DUA BELAS

Romance Series 5664

Rasa ini tak kita undang ia,

Tak juga kita tolak hadirnya,

Kerana rasa indah itu,

Membuat kita bahagia,

Rindu dan sayang ini,

Tak mungkin kekalnya,

Kerana hati kita sudah di punya…

******************************************************

    Wajah murung dan tidak bermaya Rafeq Iskandar setelah dua hari bercuti hanya dipandang dengan penuh tanda tanya oleh Alyssa Az-Zahra. Untuk bertanya masalah majikannya itu, dia tidak berani. Lagi pula hubungan mereka yang agak dingin sejak kebelakangan ini menambahkan lagi ketidakselesaan dirinya untuk mengambil tahu tentang lelaki itu. Akhirnya segala persoalan yang bermain di benaknya hilang begitu sahaja tanpa jawapan.

    “Alyssa Az-Zahra… masuk sekejap.” Arah Rafeq Iskandar dari interkom yang ditekan. Alyssa Az-Zahra yang sedang mengelamun sedikit terkejut. Pantas tangannya mencapai diari dan pen, dia melangkah ke arah bilik CEO Rekabina Kreatif.

    “Yes, bos?” tanyanya dengan gaya seorang kakitangan yang sudah bersedia menerima arahan. Dahinya berkerut melihat Rafeq Iskandar yang sedang memicit-micit dahi. Masih sakitkah dia? Hatinya yang terlalu perihatin itu tetap sibuk bertanya.

    “I nak minta tolong you siapkan proposal ni. I tak larat nak menaip lagi. I dah buat separuh and you just finish it. Boleh tak?” soal Rafeq Iskandar dengan senyuman terpaksa.

    Memang dari pagi kepalanya berdenyut-denyut sakit. Dia hanya inginkan rehat yang seketika buat masa ini. Melihatkan wajah tidak bermayanya pagi tadi, Hajjah Khatijah sudah melarang dia untuk ke pejabat. Tapi dia yang bertegas mengatakan yang dia tidak apa-apa.

    Duduk di rumah hanya akan membuatkan dia terkenangkan Linda dan paksaan kahwin oleh Haji Rosli dan Hajjah Khatijah. Maka lebih baik dia menyibukkan dirinya dengan urusan-urusan pejabat saja.

    “Encik Rafeq nak saya ambilkan panadol ke?” tanya Alyssa Az-Zahra menunjukkan simpati.

    “Tak perlu. You cuma tolong siapkan kertas kerja ni. I nak berehat sekejap.” Ulang Rafeq Iskandar.

    “Give me the pen-drive and i’ll settle it for you.” Minta Alyssa Az-Zahra. Dia masih berdiri tegak di hadapan meja Rafeq Iskandar.

    Rafeq Iskandar bangun dari kerusinya. Lalu mengarahkan Alyssa Az-Zahra duduk di tempatnya. Serba salah gadis itu.

    “Saya buat di luar saja Encik Rafeq.” Mohon Alyssa Az-Zahra. Tidak sanggup dia berdua-duaan dengan lelaki itu di dalam biliknya. Lebih banyak buruk dari baiknya dan selebihnya dia takut menimbulkan gossip di pejabat itu nanti.

    Hatinya yang sudah terlanjur suka kepada lelaki itu juga perlu dijaga. Jangan sampai dia terus perasan sendiri. Yang lebih dia bimbangkan andai Rafeq Iskandar dapat menghidu perasaannya. Buat malu saja. Seperti perigi mencari timba.

    “Jangan takutlah. I tak akan buat apa-apa pada you. I nak rehat di sofa dan you buat kerja di meja i. Kalau ada apa-apa yang you tak faham, boleh terus tanya.” Rafeq Iskandar berlalu ke sofa. Wajahnya tetap serius.

    Terpinga-pinga Alyssa Az-Zahra bila di arah begitu. Namun hatinya tetap tidak enak dengan situasinya sekarang ini. Memanglah Rafeq Iskandar tidak akan mengapa-apakan dirinya tetapi… hatinya yang sudah sedikit terlanjur menyukai lelaki itu tidak dapat berkompromi langsung. Dup dap dup dap dari tadi. 

Sebelum menempatkan dirinya di sofa di dalam bilik itu, Rafeq Iskandar terlebih dahulu membuka pintu bilik seluas-luasnya. Tindakan biasa yang akan dia atau Alyssa Az-Zahra buat jika mereka mempunyai perbincangan yang lama berdua. Selesa bersandar di sofa yang bertentangan dengan meja kerjanya, dia memejamkan mata.

Dengan langkah terpaksa dan teragak-agak, Alyssa Az-Zahra duduk juga di kerusi yang besar lagi selesa itu. Itulah pertama kalinya dia duduk di kerusi CEO syarikat. Sangat selesa dan sangat tidak sesuai dengan tubuhnya yang kecil. Sejenak dia menyelak-nyelak lampiran yang sudah disiapkan oleh bosnya. 

‘Pergh… ini bukan separuh. Ini baru suku. Banyak lagi nak taip ni!’ dia merungut di dalam hati. Namun saat matanya menatap wajah lesu Rafeq Iskandar yang tersandar, dia bersimpati. 

‘Ish... susah jadi kau ni Zara… cepat sangat kesian kat orang.’ Hatinya meneruskan rungutan. 

Melihatkan raut Alyssa Az-Zahra yang sekejap-sekejap memandang ke arahnya membuatkan Rafeq Iskandar tersenyum sendiri. Dengan bukaan matanya yang sedikit, dapat dilihat gadis itu sekejap menggeleng dan sekejap mengangguk kepala. Entah apa saja rungutan gadis itu, dia tidak tahu. Tapi seraut wajah tenang itu menenangkan juga hatinya.

“Eh… sejak bila girlfriend i ni naik pangkat?” satu suara terdengar dari arah muka pintu. Alyssa Az-Zahra pantas mendongak. Tersenyum dia memandang Jamil yang semakin menghampiri.

Terkejut sedikit dia yang ketika itu sedang melayan lagu-lagu dan celoteh DJ radio Hot FM yang sudah sedia terpasang perlahan di dalam bilik Rafeq Iskandar itu. Jamil yang tidak perasankan adanya Rafeq Iskandar di sofa, meneruskan usikannya.

“You jangan duduk lama-lama di kerusi tu Alys. Nanti haruman tuan punya kerusi tu melekat pada you, tak tidur malam you nanti. Yang susahnya i jugak.” Jamil berseloroh. Dia menghampiri meja besar CEO Rekabina Kreatif. Alyssa Az-Zahra sudah tergelak kecil.

“Kalau saya tak tidur malam, kenapa Encik Jamil pulak yang susah?” tanya Alyssa Az-Zahra. Dia tahu bekas ketuanya itu hanya bergurau. 

Namun yang lelaki itu tidak tahu ialah haruman yang dipakai oleh Rafeq Iskandar selalu menggodanya tetapi tidak mungkin dia akan memberitahu perkara itu kepada sesiapa jua pun.

“Bukan you dah janji dengan i nak jadi yang nombor dua ke?” Jamil meneruskan usikan. Hahahaha… Alyssa Az-Zahra ketawa lepas. Lupa seketika di mana dia berada. Terhibur dia dengan gurauan Jamil. 

“Tak nak lah saya Encik Jamil. Nanti kak Odah marah.” Galak Alyssa Az-Zahra membalas.

“Butang baju melayu abang mana, Odah?” Jamil meniru gaya dan dialog dalam filem madu tiga lakonan allahyarham P. Ramlee. Filem yang tak pernah jemu ditonton oleh pelbagai lapisan umur. Mereka sama-sama ketawa.

“Dah lah tu… you jangan nak merepek lagi Mil. What’s up?” pertanyaan Rafeq Iskandar itu membuatkan tawa mereka terhenti. Jamil terus berpusing ke arah sofa dan mendapati Rafeq Iskandar ada di situ. Dia tersipu-sipu. Alyssa Az-Zahra pantas menunduk kerana dia menyangka majikannya itu terlelap.

“Laaa… ada kat sini? Sampai hati you tak bagi tahu i, Alys.” Pantas Jamil menghampiri Rafeq Iskandar. Alyssa Az-Zahra hanya tersenyum-senyum.

“Kau ni kenapa?” Tanya Jamil pada Rafeq Iskandar bila dia sudah duduk di sofa yang sama. 

“Tak ada apa. Sakit kepala sikit.” Dengan malas Rafeq Iskandar menjawab. 

Memang kepalanya sakit ketika itu tetapi entah kenapa hatinya lebih sakit melihatkan gurauan antara sahabat merangkap kakitangannya itu dengan Alyssa Az-Zahra. Paling dia tidak suka mendengar gelak tawa Alyssa Az-Zahra yang bebas bila bersama Jamil.

Alahai hati… mengapa sukar benar dimengerti?

“Kalau kau tak sihat, esok-esok saja lah kita berbincang.” Balas Jamil. Simpati pula dia pada majikannya itu.

“Aku okaylah…” Rafeq Iskandar sudah menegakkan badan.

Perbincangan di antara Rafeq Iskandar dan Jamil tidak lama. Selepas lelaki itu keluar dari biliknya, Rafeq Iskandar kembali bersandar. Matanya dihalakan ke arah Alyssa Az-Zahra yang sedang khusyuk dengan kerjanya. Terleka dia seketika.

Lagu Maafkan Aku nyanyian Asfan yang berkumandang ketika itu membuat Rafeq Iskandar hanyut terus dengan dunianya.

Lama sudah ku mencari bayang-bayangmu,

Yang hilang bertahun-tahun,

Yang makin reput,

Bila tersedar di atas kesilapan diriku,

Ku lupakan cerita lama dan terus kembali,

Maafkanlah aku bila aku melukai hatimu,

Mungkin juga kita yang terlupa siapakah diri ini,

Bila tiada lagi ku sedari kisah ini terhenti,

Cubalah fahami cinta ini memerlukan kau dan aku.

Saat bait-bait kata lagu itu kedengaran, Alyssa Az-Zahra mengangkat wajah. Mereka sama-sama terkedu. Mata bertentangan tanpa bicara. Lama! 

Tidak terdaya untukku menanggung rindu,

Dan tidak terdaya aku melepaskanmu,

Bila tersedar di atas kesilapan diriku,

Ku lupakan semua dan kembalilah…

Tanpa menunggu lebih lama, Rafeq Iskandar pantas bangun dan keluar dari biliknya meninggalkan Alyssa Az-Zahra yang terkaku sendiri. Sebaik bayang lelaki itu hilang, setitis air matanya jatuh. Alyssa Az-Zahra tidak mengerti untuk apa air matanya harus mengalir. Namun ada sesuatu perasaan halus yang sangat mengganggu hatinya ketika ini.

Sudah di asuh hatinya agar tidak terus ditimpa perasaan. Namun hatinya tetap degil. Sudah dingatkan juga yang jatuh itu sakit. Tapi tetap itu juga mahunya. Sudah terang lelaki itu tidak punya perasaan padanya tapi mengapa dia seperti mengharapkan sesuatu pula? Alyssa Az-Zahra… jangan jadi bodoh! Sedarlah!

Lama dia berkeadaan begitu. Melayan rasa kecewa kerana terhanyut dengan perasaannya yang gila. Kenapalah tidak sudah-sudah dia memalukan dirinya sendiri? Akhirnya Alyssa Az-Zahra terlelap di meja lelaki itu.

********************************************************

Jam tiga petang, Rafeq Iskandar kembali ke biliknya. Ketika itu Alyssa Az-Zahra sedang berdiri berhadapan dengan mejanya di dalam bilik dan membelakangkan pintu maka gadis itu tidak menyedari akan kehadirannya. Ketika dua lagi langkah kakinya menghampiri tubuh itu, dia mematikan langkah.

Sebuah fail yang berisi kertas kerja lengkap Alyssa Az-Zahra letakkan di atas meja kerja Rafeq Iskandar. Seterusnya dia bercadang mahu meminta kebenaran majikannya itu untuk membenarkan dia pulang awal. Namun ketiadaan lelaki itu di biliknya membuatkan dia hanya meninggalkan nota ringkas di atas fail tersebut.

Dia mahu mententeramkan dirinya. Dia mahu menyusun semula mindanya agar lebih rasional ketika bekerja. Dia mahu dia yang baru bekerja di situ walaupun tempoh untuk dia berada di Rekabina Kreatif semakin singkat. Dia mahu hatinya lebih kental bila berhadapan dengan lelaki itu. Dia mahu berlagak biasa. Dia tidak mahu Rafeq Iskandar menyedari kelakuan peliknya. Dia tidak mahu malu lagi!

Dia sudah membulatkan tekad untuk menghantar surat perletakan jawatannya kepada Bahagian Sumber Manusia esok. Maka hari-hari terakhirnya di syarikat itu hanya mahu dipenuhkan dengan kenangan-kenangan indah sahaja. Dia tidak mahu Rafeq Iskandar pulang sebelum dia pergi. Pasti itu akan menyulitkan keadaan. Nafas di lepaskan perlahan sebelum dia memusingkan badan untuk keluar. Dengan langkah gopoh dia berpusing dan…

“Allah…” Alyssa Az-Zahra tergamam. Begitu juga dengan Rafeq Iskandar. Kedua-duanya kaku. Beberapa saat suasana sepi. 

Tiada seorang pun dari mereka yang bergerak. Tanpa perlu memandang pun Alyssa Az-Zahra tahu siapa lelaki itu. Wangian Hugo Boss yang terhidu dek hidungnya sahaja sudah membuatkan dia cukup kalut.

Wajahnya yang tersembam di dada bidang majikannya membuatkan darahnya serasa sudah menyerbu memenuhi segala urat-urat di kulit mukanya. Tubuhnya membahang. Jantungnya berdegup laju. Dia mahu terus begitu tetapi hatinya melarang keras. 

Tanpa mengangkat sedikit pun wajahnya memandang empunya tubuh yang dilanggar dia merenggangkan tubuhnya dan mahu terus beredar. Dia mahu terus lenyap dari pandangan mata lelaki itu.

‘Malunya!’ Alyssa Az-Zahra menjerit sendiri. Entah sudah berapa lama lelaki itu berada di situ dia tidak perasan. Dia sibuk melayani perasaannya sendiri. Perasaan perasan!

Di luar sedar, Rafeq Iskandar memegang kejap pergelangan tangan Alyssa Az-Zahra saat gadis itu mahu berlalu dari sisinya. Ada sesuatu yang tidak terucap. Ada sesuatu yang membuatkan dia rasa tidak pasti dan keliru namun dalam masa yang sama, dia tetap tidak mahu melepaskan gadis itu.

Kalau lebih lama dia membenarkan dirinya ditelanjangi oleh mata Rafeq Iskandar, mahu dia menyerahkan sahaja hatinya yang rapuh kala ini. Tapi Alyssa Az-Zahra sedar, jika dia bangun dari mimpi indah itu nanti, segalanya pasti jauh berbeza. Maka lebih baik dia terus terjaga dari bermimpi di siang hari.

Perlahan dia melepaskan tangannya dari cengkaman itu. Setelah berjaya, dia tidak menoleh kebelakang lagi. Moga esok hatinya lebih kuat, jiwanya lebih kental. Dia sudah tidak sabar untuk meneruskan misinya.

Rafeq Iskandar meraup wajah dan rambutnya. Dia beristighfar di dalam hati. Masih terbau haruman dari tubuh gadis itu. Perasaannya celaru. Sakitnya cuba menghindar kenyataan yang dia semakin jatuh sayang pada gadis itu. Sakitnya saat dia tidak berani meluahkan segala rasa yang terpendam. Sakitnya mengenangkan status diri yang membuatkan dia terpaksa melukai hati itu dan hatinya sendiri.

Rafeq Iskandar yakin, Alyssa Az-Zahra pasti punya rasa yang sama dengannya. Atas alasan apa gadis itu cuba mengelak dia tidak mahu tahu kerana yang dia tahu dia juga harus begitu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience