LAPAN BELAS

Romance Series 5664

Antara kita wujud wasilah persefahaman,

Walau kekadang tersalah langkah jua,

Namun ku tetap mensyukuri,

Segala kudrat dan iradat Ilahi,

Kita tetap ada toleransi,

Dalam mukadimah yang tepuji…

**************************************************

 Sudah seminggu umat Islam seluruh dunia menyambut Bulan Ramadan. Bulan yang ke sembilan dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Bulan di mana umat islam diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an yang bermaksud: 

“Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu…”

Surah Al-Baqarah: ayat 185

Bulan yang penuh dengan barokah. Bulan penuh keampunan. Bulan untuk meningkatkan amalan dan mendapatkan ganjaran berganda dari Allah s.w.t.

Bermakna sudah lebih dari seminggu Alyssa Az-Zahra memulakan projek membuatkan kuih bagi memenuhi permintaan pelanggan. Baik pelanggan individu mahupun syarikat. Alhamdulillah. Sesungguhnya rezeki itu datangnya dari Allah dan 9/10 rezeki itu adalah dari berniaga.

Setiap malam juga dia belum lagi terlepas untuk mengerjakan solat terawih bersama keluarganya di masjid yang terdekat. Selepas pulang dari solat terawih, dia akan menyambung kerjanya semula. Begitulah rutin hariannya seminggu ini.

    “Kak Wan tempah biskut semprit 200 balang dan kuih tat 200 balang. Dia nak letak kat kedai mak dia yang berniaga kat Pasar Jawa tu.” Teringat Alyssa Az-Zahra perbualan di antara dia dan Maya siang tadi semasa sahabatnya itu datang ke rumah.

    Ketika itu dia sedang sibuk di dapur ‘Sweet Alys’. Sibuk membakar kuih semprit di dalam oven.  

    Pasar Jawa merupakan sebuah lokasi yang menempatkan kedai-kedai untuk peniaga kecil milik Majlis Perbandaran Klang yang mana lokasinya terletak di tengah-tengah Bandar Klang. 

Jika di Kuala Lumpur, semua orang tahu tentang Jalan TAR maka di Klang semua orang akan tahu tentang Pasar Jawa. Tempat itu akan menjadi tumpuan setiap kali menjelang Hari Raya. Pelbagai barangan dari baju melayu, baju kurung, songket, kuih-muih, kerepek-kerepek dan macam-macam lagi ada dijual disitu pada setiap hari. Cuma bila menjelang musim perayaan ianya akan menjadi lebih meriah dengan pelbagai barangan lain.

    “Serious?? Sempat ke kau siapkan nanti?” Maya turut teruja. Dia berbangga dan sekaligus tidak menyangka sahabatnya itu dapat mencapai cita-citanya untuk membuka perniagaan sendiri berasaskan manisan.

    “Aku dah mulakan dalam seminggu lebih. In Shaa Allah sempat siap. Tu belum lagi tempahan lain dalam insta dan fb.” Alyssa Az-Zahra menjelaskan.

Instagram dan Fac merupakan salah satu medium yang digunakan untuk berniaga. Dia senang menjalankan perniagaan secara on-line begini. Alhamdulillah rezeki dari yang Maha Esa, setiap hari pasti ada sahaja tempahan yang diterima.

    “Aku memang tabik spring lah kat kau ni Alys. Tak sangka dalam lembut-lembut kau ni, gigih juga kau usahakan apa yang kau nak. Dulu aku tak berapa yakin tapi sekarang ni aku sangat yakin yang kau akan berjaya untuk membuka sebuah café sendiri seperti yang kau idam-idamkan. Ingat… ‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah diri mereka sendiri.’”-Surah Ar-Rad ayat 11. Maya mengangkat tangan ke dahinya tanda kagum dengan kegigihan sahabatnya. 

    “In shaa Allah, tapi bukan sekarang. Aku nak mantapkan dulu kedudukan aku. Pengalaman aku dalam bidang ni masih terlalu sedikit. Dah cukup modal nanti baru aku nak buka Alys Café. Sekarang ni ada ‘Sweet Alys’ pun aku dah sangat-sangat bersyukur. Alhamdulillah.” Dengan rasa penuh kesyukuran Alyssa Az-Zahra membalas. 

Bersyukur dia dengan rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan buatnya. Maya satu-satunya sahabat yang sangat rapat dengannya selain dari Iman Mikhail. Banyak suka dan dukanya dikongsi bersama kedua-duanya.

    “Aku ada masalah lain sebenarnya ni.” Alyssa Az-Zahra mula membuka cerita bila dia sudah tidak sanggup lagi menyimpan perkara ini sendirian. Nada suaranya seperti mahu menangis saja. Terpempan Maya seketika dengan perubahan nada dan mood sahabat baiknya itu.

    “Masalah apa? Tak cukup modal?” tanya Maya perihatin. Pantas Alyssa Az-Zahra menggelengkan kepala.

    “Bukan pasal perniagaan aku ni, Maya… tapi pasal surat arah bayar denda masa aku berhenti kerja dulu.” Beritahu Alyssa Az-Zahra. Dia sudah duduk berhadapan dengan Maya. Berkerut dahi Maya mendengar kata-kata Alyssa Az-Zahra itu.

    “Hei... engkau dah berhenti kerja lebih tiga bulan kot. Tak kan lah baru sekarang nak dapat surat bayar denda segala ni?” Terkejut Maya dengan berita baru yang diterimanya itu. Sedikit melengking suaranya membuatkan jari Alyssa Az-Zahra terangkat kebibirnya sendiri.

    “Kau ni... volume tu rendahkan lah sikit! Karang kalau Cik Zai dengar, mati aku nak menjawab dengan dia pulak.” Alyssa Az-Zahra sudah menjengilkan mata bila mendengar suara kuat Maya. Segera Maya menutup mulutnya dengan telapak tangan kanannya.

    “Sorry, sorry… terover terkejut pulak. Tapi aku memang betul-betul terkejut.” Maya sudah tersengih bagaikan kerang busuk.

    Satu persatu detik pertemuan semula dengan Rafeq Iskandar semasa menemani Iman Mikhail makan tengahari tempohari, diceritakan kepada sahabat baiknya. Tidak ada satu pun yang dia tertinggal melainkan dia tidak langsung menyentuh soal hatinya yang masih ada buat lelaki itu. Melopong mulut Maya mendengarnya.

    “Ibu dengan ayah tahu tak pasal ni?” tanya Maya perlahan. Alyssa Az-Zahra menggeleng lagi.

    “Aku tak nak mereka tahu. Aku tak nak mereka risau.” Alyssa Az-Zahra melepaskan keluhan.

    “Aku rasa dia saja kot nak balas dendam.” Ulas Maya akhirnya. Nadanya lembut sahaja.

    “Aku pun rasa macam tu. Kau rasa apa patut aku buat?”

    “Bayar sajalah.” Mudah Maya menjawab. Hanya itu saja caranya agar tidak ada apa-apa tindakan yang akan lelaki itu buat terhadap sahabat baiknya. Alyssa Az-Zahra membuntangkan matanya.

    “Tapi bukan salah aku. Siapa suruh dia koyakkan surat tu?” Alyssa Az-Zahra membela dirinya sendiri. Kuih semprit di dalam oven yang sudah masak cantik kekuning-kuningan dikeluarkan.

    “Memang bukan salah kau. Tapi sekarang ni kau cuma ada dua pilihan sahaja.” Maya menerangkan dengan gaya seorang pakar kaunseling.

    “Apa? Kau duduk ajelah. Dapur aku ni bukan besar sangat kau nak ke hulu ke hilir pun. Pening kepala aku.” Marah Alyssa Az-Zahra. 

    Walau tangannya sibuk menerap adunan semprit ke atas loyang pembakar, tetapi matanya sesekali rimas juga memandang Maya yang ke hulu ke hilir di hadapannya.

    “Satu, kau bayar aje duit tu. Settle. Dua, kau jumpa dia dan minta dia tarik semula surat tu dengan alasan kau dah bagi tapi dia koyakkan. Mana satu yang kau mahu? Pilihan di tangan kau.” Terang Maya satu persatu.

    Maya yakin Alyssa Az-Zahra pasti akan menerima cadangannya yang pertama kerana dia tahu segala cerita di sebalik pemberhentian mengejut sahabatnya itu. Masih dia ingat wajah Alyssa Az-Zahra yang lebat dengan air mata datang ke Spa miliknya. Jadi dia sangat pasti kalau Alyssa Az-Zahra tidak mahu lagi bertemu atau terserempak dengan Rafeq Iskandar.

    “Kau pun tahu aku kalau boleh memang dah tak nak jumpa, terjumpa, terserempak atau apa ter pun lah dengan dia. Tapi aku rasa teraniaya macam ni. Bukan salah aku, Maya. Enam ribu ringgit tu banyak. Mana aku nak cari duit banyak tu?” keluh Alyssa Az-Zahra. Sungguh dia tidak tahu apa niat Rafeq Iskandar sebenarnya.

    “Hmm… kalau macam tu kau buat surat minta ansuran. Kau cakaplah gaji kau sikit. Tapi kan Alys aku tak tahu macam mana dia kira sebenarnya sebab enam ribu tu banyak. Macam tak masuk di akal pulak. Gilalah!” Maya memberikan pendapat. Dia masih mencongak-congak cara pengiraan syarikat Rekabina Kreatif menuntut bayaran dari Alyssa Az-Zahra.

    “Haa... tau pun kau. Aku memang rasa dia saja aje letak harga banyak tu. Kau rasa minta ansuran macam tu boleh ke?” soal Alyssa Az-Zahra tidak pasti. 

Mendengar saranan Maya tentang memohon bayaran secaran ansuran itu membuatkan dia sedikit lega. Ansuran! Kenapa dia tidak terfikir dari awal lagi?

    “Boleh kot. Kau tak cuba lagi kan?” Maya menjawab tidak pasti.

“Tapi aku tak nak jumpa dia Maya.” 

“Buat apa jumpa dia? Pergi jumpa Bahagian Sumber Manusia atau Bahagian Kewangan. Bincang. Tanya cara pengiraan mereka.” Cadang Maya lagi. Alyssa Az-Zahra tersenyum.

“Kau memang hebatlah Maya. Kau memang penyelamat aku.” Puji Alyssa Az-Zahra.

“Aku kan penyelesai masalah kau.” Bangga Maya menjongketkan keningnya. Sengaja mahu mengusik.

    “Kau bukan setakat penyelesai masalah. Tapi kau lah kawan aku yang paling baik, comel, cantik, gebu, meletop... i love you till jannah!” gelak-gelak Alyssa Az-Zahra membalas kata-kata Maya.

    “Kalau macam tu, kuih semprit sebalang dan kuih tat sebalang sebagai pengeras.” Balas Maya.

    “Small matter my friend...” mereka sama-sama ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience