TIGA BELAS

Romance Series 5664

Petang itu Alyssa Az-Zahra sengaja menghabiskan masanya di Spa milik Maya. Sudah lama dia tidak memanjakan diri. Sibuk dengan kerja setiap hari dan tempahan yang tak henti-henti setiap hujung minggu. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Dia amat bersyukur walaupun sedikit penat. Maya Aura Spa milik kawan karibnya menjadi pilihan untuk dia memanjakan dirinya. Spa terbaik buatnya.

“Kau tutup pukul berapa hari ni?” tanya Alyssa Az-Zahra sambil menunggu di kaunter. 

Biasanya jika tidak ada pelanggan, pukul tujuh malam Maya akan menutup kedai. Tetapi melihatkan Maya yang sedang sibuk mengemaskini akaun untuk hari itu dan seperti belum sedia untuk pulang, membuatkan dia bertanya.

“Aku nak kena tunggu seseorang datang ambil barang Datin Hazira. Petang tadi dia tertinggal cermin mata mahal dia dalam bilik rawatan. Tadi dia call cakap anak dia akan datang ambil.” Jawab Maya ringkas. 

Datin Hazira merupakan pelanggan tetap Maya Aura Spa. Ini merupakan kali kedua datin itu tertinggal barang di situ. Maya sedikit pelik tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Biasalah orang tua, mungkin tercicir dan tidak perasan.

“Aku nak ajak kau makan.” Beritahu Alyssa Az-Zahra. Sudah agak lama dia dan Maya tidak makan bersama. Masing-masing sibuk dengan kerja.

“Boleh. Kita solat Maghrib dulu lepas tu kita pergi makanlah. Kau belanja.” Tersengih-sengih Maya berkata. Alyssa Az-Zahra sudah membeliakkan matanya.

“Kalau aku yang belanja, kita makan roti canai seorang sekeping aje malam ni. Jimat.” Balas Alyssa Az-Zahra mengusik. Dia bangun dan duduk di sofa.

“Ala… kedek la kau ni. Aku nak makan nasi goreng kampung kat kedai abang Ajak.” Ujar Maya manja. Buku Akaun sudah ditutup. Dia memandang Alyssa Az-Zahra yang leka membelek majalah Perkahwinan edisi terbaru.

“Kak, Erin balik dulu ye.” Erin salah seorang pekerja di Maya Aura Spa bersalaman dengan Alyssa Az-Zahra dan Maya. Kiki teman sekerjanya sudah pulang lebih awal.

“Hati-hati. Esok jangan tak datang.” Maya mengingatkan. 

Sebagai seorang majikan, dia sangat rapat dan sangat menjaga pekerja-pekerjanya. Tanpa tenaga mereka, tidak mungkin dia mampu mengendalikan spa miliknya itu sendirian.

“Baiklah kak. Mana boleh tak tengok muka akak sehari, rindu.” Balas Erin berlucu sambil menyarung kasut.

“Rindulah sangat...” balas Maya. Dia sudah berdiri untuk duduk di sofa bersama Alyssa Az-Zahra. Erin hanya ketawa sebelum berlalu.

“Kita dah lama tak pergi makan angin sama-sama kan? Agak-agaknya bilalah kita boleh pergi ni?” Maya sudah melentokkan kepalanya manja di bahu Alyssa Az-Zahra. Sudah agak lama mereka tidak pergi bercuti bersama. Merehatkan badan dan menenangkan otaknya.

“Kau tu yang sibuk sangat. Aku okay aje.” Sampuk Alyssa Az-Zahra. Dia masih leka membelek majalah. Ada beberapa gambar kek perkahwinan yang menarik minatnya.

“Eleh... kau pun sama. Kau tu pun hari-hari kerja. Sabtu dan Ahad pun kerja juga.” Sindir Maya lembut. Alyssa Az-Zahra ketawa.

“Aku pun penat sebenarnya tapi itulah… aku harap semuanya akan berjalan dengan lancar selepas ni.” Alyssa Az-Zahra meluah rasa. Bukan mahu merungut kerana dia sendiri yang memilih jalan kerjayanya ke arah ini. 

Maya hanya menganggukkan kepala. Dia juga sama seperti Alyssa Az-Zahra yang mengharapkan perniagaan Maya Aura Spa sebagai punca rezekinya dan juga punca rezeki dua orang pekerja tetapnya.

“Dah pukul tujuh ni Maya. Mana orang yang kau tunggu ni?” Soal Alyssa Az-Zahra tiba-tiba bila jam dinding dipandang. Maya juga menoleh ke arah yang sama. Dia mengeluh perlahan.

“Lambat kot. Hari tu pun lambat juga.” Malas Maya bersuara.

“Anak datin tu lelaki ke perempuan?” soal Alyssa Az-Zahra sengaja mahu tahu.

“Perempuan.” Bunyi loceng di pintu membuatkan perbualan mereka terhenti. Dengan malas Maya bangun menghampiri pintu yang berkunci.

“Cari siapa?” tanya Maya lembut pada seorang lelaki yang berdiri tegak di hadapan pintu Spanya. 

“Saya datang nak ambil barang Datin Hazira.” Beritahu lelaki itu. Wajah gadis di hadapannya dipandang dengan dahi berkerut. 

‘Macam pernah tengok.’ Hatinya berbisik.

Alyssa Az-Zahra yang memandang dari sofa segera bangun. Dia seperti pernah melihat lelaki itu. Gaya dan suara itu seperti dia kenal.

“Encik ni siapa?” tanya Maya lagi. Dia takut salah orang. Lebih baik dia selidik dulu. 

Sebelum ini anak perempuan Datin Hazira yang datang mengambil barangnya yang tertinggal. Datin Hazira juga tidak memaklumkan kepadanya yang anak lelaki datin itu yang akan datang mengambil barangnya. 

“Saya anak Datin Hazira. Adam Zafril.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Seraut wajah putih bersih di hadapannya dipandang dengan mata lelakinya.

“Encik Adam? Yang langgar kawan saya tempoharikan?” tanya Alyssa Az-Zahra yang sudah berdiri di sebelah Maya. Maya yang mendengar kata-kata terkejut. Alyssa Az-Zahra hanya mengerling sekilas.

“Hmm… Cik Alyssa masih ingat saya lagi rupanya.” Ramah Adam Zafril menegur gadis itu. Senyuman ikhlas dilemparkan. Patutlah dia seperti pernah melihat kawan Alyssa Az-Zahra itu. Rupa-rupanya dia adalah gadis sama yang dilanggar tempohari.

“Ingat… Encik Adam pun masih ingat nama saya.” Alyssa Az-Zahra tersenyum meleret. Ramah dia membalas.  

“Saya datang nak ambil barang mama saya. Katanya ada barang yang tertinggal.” Ulang Adam Zafril menyatakan tujuan kedatangannya ke Spa itu.

“Maya…” Alyssa Az-Zahra menyiku Maya yang masih dengan muka terkejutnya. Mungkin tidak menjangka akan terjumpa lagi dengan orang yang melanggarnya. Wajah itu mencuka. Hilang sudah senyuman yang terukir di bibirnya tadi sewaktu dia membuka pintu untuk lelaki itu.

“Sekejap…” Cermin mata Datin Hazira yang terletak elok di atas kaunter di capai lalu terus dihulur kepada lelaki itu. Dia mahu lelaki itu cepat-cepat beredar.

“Ini yang tertinggal.” Maya bersuara. Keras saja nadanya. Wajah lelaki itu tidak mahu dipandang.

“Saya balik dulu Cik Alyssa. Tak sangka kat spa ni ada harimau betina. Takut saya.” Adam Zafril menyambut cermin mata dari tangan Maya. Sempat juga dia mengenakan gadis itu yang masam mencuka.

“What?” Keras Maya bertanya. Sakit pulak hatinya mendengar Adam Zafril mengatakan dia harimau betina. Adam Zafril tersenyum mengejek.

“Dah lah tu... Terima kasihlah sebab Encik Adam datang ambil cepat. Kami ni dah nak tutup sebenarnya.” Alyssa Az-Zahra cuba menghentikan bunga-bunga pertengkaran yang seperti mahu wujud.

“Sama-sama Cik Alyssa. Maaf saya terlambat. Jumpa lagi harimau betina.” Adam Zafril ketawa kuat sehabis menghabiskan kata-katanya. Hatinya puas. Dia segera berlalu.

“Jangan datang sini lagi.” Jerit Maya dari dalam kedainya. Wajahnya memerah. Walau dia tahu lelaki itu tidak mungkin mendengar kata-kata akhirnya, tetapi dia tetap mahu meluahkan kata-kata itu.

“Wei... relekslah. Aku tak pernah tengok kau marah-marah macam ni melainkan bila jumpa lelaki tu aje.” Alyssa Az-Zahra menutup kembali pintu. Ditarik tangan kawan baiknya dan didudukkan gadis itu di sofa.

“Kurang ajar ayat dia tu. Sakit hati aku.” Luah Maya masih marah. 

“Kau pun salah juga. Kau pun kasar layan dia tadi.” Alyssa Az-Zahra menegur lembut. Cuba meredakan kemarahan temannya itu.

“Aku masih teringat dia langgar aku. Tiba-tiba dengan gaya dia macam tu, buat aku naik angin.” Keras suara Maya. 

“Lelaki ni Maya, lagi kau tak suka, lagi dia buat. Lebih baik kau buat tak tahu aje kalau dengan orang macam tu. Hati kau pun tak sakit. Lama-lama dia pun malas dah nak usik kau.” Nasihat Alyssa Az-Zahra. Lupa seketika yang dirinya juga cepat saja naik angin kebelakangan ini bila berhadapan dengan majikannya, Rafeq Iskandar.

“Aku harap tak perlu jumpa dia lagi atau orang macam dia lagi. Semak.” Maya bersuara bila dirinya sudah tenang. Nasihat Alyssa Az-Zahra masuk juga ke kepalanya. Kalau dia terus melayan karenah lelaki itu, pasti dia akan terkena penyakit darah tinggi dalam usianya yang masih muda.

“Jangan benci sangat. Bahaya.” Nasihat Alyssa Az-Zahra jujur. Nasihat sama yang pernah dia terima dari Najwa. Maya mencebik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience