssa Az-Zahra terfikir apakah kehangatan dia memakai jaket itu dapat dirasa sama oleh empunya jaket? Perasaan gila apakah yang menyerang dirinya sekarang, dia tidak tahu.

Pernah dia menyuarakan dan berkongsi rasa hatinya itu pada Maya, teman baiknya sejak zaman universiti tetapi gadis itu hanya mentertawakan dirinya. Mengatakan dia angau dan gila bayang pada pemilik jaket yang tidak dikenalinya.

Namun semua bayangan yang pernah hadir mengetuk hatinya pecah berderai satu-persatu tengahari itu. Dia malu! Dia sakit hati! Dia rasa tertipu! Semua rasa itu berlumba-lumba masuk menyesakkan otaknya. Menerbitkan rasa kecewa yang terlalu hingga menyebabkan air matanya tumpah di dalam tandas wanita di pejabatnya tengahari itu.

“Bukan jaket you ke yang setiausaha you pakai tu? I rasa macam i pernah nampak you pakai jaket tu.” Satu suara yang bertanya dengan penuh curiga dari dalam bilik Rafeq Iskandar membuatkan langkah kaki Alyssa Az-Zahra terhenti. Waktu itu dia baru sahaja mahu turun ke kantin untuk makan tengahari.

“Jaket mana?” Suara garau Rafeq Iskandar pula kedengaran.

“Jaket hitam yang Alyssa pakai tu. You punyakan?” Suara gadis yang bernama Sara itu masih mempersoalkan tentang perkara yang sama.

“Itu dia punyalah. Takkan lah i punya pulak yang dia pakai.” Nafi Rafeq Iskandar lagi.

“You… dia pakai baju tu besar gila i tengok. Tak kan lah dia tak tahu saiz badan dia. You jangan berdalih lah, Is!” rungut Sara. Suaranya yang sedikit tinggi membuatkan Alyssa Az-Zahra tersentak.

“Look Sara, kalau iya pun itu jaket i, tak ada kena mengena dengan you.” Agak kasar Rafeq Iskandar membalas.

Nasib baik sudah waktu makan tengahari perempuan itu muncul di pejabatnya, maka dia yakin Alyssa Az-Zahra pasti sudah turun untuk makan tengahari.

“I pun you tak pernah nak beri pinjam jaket you. Kenapa dia pulak boleh pakai jaket you? Atau sebenarnya you ada hubungan dengan dia?” Sara masih tidak berpuas hati.

“Jangan nak merepek! She’s my staff.” marah Rafeq Iskandar dengan suara yang agak kuat.

Langkah kaki Alyssa Az-Zahra kaku. Dia terkejut dengan kenyataan itu. Beberapa hari ini memang jaket itu akan melekap ditubuhnya kerana dia kesejukan. Keluar masuk dia ke dalam bilik CEO muda itu dan berbincang soal kerja dengan selamba tanpa dia menyedari jaket kulit itu adalah milik bosnya, Rafeq Iskandar.

Argh... baru dia teringat bagaimana semalam lelaki itu memandang dia dengan senyuman yang sukar dimengertikan.

“Nampak selesa je pakai jaket tu?” Alyssa Az-Zahra tidak tahu apakah itu satu pertanyaan atau satu ayat penyata yang keluar dari mulut lelaki itu.

Mata Rafeq Iskandar melekap lama pada jaket yang tersarung ditubuhnya dan lelaki itu tersenyum. Hubungan mereka memang agak rapat sejak seminggu ini kerana Najwa memohon cuti awal kerana dia dijangka akan bersalin beberapa hari saja lagi.

“Boleh lah bos. Sejuk sangat sekarang ni. Saya tak tahan sejuk.” Alyssa Az-Zahra menjawab jujur.

Aduh... betapa bodohnya dia kerana tidak dapat menangkap maksud di sebalik pertanyaan itu. Patutlah senyuman lelaki itu semakin melebar.

‘Bodohnya aku! Malunya!’ dia mengutuk diri sendiri. Air mata yang mahu gugur di tahan.

“Dia demam. So I  bagi pinjam. Salah ke? Lagi pun cuaca sekarang sejukkan. Kat luar tu hujan dari pagi dan kat dalam pulak sejuk sangat. I kasihankan dia aje. You janganlah fikir yang bukan-bukan.” Nada memujuk Rafeq Iskandar pada Sara membuatkan Alyssa Az-Zahra tersedar. Terbang semua lamunannya beberapa hari lalu.

Alyssa Az-Zahra sudah tidak sanggup untuk berlama-lama di situ lagi. Mendengar segala perbualan mereka hanya menambahkan rasa kecewa dan malu pada dirinya sendiri. Pantas dengan langkah yang berat, kakinya di arah menuju ke tandas.

Sudah setengah jam dia mengutuk dirinya di dalam tandas itu. Lelaki bernama Rafeq Iskandar itu turut menerima caci makinya di dalam hati. Sampai hati lelaki itu membuatkan dia malu. Dia juga tidak dapat mencari alasan kukuh mengapa Rafeq Iskandar tidak mahu mengaku bahawa jaket kulit itu miliknya sedangkan dia sudah pun bertanya dan menyatakan bahawa dia mahu memulangkan jaket itu pada yang empunya.

Bila menyedari jam sudah beranjak ke pukul satu setengah petang, dia harus segera solat dan meletakkan jaket itu di atas meja bosnya. Dia tidak mahu di malukan lagi. Apa reaksinya bila berhadapan dengan Rafeq Iskandar nanti tidak dipedulikan.

“You rupanya. Lamanya dalam tandas?” Sara bertanya sebaik melihat kelibat Alyssa Az-Zahra di cermin besar di dalam tandas itu. Wajah yang nampak kemerahan itu membuatkan dia sedikit pelik.

“You tak sihat ke?” tanyanya lagi ingin tahu. Alyssa Az-Zahra hanya tersenyum. Entah ikhlas atau tidak sikap ambil berat gadis itu dia tidak tahu. Yang dia tahu ketika ini hatinya masih sakit.

“Saya sihat Cik Sara. Selsema sikit je.” Balas Alyssa Az-Zahra bila dirasa kurang sopan pula jika dia hanya mendiamkan diri.

“Saya keluar dulu. Nak solat.” Sambung Alyssa Az-Zahra sebelum melangkah ke pintu untuk keluar dari tandas wanita itu.

“Hmm… Alyssa…” panggil Sara lembut bila gadis itu dilihat sudah memegang tombol pintu. Alyssa Az-Zahraberhenti dan berpaling.

“I harap you dapat pulangkan semula jaket bos you. Mungkin dia tak nak you kecil hati tapi dia sangat sayangkan jaket tu.” Sara bersuara selembut mungkin. Walhal sakit hatinya pada gadis itu begitu membukit.

Alyssa Az-Zahra terkedu. Tanpa menunggu lebih lama dia terus berlalu.

Dalam diam dia memasang tekad, sebaik sahaja Najwa memulakan semula tugasnya sehabis pantang nanti, dia mahu memberi surat perletakan jawatan. Lagi pula abang ngahnya sudah bersetuju mahu membantu dia merealisasikan cita-citanya.

Rafeq Iskandar masuk ke pejabat semula pada jam tiga petang. Ketika itu dia melihat Alyssa Az-Zahra sedang khusyuk menaip di komputer. Pasti sedang menyiapkan senarai harga yang diminta untuk tender yang akan ditutup beberapa hari saja lagi. Dia juga meminta gadis itu menyemak semula harga tender sebelum ini samada terdapat kenaikan harga atau tidak di pasaran luar.

Tiba-tiba langkah kakinya kaku sewaktu dia tiba di mejanya. Sehelai jaket hitam yang berlipat kemas terdampar di situ. Rafeq Iskandar terduduk. Dia amat yakin Alyssa Az-Zahra sudah mendengar segala-galanya.

Jaket kulit hitam itu di angkat. Sekeping kertas jatuh ke pangkuannya.

Terima kasih. Tapi maaf… tak sempat cuci!

Berulang kali nota ringkas itu di baca. Dia mengeluh. Kalau bukan kerana Sara datang untuk berjumpa dengannya, pasti Alyssa Az-Zahra tidak akan tahu dan akan terus memakai jaket itu.

‘Tapi kenapa aku kena kalut pulak kalau dia pulangkan?’

‘Kau sedih kan?’ hatinya menggasak.

‘Nak sedih kenapa? Bukan awek aku pun. Syok kat dia pun tak!’

‘Ye ke?’ hatinya masih bercanda.

Ketukan di muka pintu mematikan lamunannya. Dia membetulkan duduk dan meletakkan jaket itu di atas meja sebelum mengarahkan Alyssa Az-Zahra masuk.

“Ini semakan harga yang Encik Rafeq minta.” Ucap Alyssa Az-Zahra perlahan. Dia perasan mata bosnya itu mengikuti setiap gerak-gerinya.

Sebaik meletakkan fail di atas meja, dia terus berpusing untuk keluar. Dia tidak mahu berlama-lama menatap lelaki itu. Hatinya sakit dan rasa tertipu. Selebihnya dia berasa tersangat malu.

“Alyssa Az-Zahra!” panggil Rafeq Iskandar keras dan tegas. Dia masih mahu mengatakan sesuatu tetapi tindakan gadis itu untuk segera keluar dari biliknya memaksa dia untuk bertegas.

“Yes bos?” Alyssa Az-Zahra kembali menoleh. Seraut wajah bersalah di hadapannya dipandang seketika sebelum anak matanya dilarikan ke arah lain.

“I am so sorry.” Lafaz itu terkeluar dari bibir merah Rafeq Iskandar. Tanda lelaki itu bukan seorang perokok.

“Kenapa sorry? Bos bukan ada buat salah pada saya pun.” Perlahan Alyssa Az-Zahra menjawab. Menyindir.

“Jaket ni…” unjuk Rafeq Iskandar ke arah Alyssa Az-Zahra.

“Terima kasih bagi pinjam. Tapi maaf sebab saya tak sempat nak cuci. Kalau saya tahu bos sayang sangat jaket ni dan kalau saya tahu jaket ni bos punya, dah lama saya pulangkan.” Potong Alyssa Az-Zahra pantas sebelum Rafeq Iskandar menghabiskan ayatnya.

“Siapa cakap saya sayang sangat jaket ni?” Soal Rafeq Iskandar sedikit pelik. Jaket itu hanyalah salah satu koleksi jaket yang dia ada.

“Cik Sara.” sepatah Alyssa Az-Zahra membalas.

“Sara cakap apa lagi dengan you?” Soal Rafeq Iskandar sedikit keras. Dalam hatinya rasa marah pada Sara begitu membukit.

“Tak ada apa-apa. Itu aje. Saya keluar dulu bos.” Alyssa Az-Zahra terus melangkah keluar. Dia malu. Dia sakit hati.

“Alyssa Az-Zahra…” panggil Rafeq Iskandar. Alyssa Az-Zahra menoleh sekali lagi.

Tidak semena-mena Rafeq Iskandar mengambil jaket itu lantas menciumnya beberapa kali. Terbeliak mata Alyssa Az-Zahra melihatkan tindakan ketuanya itu.

“Wangi!” sambil tergelak-gelak lelaki itu mengucapkan perkataan itu. Tanpa berlengah Alyssa Az-Zahra terus keluar dari bilik itu dengan hati yang sebal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience