PROLOG

Romance Series 5664

Tertewaskah sebuah impian bila…

Hangatnya cintamu tak mampu lagi ku rasakan?

Terkuburkah semua harapan tatkala…

Kita semakin berbeza haluan?

Sayangnya hati tak pandai berdusta,

Tulus merasa kasih yang masih bersisa,

Jujur mengharap hadirnya sinar bahagia,

Walau…

Sebenarnya ia kian pudar bersama putaran masa!

***************************************************

Dari satu kedai ke satu kedai yang lain dia susuri. Namun fikirannya masih kosong. Masih tidak tahu mahu membeli apa sebagai hadiah. Hadiah yang paling istimewa dan amat bermakna dalam hidupnya. Juga untuk insan yang dia harapkan akan bersama-sama berpimpinan tangan dengannya menuju syurga Allah.

Langkah kakinya terhenti di hadapan sebuah kedai yang menjual peralatan bayi. Dia tersenyum. Tanpa bertangguh langkah kaki dihayun masuk ke dalam kedai. Meninjau-ninjau barang keperluan dan harga untuk persediaan yang masih terlalu awal.

Perut yang masih kempis diusap-usap. Alhamdulillah... Allah menganugerahkan satu nyawa di dalam tubuhnya kini. Yang akan dia bawa ke mana saja untuk tujuh bulan lamanya lagi. Dia sangat bersyukur.

Dalam pada leka melayan perasaan indah, dia terlihat sepasang kasut bayi yang sangat comel. Pantas diambil dan dibelek.

“Berkenan yang ini ke puan?” ramah seorang gadis jurujual berbangsa Cina menegurnya dengan senyuman. Dia tersenyum dan mengangguk.

“Cantik. Tapi yang ini sesuai untuk baby boy atau baby girl?” dia bertanya tidak pasti. Anak di dalam kandungannya masih kecil lagi untuk dia tahu jantinanya. Lagipun dia tidak kisah samada bayi itu lelaki atau perempuan. Yang penting sihat.

“Kalau yang puan pegang ni, untuk boy boleh, girl pun boleh. Biasanya kalau untuk baby girl, customer akan pilih warna pink dan untuk baby boy warna biru. Tapi yang ini warna-warni. So dua-dua pun boleh.” Gadis itu ketawa kecil dengan penerangannya sendiri. Dia turut ketawa.

Dia memang pernah mendengar kaitan warna merah jambu untuk bayi perempuan dan warna biru untuk bayi lelaki. Tetapi dia tidak kisah sebenarnya. Warna tidak melambangkan apa-apa. Dia lebih sukakan warna putih kerana baginya bayi yang baru lahir terlalu suci dan putih adalah lambang kesucian itu.

“Berapa harganya?” dia terus membelek-belek kasut comel itu. Hatinya sudah berkenan.

Dalam waktu yang sama dia cuba menggambarkan seraut wajah yang akan menerima pemberian darinya nanti. Apakah lelaki itu akan terkejut? Fahamkah dia maksud yang cuba disampaikan? Atau lelaki itu tidak ambil pusing langsung dengan pemberiannya.

“Harga dia RM69.90 puan. Tetapi sekarang ada diskaun 10%.” Jurujual itu menerangkan.

“Kalau balut sekali boleh tak?” soalnya pula. Pasti lebih mudah jika hadiah itu siap dibalut. Dia juga sudah tidak punya banyak masa.

“Boleh puan. Mari ikut saya.” Dengan senang hati si jurujual menawarkan perkhidmatan. Mereka bergerak ke kaunter.

“Puan boleh pilih kertas.” Gadis itu menunjukkan ke arah kertas pembalut yang berwarna-warni dan pelbagai corak. Lama dia berdiri memandang kertas yang pelbagai warna.

“Semua ni untuk balut satu hadiah?” soal gadis itu dengan pandangan pelik bila dia menyerahkan tujuh helai kertas yang pelbagai warna. Wajah wanita dihadapannya itu dipandang dengan rasa tidak percaya.

Dia melemparkan senyuman dan kemudiannya mengangguk. Dengan senang hati dia menerangkan sebab kenapa dia mahu berbuat begitu. Kali ini giliran jurujual muda itu pula yang mengangguk dengan senyuman.

“Kalau macam tu, puan pilih satu sahaja kertas untuk bahagian luar. Untuk bahagian dalam, saya akan guna baki kertas pembalut yang masih elok. Tak ada extra charge.” Jurujual itu tersenyum mesra. Sudah lama dia bekerja di kedai itu namun baru hari ini dia berjumpa dengan seseorang yang lain benar karektornya.

Setelah membayar dan menerima barangnya, dia meninggalkan kedai itu dengan senyuman. Dia bercadang mahu pulang saja ke rumah. Walaupun mungkin tiada sesiapa yang menunggunya di rumah nanti, namun dia masih mengharapkan semuanya akan kembali seperti sediakala. Dia masih mengharapkan sesuatu.

Langkah kakinya terpaku. Jika tadi dia masih mengharapkan semuanya akan kembali seperti sediakala, kini harapan itu nampaknya hanya tinggal harapan. Hatinya hancur berkeping-keping. Dia memejamkan mata. Mahu menghilangkan bayang dua wajah yang baru sahaja melintasinya dan memasuki ke sebuah kedai emas.

“Kau jangan cabar aku.” Teringat dia kata-kata angkuh penuh ugutan perempuan itu.

“Jangan menyesal Zara!” Suara lelaki itu pula yang kedengaran di cuping telinganya. Alyssa Az-Zahra menutup telinga dengan kedua telapak tangannya.

Mesra si perempuan memeluk erat lengan lelaki itu membuatkan dia cemburu tetapi untuk apa cemburu itu kalau namanya sudah tiada lagi di hati lelaki itu. Hati… mengapa sukar dimengerti?

Ya Allah, kau tabahkanlah hatiku untuk menerima semua dugaan ini. Aku pasrah Ya Allah.

Share this novel

Niza Asz
2019-08-09 22:30:36 

sampai chapter 20 je ke


NovelPlus Premium

The best ads free experience