EMPAT

Romance Series 5664

Redup matamu…

Kala seulas bibir itu tersenyum…

Bak pepohon melambai ditiup bayu…

Syahdu!

Renunganmu…

Kemilaunya bak mentari yang memancar gagah…

Mencairkan hati beku…

Terbelenggu!

**********************************************************

Alyssa Az-Zahra pantas mencatit setiap butiran yang diarahkan oleh Rafeq Iskandar. Itu belum lagi dengan beberapa helaian kertas yang sudah tercatit apa yang perlu dia lakukan. Setelah hampir sebulan dia menjadi pembantu setiausaha, dia semakin cekap dengan kerja-kerjanya. Dia juga semakin selesa dan tidak kekok bila berhadapan dengan Rafeq Iskandar selaku majikannya.

Walaupun Rafeq Iskandar seorang yang tegas tetapi lelaki itu murah dengan senyuman. Sangat perihatin dengan kebajikan pekerja dan nampak juga lelaki itu sangat sayang dan mengambil berat berkaitan kesihatan setiausahanya, Najwa.

Sekejap-sekejap Alyssa Az-Zahra terbatuk-batuk kecil. Tekaknya perit. Sejak bangun dari tidur subuh tadi dia sudah merasakan yang tekaknya perit dan kering. Apa sahaja makanan atau minuman yang dia telan membuatkan tekaknya terasa kesat dan sakit.

Dalam sibuk memberi arahan, Rafeq Iskandar perasan wajah pembantu Najwa itu agak pucat tetapi dia malas mahu bertanya. Padanya selagi seseorang pekerja itu dapat hadir ke pejabat, maka tentunya keadaan diri mereka sihat dan boleh melaksanakan tugas seperti biasa.

“So bila you boleh siapkan deraf laporan ni? I nak kena semak semula sebelum mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah nanti.” Rafeq Iskandar bertanya. Wajah Alyssa Az-Zahra dipandang. Ada sesuatu yang dia rasa hilang pada wajah mulus itu.

“Saya cuba siapkan petang ni. Paling lewat pun esok pagi. Boleh ke bos?” Balas Alyssa Az-Zahra tenang. Senyuman paksa cuba diukir. Ah... memang badannya tiba-tiba sahaja berasa tidak selesa dan batuknya semakin kerap.

“You tengah banyak kerja ke? Sebelum tengahari tak boleh siap?” sengaja Rafeq Iskandar menduga.

Alyssa Az-Zahra memandang jam tangan jenama Fossil di tangannya. Sekarang saja sudah pukul 12 tengahari. Apakah lelaki itu ingat dalam masa satu jam dia boleh siap menaip berhelai-helai laporan itu? Namun sebagai seorang pekerja yang professional, Alyssa Az-Zahra tidak mahu menampakkan kelemahannya.

“Tak lah banyak mana kerja saya bos tapi sekarang saya sedang menyemak deraf perjanjian yang bos nak petang nanti. Tapi kalau bos nak juga deraf laporan ni, sebelum jam lima petang boleh lah saya usahakan.” Alyssa Az-Zahra cuba berunding masa.

Rafeq Iskandar sekadar mengangguk. Deraf laporan bulanan itu masih punya waktu untuk dibuat. Mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah hanya akan diadakan pada hari Khamis. Selebihnya dia hanya mahu melihat kesungguhan gadis itu sahaja.

“Baiklah. You siapkan dulu apa yang patut. Paling lewat esok pagi beri pada i.” Arah Rafeq Iskandar. Dia masih tercari-cari sesuatu yang hilang pada wajah gadis itu.

“Terima kasih bos. Saya keluar dulu.” Alyssa Az-Zahra meminta diri dan seperti biasa bibirnya tidak pernah lekang dengan senyuman cuma hari ini senyuman itu terpaksa dibuat-buat.

Tidak sedar jarum jam berputar dengan pantasnya, Alyssa Az-Zahra masih meneliti deraf perjanjian sebelum diberikan pada Rafeq Iskandar jam dua petang nanti.

“Alys tak nak keluar makan ke?” soal Najwa bila dia melihat gadis itu masih khusyuk membuat kerja. Jam sudah menunjukkan ke pukul satu tengahari.

“Tak nak lah kak. Alys nak tidur sekejap. Tak larat sangat badan ni.” Adu Alyssa Az-Zahra perlahan. Memang dia sudah bercadang mahu melelapkan mata seketika. Badannya sudah rasa membahang.

“Nak akak belikan makanan tak?” soal Najwa lagi. Dia mahu turun membeli makan tengahari bersama-sama dengan Shima dan Salwa.

“Tak nak kak. Tapi nanti akak kejutkan Alys ye bila akak naik. Takut tak sedar pulak.” Pinta Alyssa Az-Zahra lemah. Bantal kecil yang menjadi tempat sandar sudah diletakkan di atas meja.

“Panas badan kau ni dik. Dah makan ubat ke?” Tanya Najwa agak risau. Wajah lesu itu dipandang.

“Dah kak. Akak pergilah makan. Baby dah lapar tu.” Suruh Alyssa Az-Zahra. Dia menghulurkan senyuman.

“Akak pergi dulu. Kalau nak apa-apa whatsapp je.” Sebaik Najwa hilang dari pandangan mata, Alyssa Az-Zahra terus merebahkan kepalanya pada bantal kecil di atas meja dan terus terlelap.

Rafeq Iskandar yang baru keluar dari bilik, tidak jadi meneruskan langkah. Sekujur tubuh yang sedang tidur di meja kerja menjadi perhatiannya. Keadaan sekeliling yang sunyi membuatkan dia menghampiri gadis itu. Pasti semua kakitangan di Rekabina Kreatif itu sudah keluar makan tengahari. Tidak makankah gadis itu atau gadis itu benar-benar tidak sihat? Pelbagai soalan menyesak-nyesak masuk tanpa jawapan.

Dengan tangan terketar-ketar dia menyentuh dahi Alyssa Az-Zahra dengan belakang tapak tangannya. Tindakan di luar kawalan. Panas! Namun gadis itu sedikit pun tidak terjaga. Pengsankah dia?

‘Tapi nasib baik lah dia tak sedar, kalau tak mati aku. Mesti dia ingat aku sengaja nak ambil kesempatan.’ Hati nakalnya mula bercanda. Dia tersenyum sendiri. Segera dia menghantar pesanan ringkas pada setiausahanya melalui aplikasi whatsapp yang memang menjadi penghubung terkini.

Rafeq    : Najwa, u kt mana?

Najwa    : Kantin bos. Kenapa?

Rafeq    : Kenapa adik u ni xkeluar mkn? Tdo sorg kt cni bahaya.

Najwa    : Dia demam. Xnk mkn. Xpe kejap lg i naik sbb i pn tapau je.

Rafeq    : i keluar dulu. Ptg i masuk lmbt ckit.

Najwa    : ok bos.

Tanpa sedar Rafeq Iskandar masuk semula ke biliknya. Jaket kulit miliknya di capai lalu dia keluar semula. Tubuh yang sedang nyenyak tidur itu dibalut dan kemudian dia segera keluar sebelum sesiapa pun perasan dengan tingkahnya.

******************************************************

“Kau ni kenapa termenung je dari tadi aku tengok?” soal Iman Mikhail pelik dengan tingkah sepupunya itu. Mereka sudah berjanji untuk makan tengahari bersama.

“Mana ada aku termenung.” Nafi Rafeq Iskandar. Wajah Iman Mikhail dipandang kosong.

“Kalau bukan termenung, apa namanya tu? Berangan? Berkhayal?” sergah Iman Mikhail.

“Aku rasa diri aku ni ada masalah lah Man.” Tiba-tiba Rafeq Iskandar bersuara. Iman Mikhail mengerutkan keningnya. Apa saja lah masalah sepupunya itu? Dia mula mencongak-congak.

“Ceritalah. Mana tahu aku boleh tolong?” Ikhlas Iman Mikhail bertanya.

“Aku ada ambil seorang pembantu untuk Najwa. Kau kenal Najwa kan? Setiausaha aku.” Cerita Rafeq Iskandar tanpa dipinta. Bila melihat Iman Mikhail tersenyum dan mengangguk, dia menyambung cerita.

“Dia dah kerja dengan Rekabina selama setahun. Dia juga pilihan Najwa untuk jadi pembantu. Masalah aku adalah pada hari pertama dia menjadi pembantu setiausaha, aku dah naikkan gaji dia dan aku bagi dia claim over time. Plus aku suruh dia berhenti kerja part-time yang dia buat sekarang….”

“Dia buat kerja part-time? Bukan dulu kau cakap staff kau tak boleh buat part-time ke?” soal Iman Mikhail sedikit terkejut memotong percakapan Rafeq Iskandar.

“Itulah dia masalah aku. Dengan dia aku izinkan dia kerja part-time. Tapi sekarang aku dah suruh dia berhenti sebab aku akan bagi dia kenaikan gaji.” Luah Rafeq Iskandar perlahan. Teh o ais limau kegemarannya disedut perlahan.

“Naik gaji? Bukan kenaikan gaji kau selalu bagi awal tahun ke? Dia anak orang susah ke?” Iman Mikhail bertanya lagi. Pelik pula dia dengan perangai sepupunya itu.

“Entah lah Man, aku pun tak tahu dia anak orang susah ke tak. Aku tak pernah tanya pun.” Jawab Rafeq Iskandar lemah.

“Mungkin kau kesian aje kot kat dia. Biasalah tu. Kita ni jadi bos, kena ada rasa perihatin. Tanggungjawab. Ambil berat.” Nasihat Iman Mikhail ikhlas.

Kakitangan merupakan aset sesebuah syarikat. Menjadi tanggungjawab syarikat untuk menjaga kebajikan kakitangan agar kakitangan akan sentiasa merasa dihargai dan akan bekerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh. Itu pendapat Iman Mikhail.

“Masalahnya Man…”

“Banyak betul masalah kau ni Is!” sampuk Iman Mikhail sekali lagi secara tiba-tiba. Dia ketawa.

“Kau nak dengar ke tak ni?” Tanya Rafeq Iskandar seolah-olah merajuk saja bunyinya. Iman Mikhail semakin kuat ketawa.

“Ceritalah. aku gurau je.”

“Tadi masa aku nak datang sini, aku tengok dia tidur kat meja dia. Masa tu semua orang dah keluar makan. Aku rasa risau jugaklah sebab bahaya kalau dia sorang-sorang kat pejabat tu. Tapi aku tak adalah kejutkan dia cuma…” ayatnya mati di situ.

Tiba-tiba Rafeq Iskandar tersenyum mengingatkan kelakuannya tadi. Kalaulah ada sesiapa yang nampak, alangkah malunya dia. Iman Mikhail sudah merasa tidak sedap hati.

“Cuma apa?” tanyanya tidak sabar.

“Cuma… aku sentuh dahi dia. Panas. Dia tak sedar pun. Tidur mati agaknya.” Selamba Rafeq Iskandar menjawab.

“What? Kau sentuh dia?” Tanya Iman Mikhail tidak percaya. Sepanjang dia mengenali sepupunya itu, dia tahu Rafeq Iskandar bukanlah jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan.

“Aku tak sengaja. Tindakan luar sedar. Lepas aku ambil jaket dan selimutkan dia, aku terus blah.” Terus-terang Rafeq Iskdandar bercerita. Dengan Iman Mikhail tiada apa yang perlu dia sembunyikan.

“Banyaklah kau punya tindakan luar sedar!” Marah Iman Mikhail. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak percaya dengan tingkah sepupunya itu.

“Haram kau tahu tak? Niat tidak menghalalkan cara, Is. Walau mungkin niat kau hanya nak ambil berat tapi cara kau tu salah.” Perlahan dia menasihatkan. Kali ini suaranya semakin mengendur. Hendak dimarah pun, perkara sudah terjadi.

“Aku tau… Kau rasa kenapa dengan aku?” suara bersalah Rafeq Iskandar mengundang simpati di hati Iman Mikhail.

“Cantik ke budak tu? Kau suka kat dia ke?” Rafeq Iskandar terdiam mendengar soalan dari Iman Mikhail itu. Lama kemudian baru dia menjawab dengan nada yang tidak pasti.

“Cantik? Hmm... biasa-biasa aje orangnya. Aku pun tak adalah rasa suka kat dia. Cuma aku rasa selesa kerja dengan dia. Cekap. Tak banyak mulut. Tapi aku rasa ada sesuatu yang hilang pada dia tadi. Tak ada lagi senyuman meleret dari dia seperti biasa selama hampir satu bulan dia bekerja dengan aku.” Iman Mikhail terkedu mendengar penjelasan itu.

Wajah beria Rafeq Iskandar yang bercerita tentang pekerjanya dipandang penuh minat. Sudah lama lelaki itu menduda. Membesarkan sendiri anaknya yang seorang tanpa berminat untuk beristeri lagi. Kini apa sudah jadi?

“Kau ni angau ke Is?” Iman Mikhail mengusik. Dia kenal sepupunya itu dari kecil. Dia tahu siapa Rafeq Iskandar luar dan dalam. Dia juga tahu betapa sedihnya lelaki itu kehilangan isteri yang disayanginya dulu. Dia juga tahu betapa Rafeq Iskandar sukar didekati oleh mana-mana perempuan pun kecuali Sara.

“Angau? Kau rasa aku angau?” Iman Mikhail sekadar menjongketkan bahunya mendengar pertanyaan Rafeq Iskandar itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience