ENAM BELAS

Romance Series 5664

Sesekali,

Rindu itu hadir,

Menghambat ingatan…

Sesekali itu,

Membuat aku tewas,

Melawan perasaan…

*********************************************************

    Dengan ditemani oleh Iman Mikhail, segala urusannya untuk membuat pendaftaran syarikat dan membuka akaun bank telah selesai pada tengahari itu. Syukur ke hadrat Ilahi yang telah mempermudahkan segala urusannya dengan bantuan Haji Bakhtiar, ayahnya dan Iman Mikhail lelaki yang sudah di anggap seperti abangnya sendiri.

    Setelah hampir dua bulan dia memulakan perniagaan tanpa pendaftaran syarikat dan tanpa akaun bank yang benar-benar berdaftar secara sah, hari ini Alyssa Az-Zahra sudah boleh tersenyum dan menarik nafas lega. ‘Sweet Alys’ hari ini sudah boleh beroperasi dengan sempurna.

    “Terima kasih tau sebab abang temankan Alys settlekan semua urusan hari ni. Lepas ni dah tak payah pening-pening lagi.” Ucap Alyssa Az-Zahra semasa mereka sama-sama melangkah keluar dari Bank Islam cawangan Bandar Botanik, Klang. Iman Mikhail hanya tersenyum sambil mengangguk. Langkah terus diatur menuju ke kereta. 

    “Sama-sama. Tapi… Alys kena tolong abang pulak sekarang.” Beritahunya selepas kereta mula bergerak perlahan meninggalkan lot meletakkan kenderaan. Alyssa Az-Zahra memandang Iman Mikhail yang menumpukan perhatiannya ke atas jalan raya tengahari itu. 

    “Tolong apa pulak ni?” meleret Alyssa Az-Zahra bertanya. Sekadar mengusik lelaki itu.

    “Tolong temankan abang lunch dengan kawan-kawan abang sekejap. Lepas tu baru abang hantar Alys balik. Boleh?” tanyanya. 

    “Abang ni pandaikan, abang tanya tapi lepas tu abang tak tunggu pun Alys setuju ke tak, abang terus pergi. Ni paksaan namanya!” bentak Alyssa Az-Zahra lembut. 

Baru dia perasan kereta yang dinaikinya sudah menuju ke Pusat Bandar Klang. Bukan dia benar-benar marah tetapi lebih kepada ingin mengusik. Iman Mikhail ketawa mendengar ayat yang dituturkan oleh gadis itu. Wajah gadis itu yang tersenyum di kerling sekilas. ‘Mati aku kalau dia tahu niat aku yang sebenarnya.’ Bisik hati kecilnya. 

    “Abang ni tak pernah nak berteman bila makan tengahari tiba-tiba nak berteman pulak hari ni. Abang sebenarnya nak keluar dengan perempuan mana ni?” Alyssa Az-Zahra cuba menyerkap jarang. Iman Mikhail ketawa lagi.

    “Abang nak keluar dengan kawan masa sama-sama belajar di universiti dulu. Ada lelaki dan ada perempuan. Dah janji nak makan tengahari sebelum kita mula puasa.” Sambung Iman Mikhail. Dia sudah lama meninggalkan universiti dan mereka bertiga, dia, Rafeq Iskandar dan Ain Liyana masih berkawan baik dan rapat sehingga kini.

    “Oh ye ke... Tapi puasakan seminggu lagi?” Alyssa Az-Zahra bertanya.

“Dia orang tu sibuk kononnya. Hari ni abang cuti so abang paksa dia orang keluar. Alys lainlah... Alys bisnes sendiri. Bila-bila suka boleh keluar.” Iman Mikhail tersengeh-sengeh sambil mengusik. 

Sebenarnya tiada paksaan pun antara dia, Rafeq Iskandar dan Ain Liyana. Mereka bertiga memang sudah berjanji. Maka dia mengambil kesempatan itu untuk bersetuju menemani Alyssa Az-Zahra menguruskan segala hal gadis itu.

“Bisnes sendiri lagilah kena serius abang. Mana boleh suka-suka nak ponteng. Tapi Alys okay je nak temankan abang. Sebagai membalas jasa baik abang sebab temankan Alys tadi.” Hanya itu yang dibalas oleh Alyssa Az-Zahra bila telefon bimbitnya berbunyi dan dia mula melayan panggilan tersebut.

    “Jom turun. Dah sampai.” Ajak Iman Mikhail bila Alyssa Az-Zahra masih sibuk mencatat tempahan di dalam mini ipad miliknya. 

    “Kita nak makan kat mana ni?” soal Alyssa Az-Zahra bila turun dari kereta. Mereka kini berada di Aeon Bukit Rajah.

    “Kita makan kat food court je. Alys okay kan?” Iman Mikhail bertanya perlahan. Bimbang pula dia jika gadis itu tidak selesa walaupun dia tahu Alyssa Az-Zahra bukan jenis perempuan yang memilih.

    “Food court aje? Abang ni… bawaklah Alys pergi makan kat hotel ke atau paling cekai pun secret recipe ke?” Alyssa Az-Zahra menghentikan langkah.

“Haa? Tak okay ke ni?” Iman Mikhail pantas bertanya. Mana dia tahu Alyssa Az-Zahra mahu makan di tempat lain. Dia sudah menggaru-garu kepalanya. Alyssa Az-Zahra yang melihat gelagat lelaki itu sudah ketawa besar.

“Tak lah. Alys okay je. Ikut suka abang.” Balasnya selamba. Dia masih ketawa kecil melihat jelingan tajam Iman Mikhail. Mereka beriringan menaiki escalator dan menuju ke food court di tingkat satu.

    “Hai!” tegur satu suara dari arah belakang ketika kaki mereka memasuki ruang food court yang agak lengang hari itu. 

Kaku kaki Alyssa Az-Zahra bila dua pasang mata memandang ke arahnya dengan pandangan yang berbeza. Lemah lutut dirasakan saat itu. Dia menelan liur. Cuba mengembalikan ketenangan dalam dirinya.   

    Dalam banyak-banyak manusia di atas muka bumi Allah ini, manusia itu lah yang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk dia bertemu. Dia sudah belajar membuang semua perasaan marah, kecewa, malu dan rindu pada lelaki itu. Tetapi siapa pula dia yang mahu mempertikaikan semua takdir Allah. Alyssa Az-Zahra beristighfar di dalam hati.

    “Ni aku kenalkan, Alyssa Az-Zahra. Ni kawan abang, Rafeq Iskandar dan Ain Liyana.” Iman Mikhail memperkenalkan mereka. Mengembalikan Alyssa Az-Zahra ke alam nyata. 

Alyssa Az-Zahra bersalaman dengan gadis cantik yang diperkenalkan sebagai Ain Liyana itu. Dia kenal gadis itu. Gadis sama yang pernah dilihatnya bersama bekas majikannya dulu. Pada Rafeq Iskandar dia sekadar menganggukkan kepala. Selebihnya dia tidak sanggup memandang wajah lelaki itu. 

Teringat hari-hari terakhir dia di Rekabina Kreatif sudah cukup membuatkan jantungnya berdegup laju. Masih terbayang-bayang saat lelaki itu meletakkan jari ke bibirnya. Alyssa Az-Zahra menarik nafas panjang. 

    “Kau tak payah kenalkan pun aku dah kenal dia ni.” Beritahu Rafeq Iskandar sambil duduk berhadapan dengan Alyssa Az-Zahra. Rindunya pada seraut wajah itu hanya Allah yang tahu. 

Iman Mikhail yang duduk di sebelah Alyssa Az-Zahra hanya memandang kedua-duanya dengan dahi berkerut. Bila pandangan matanya bersatu dengan pandangan Ain Liyana yang penuh tanda tanya, dia segera mengalihkan pandangan. Pandangan kosong gadis itu menikam jauh ke dasar hatinya.

    “Bila kau kenal dia?” Tanya Iman Mikahil penuh curiga.

    “Encik Rafeq Iskandar ni bekas bos Alys. Alys dulu pernah bekerja di Rekabina Kreatif.” Jujur Alyssa Az-Zahra bercerita secara ringkas. Tetapi matanya sedikit pun tidak memandang bekas majikannya itu. Rafeq Iskandar mengangguk.

    “Oh…” hanya itu yang terluah dari bibir Iman Mikhail bila mana Rafeq Iskandar sudah memotong percakapannya.

    “Jom lah beli makanan. Aku dah lapar ni.” Rafeq Iskandar bangun diikuti oleh Iman Mikhail. 

    “Abang belikan apa-apa aje okay?” Tanya Iman Mikhail pada Alyssa Az-Zahra. Melihat gadis itu menganggukan kepalanya, dia memandang pula kepada Ain Liyana di hadapannya.

    “You nak i belikan apa Yana?” Tanya Iman Mikhail lembut pada gadis itu. Ain Liyana berlagak selamba. Matanya beralih kepada Rafeq Iskandar.

    “I makan apa yang you makan Mr. Rafeq Iskandar.” pinta gadis itu perlahan. 

Entah kenapa hatinya sakit melihat kemesraan Iman Mikhail dengan gadis kecil molek itu. Hatinya tercalar. Jiwanya luka. Seleranya hilang. Dia hanya ingin menangis dan menangis tetapi ditahan dan dikawal segala perasaan yang berkecamuk ketika ini. Ain Liyana kecewa sendiri.

    Alyssa Az-Zahra yang perasan dengan raut duka itu hanya mengerutkan kening melihat lakonan insan-insan di hadapannya. Ada sesuatu yang menjentik naluri kewanitaanya.

    “Apa hubungan kau dengan budak tu?” soal Rafeq Iskandar ketika mereka sedang beratur untuk membayar harga makanan. Iman Mikhail masih dengan senyumannya.

    “Budak mana?” soal Iman Mikhail buat-buat tidak tahu.

    “Alyssa Az-Zahra! Come on la Man. Aku tahu kau tahu kita sedang bercakap pasal siapa sekarang.” Jawab Rafeq Iskandar.

    “Oh… Alys. Buat masa ni masih belum ada apa-apa hubungan. Esok-esok tak pasti lagi. Kenapa?” Balas Iman Mikhail selamba.

    “Serius lah bro... Kau tak tengok ke muka Yana tadi?” sambung Rafeq Iskandar tak puas hati. 

Siapa pun Alyssa Az-Zahra pada sepupunya itu, dia tidak mahu gadis itu menjadi punca keretakan hubungan dingin antara Iman Mikhail dengan Ain Liyana. Hatinya tertanya-tanya bagaimana Iman Mikhail boleh berkenalan dengan Alyssa Az-Zahra tetapi dia malas mahu bertanya.

    Selebihnya dia sakit hati melihatkan ketenangan di wajah Alyssa Az-Zahra. Dia sakit hati bila mengingatkan cara gadis itu meninggalkan syarikat dan meninggalkan dirinya. Dia sakit hati bila setiap panggilan telefon dan mesejnya tidak dijawab dan tidak dibalas oleh Alyssa Az-Zahra.  

    “Is... aku dengan Yana pun tak ada apa-apa hubungan. So tak salahkan kalau aku keluar dengan mana-mana gadis pun?” Perlahan Iman Mikhail membalas. 

    “Tapi kau tahukan dia suka kat kau? Kenapa kau buat dia macam ni?” Rafeq Iskandar terus bertanya. Keliru dia dengan hubungan kedua-dua temannya itu. 

Dia tahu Ain Liyana menyukai Iman Mikhail dan dia dapat rasakan perkara yang sama pada Iman Mikhail. Cuma dia tidak tahu sejauh mana dan seserius mana hubungan mereka. 

    “Dia tak pernah cakap dengan aku yang dia suka aku. Kau saja yang memandai.” Iman Mikhail masih berlagak selamba walau dalam hatinya hanya tuhan yang tahu betapa dia sudah lama menaruh hati pada teman seuniversitinya itu. Sudah hampir lima tahun dia mengenali gadis itu namun belum sekali dia menyuarakan rasa hatinya.

    “Come on lah bro... dia perempuan kot... memang tak lah dia nak cakap dia suka kat kau dulu. Tak kan itu pun kau tak faham?” bebel Rafeq Iskandar.

    “Drop the topic Is... please!” pinta Iman Mikhail bila mereka semakin menghampiri meja yang diduduki oleh Alyssa Az-Zahra dan Ain Liyana. Niat hatinya untuk mempertemukan Rafeq Iskandar dan Alyssa Az-Zahra akhirnya menjerat diri dan hatinya sendiri. Dia melepaskan keluhan dalam diam.

    “So lepas berhenti kerja, sekarang you buat apa Cik Alyssa Az-Zahra?” soal Rafeq Iskandar pada gadis yang duduk di hadapannya. Alyssa Az-Zahra yang dari tadi tunduk menghadap makanannya mengangkat kepala. Mata mereka bertentangan. Ada debaran hebat yang mengetuk hatinya.

    “Saya sekarang kerja kat rumah aje. Masak, buat kuih, kemas rumah, makan, tidur.” Selamba Alyssa Az-Zahra memberitahu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu bekas majikannya itu tahu apa yang dia buat sekarang. Entah kenapa hatinya merasa kurang selesa.

    “Maksud you macam orang gaji lah or as a baby sitter?” soal Rafeq Iskandar lagi dengan dahi berkerut. Sengaja dia menyebut perkataan orang gaji untuk menghina walaupun dia seperti tidak percaya kalau Alyssa Az-Zahra bekerja sebagai orang gaji selepas berhenti kerja dengan syarikatnya. 

    “Bukan orang gaji lah...” sampuk Iman Mikhail untuk membetulkan tanggapan Rafeq Iskandar. Tetapi kata-katanya terhenti bila Alyssa Az-Zahra cepat menyampuk sambil kakinya menendang kaki Iman Mikhail. Berkerut dahi Iman Mikhail dengan tendangan itu.

    “Lebih kurang macam orang gaji lah. Tapi abang Iman tak suka perkataan orang gaji tu.” Alyssa Az-Zahra bersuara lagi sambil melemparkan senyuman pada Iman Mikhail.

    Orang gaji pun orang gaji lah. Bukan hina pun pekerjaan sebagai orang gaji. Yang penting jujur dan halal rezeki yang di peroleh.

    ‘Abang Iman? Uweekk!! Nak termuntah aku!’ Ain Liyana berkata-kata di dalam hati. Menyampah dia mendengar Alyssa Az-Zahra memanggil Iman Mikhail dengan perkataan abang. Sakit jiwanya! Dari tadi dia hanya diam dan sesekali menyampuk perbualan mereka.

    “I ingat you dapat offer lebih baik sebab tu you berhenti kerja dengan i? Tak ada surat perletakan jawatan pun. Sungguh tak beradab.” Sindir Rafeq Iskandar. Puas hatinya dapat mengenakan Alyssa Az-Zahra.

    “Well… saya rasa mungkin disebabkan oleh faktor usia kot maka Encik Rafeq lupa yang Encik Rafeq koyakkan surat perletakan jawatan saya. Atau Encik Rafeq nak saya ingatkan semula?” sindir Alyssa Az-Zahra pedas. Wajah lelaki di hadapannya ditatap tajam. Namun senyuman yang tersungging di bibir Rafeq Iskandar membuatkan dia kalut.

    Iman Mikhail dan Ain Liyana hanya diam menyaksikan drama sebabak itu. Tidak tahu apa sebenarnya yang sudah atau pernah terjadi di antara Alyssa Az-Zahra dan Rafeq Iskandar. Bagaimana tegang keadaan mereka namun ayat ‘faktor usia’ yang disebut oleh Alyssa Az-Zahra tetap membuatkan bibir Iman Mikhail seperti mahu ketawa. 

“By the way, kemudian saya ada beri surat perletakan jawatan dalam tempoh 24 jam. Mungkin terkoyak juga kot…” balas Alyssa Az-Zahra lagi masih juga selamba. Nada suaranya terkawal dan lembut sahaja.

    Iman Mikhail dan Ain Liyana seperti halimunan sahaja pada mereka. Seperti kedua-dua manusia itu tidak wujud. Mereka terus bertikam lidah. Melepaskan segala rasa yang sudah lama terpendam.

    “Oh ye ke? Hmm… mungkin betul i lupa. Biasalah dah tua-tua ni kan… boleh you tolong ingatkan?” cabar Rafeq Iskandar. Wajah Alyssa Az-Zahra yang sudah merah dan tegang dipandang dengan senyuman mengejek.

      “Baiklah. Orang tua kita kena hormatkan. Saya hantar surat perletakan jawatan saya pada HR. Tahu-tahu saja surat tu ada pada Encik Rafeq. Maybe Encik Amir yang beri pada encik atau encik yang minta, saya tak pasti. Lepas Encik Rafeq marah-marah sebab kerja saya banyak silap dan Encik Rafeq tak beri peluang pun pada saya untuk menjelaskan apa-apa, Encik Rafeq koyakkan surat perletakan jawatan saya dan beri semula pada saya. Encik Rafeq cakap…” suara Alyssa Az-Zahra berubah. Dia menunduk.

Nyata rasa marahnya pada lelaki itu masih ada. Nyata setiap kata-kata lelaki itu juga tidak pernah dan tidak mungkin akan dia lupakan. Setiap baris kata-kata itu menyakitkan hatinya. Membuatkan dia rasa terhina.

    Melihatkan raut wajah Alyssa Az-Zahra yang sendu, Rafeq Iskandar sedikit kesal. Tetapi kerana rasa marahnya pada gadis itu yang terus menghilangkan diri, dia sengaja berbuat begitu.

    “Encik Rafeq cakap tak akan terima surat perletakan jawatan saya sebab Encik Rafeq belum puas mendera saya. Sekarang dah ingat? Well now, please excuse me… Alys pergi ladies sekejap abang.” Alyssa Az-Zahra bingkas bangun. Sakit hatinya pada Rafeq Iskandar sudah tidak dapat ditahan lagi.

    Alyssa Az-Zahra rasa mahu menjerit dan menangis pada waktu yang sama. Terhapus sudah rasa rindunya pada Rafeq Iskandar dengan perbuatan lelaki itu yang memalukannya di hadapan Iman Mikhail dan Ain Liyana. Dia malu!

    Rafeq Iskandar melurut rambutnya kebelakang. Melihatkan Alyssa Az-Zahra yang berlalu membuatkan dia rasa ingin mengejar dan meminta maaf. Tetapi egonya menghalang. Biarlah… Biarkan… hatinya berbisik sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience