TUJUH BELAS

Romance Series 5664

“Alys okay tak ni?” soal Iman Mikhail pada Alyssa Az-Zahra sebaik sahaja mereka berada dalam kereta Mitsubishi Lancer miliknya.

“Okay kot…” Perlahan Alyssa Az-Zahra membalas. Pandangannya dihala keluar dari kereta. Dia cuba untuk mententeramkan hatinya sendiri.

“Sorry! Abang tak tahu Alys kenal dengan Rafeq Iskandar tu.” luah Iman Mikhail sedikit kesal melihatkan perbalahan kedua-duanya tadi. Seolah-olah ada yang tidak selesai antara mereka.

Sebenarnya dia sendiri terkejut kerana baru mengetahui yang Alyssa Az-Zahra pernah bekerja di Rekabina Kreatif. Kenapalah selama ini dia langsung tidak terfikir mahu bertanya di mana gadis itu bekerja?

“Bukan salah abang pun. Alys pun tak tahu dia kawan abang.” Balas Alyssa Az-Zahra perlahan. Matanya dialih memandang tepat ke hadapan. 

‘Dia bukan sekadar kawan tapi dia sepupu abang Alys.’ Bisik hati Iman Mikhail.

“Abang rasa macam ada yang tak kena aje antara Alys dengan dia. Nak share dengan abang?” pujuk Iman Mikhail.

Alyssa Az-Zahra tersenyum. Iman Mikhail memang seorang lelaki yang baik dan sangat mengambil berat tentang dirinya walau lelaki itu tiada pertalian darah langsung dengannya. Bersama lelaki itu dia rasa selamat dan selesa. Namun untuk berkongsi cerita berkaitan dengan Rafeq Iskandar pada Iman Mikhail, dia masih belum bersedia.

“Not now abang. One day in shaa Allah. sekarang sebut nama dia pun Alys benci dan menyampah.” Luah Alyssa Az-Zahra sedikit beremosi.

“Kalau macam tu tak apalah cuma… abang nak ingatkan sikit. Jangan benci-benci sangat sebab hati kita ni selalu berbolak balik. Takut-takut nanti yang Alys benci itulah jodoh Alys.” Usik Iman Mikhail dengan penuh makna tersirat.

“Mengarut! Tak ada maknanya. Dah! Alys malas nak fikir pasal dia. Tak penting pun dalam hidup Alys. Sekarang baik abang berterus-terang dengan Alys, apa hubungan abang dengan Ain Liyana si cantik manis yang tinggi lampai itu?” Alyssa Az-Zahra mengubah topik cerita.

Apa sahaja perkara berkaitan Rafeq Iskandar hanya akan menimbulkan pelbagai rasa yang mencucuk-cucuk jiwanya. Nyata perasaanya pada lelaki itu masih ada walaupun dia sudah berusaha untuk melupakan semuanya.

    “Tak ada apa-apa hubungan pun.” Iman Mikhail menjawab perlahan. Malas dia mahu bersoal jawab tentang Ain Liyana ketika ini.

    “Kalau tak ada apa-apa hubungan, kenapa muka dia macam orang sedih kehilangan kekasih hati? Tapi Alys pernah terserempak dengan dia dan Encik Rafeq masa mereka beli kasut dekat tempat yang Alys kerja part-time dulu tu.” Cerita Alyssa Az-Zahra tanpa dipinta. 

    “Kami bertiga berkawan baik. Selepas Rafeq Iskandar berkahwin, hubungan kami semakin rapat. Tetapi setakat itu sahaja. Tak ada apa-apa dan mungkin tak akan ada apa-apa.” Terang Iman Mikhail ringkas dan tenang. Gejolak hati cuba disembunyikan. Alyssa Az-Zahra tidak perlu tahu apa-apa.

    “Abang janganlah memilih sangat. Ain Liyana tu cantik dan baik aje Alys tengok. Sesuai dengan abang.” Provok Alyssa Az-Zahra. Sengaja cuba untuk mengumpan sekeping hati itu.

    “Huh… Pandailah Alys tu. Dia tu anak orang kaya. Bapak dia Dato’. Abang ni apalah yang ada.” Iman Mikhail merendah diri.

    “Uncle Rusdi, papa abang tu pun kaya jugak. Abang pun kerja bagus jugak. Abang tu je yang merendah diri sangat.” Bebel Alyssa Az-Zahra.

    “Yang kaya tu papa abang…” bidas Iman Mikhail.

    “Samalah dengan Ain Liyana tu… yang kaya tu bapak dia…” sampuk Alyssa Az-Zahra pantas sambil tergelak-gelak.

    “Oh... pandailah mengenakan abang ni!” balas Iman Mikhail bila tersedar dia terjerat dengan kata-katanya sendiri.

    “Atau kawan abang tu yang ada apa-apa hubungan dengan Ain Liyana dan abang terpaksa mengundur diri?” Sengaja Alyssa Az-Zahra memutar cerita.

    Entah mengapa tiba-tiba rasa ingin tahu itu menjentik tangkai hatinya. Sudah berpunyakah Rafeq Iskandar? Gadis bagaimana yang menjadi pilihan lelaki itu? Ain Liyana atau Sara? Atau mungkin Shima temannya yang setiap pagi pasti menunggu kehadiran Rafeq Iskandar ke pejabat? Masih samakah kenakalan Shima? Alyssa Az-Zahra benar-benar diamuk rasa rindu pada Salwa, Shima dan Najwa.

    “Siapa? Bekas bos Alys tu?” soal Iman Mikhail dengan dahi berkerut. Alyssa Az-Zahra hanya menganggukkan kepala.

    “Dia tu? Dia tu dah ada tunanglah Alys.” Beritahu Iman Mikhail. Sengaja perkataan tunang itu ditekannya.

    “Tunang?” Terkejut Alyssa Az-Zahra bila tahu yang Rafeq Iskandar sudah bertunang. Ada sendu di dalam pertanyaan itu. Mujur saja dia tidak tertewas dengan perasaannya sendiri dan terus hanyut menyukai lelaki itu. 

Berita tentang pertunangan Rafeq Iskandar mengganggu fikirannya. Ada rasa kecewa yang terpendam. Tetapi dia tetap bersyukur kerana kini dia merasakan tindakannya meninggalkan Rekabina Kreatif adalah tindakan yang tepat. 

    “Tunang dia tu pilihan mak dan ayah dia. Dia ikut saja. Sebab tu abang rasa dan yakin mereka tak ada apa-apa hubungan. Kenapa Alys tanya ni? Macam musykil aje?” giat Iman Mikhail. Wajah gadis di sisinya itu di kerling sekilas.

    “Saja je Alys tanya. Bukan apa, takut nanti abang tu berebut pulak dengan Encik Rafeq nak kan si cantik manis tu. Tarik-tarik rambut… hahaha…” Alyssa Az-Zahra sudah ketawa dengan kata-katanya sendiri. Ketawalah andai itu bisa menggembirakan hatimu sendiri Alyssa Az-Zahra. 

Puas hatinya dapat mengenakan Iman Mikhail. Wajah Iman Mikhail yang merah menahan geram menggelikan hatinya. Dia dapat rasakan ada sesuatu di hati lelaki itu terhadap Ain Liyana. Apakah Ain Liyana yang menyebabkan pintu hati lelaki itu sudah ditutup untuk insan lain? Alyssa Az-Zahra tidak punya jawapannya.

*************************************

    “I tak nak tanya apa hubungan you dengan Alyssa Az-Zahra sebab i yakin you tak akan mahu bercerita. Tapi i tak rasa lelaki yang ada di sebelah i tadi tu, you.” Luah Ain Liyana.

    Wajah tegang Rafeq Iskandar dipandang sekilas. Sudah lama dia tidak melihat raut itu pada wajah Rafeq Iskandar. Selalunya lelaki itu amat tenang dalam menangani apa-apa situasi.

    “Kenapa you cakap macam tu?” perlahan saja Rafeq Iskandar bertanya sambil mengemudi keretanya.

    “Kita berkawan dah lama. Cara you layan Alyssa macam you berdendam dengan dia. Setahu i, you bukan jenis lelaki yang begitu.” Jelas Ain Liyana pada persoalan Rafeq Iskandar. 

    “Entah lah Yana. I sendiri pun tak tahu kenapa dengan diri i ni.” Balas Rafeq Iskandar perlahan. Keluhan terlepas dari ulas bibirnya. 

Ketara sangatkah layanan kasarnya pada Alyssa Az-Zahra tadi? Kalau Ain Liyana perasan pasti Iman Mikhail lebih-lebih lagi perasaan. Rafeq Iskandar buntu.

    “Kalau you rasa berat nak cerita sekarang, tak apalah tapi you tahu kan i akan menjadi pendengar yang baik untuk you bila-bila masa saja you perlukan i.” penuh prihatin Ain Liyana menuturkan kata-katanya.

    “Thank you, Yana... Tapi i rasa you selebihnya mesti nak tahu hubungan antara Iman dengan Alyssa Az-Zahra kan?” duga Rafeq Iskandar. Senyuman sudah tersungging dibibirnya.

“Yes... I memang nak sangat tahu apa hubungan Iman dengan Alyssa Az-Zahra tu tapi i tak akan tanya pada Iman.” Ain Liyana bertanya. Walaupun malu tetapi dia tahu hatinya yang sedang gundah gulana itu perlu ditenangkan. 

Tiada sesiapa lagi yang boleh diharapkan untuk memberi jawapan kepada setiap persoalan yang bersarang dihatinya melainkan Rafeq Iskandar.

    Selain dari hubungan persahabatan di antara Rafeq Iskandar dan Iman Mikhail, mereka juga merupakan sepupu makin membuatkan dia yakin hanya Rafeq Iskandar yang dapat membantunya untuk memenangi sekeping hati beku milik Iman Mikhail. 

    “I pun tak pasti, Yana. Tapi mengikut kata Iman tadi, antara dia dengan budak tu tak ada apa-apa hubungan.” Rafeq Iskandar kasihan melihat Ain Liyana. Dia tahu gadis itu dalam diam menyukai Iman Mikhail tetapi hati Iman Mikhail yang beku menyukarkan perhubungan mereka untuk berkembang.

    “Kalau i cakap sikit, agak-agak you boleh terima tak?” soal Rafeq Iskandar tiba-tiba. Ketika itu dia sudah pun memberhentikan keretanya di hadapan rumah ibu bapa Ain Liyana di Shah Alam. Gadis itu mengerutkan keningnya.

    “Cakaplah...”

    “You sebenarnya betul-betul suka pada Iman ke, Yana?” Rafeq Iskandar berterus-terang. 

Dia tidak pandai mengatur bicara. Dia lebih suka berterus-terang dari berbelit-belit bercakap tetapi satu apa pun tidak akan difahami oleh orang yang berlawan cakap dengannya.  Melihatkan wajah kemerahan menahan malu milik Ain Liyana, dia ketawa kuat.

    “First timei tengok muka youblushing macam ni! You do love him, don’t you?” tanyanya lagi masih dalam sisa ketawa. Manis pula dia melihat Ain Liyana yang tersipu-sipu. Kalau perempuan, perempuan juga. Perasaan malu begitu tebal dalam diri.

    “Apa punya soalan you tanya ni, Is?” Ain Liyana cuba mengelak. 

    “I tanya soalan yang mudah aje kot... You suka Iman kan?” ulang Rafeq Iskandar lagi. Dia masih tersenyum-senyum.

    “Apa guna kalau i suka dia pun tapi dia tak suka kat i? Tak ada maknanya.” Balas Ain Liyana seolah-olah berjauh hati. 

Selama ini dia memang sukakan Iman Mikhail dan dia dapat merasakan lelaki itu juga turut menyukainya. Tetapi untuk mendengar Iman Mikhail melafazkan cintanya, ibarat menanti buah yang tidak gugur. Dia malu sendiri.

    “You dengar sini abang long ni cakap...” berkobar-kobar pula Rafeq Iskandar bersuara. Tangannya memukul dadanya sendiri. Niat hatinya sekadar ingin membantu.

    Mendengar Rafeq Iskandar membahasakan dirinya abang long, Ain Liyana ketawa geli hati. Walaupun dia tahu perbezaan umur antara dia dan Rafeq Iskandar mahupun Iman Mikhail agak jauh, tetapi dia tidak pernah memanggil mereka abang. Mereka lebih selesa ‘ber i’ dan ber you’ dengannya. 

    “You jangan ketawa lah... dengar nasihat i ni...” marah Rafeq Iskandar. Selebihnya dia hanya bergurau. Ain Liyana terangguk-angguk menahan gelak. 

    “Apa kata, kalau you betul-betul suka kat dia, you mulakanlah langkah pertama.” Cadang Rafeq Iskandar. Sudah lama dia fikirkan cadangannya itu. 

    Walau mungkin Ain Liyana tidak akan bersetuju, tetapi dia tetap ingin mengutarakan cadangannya itu. Kalau tiada sesiapa yang memulakan langkah pertama, maka hubungan itu akan terus beku dan kaku.

    Iman Mikhail bukan dirinya. Iman Mikhail lelaki yang penuh dengan sikap merendah diri. Dia sentiasa berhati-hati dalam pergaulannya dengan teman-teman.

    “Tak nak lah i. Malulah! Macam perigi cari timba pulak!” jawapan Ain Liyana itu memang sudah dijangkanya. Rafeq Iskandar melepaskan keluhan.

    “Zaman sekarang ni orang dah tak guna lagi dah pepatah timba dengan perigi tu. Sekarang ni orang guna pantun... pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat.” Rafeq Iskandar berseloroh. Senyuman Ain Liyana melegakan hatinya.

“Dalam perhubungan ni Yana, kita tak boleh nak harapkan pihak lelaki saja yang memulakan langkah. Kita kena tengok keadaan. Kita kena tengok orang. Kalau orang macam Iman tu, Yana... lagi you diam, lagi lah dia diam. Dia tu bukan you tak kenal. Berkawan memilih. Bercakap berlapik. Sifat rendah diri dia tu tebal sangat. Mesti dia fikir dia tu tak layak untuk you. You anak Dato’. Dia mesti membezakan kedudukan you dengan dia. Dia mesti malu kalau you tolak dia disebabkan perbezaan ketara korang tu. Cuba you fikir...” nasihat Rafeq Iskandar lembut dan perlahan.

    Dia mahu Ain Liyana membuka mata dan mindanya. Dia sengaja mengaitkan kedudukan antara mereka supaya Ain Liyana tahu kedudukan itu mungkin menjadi salah satu punca mengapa Iman Mikhail bersikap dingin dengannya. 

    “Tapi i malulah, Is. Buatnya bila i dah luahkan perasaan, sekali dia tolak sebab dia suka kat budak Alyssa tu... ish… malulah i... Mahu setahun i tak keluar rumah!” Ain Liyana masih berdolak dalih. 

Ya, selagi dia tidak mendapat kepastian hubungan di antara kedua-dua mereka, dia tidak akan sesekali meluahkan perasaannya. Biarlah dia hanya memendam perasaan. Dia rela.

    “Belum cuba belum tahukan? Hmm… tapi i memang yakin dia tak ada apa-apa hubungan dengan Alyssa Az-Zahra tu.” Bisik Rafeq Iskandar lebih kepada dirinya sendiri. Entah kenapa dia sangat mempercayai kata-kata Iman Mikhail itu.

*******************************************

    “Maksud kau budak perempuan yang kau cerita kat aku dulu tu, Alyssa Az-Zahra?” terkejut Iman Mikhail mendengar kata-kata yang terlontar menerusi telefon bimbit itu.

    Selepas menghantar Alyssa Az-Zahra pulang tengahari itu, dia menerima panggilan telefon dari Rafeq Iskandar. Penerangan dari sepupunya itu benar-benar membuatkan dia terkejut.

    “Sebab tu aku cakap pada kau yang aku tak tahu kenapa dengan aku. Aku jadi lain bila depan dia.” Suara Rafeq Iskandar sayu.

    “Kau suka kat dia ke Is?” Jolok Iman Mikhail.

    “Aku tak tahu Man. Yang aku tahu, aku suka buat dia marah. Aku suka tengok senyuman dia yang meleret tu. Aku suka dia ada depan mata aku…” Iman Mikhail terdengar Rafeq Iskandar melepaskan keluhan kasar.

    “Habis tunang kau macam mana?” soal Iman Mikhail. Dia sengaja mahu mengingatkan Rafeq Iskandar tentang kewujudan tunangnya yang tidak mahu dikenali itu.

    “Tunang pada nama? Zahirnya aku tak kenal dia. Entah-entah dia pun tak kenal aku. Aku tak ada rasa nak kenal dia pun. Tapi aku tahu aku tak boleh tolak dia sebab janji aku pada ayah dengan mak.” Luah Rafeq Iskandar kesal.

    “Kau kena ambil tahu, Is. Aku tak mahu kau menyesal nanti.” Nasihat Iman Mikhail ikhlas. 

    Mulutnya ringan sahaja mahu membuka cerita bahawa Alyssa Az-Zahra dan tunang sepupunya itu adalah orang yang sama. Tetapi melihatkan ketidaksungguhan Rafeq Iskandar mahu mengenali tunangannya sendiri, maka dia memendamkan sahaja perkara itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience