DUA PULUH

Romance Series 5664

Aku lakarkan sebuah senyuman,

Menghiasi satu kepalsuan,

Yang aku corakkan dalam keterpaksaan,

Menutupi cebisan rasa,

Agar nanti dapat aku kekalkan perhubungan ini,

Atas dasar sebuah kejujuran…

********************************************************

“Dah pukul enam petang ni. Korang tak solat asar lagi kan?” Tanya Alyssa Az-Zahra mengingatkan kedua-dua kembar itu tentang tanggungjawab mereka pada yang Maha Esa. Dari tadi dia sudah mengarahkan mereka untuk bersolat dahulu tetapi kedua-duanya berdegil mahu membantu dia memasak juadah berbuka puasa. 

“Pergi sekarang!” arahnya lagi, kali ini lebih tegas. Tugas memasak juadah berbuka puasa untuk mereka hari itu sudah selesai. Masak lemak ketam, sayur buncis goreng dengan udang dan ikan kembung goreng benar-benar membuka seleranya.

“Kak Alys ni macam mak tiri tau tak?” Aini bersuara. Dia dan Aina, adik kembarnya gelihati melihat cara Alyssa Az-Zahra memarahi mereka. Marah atau tidak sama saja dipendengaran mereka. 

Hari ini mereka akan berbuka puasa bersama-sama memandangkan ibu bapa mereka mempunyai jemputan berbuka puasa bersama rakan perniagaan mereka. Mereka merayu Alyssa Az-Zahra untuk berbuka puasa di rumah mereka walaupun pada awalnya gadis itu menolak.

“Kak Alys jangan garang-garang sangat. Mana tahu nanti betul-betul jadi mak tiri macam mana?” sakat Aini lagi. Aini, gadis itu lebih bersikap periang dan suka mengusik berbanding Aina yang lebih pendiam dan nampak pemalu.

“Tak kisah lah mak tiri ke, mak angkat ke, pergi solat sekarang, kalau tak akak balik.” Ugut Alyssa Az-Zahra. Dia selalu dipermain-mainkan oleh Aini dan Aina. Dia tidak ambil hati.

“Baiklah kakak ku sayang. Kami pergi sekarang. Jangan cabut lari tau.” usik mereka lagi. Dia hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah kedua-duanya. 

“Jangan lupa tengok siapa kat luar tu dulu. Kak Alys bukan kenal pun saudara mara korang.” Jerit Alyssa Az-Zahra dari dapur bila mendengar bunyi kereta dari luar rumah.

Sambil menyanyi-nyanyi kecil, dia mengeluarkan puding laici yang telah dibuatnya tengahari tadi dari dalam peti sejuk lalu di bawa ke singki untuk dipotong.

Sambil menyusun puding-puding yang sudah siap dipotong, sepotong puding itu di masukkan ke dalam mulutnya. Kesejukannya membawa nikmat ke tekaknya yang sudah empat hari bercuti wajib itu.

“Ehem... Ehem... Sedap nampak?” tegur satu suara garau dari belakangnya membuatkan dia terkejut dan terus menutup mata. 

Dapat dia rasakan wajahnya yang membahang menahan malu. Sebelum berpusing memandang tuan punya suara, sempat dia mengutuk Aina dan Aini kerana tidak memberitahu dia bahawa mereka mempunyai tetamu. Nasib baik juga dia masih belum menanggalkan tudungnya walaupun sudah lama tiba di rumah itu petang tadi.

“Eh... Encik Rafeq buat apa kat sini?” Terkedu Alyssa Az-Zahra seketika. Bertambah rasa malu dan terkejut Alyssa Az-Zahra bila melihat bekas majikannya yang berdiri di muka pintu dapur itu. Rafeq Iskandar juga terkejut melihat Alyssa Az-Zahra berada di rumah mak longnya.

“Eh... Alys pun ada? Bila sampai?” tanya Iman Mikhail terkejut. Tetapi matanya memandang Alyssa Az-Zahra dengan senyuman.

“Dah dua jam dah sampai.” Perlahan Alyssa Az-Zahra menjawab. Matanya memandang tepat pada Iman Mikhail yang meletakkan beg plastik di atas meja di ruang dapur itu. Mengharapkan penjelasan dari lelaki yang sudah dianggap seperti abangnya itu.

“Kau duduk dululah. Aku nak solat sekejap.” Arah Iman Mikhail pada Rafeq Iskandar. Dia kemudian terburu-buru meninggalkan mereka berdua.

“I rasa i yang patut tanya, you buat apa di sini?” soal Rafeq Iskandar setelah pasti Iman Mikhail sudah pergi untuk menunaikan tanggungjawabnya pada yang Esa. 

Dia menghampiri meja makan lalu meletakkan sebuah mangkuk tingkat di tangannya di atas meja. Memang dia benar-benar terkejut dan tidak menyangka akan berjumpa dengan Alyssa Az-Zahra di rumah mak longnya itu.

“Saya... saya...” tergagap-gagap pula Alyssa Az-Zahra mendengar soalan Rafeq Iskandar itu. Apakah Iman Mikhail yang menjemput Rafeq Iskandar untuk berbuka puasa bersama-sama?

Ah... kenapalah dia tidak bertanyakan ke mana Iman Mikhail pergi kepada Aini atau Aina tadi. Sangkanya hanya mereka bertiga sahaja. Alyssa Az-Zahra mengeluh sendiri. Tetapi apa hubungan sebenar Iman Mikhail dan Rafeq Iskandar?  

“You jadi orang gaji dekat rumah mak long i ni ke? Macam mana i boleh tak tahu?” Soal Rafeq Iskandar curiga. Kenapa Iman Mikhail tidak pernah memberitahunya tentang hal itu? 

‘Rumah mak long?’ Alyssa Az-Zahra terkejut lagi. Aduh... kecilnya dunia! Tiba-tiba dia jadi marah pada Iman Mikhail kerana lelaki itu tidak pernah memberitahunya hubungan sebenar antara Iman Mikhail dengan bekas majikannya itu.

“Orang gaji? Oh… ha... iye lah saya kerja jadi orang gaji kat rumah Tuan Rusdi ni.” Kelentong Alyssa Az-Zahra. Dia mula sedikit kekok. 

Baru dia teringat yang Rafeq Iskandar memang menyangka dia bekerja sebagai orang gaji semasa mereka keluar makan tengahari bersama dengan Iman Mikhail dan Ain Liyana tempohari.

“Oh... orang gaji boleh curi makan lah ye?” sengaja Rafeq Iskandar mengenakan gadis itu. Dapat dilihat betapa sedapnya Alyssa Az-Zahra menikmati puding laici tadi. 

“Eleh... orang gaji pun manusia jugak Encik Rafeq. Setakat puding sepotong, tak miskin lah Tuan Rusdi dengan Puan Fatimah tu.” Balas Alyssa Az-Zahra pantas. Kenapalah dalam banyak-banyak manusia di atas muka bumi Allah ini, lelaki ini juga yang dia jumpa?

Sudah puas dia berdoa agar tidak bertemu lagi dengan Rafeq Iskandar tetapi nampaknya doa dia masih belum dikabulkan oleh Allah. Ya Allah… apa yang cuba Engkau aturkan ini? Aku takut dengan perasaanku sendiri Ya Allah…

“Memanglah setakat puding sepotong tak miskin mak long i tapi you tu curi makan dalam bulan puasa. You tak puasa ke? Pakaian tutup sana-sini tapi ponteng puasa!” Sindir Rafeq Iskandar terus. Dia masih mahu bersoal jawab. Geram pula dia bila Alyssa Az-Zahra menjawab kata-katanya dengan selamba.

“Cakap jangan sebarang cakap ye. Makan pun bukan boleh sebarang makan tau. Nanti sakit perut. Saya... saya... ABC lah...” marah bercampur malu-malu Alyssa Az-Zahra menjawab. Bulat matanya memandang lelaki di meja makan itu. Kata-katanya yang entah apa-apa sudah tidak dihiraukan lagi.

“Tau pun makan tak boleh sebarang makan. Makan curi-curi dalam bulan puasa, lagilah tak boleh. Berdosa tau. By the way, ABC tu apa?” Rafeq Iskandar bertanya pelik. Gadis di hadapannya dipandang terus. 

Rindukah dia pada Alyssa Az-Zahra? Kali terakhir mereka bercakap di telefon beberapa hari lepas dan penyudahnya gadis itu mematikan taliannya begitu sahaja.

“Allah Bagi Cuti lah.” selamba Alyssa Az-Zahra membalas tanpa memandang lelaki itu. Dia malu sebenarnya bila tertangkap tidak berpuasa. Tanpa sedar Rafeq Iskandar tersenyum. 

Hatinya berbunga-bunga melihat Alyssa Az-Zahra di hadapan mata tetapi ego menghalang dia untuk beramah mesra. Lebih-lebih lagi mengenangkan status diri membuatkan dia cuba mengawal perasaannya. 

Tangan Alyssa Az-Zahra pantas menyudahkan kerja-kerja memotong dan menyusun puding laici dan dimasukkan semula ke dalam peti sejuk. Malas dia mahu melayan lelaki itu. 

“Dah berapa lama you bekerja di sini?” Tanya Rafeq Iskandar lagi. Dia duduk di salah sebuah kerusi di meja makan yang terletak di dapur itu. Matanya memerhati sahaja gerak-geri Alyssa Az-Zahra yang memang nampak biasa di dapur itu.

“Lepas berhenti kerja dengan Encik Rafeq, saya terus kerja di sini.” Tipu Alyssa Az-Zahra. Alang-alang dia sudah memulakan helah, lebih baik diteruskan saja, fikirnya. Ampunkan aku Ya Allah di atas pembohongan ini!

“Haa…” sergah Aina yang tiba-tiba muncul di pintu dapur. Dia tersenyum-senyum memandang ke arah Alyssa Az-Zahra dan Rafeq Iskandar. Kemudian datang pula Aini dan Iman Mikhail berdiri di sebelah Aina.

“Abang dah kenal ke dengan Kak Alyssa ni?” Tanya Aini. Matanya turut memerhati kelakuan Alyssa Az-Zahra dan Rafeq Iskandar. Sama cantik kalau digandingkan. 

“Dialah tu….” Belum sempat Aini menghabiskan ayatnya, lengan Aina sudah menyinggul rusuk kirinya. Alyssa Az-Zahra yang tidak perasan keadaan itu berlagak selamba. 

Rafeq Iskandar mengerutkan kening melihat gelagat sepupunya dengan penuh curiga. Dia memandang ketiga-tiga sepupunya itu mengharapkan jawapan.

“Dialah tukang masak kami hari ni. Abang berbuka sini aje lah. Mama dengan papa pun tak ada. Berbuka di luar.” Pelawa Aina sambil menutup ketelanjuran kata-kata Aini tadi.

“Memanglah abang berbuka kat sini. Abang Iman korang ni yang pelawa tadi.” Jawab Rafeq Iskandar. Iman Mikhail masih mendiamkan diri dan merenung Alyssa Az-Zahra. 

“Memandangkan Aini dan Aina dah ada geng, akak berbuka kat rumah ajelah.” Sampuk Alyssa Az-Zahra tiba-tiba. Dia sudah bergegas mahu pulang.

Lagi lama dia berhadapan dengan Rafeq Iskandar lagi tidak elok untuk kesihatan hati dan jantungnya. Lebih baik dia melepaskan diri. Lagi pula hatinya yang masih panas dengan Iman Mikhail perlu disejukkan.

“Eh jangan nak mengada-ngada ye. Kak Alys dah janji nak berbuka dengan kami. Jangan jadi munafik.” Ugut Aina dalam diamnya. Dia sudah memaut lengan Alyssa Az-Zahra.

“Berbuka sini aje lah Alys.” Perlahan Iman Mikhail menyampuk. Kalau Alyssa Az-Zahra pulang, rosaklah rancangannya bersama adik kembarnya itu untuk cuba merapatkan lagi hubungan Alyssa Az-Zahra dan Rafeq Iskandar tanpa mereka sedari.

Dia nampak jelingan Alyssa Az-Zahra padanya tapi dia buat tidak tahu saja. Hati gadis itu akan dipujuk nanti.

“Tak apalah abang. Mungkin lain kali aje.” Alyssa Az-Zahra berkeras mahu beredar.

“Ala kak… lagi ramai lagi meriah. Betul tak Abang Is?” Aina bersuara lagi. Kali ini dia mahukan sokongan dari Rafeq Iskandar pula.

“Berbukalah sekali. Tuan rumah dah pelawa tu. Tak baik menghampakan permintaan orang. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari Cik Alyssa Az-Zahra.” Keras dan tegas sahaja suara Rafeq Iskandar menerobos ke gegendang telinga Alyssa Az-Zahra. Meluat dia mendengarnya.

‘Musuh aku sekarang ni tu haa... yang berdiri kat sebelah kau tu Rafeq Iskandar. Kalau aku dapat dia sekarang… Aku tumbuk-tumbuk buat sambal belacan.’ Bicara Alyssa Az-Zahra dalam hati. Matanya masih melekat pada Iman Mikhail.  

Iman Mikhail, Aini dan Aina hanya tersenyum melihat wajah cemberut Alyssa Az-Zahra. Mereka sekeluarga tahu Rafeq Iskandar dan Alyssa Az-Zahra tidak mahu mengenali di antara satu sama lain sebelum mereka di ijab kabulkan. Seboleh-bolehnya dia adik-beradik akan menyimpan itu sebagai rahsia. 

“Kami naik solat dulu. Nanti kami tolong kak Alys basuh pinggan tau.” Janji Aina dan Aini serentak selepas mereka berlima habis berbuka puasa bersama. Rafeq Iskandar dan Iman Mikhail sudah lama meninggalkan mereka di meja makan itu. Alyssa Az-Zahra hanya tersenyum.

“Pergi solat dulu. Maghrib waktu singkat. Nanti tak sempat.” Bebel Alyssa Az-Zahra lagi. Dia menolak kedua-dua gadis itu agar segera mengerjakan tuntutan wajib pada Allah. 

Matanya terarah ke arah tangga. Dia melihat Rafeq Iskandar turun dari tingkat atas dengan keadaan hujung rambut yang masih basah. Kemejanya berlipat sehingga ke paras siku. Pasti lelaki itu baru selesai mengerjakan solat Maghrib. Nampak tampan dan berkarisma. Tinggi dan sasa.

‘Astaghfirullahalazim...’ dia beristighfar di dalam hati. Terlalai seketika dengan kejadian sempurna milik Allah itu. Alyssa Az-Zahra tersenyum sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepala. Pantas kakinya di gerakkan ke arah dapur untuk membasuh pinggan.

“Boleh i tolong?” Rafeq Iskandar sudah berdiri betul-betul di sebelahnya berhadapan dengan sinki. Dia gugup. Tidak tahu mahu menjawab apa.

“Encik Rafeq… Encik Rafeq… duduk sajalah di ruang tamu.” Balasnya. Asal sahaja bercakap dengan lelaki itu, dia pasti menjadi gugup dan gagap.

“You kalau bercakap dengan i memang gagap ke macam mana?” usik Rafeq Iskandar. Dia perasan, bila saja dia meninggikan suara atau menegur gadis itu dengan mengejut, pasti Alyssa Az-Zahra akan tergagap-gagap. Dia berasa lucu.

“Haah... keturunan kot tergagap-gagap bila kena sergah.” Alyssa Az-Zahra mengiyakan sahaja tanggapan Rafeq Iskandar itu. Tangannya masih ligat menyabun sementara Rafeq Iskandar membilas. Tanpa dipinta lelaki itu dengan ringan tulang membantu. 

Masing-masing tidak bersuara. Alyssa Az-Zahra lebih senang diam begitu manakala Rafeq Iskandar masih memikirkan topik perbualan yang sesuai untuk mereka sembangkan. Kebelakangan ini mereka kerap bertemu secara tidak sengaja begitu. 

Sesekali tangan mereka bersentuhan. Debaran di dada Alyssa Az-Zahra hanya Allah saja yang tahu. Sudah banyak dosanya tercatat di bahu kiri kerana bersentuhan dengan lelaki itu secara tidak sengaja hari ini. 

“Kenapa you berhenti kerja dan memilih untuk menjadi orang gaji?” soal Rafeq Iskandar tiba-tiba. Dia masih tidak puas hati gadis itu berhenti kerja semata-mata untuk menjadi orang gaji. 

Bukan dia mempertikaikan pekerjaan sebagai orang gaji atau pembantu rumah, tetapi Alyssa Az-Zahra mempunyai kelayakan dan sekiranya dia terus bekerja, dia akan mendapat kenaikan pangkat dengan cepat. 

“Encik Rafeq masih tak puas hati dengan jawapan saya sebelum ini ke?” soal Alyssa Az-Zahra perlahan. 

Dia bersandar di kabinet dapur sambil mengelap pinggan mangkuk yang basah sebelum menyusunnya di tempat pinggan.

Rafeq Iskandar sudah duduk di kerusi sambil memerhati ketangkasan Alyssa Az-Zahra bekerja. Bahunya diangkat sedikit sebagai respon kepada soalan Alyssa Az-Zahra.

“Well… i bukan tak puas hati cuma i tertanya-tanya berapa gaji yang you dapat dari pak long i sehingga you sanggup berhenti kerja dan mensia-siakan kelulusan yang you ada.” Jelas Rafeq Iskandar jujur. 

“Encik Rafeq, duit bukan soalnya. Apa yang penting saya selesa dan saya suka dengan apa yang saya buat sekarang. Lagi pun semasa saya bekerja di Rekabina Kreatif, saya hanya seorang kerani dan saya tidak pun menggunakan kelulusan yang saya ada.” Tegas Alyssa Az-Zahra menjawab. Dia berharap agar penjelasannya kali ini dapat memuaskan hati bekas majikannya itu. 

“Kalau you kata, duit bukan soalnya... kenapa you bekerja secara part-time selepas waktu pejabat? Bukankah kerana duit?” Rafeq Iskandar menduga lagi. 

Alyssa Az-Zahra memejamkan matanya. ‘Ya Allah... sukarnya berhadapan dengan soalan-soalan daripada lelaki ini.’ Bisik hatinya. Dia sudah tidak kuasa untuk menjawab segala persoalan dari Rafeq Iskandar lagi.

Melihatkan Alyssa Az-Zahra diam dan tidak berniat untuk menjawab soalannya tadi, dia ajukan pula soalan yang membuatkan Alyssa Az-Zahra rasa seperti ingin menjerit.

“Soalan akhir dan kali ini i betul-betul perlukan jawapan...” Rafeq Iskandar berjeda seketika. Dia bangun dan menghampiri Alyssa Az-Zahra yang masih bersandar di kabinet walaupun semua pinggan mangkuk sudah siap disimpan di tempat yang sepatutnya.

“Kalau saya boleh jawab, In Shaa Allah saya jawab. Kalau tak….” Alyssa Az-Zahra menjawab sambil lewa. 

Matanya mengekori pergerakan lelaki itu yang kian menghampirinya dengan rasa curiga. Dia mula tidak senang hati. Dia ke sinki semula untuk membasuh kain dan tangannya. Semuanya dilakukan di luar sedar kerana dia gugup.

Teringat saat wajahnya tersembam di dada lelaki itu membuatkan darah kembali menyerbu ke mukanya. Malu! Teringat ketika jari lelaki itu terlekat di bibirnya membuatkan dia membahang. Marah!

“Apa hubungan you dengan Iman Mikhail?” Rafeq Iskandar bertanya betul-betul di sebelah telinganya. 

Dapat dia rasakan hangat nafas lelaki itu. Wangian lelaki itu membuatkan irama jantungnya tidak sekata. Masih wangian yang sama. Dia sangat pasti, seandainya dia berpusing, pasti badan mereka akan bersentuhan, maka dia lebih rela menjadi tunggul kayu berdiri tegak di hadapan sinki tanpa bergerak sedikit pun.

“Dia seorang lelaki yang istimewa dalam hidup saya.” Jawab Alyssa Az-Zahra perlahan. Dia tahu dia menipu lagi. Dia tahu dosanya bertambah lagi. Tetapi biarlah… dia akan meminta keampunan dari Allah di atas setiap penipuannya itu nanti.

“You…” 

“Abang, jom pergi terawih.” Jerit Aina dan Aini serentak dari muka pintu dapur. Kata-kata Rafeq Iskandar terhenti. 

Dia menjarakkan dirinya dari Alyssa Az-Zahra. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia mendekati gadis itu. Seperti ada tarikan untuk dia mendapatkan penjelasan tentang hubungan Alyssa Az-Zahra dan Iman Mikhail.

“Alys nak ikut sekali?” soal Iman Mikhail tiba-tiba. Tiga pasang mata memandang ke arah Alyssa Az-Zahra.

Entah kenapa hatinya tidak enak mendengarkan jawapan Alyssa Az-Zahra ke atas pertanyaan Rafeq Iskandar tadi.

“Tak... tak... Alys... Alys... balik dulu….” Pantas Alyssa Az-Zahra memboloskan diri mengikut pintu belakang rumah itu. Memang dia sudah terbiasa menggunakan laluan itu jika ke rumah Iman Mikhail.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience