LIMA BELAS

Romance Series 5664

    Pantasnya masa yang berlalu tidak menunggu sesiapa. Manusia pula yang seperti terkejar-kejar masa. Langkah harus terus dihayun dan tidak mungkin kembali memandang kebelakang. Walau belum jauh mana dia berjalan mahupun berlari, tetapi dia tahu setiap sesuatu itu tidak akan mudah. 

    “Kau betul-betul dah fikir masak-masak berhenti kerja ni?” Soal Maya. Ketika itu dia sedang membantu Alyssa Az-Zahra merekacipta logo untuk ‘Sweet Alys’. Mereka duduk berhadapan di meja bulat yang terdapat di halaman rumah keluarga Alyssa Az-Zahra.

    “Aku tawakal aje. Aku tahu aku tak akan mampu bertahan kalau terus bekerja kat situ.” Luah Alyssa Az-Zahra perlahan. Masih terbayang dan masih terasa hangatnya wajah dia ketika jari Rafeq Iskandar mendarat dibibirnya. Dadanya berdebar. Segera dia beristighfar. Memohon keampunan Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan. 

Jari jemari runcing milik Maya yang menari-nari di atas kertas dipandang kosong. Kebolehan dan kreativiti Maya selalu sahaja menjadi pujiannya. Gadis itu walau agak kasar tetapi sangat berseni. Kerana itu dia tidak ragu-ragu meminta bantuan Maya untuk merekacipta sebuah logo yang sesuai untuk ‘Sweet Alys’ miliknya.

    “Kita ni bertawakkal selepas berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa. Allah suruh kita berusaha dulu. Dalam Al-Quran dah tertulis ayat yang bermaksud ‘Sekiranya kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.’-Surah Ali Imran ayat 159. Dalam kes kau ni aku tak rasa itu boleh dinamakan sebagai tawakkal melainkan pasrah.” Sindir Maya.

    Apa sudah jadi dengan sahabat baiknya itu yang suatu waktu dulu sangat tenang, tidak cepat melatah dan sangat penyabar? Walaupun ketika itu Alyssa Az-Zahra sedang kecewa dalam bercinta.

    “Kau sindir aku ke?” tanya Alyssa Az-Zahra perlahan. Tampang Maya dipandang. 

    “Tak. Bukan sindir. Ingatkan aje sebab aku sayang kau. Aku tak nak kau menyesal nanti. Kerja sekarang bukan senang nak cari. Berniaga pun tak mudah. Kau tengok aku? Kau rasa senang ke aku nak maintain macam sekarang ni dan sampai bila? Spa macam aku semakin hari semakin banyak tumbuh. Macam cendawan jugak. Mana-mana boleh tumbuh dan macam-macam jenis ada.” Maya meletakkan pensil 2B di atas meja. Wajah Alyssa Az-Zahra ditatap. Gadis itu hanya diam membisu sambil tertunduk.

    “Sama juga macam kau. Kau rasa sampai bila kau mampu bertahan untuk berniaga ni sedangkan kau tahu ramai lagi yang buat perniagaan sama macam kau buat?” sambung Maya bila Alyssa Az-Zahra hanya diam.

    “Kau tak percaya soal rezeki? Bukankah Allah dah tetapkan rezeki hamba-hambanya dan Allah suruh kita berusaha?” Alyssa Az-Zahra membalas perlahan. 

Berbicara dengan Maya selalu membuatkan dia terfikir mengapa gadis itu tidak menjadi ustazah sahaja? Di dada gadis itu penuh ilmu walau nampak sempoi. 

    Sesiapa pun tak akan menyangka yang gadis kasar dan sempoi seperti Maya mampu menghafal beberapa ayat-ayat suci Al-Quran beserta dengan tafsirnya sekali. Dia memang gadis hebat. Alyssa Az-Zahra memuja temannya itu dalam diam.

    “Aku percaya dan yakin rezeki dari Allah. Rezeki kau, aku dan semua manusia. ‘Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya.’-Surah At-Talaq ayat 2-3.”

    “Kalau macam tu kenapa kau pertikaikan apa yang aku buat?” soal Alyssa Az-Zahra lagi. Semakin seronok dia berbalas kata dengan sahabat baiknya itu. Maya tersenyum.

    Tidak tahukah Alyssa Az-Zahra yang dia terlalu menyayangi sahabatnya itu dan dia tidak mahu gadis itu susah? Tidak tahukah Alyssa Az-Zahra sebagai sahabat juga dia sanggup berbuat apa sahaja untuk gadis itu? Ah… Alyssa Az-Zahra tidak perlu tahu.

    “Aku bukan pertikaikan. Aku akan sokong apa sahaja keputusan kau dan akan selalu ada bila kau perlukan aku. Cuma aku nak kau berfikir diluar kotak. Kalau sepuluh orang buat kek yang sama macam kau buat, macam mana kau nak menonjolkan yang kek kau buat walaupun sama tetapi lebih menarik dan lebih sedap? Semua tu penting Alys. Cara kau nak mempromosikan ‘Sweet Alys’. Kau faham tak?” Perlahan Maya menjelaskan niatnya.

    Dia mahu Alyssa Az-Zahra bersedia dengan setiap kemungkinan. Berniaga bukan mudah walaupun 9/10 rezeki datangnya dari berniaga. Harus diingat juga yang 9/10 juga ujian dan cabarannya dan hanya orang yang mempunyai 9/10 kesanggupan dan keberanian yang akan berjaya dalam perniagaan. 

    “Macam mana kau boleh bertahan? Kalau tak silap aku, Maya Aura Spa dah dekat tiga tahun beroperasi. Semakin maju. Kau sharelah dengan aku.” Alyssa Az-Zahra bertanya sedikit teruja. 

    “Kau kena ingat yang aku ni baru berniaga tiga tahun. Ada banyak tahun lagi yang aku harap aku mampu bertahan. Jauh lagi cita-cita aku.” Balas Maya jujur. Cita-citanya terlalu tinggi dalam mengemudi spa miliknya. Harap semuanya akan tercapai satu hari nanti.

    “Lamalah tu tiga tahun. Share cepat.” Sedikit mendesak Alyssa Az-Zahra. Maya tergelak.

    “Aku guna ‘mandrem’.” Perlahan Maya berbisik. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Buntang mata Alyssa Az-Zahra memandang Maya seperti tidak percaya.

    “Biar betul kau ni?” tanyanya penuh curiga.

    “Betul!” Maya mengiakan.

    “Dosa tau tak?”

    “Yang ini tak dosa.” Serius wajah Maya. Keningnya dijongketkan memandang Alyssa Az-Zahra. Bibirnya dihiasi senyuman.

    “Mandrem apa yang tak berdosa? Kau jangan nak merepek lah Maya.” Marah Alyssa Az-Zahra. Maya tergelak lagi. 

    “Merepek kerepek. Kau nak aku share ke tak ni?” soal Maya terus. Dia kembali memegang pensil 2B yang sudah lama dibiarkan di atas kertas lakarannya.

    “Cakap lah cepat. Senang sikit aku nak basuh kau kejap lagi.” Alyssa Az-Zahra berterus-terang. Marah betul dia bila tahu Maya menggunakan ‘mandrem’ di dalam menjalankan perniagaannya walau dia sebenarnya sikit pun tidak percaya akan kata-kata Maya itu. Dia tidak mahu hasil tuaian sahabatnya itu tidak diberkati Allah.

    “Pertama kau cukupkan solat lima waktu. Kedua jangan lupa doa untuk orang tua. Ketiga lazimi Solat Sunat Dhuha. Keempat bersedekah. Kelima mesti jujur dan ikhlas. Keenam muka mesti manis dengan pelanggan. Tu ‘mandrem’ aku. Kau cubalah.” Maya senyum simpul. 

    Tanpa bicara Alyssa Az-Zahra terus bangun dari kerusi. Maya terkejut. Apakah sahabatnya itu marah dengan gurauannya tentang perkataan ‘mandrem’ itu? Dia sekadar mengusik.

    “Aku sayang kau ketat-ketat.” Ucap Alyssa Az-Zahra di saat dia memeluk tubuh Maya dari belakang. Itulah sahabat baiknya. Sahabat baiknya dunia akhirat. Mereka sama-sama tersenyum.

    Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat, apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. (dengan maksud),

    “Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience