SEMBILAN

Romance Series 5664

Hujung minggu itu, sedikit majlis kesyukuran diadakan oleh Haji Bakhtiar dan Hajjah Zainon yang baru pulang dari mengerjakan umrah. Semua sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan rapat dijemput hadir bagi memeriahkan majlis itu. 

Alyssa Az-Zahra mengambil peluang untuk mempromosikan juadah hasil air tangannya sendiri. Kuih talam, kek, kek cawan, pavlova dan pelbagai lagi hidangan minum petang dibuat dengan bantuan dua orang pembantu tidak rasminya, Aina dan Aini si kembar jiran sebelah rumah.

    Mujurlah mereka berdua tiada kuliah hujung minggu, jika tidak pasti dia tidak larat untuk menyediakan semua itu sendiri. Kata-kata semangat dan pujian di terima dari pelbagai pihak yang menyokong tindakannya walaupun ada yang terkilan kerana dia tidak mahu bekerja kerana dia mempunyai Ijazah. Namun itu tidak sedikit pun mematikan semangatnya kerana ibu dan ayahnya sudah merestui keinginannya.

      “Amacam jiran sebelah? Puas hati?” tegur satu suara dari arah belakang. Pantas dia menoleh kerana kenal benar dengan suara itu. 

    “Ingat tak datang?” soalnya tanpa menjawab soalan lelaki itu. Iman Mikhail tersenyum. Wajah masam-masam manis Alyssa Az-Zahra mengundang lucu di hatinya.

    “Hei... mestilah datang. Nak juga rasa air tangan adik sebelah rumah ni.” Sakat Iman Mikhail. Tangannya mencapai sepotong kek Pecan Heaven yang ditaburi kacang dan karamel lalu diletakkan di dalam piring kertas. Alyssa Az-Zahra hanya menjeling perbuatan lelaki itu dengan hujung matanya.

    “Nak rasa order lah. Mana nak dapat free.” Balas Alyssa Az-Zahra perlahan.

    “Hmm… sedapnya. Macam ni punya sedap mana cukup sepotong dik.” Puji Iman Mikhail tanpa memberi reaksi pada apa yang diperkatakan oleh Alyssa Az-Zahra. 

    “Sedap ke? Betul sedap?” soal Alyssa Az-Zahra pantas. Bangga dia kerana lelaki itu memuji. Tidak kisahlah kalau lelaki itu memuji hanya untuk mengambil hatinya sahaja. Iman Mikhail tersenyum meleret.

    “Sedap. Serius. Kalau nak terus berjaya, kena konsisten. Kena yakin. Kena selalu belajar walaupun dah mahir. Dan yang paling penting, muka kena manis bila memasak. Baru aura dia masuk dalam kek itu semua.” Puji Iman Mikhail dengan kata-kata nasihat dan usikan. Alyssa Az-Zahra tersenyum mendengar usikan itu. 

    Iman Mikhail, lelaki itu bukan abang kandungnya. Namun sejak mereka berjiran lapan tahun lalu, hubungan mereka menjadi rapat. Mana-mana gadis pun akan jatuh hati dan bangga jika menjadi teman kepada jejaka kacak, berperwatakan menarik dan bekerja sebagai Arkitek. Pakej yang dikira lengkap. Dia selesa bersama Iman Mikhail yang menghormati dirinya dan tidak pernah mengambil kesempatan sepanjang perkenalan mereka.

    “Zara...” panggil Haji Bakhtiar yang sudah pun berdiri di sebelah Iman Mikhail. 

    “Eh, pak ngah Rosli pun ada?” tegur Iman Mikhail kepada lelaki yang lebih kurang sebaya Haji Bakhtiar. Mereka bersalaman. Senyuman terbit di bibir kedua-duanya.

    “Dah lama pak ngah sampai? Tak perasan pun tadi.” Iman Mikhail bertanya pada pakciknya itu.

    “Dah lama Iman. Kamu ke mana tadi?” Ramah Haji Rosli menegur anak buahnya itu. 

“Jumpa kawan pak ngah.” 

“Kamu dah makan ke Iman?” soal Haji Bakhtiar pula. Lama dia memerhati Iman Mikhail yang berbual dengan anak gadisnya tadi. 

“Dah uncle. Dah tak larat dah nak rasa kek-kek ni semua.” Balas Iman Mikhail sopan. Mereka ketawa lagi. 

    “Habis tu untuk uncle ada lagi ke ni Zara?” usik Haji Rosli pada Alyssa Az-Zahra yang diam sejak tadi. Gadis manis itu dipandang lama. Tersipu-sipu Alyssa Az-Zahra bila diusik oleh mereka.

    “Ada lagi uncle tapi tak tahulah sedap ke tak.” Alyssa Az-Zahra merendah diri. Melihat Iman Mikhail yang mencebik ke arahnya, dia membulatkan mata tanda marah. 

    “Kalau Iman kata dah tak larat nak rasa semua kek kamu, sedaplah tu maknanya. Betul tak Iman?” Tanya Haji Rosli pada Iman Mikhail pula. Dalam hati tuanya dia mula terfikir apakah hubungan sebenar di antara anak buahnya itu dengan Alyssa Az-Zahra.

    “Hmm… terus terang cakap, tak berapa sedap pak ngah. Pak ngah jangan makan banyak sangat. Takut sakit perut.” Balas Iman Mikhail spontan. 

    Melihat wajah kelat Alyssa Az-Zahra, Haji Bakhtiar, Haji Rosli dan Iman Mikhail ketawa. 

    “Kamu ni... tak kira kat mana, memang mengusik orang jadi hobi kamu.” Sampuk Haji Bakhtiar. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Iman Mikhail merupakan anak Tuan Rusdi, jiran sebelah rumahnya. Dengan budi pekerti yang baik, pandai hormat orang tua dan pandai membawa diri maka dia tidak menghalangAlyssa Az-Zahra berbaik dengan jejaka tampan itu. Sejauh mana keakraban hubungan mereka, dia tidak tahu dan dia tidak pernah bertanya. Tetapi nampaknya selepas ini dia harus mengambil tahu. Samada bertanya terus pada Alyssa Az-Zahra atau bertanya terus pada Iman Mikhail. 

    Haji Bakhtiar dan Haji Rosli memandang di antara satu sama lain. Rentak hati tua mereka sama seiring. Sejauh mana hubungan kedua-dua anak muda itu menjadi tanda tanya di hati dan di benak mereka. Haji Rosli hadir di majlisnya hari itu membawa hasrat yang tinggi. Dia serba salah.

    Iman Mikhail meminta diri untuk pulang setelah majlis kesyukuran itu selesai selepas Solat Maghrib. Keluarganya juga turut sama mengundurkan diri. Haji Bakhtiar mengambil kesempatan untuk berbual sebentar dengan anak muda itu. Persoalan demi persoalan mesti dirungkai segera. Hatinya serba salah.

    “Iman, kalau uncle tanya sikit boleh tak?” Haji Bakhtiar memulakan bicara. Iman Mikhail berasa tidak sedap hati tetapi disabarkan hatinya untuk mendengar pertanyaan dari Haji Bakhtiar.  

    “Tanya apa uncle? Dari petang tadi Iman tengok macam ada perkara yang mengganggu uncle. Kalau ada apa-apa yang Iman boleh tolong, Iman akan tolong.” Lembut dia membalas. 

    “Uncle cuma nak tahu sejauh mana hubungan Iman dengan Zara. Uncle tak akan membantah sekiranya kamu berdua suka di antara satu sama lain.” Penuh diplomasi Haji Bakhtiar bertanya. 

Dia tidak mahu Iman Mikhail salah faham dan serba salah. Dia akan bersetuju sahaja andai Alyssa Az-Zahra memilih jejaka itu sebagai teman hidupnya Lagi pula dia turut mengenali keluarga lelaki itu. 

Iman Mikhail terkejut. Seketika kemudian dia tersenyum. Dia memang menyukai anak gadis Haji Bakhtiar itu. Tetapi tidaklah sampai terlanjur menyintainya. Hatinya sendiri sudah terpahat dengan satu nama lain. 

    “Iman dan Alys tak ada apa-apa hubungan uncle. Iman sayangkan dia macam adik Iman. Lagipun kita dah lama berjiran dan keluarga uncle dah macam keluarga Iman juga. Kenapa uncle tanya?” Jujur Iman Mikahil menjawab. Haji Bakhtiar melepaskan keluhan. Terharu dengan pengakuan jujur jejaka itu.

    Panggilan untuk Alyssa Az-Zahra kadang kala akan menimbulkan kekeliruan kepada orang yang tidak rapat dengannya. Ibu, ayah, adik-beradik dan saudara mara terdekat akan memanggilnya dengan nama Zara manakala kawan-kawan akan memanggilnya dengan nama Alys. Iman Mikhail sudah terbiasa dengan keadaan itu.

    “Macam ni Iman. Biarlah uncle berterus-terang. Haji Rosli, pak ngah Iman tu dan isterinya tadi datang membawa hajat. Mereka ingin menjodohkan anak mereka dengan Zara. Tapi uncle belum memberikan apa-apa jawapan. Uncle perlu bertanya dulu kepada Iman dan Zara kerana uncle bimbang seandainya kamu berduaada menyimpan perasaan antara satu sama lain.” Luah Haji Bakhtiar perlahan. Wajah terkejut Iman Mikhail dipandang lama. 

    “Pak ngah nak jodohkan anak dia yang mana satu dengan Zara,uncle? Iskandar atau Ilhan?” soal Iman Mikhail pantas. 

Sungguh dia tidak menyangka Haji Rosli akan membuat keputusan itu. ‘Apakah Iskandar atau Ilhan sudah tahu? Bersetujukah mereka?’ dia diburu tanda tanya.

    “Iskandar.” Haji Bakhtiar menjawab ringkas.

    “Is lelaki yang baik, uncle. Tapi uncle tahukan dia duda beranak satu?” Tanya Iman Mikhail untuk mendapatkan kepastian. Anggukan dari Haji Bakhtiar melegakannya.

    “Uncle tidak berniat mahu memaksa Zara. Tetapi kamu pun tahukan sudah tiga pinangan dia tolak mentah-mentah. Kali ini uncle sendiri mahu membuat keputusan dan bertegas dengannya.” Luah Haji Bakhtiar. Sungguh dia tidak tahu apa yang diinginkan oleh anak gadisnya itu. 

Bila ditanya samada dia sudah punya pilihan sendiri, Alyssa Az-Zahra hanya menggelengkan kepala. Tetapi setiap pinangan yang datang di tolak mentah-mentah. Dia dan isterinya risau mengenangkan anak gadis mereka yang seorang itu.

    “Kenapa pak ngah dan uncle tak pertemukan mereka dulu sebelum bertunang? Bukankah itu lebih baik?” Iman Mikhail cuba memberi cadangan.

    “Zara tu degil. Bila uncle suruh dia berkenalan dulu dengan Is, katanya tidak perlu. Dia cakap andai sudah jodoh dia dengan lelaki itu dan kami merestui mereka, dia akan terima saja. Dia cakap dia malas nak fikir lagi dan akan ikut saja apa yang uncle dan auntie sudah rancang untuknya. Uncle nak bagi tengok gambar pun dia tak mahu. Katanya biarlah dia melihat sendiri empunya badan semasa majlis pernikahan mereka nanti.” Luah Haji Bakhtiar dengan rasa tidak puas hati.

    “Maknanya Alys dah tahulah yang uncle mahu menjodohkan dia dengan Iskandar?” pantas Iman Mikhail bertanya.

    “Sudah. Uncle dah beritahu pada dia petang tadi.” Penjelasan Haji Bakhtiar membuatkan Iman Mikhail mengerutkan kening. Patutlah gadis itu tidak mahu bertemu dengannya ketika dia mahu pulang tadi. Terus menguncikan diri di dalam bilik.  

    “Tak apalah uncle. Nanti kalau ada masa, Iman akan cuba bercakap dengan Alys. Sekarang Iman minta diri dulu uncle. Unclepun janganlah banyak berfikir. Nanti akan menjejaskan kesihatan uncle.” Nasihat Iman Mikhail ikhlas. Setelah bersalaman dia terus berlalu meninggalkan Haji Bakhtiar dengan seribu harapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience