TIGA

Romance Series 5664

“Kenapa saya pulak kak? Akak saja je nak menganiaya diri saya ni kan? Saya dah lah baru kena marah dengan bos akak tu.” Rungut Alyssa Az-Zahra.

Terkejut dia bila diberitahu yang majikan mereka sudah bersetuju untuk melantik dia sebagai pembantu kepada Najwa, Setiausaha kepada CEO Syarikat Rekabina Kreatif. Dia tidak bersetuju dan bermati-matian menolak usulan Najwa.

“Bos akak bos kau jugak. Jangan nak bagi alasan lagi.” Marah Najwa. Siapa lagi yang mahu diharap kalau Alyssa Az-Zahra menolak permintaannya.

“Bos saya Encik Jamil.” Balas Alyssa Az-Zahra selamba.

Sungguh dia tidak mahu menjadi pembantu Najwa. Bukannya dia tidak mahukan pengalaman atau kerja yang baru, tetapi dia baru sahaja dimarahi oleh Rafeq Iskandar. Masih berbaki rasa malunya pada lelaki itu.

“Tu bos kecik. Ni bos besar.” Ucap Najwa. Dia tidak mahu mengalah. Macam mana pun dia tetap akan memujuk gadis itu agar bersetuju dengan permintaannya.

“Akak… apa kata kalau akak pilih Shima. Cuba akak tengok Shima ni. Rajin, baik, berdisiplin, mesti dia akan menjadi pembantu yang baik kepada akak dan bos akak.” Lembut sahaja Alyssa Az-Zahra mempromosikan Shima pula.

“Eh apa aku pulak? No... No... No... aku dah suka dengan apa yang aku buat sekarang.” Shima menolak cadangan itu.

Memang dia sukakan Rafeq Iskandar, majikan mereka yang kacak itu tetapi dia tidak mahu menjadi pembantu kepada lelaki itu. Lagipun dia suka-suka sahaja menyukai Rafeq Iskandar. Bukan betul-betul.

“Kau kan suka dia. Hari-hari kau boleh menghadap muka dia. Tak payah dah nak kira satu dua tiga tiap-tiap pagi.” Alyssa Az-Zahra mengungkit perbuatan teman sekerjanya itu.

Tersipu-sipu Shima tersenyum. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Malu. Najwa yang tahu akan hal itu juga sudah ketawa.

“Alys, aku ni suka-suka aje. Bukan betul-betul pun. Betul tak kak?” Shima mengharap sokongan Najwa.

“Kalau betul pun apa salahnya Shima. Solo tu…” usik Najwa.

“Ish… akak ni… cubalah sokong saya. Akak sokong si Alys ni bukannya dia nak jadi pembantu akak pun.” Rajuk Shima.

“Alys… nak tak nak, suka tak suka, esok kau tetap kena duduk kat meja belakang akak tu. Nanti esok kita kemas sama-sama, okay? Akak dah cakap dengan Encik Rafeq yang kau setuju dengan cadangan dia.” Najwa beralasan.

Tanpa menunggu lebih lama, dia terus berlalu. Sengaja dia menjual nama Rafeq Iskandar walau hakikatnya lelaki itu tidak tahu lagi siapa pilihannya untuk dijadikan pembantu.

“Akak…” Alyssa Az-Zahra merayu-rayu memanggil Najwa yang sudah pun berlalu ke mejanya.Dia mengalih pandang kepada Shima yang duduk berhadapan dengannya.

“Shima…” kali ini dia merayu Shima pula. Wajah teman sekerjanya itu ditatap mengharap belas simpati.

“Kau kerja je dengan kak Najwa tu. Kesian dia mengandung. Esok-esok dia habis pantang kau kerja balik tempat kau sekarang.” Shima memberikan pendapat.

Shima yakin kerja itu hanya sementara. Sementara Najwa mengandung dan akan cuti bersalin. Terdiam Alyssa Az-Zahra mendengar kata-kata Shima itu. Betul juga, fikirnya sendiri. Termakan juga dia dengan kata-kata Shima itu.

“Haah kan... mesti kerja tu sementara je. Lepas tu bolehlah aku menghadap muka kau dengan Salwa balik. Kenapa aku tak terfikir pasal tu?” Alyssa Az-Zahra sudah mula berkeyakinan.

“Eh Alys... kot iya pun macam jauh bebenor ke jaraknya antara tempat kak Najwa dengan kita ni? Kalau kau duduk sana pun, masih nampak lagi kami kat sini. Kau pergi balik pun ikut pintu yang satu ni juga.” Salwa mengingatkan.

“Lagipun tempat kau duduk tu luar bilik bos lah bukan dalam bilik bos sampai tak nampak kami ni.” bidas Shima.

Pelik dia dengan penolakan dan rasa serabut yang dibangkitkan oleh Alyssa Az-Zahra. Tak lah jauh mana tempat mereka cuma tempat Najwa sedikit terlindung sebab bilik CEO terletak dihujung.

***********************************************************

“Terima kasih tau Alys. Terima kasih sebab sudi tolong akak.” Najwa bermanis kata. Ketika itu dia sedang membantu Alyssa Az-Zahra mengemas meja kerja baru gadis itu.

Semalam puas dia memujuk gadis itu agar menerima saja arahan untuk menjadi pembantunya. Puas juga dia menjual nama bos mereka agar penerimaan Alyssa Az-Zahra lebih mudah. Pagi ini bila diminta bertukar tempat duduk, gadis itu menolak dengan pelbagai alasan lainnya.

“Akak tahu kan cita-cita saya? Saya nak kumpul duit je ni kak. Lepas tu saya nak capaikan cita-cita saya.” Dalih Alyssa Az-Zahra lagi. Masih cuba untuk menolak permintaan Najwa.

“Ye akak tahu. Tapi semua tu lambat lagi. Kerja sini dulu. Nanti dah cukup duit kau berhentilah kerja. Kau tak kesiankan akak ke? Akak dah tak larat tahu tak? Nak bawak perut lagi, nak buat kerja lagi, nak kemas bilik bos lagi.” sengaja Najwa berkata begitu. Dia ingin memancing simpati Alyssa Az-Zahra.

“Akak ni memang sengaja nak simpati dari saya tau tak? Tapi kalau saya ada buat silap apa-apa, akak jangan marah saya tau? Saya ni memang tau saya ni tak berkebolehan.” Alyssa Az-Zahramemberi peringatan awal-awal.

“Ya tau. Okay dah jangan membebel. Sekarang ni tulis apa yang akak cakap.” Arah Najwa sebaik sahaja tempat itu sudah dikemaskan dan Alyssa Az-Zahra sudah duduk dengan selesanya.

Mendengar arahan demi arahan berhubung dengan kerja barunya, tidaklah sesukar mana pada pendapat Alyssa Az-Zahra. Datang pagi, kemas bilik bos sebab dia tak suka cleaner masuk bilik dia. Pastikan sebotol air mineral akan berada di tempat yang sudah disediakan. Bila bos minta air panas baru buat itu pun jarang-jarang sekali.

Selebihnya mencatat segala temujanji, mesyuarat dan menjawab panggilan telefon serta kena sentiasa alert dengan setiap projek atau tender yang sedang dalam perlaksanaan. Juga membantu kerja-kerja Najwa iaitu mengambil minit mesyuarat atau menyediakan dokumen. Alyssa Az-Zahra mencatit semua butiran agar tidak ada satu pun yang dia tercicir.

“Lagi satu Alys, kadang-kadang dia akan minta juga kita tolong dia berkenaan dengan hal peribadi. Contohnya macam booking tempat makan untuk dia dengan family. Belikan bunga untuk hari ibu. Perkara-perkara tu semua biasa akak buat dan Alys akan bantu akak nanti.  Dia sangat mementingkan keluarga dan anak perempuannya. Alys akan tahu semua tu nanti. And please make sure that setiap cerita peribadi bos jangan sampai keluar dari bilik dia. Dia tak suka. Elok atau tak cerita tu, diam-diam sudah. Faham?” Panjang lebar Najwa menerangkan dan memberi peringatan dengan begitu tegas.

Alyssa Az-Zahra hanya mengangguk-angguk dan mencatatkan juga arahan-arahan terakhir itu. Soal cerita peribadi majikan mereka bukanlah sesuatu yang sesuai untuk dijaja. Dia faham itu. Lagipun untuk apa dia membuka aib orang sedangkan dia sentisa berdoa agar Allah menutup aibnya.

“Kak… waktu balik macam mana?” soal Alyssa Az-Zahra. Dia masih bekerja secara part-time maka dia tidak mahu terlewat sampai ke tempat kerjanya nanti.

“Sekarang ni akak ada kalau Alys nak balik on time pun tak apa. Tapi bila akak dah mula bercuti nanti Alys susahlah sikit nak balik awal. Biasanya akak akan balik bila dia balik. Bukan apa, takut ada kerja-kerja urgent yang dia nak minta tolong kita buat. Tapi kalau betul ada hal, cakap terus dengan dia sebab dia jenis tak berkira dan memahami.” Terang Najwa satu persatu.

Dia baru mendapat tahu yang Alyssa Az-Zahra bekerja secara separuh masa selepas waktu pejabat di Rekabina Kreatif itu. Kagum dia dengan kegigihan anak gadis itu yang berusaha untuk mencapai cita-citanya. Interkom di atas meja Najwa berbunyi. Sebentar kemudian dia sudah menghilangkan dirinya ke dalam bilik Rafeq Iskandar.

Wajah Alyssa Az-Zahra yang menunduk menjadi santapan matanya. Selepas Najwa keluar dari biliknya dia meminta wanita itu memanggil pembantu barunya masuk. Dia agak terkejut kerana tidak menyangka gadis itu yang menjadi pilihan Najwa. Sungguh, dia memang tidak benar-benar mengenali pekerjanya itu tetapi selepas dia menegur Alyssa Az-Zahra semalam, dia sedikit pun tidak terfikir yang gadis itu akan menjadi pilihan Najwa untuk dilantik sebagai pembantu.

“Apa alasan you memilih dia?” Suara Rafeq Iskandar sedikit tegas. Dia bukan mempertikaikan pemilihan Najwa tetapi pada dia, Alyssa Az-Zahra masih baru. Masih ramai lagi pekerjanya yang lebih senior berbanding gadis itu.

“I tak ada alasan yang tertentu. Cuma i percaya dengan kebolehan yang dia ada. Dia memenuhi ciri-ciri yang you mahu sebagai pembantu i, bos.” Najwa bertegas juga dengan pilihannya.

Semalam lelaki itu yang memberi kelonggaran dan menyuruh dia memilih calon pembantunya, tetapi sekarang dia seolah-olah dipersoalkan pula dengan pilihannya. Pening!

“You jangan salah faham, I bukan persoalkan calon pilihan you, Najwa. Just that she’s still new. Ramai lagi yang lebih senior.” Balas Rafeq Iskandar lembut.

“Betul bos. Ramai lagi yang lebih lama dari dia tapi i percayakan dia. Dia tak banyak cakap. Dia pantas dan cekap. Encik Jamil sendiri sukakan cara kerja dia. Dan yang paling penting ialah dia bukan jenis yang suka menjaja cerita.Believe me.” Najwa cuba meyakinkan Rafeq Iskandar.

“You tahu tak yang dia buat kerja part-time after office hours?You tak rasa ke itu akan menyusahkan i nanti?” duga Rafeq Iskandar pula.

“I tahu Encik Rafeq. I’m sure she will handle it.” Najwa mula serba-salah tetapi tetap mahu mengekalkan Alyssa Az-Zahra sebagai pembantunya.

“Baiklah kalau itu keputusan you. Tapi… kalau ada apa-apa yang i tak berkenan nanti i akan cari orang lain.” Rafeq Iskandar bertegas.

“No problem.” Najwa tersenyum dan mengangguk mendengar kata-kata lelaki itu. Dia yakin dengan kemampuan Alyssa Az-Zahra.

Kerana itu kini Alyssa Az-Zahra duduk di hadapan Rafeq Iskandar. Ada perkara yang perlu mereka bincangkan. Dan sebagai seorang majikan, dia lebih suka memberi peringatan lebih awal kepada para pekerjanya agar tidak mengambil sikap sambil lewa.

“So you dah tahu apa kerja yang akan you buat sebagai pembantu kepada Najwa?” soal Rafeq Iskandar setelah agak lama dia mendiamkan diri.

“Sudah Encik Rafeq.” Balas Alyssa Az-Zahra seringkas yang mungkin. Kini dia memandang tepat ke arah lelaki itu. Sebaris senyuman tersungging di bibirnya. Senyuman terpaksa.

“I seorang yang sangat simple Alyssa Az-Zahra. I pasti Najwa sudah pun memberitahu you segala kerja-kerja yang you perlu lakukan. Cuma di sini i nak tegaskan bahawa sebagai seorang setiausaha, i tak suka you menjaja apa jua cerita perihal diri i keluar dari bilik pejabat ini. Itu paling penting you kena tahu. I bagi contoh mudah saja.” Rafeq Iskandar diam seketika untuk melihat reaksi gadis di hadapannya itu.

Senyuman manis tadi sudah hilang. Kini gadis itu sibuk mencatit apa yang dia perkatakan. Sambil sesekali mata itu memandang ke arahnya. Bila Alyssa Az-Zahra mengangkat wajah dia meneruskan bicara.

“Sebagaimana seorang isteri harus menjaga aib seorang suami, begitulah you kena menjaga aib i. As simple as that.” entah bagaimana ayat itu yang terluah dari bibir Rafeq Iskandar, dia sendiri tidak tahu. Dalam diam dia mengutuk dirinya sendiri.

‘Isteri? Suami? Apalah orang tua ni merepek! Cakaplah jaga aib sesama saudara seislam ke… ish… pelik…’ Alyssa Az-Zahra berbicara sendiri. Dia memandang tepat ke arah Rafeq Iskandar dengan dahi yang berkerut-kerut.

Memandangkan wajah pelik yang ditunjukkan oleh Alyssa Az-Zahra sebaik mendengar kata-katanya, Rafeq Iskandar lantas berdiri dan berjalan ke arah tingkap.

“Dan i nak you berhenti buat kerja part-time tu. I tak suka setiausaha i ada buat kerja lain selepas waktu pejabat.” Tegas kata-kata Rafeq Iskandar membuatkan Alyssa Az-Zahra terus berdiri.

“Tapi Encik Rafeq…” Alyssa Az-Zahra tidak jadi meneruskan kata-katanya bila mata lelaki itu memandang tepat ke matanya sambil berpeluk tubuh.

“Tapi apa?”

“Tapi saya bukan setiausaha. Saya hanya pembantu kepada setiausaha dan saya memerlukan kerja part-time tu.” Rayu Alyssa Az-Zahra. Cuba memancing simpati majikannya.

“Bila you menjadi pembantu kepada Najwa, that’s means you adalah setiausaha i. By the way, banyak sangat ke gaji yang you dapat buat kerja tu?” soal Rafeq Iskandar tiba-tiba. Alyssa Az-Zahra berjeda seketika.

“Memanglah tak banyak Encik Rafeq tapi cukuplah nak membantu meringankan bebanan saya.” Perlahan saja Alyssa Az-Zahra membalas. Dia menunduk.

“Tak banyak tu berapa?” soal Rafeq Iskandar lagi. Benar-benar ingin tahu.

“Dalam lima ratus ringgit sebulan.” Perlahan Alyssa Az-Zahra menjawab. Wajah bosnya itu dipandang. Memohon simpati dan pengertian.

‘Tak lah banyak mana pun.’ Bisik hati Rafeq Iskandar. Dia mahu tahu kenapa gadis itu melakukan kerja lebih masa di luar waktu pejabat tetapi dia tidak sampai hati mahu bertanya. Lagi pun padanya mungkin ia melibatkan soal peribadi.

“I nak you berhenti buat kerja tu. I akan naikkan gaji you dan you seharusnya tahu bila ada satu-satu tender yang akan kita dapatkan, kerja you akan lebih banyak dan masa itu you boleh claim over time.” Arah Rafeq Iskandar terus.

“Betul ni? Tak tipu?” Teruja Alyssa Az-Zahra mendengar kata-kata Rafeq Iskandar.

Lupa dia seketika yang kini dia sedang berhadapan dengan CEO Rekabina Kreatif. Hilang sekejap sifat-sifat malu wanita melayu terakhirnya. Dia rasa ingin melonjak kegembiraan saat itu.

“Ibu saya kata tipu tu berdosa. Betul ke Encik Rafeq akan naikkan gaji saya dan saya boleh claim over time?” Saat terpandangkan anggukan Rafeq Iskandar, melebar senyuman meleret di bibir Alyssa Az-Zahra.

“Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Alyssa Az-Zahra dengan rasa gembiranya.

“Awak boleh keluar.” Rafeq Iskandar kembali duduk dikerusinya. Dengan ucapan terima kasih, Alyssa Az-Zahra terus berlalu keluar dari bilik CEO muda itu.

Saat pintu biliknya tertutup, Rafeq Iskandar tersandar di kerusinya. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak puas hati dengan dirinya sendiri. Namun dia tidak tahu apa.

“Arghh…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience