SATU

Romance Series 5664

“Satu… dua… ti…”

“Kenapa ni?” tanya Alyssa Az-Zahra pada Shima yang sedang mula mengira. Nak kata baru belajar mengira, gadis itu tamat belajar hingga Sijil Pelajaran Malaysia. Sudah hampir tiga tahun bekerja di syarikat yang sama dengannya.

“Ish… kau duduk diam-diam. Tengok aje.” Marah Shima perlahan. Senyuman di bibirnya memekar. Wajahnya ceria seperti biasa. Salwa yang berada di sebelah gadis itu hanya tersengih-sengih. Faham benar dia dengan perangai Shima setiap pagi.

“Tiga… Assalamualaikum Encik Rafeq...” pantas Shima memberi salam sebaik kiraan tiganya selesai. Seraut wajah tampan dan penuh gaya majikan mereka turut melintasi pintu masuk ke pejabat.

“Waalaikumsalam…” Rafeq Iskandar tersenyum dan mesra menjawab salam. Setiap pagi tidak pernah para pekerjanya lupa untuk memberi salam hormat kepadanya. Kadang-kadang dia malu sendiri. Rafeq Iskandar meneruskan langkah menuju kebiliknya.

“Hmm… tiada seindah senyumanmu oh oh…Bukan maksud untuk memikat tapi kalau kau terpikat, ku tak kisah apa salahnya…” Shima tersengih hingga ke telinga. Sebait lagu nyanyian Aziz Harun didendangkan.

“Kau ni dah kenapalah Shima?” Menggeleng Alyssa Az-Zahra melihat gelagat teman yang satu itu. Lupa dia yang setiap pagi Shima pasti akan menghitung dan memberi salam kepada majikan mereka. Gelagat gadis itu sentiasa menghiburkan mereka.

“Kau jangan tak tahu ye Alys... minah ni dah kemaruk kat Encik Rafeq tu.” Sakat Salwa. Dia sudah duduk dikerusinya untuk menyambung kerja.

Borak-borak juga tapi tangan kena jalan. Jangan asyik berborak tapi kerja tak bergerak, nanti rezeki tak berkat. Itu prinsip kerja Salwa. Itu juga nasihat dari ayahnya yang sentiasa akan dia ingat.

“Maaf ye Cik Salwa. Aku bukan kemaruk tapi suka-suka aje.” Shima membetulkan tanggapan temannya. Gadis lincah dan periang itu tidak pernah ambil hati dengan usikan teman-teman lain.

Pada Shima, setiap usikan akan menghiburkan hari-harinya. Walau kadang-kala usikan itu menyentuh hati, tetapi dengan usikan begitu dia belajar dan mematangkan diri. Hidup kalau tak boleh nak bergurau baik duduk surau.

“Yelah sayangku Norhashima Binti Ariffin. Aku usik aje.” Balas Salwa. Alyssa Az-Zahra sudah tidak tahu mahu campur apa kerana dia tidak pernah ambil kisah cerita-cerita teman sepejabatnya.

Pada Alyssa Az-Zahra, semua itu hak masing-masing. Rasa suka, duka, benci dan cinta itu semua kerja Allah ke atas hati hamba-hambanya. Dia tetap yakin yang perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan walau kita turut merancang.

“Kau kenapa diam pulak Alys?” Shima bertanya kepada Alyssa Az-Zahra yang nampak hanyut dengan menungan.

“Tak ada apa-apa. Aku cuma terfikir alangkah beruntungnya kau kalau Encik Rafeq tu terpikat kat kau.” Ulas Alyssa Az-Zahra walaupun bukan itu sebenarnya apa yang berada difikirannya kala itu.

Beruntungkah temannya itu? Lelaki bernama Rafeq Iskandar itu memang tampan. Sesuai pula dengan susuk tubuhnya yang tinggi dan tegap. Kerjayanya bagus dan pendapatannya pun lumayan. Cuma… dia seorang duda beranak satu. Masalahkah itu?

“Wah… pucuk dicita ulam mendatang. Tak dapat yang dicita-cita, dapat yang mendatang ni pun okay juga.” Shima sudah buat lawak sengalnya.

Tiga pasang mata tertumpu pada seorang lelaki yang segak berkemeja biru dan bertali leher putih yang sedang mendekati mereka. Alyssa Az-Zahra dan Salwa sudah ketawa.

‘Sengal punya Shima!’ kutuk mereka di dalam hati.

“Happy semua pagi ni?” tegur Amir. Pengurus Bahagian Sumber Manusia itu melangkah mendekati meja Salwa. Sebeban fail diletakkan di atas meja gadis itu.

“Tadi happylah Encik Amir. Ni dah dapat sebeban fail ni, mahu pitam rasanya pagi-pagi macam ni.” Kendur suara Salwa. Hilang senyuman diwajahnya.

“Awak belum sarapan lagi ke Salwa? Kalau belum, jom kita sarapan dulu. Nanti kalau awak pitam saya juga yang susah.” Pelawa Amir. Entah ikhlas atau tidak pelawaan itu, Salwa tidak tahu tetapi dia terus saja menggelengkan kepalanya.

“Kenapa? Dah minum?” Soal Amir lagi. Wajah gadis manis bertudung putih itu ditatap. Manis macam gula, bisik hati lelakinya.

“Sudah Encik Amir.” merah wajah Salwa menjawab. Dia terus mengambil fail di atas mejanya dan dibelek. Amir tergelak-gelak sendiri. Saat matanya berpapasan dengan Alyssa Az-Zahra, dia sekadar menjongket bahunya sahaja.

“Wei Sal... apasal muka kau merah?” usik Shima setelah dia benar-benar pasti Amir sudah masuk semula ke biliknya.

“Mana ada!” marah-marah manja Salwa. Dia sudah menggosok kedua-dua belah pipinya dengan telapak tangan.

“Dah lah tu Shima… kang dari merah bertukar hijau baru padan muka kau.” Balas Alyssa Az-Zahra memanaskan keadaan. Salwa sudah memuncung. Tahu sudah dia dengan perangai kedua-duanya. Mereka ketawa melihat gelagat gadis itu.

*********************************************************

“Dah alang-alang you nak keluar dari bilik i ni, fail dan kertas kerja ni you tolong beri pada Najwa, boleh?” pinta Jamil pada keraninya. Wajah Alyssa Az-Zahra yang berdiri di hadapan mejanya dipandang.

“Boleh bos. Encik Jamil dah semak semuanya kan? Tak ada silap?” Alyssa Az-Zahra sekali lagi bertanya. Dia bimbang andai ada kesilapan pada ayat atau perkataan di dalam kertas kerja itu. Jamil tersenyum.

“You kalau buat kerja memang tip-top. Jangan risau. I dah semak semuanya.” Puji Jamil pada Alyssa Az-Zahra membuatkan gadis itu mencebik.

“Tip-top lah sangat. Kejap lagi kalau menjerit yang kat dalam bilik besar tu, saya juga yang kena.” Balas Alyssa Az-Zahra sambil tangannya memutar tombol pintu untuk keluar.

“Kalau dia menjerit terus kat you, padanlah muka tapi kalau dia jerit pada i, nanti i jeritlah balik pada you. Barulah adil.” Jamil selamba membalas. Dia bersandar dikerusi empuk miliknya.

“Jangan buat hal Encik Jamil. Sarang tebuan jangan dijolok. Bapak Singa tidur jangan kejutkan. Nanti kena ngap!” Alyssa Az-Zahra bermadah.

Tanpa sedar tangannya sudah membuka pintu bilik dan tanpa dia sedar juga ada insan lain yang sedang berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik Jamil dan sedang memandang tepat ke arahnya.

“Bapak singa yang mana?” sengaja Jamil bertanya begitu saat dia sudah perasan wajah kaku Rafeq Iskandar yang berdiri betul-betul di belakang Alyssa Az-Zahra. Hanya gadis itu yang masih tidak sedar.

“Bapak singa yang dalam bilik besar tu lah. Dah lah saya keluar dulu. Banyak kerja lagi ni… oh mak!” terkejut Alyssa Az-Zahra ketika berpaling dan dia nyaris-nyaris merempuh sesusuk tubuh yang berdiri di hadapannya kini.

Tawa Jamil sudah meletus. Pantas wajah Alyssa Az-Zahra memerah. Dia malu. Malu kerana mengutuk lelaki itu. Bibirnya diketap.

“Sorry bos…” Alyssa Az-Zahra pantas keluar tanpa menoleh lagi. Mana dia hendak meletak mukanya saat ini.

Malu!!! Sakit hatinya pada Jamil kerana sengaja mempersendakannya. Dia sangat yakin yang Jamil sudah sedar dengan kehadiran Rafeq Iskandar sejak awal lagi.

“Bukan main sedap kau orang kutuk aku ye?” Rafeq Iskandar bersuara bila dia duduk dihadapan meja Jamil.

“Mana ada kutuk. Aku mengusik budak tu aje. Risau sangat kertas kerja dia ada silap.” Terang Jamil dengan senyuman.

“Habis yang dia panggil aku bapak singa tu kenapa?” Rafeq Iskandar masih tidak puas hati.

“Bila masanya pulak dia panggil kau bapak singa? Dia cuma cakap takut kau marah kalau ada silap.” Jamil mempertahankan Alyssa Az-Zahra. Dia bimbang andai Alyssa Az-Zahra menjadi sasaran lelaki itu nanti.

“Kau ingat aku tak dengar ke?” sergah Rafeq Iskandar. Dia tidak berpuas hati dengan alasan Jamil.

“Kau salah dengar. Dah lah. Yang kau datang jumpa aku ni nak ajak aku ke mana?” tanya Jamil menukar tajuk perbualan. Jam ditangannya sudah menghampiri ke pukul satu tengahari.

“Lunch. Lapar.” Rafeq Iskandar membalas sambil bangun dari duduknya. Dia benar-benar kelaparan kerana sejak pagi lagi dia belum mengisi perutnya.

“Manjanya bos aku ni… jom aku belanja.” Jamil mengusik. Dia sudah bangun dari kerusinya.

“Eee... kau tak payah nak cakap aku manja. Geli tahu tak?” balas Rafeq Iskandar.

“Alalala… manja-manja ni…” sakat Jamil terus. Dia memaut mesra bahu Rafeq Iskandar. Mereka berdua beriringan keluar dari bilik.

“Gelilah…” marah Rafeq Iskandar sambil menolak bahu temannya itu. Jamil ketawa besar.

Alyssa Az-Zahra yang ketika itu sedang berdiri sambil menjawab telefon terus duduk saat ternampak bayang kedua-dua lelaki itu. Janganlah mereka perasankan dirinya ketika ini.

“Accident? Kat mana?” Terkejut Alyssa Az-Zahra bila mendengar suara merintih Maya di hujung talian. Segera dia mematikan talian di telefon bimbitnya setelah mengetahui lokasi Maya. Beg duit dan kunci keretanya dicapai sebelum berlari keluar.

“Tunggu…” jerit Alyssa Az-Zahra bila pintu lif sudah mahu tertutup. Dengan pantas dia menahan menggunakan tangannya.

“Kenapa ni? Bahayalah buat macam tu.” Marah Jamil yang menekan butang di dalam lif. Wajah kalut gadis itu dipandang.

“Maaf Encik Jamil. Tak sengaja. Nak cepat.” Alyssa Az-Zahra rasa bersalah. Wajah ketuanya itu dipandang.

“Maaf Encik Rafeq.” Dia meminta maaf pada Rafeq Iskandar pula. Wajah lelaki itu biasa-biasa sahaja memandangnya. Tersenyum tidak, masam mencuka juga tidak.

“Kalau ye pun lapar dan nak makan jangan buat macam tu. Buatnya tersepit tangan tu tadi?” Jamil membebel lagi setelah lif mula bergerak turun.

“Maaf Encik Jamil. Saya nak cepat bukan sebab nak makan.” Alyssa Az-Zahra membetulkan tanggapan lelaki itu.

Rafeq Iskandar yang berdiri bersebelahan Jamil dan dibelakang Alyssa Az-Zahra hanya diam mendengar perbualan kedua-duanya. Dia tidak berminat untuk menyampuk.

“Dah kalau bukan sebab nak makan, kenapa kelam-kabut?” Jamil masih mahu bertanya. Gaya lelaki perihatin abad ini.

“Kawan saya accident. Saya nak pergi tengok dia.” Kalut gaya Alyssa Az-Zahra menerangkan. Alyssa Az-Zahra tidak sedap hati mengenangkan kawan baiknya itu.

“Teruk ke?”

“Ha… tak tahulah saya.” Sungguh dia lupa bertanya keadaan kawan baiknya itu. Terbuka saja pintu lif di tingkat bawah, Alyssa Az-Zahra terus keluar.

“Pergi dulu… bos kecik dan bos besar.” Jamil ketawa mendengar kata-kata gadis itu. Ada saja gelagatnya yang mencuit hati.

***********************************************************

“Maya… kau okay ke ni?” melihatkan Maya yang duduk tertunduk di bahu jalan membuatkan Alyssa Az-Zahra kalut.

“Sakit.” Perlahan Maya mengadu. Wajah berkerut itu dipandang Alyssa Az-Zahra.

“Macam mana boleh accident ni?” soal Alyssa Az-Zahra risau. Ketika itu dia perasan seseorang menghampiri mereka. Lelaki itu keluar dari kereta BMW 5 series yang terletak di belakang motor Maya.

“Dia ni yang bawak kereta mata letak kat lutut.” Marah Maya tiba-tiba bila lelaki itu menghampiri. Dipandang tajam wajah lelaki berkaca mata hitam itu.

“Excuse me… kau yang bawak motor mengalahkan jantan. Cilok sana-sini.” Balas lelaki berkaca mata hitam itu. Dia akui dia melanggar motor gadis itu tetapi tiba-tiba sahaja motor itu menyelit dihadapan keretanya. Dia tidak sempat mengelak dan terlambat menekan brek.

Alyssa Az-Zahra terkedu melihatkan perbalahan itu. Lama dia hanya menjadi pemerhati dan pendengar kepada perang mulut di antara sahabatnya, Maya dan lelaki tampan yang berkaca mata hitam itu.

“Motor aku suka hati akulah.” Maya membalas juga kasar. Jarang benar dia menggunakan kata ganti nama aku dan kau bila berbual dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi dengan orang yang tidak dia kenali.

“Then you deserve it. Good for you.” Lelaki itu membalas dengan suara mendatar. Padan muka! Bisik hatinya.

“Kejap-kejap. kita settle slow-slow. Tak payah gaduh.” Alyssa Az-Zahra menyampuk pertengkaran kecil itu. Dia berdiri ditengah-tengah mereka. Cuba menjadi pendamai.

Mujurlah jalan di situ agak lengang dan tidak banyak kenderaan yang lalu-lalang. Jika tidak pasti mereka menjadi tumpuan orang yang lalu-lalang.

“Awak siapa?” tanya Adam Zafril pada gadis yang berdiri dihadapannya. Kaca mata hitamnya dibuka.

“Saya kawan dia, Alyssa Az-Zahra.” Alyssa Az-Zahra memperkenalkan diri. Wajah lelaki itu dipandang. Hmm… Handsome!

“Saya Adam Zafril.” Lagak lelaki gentleman, Adam Zafril memperkenalkan dirinya. Tangan yang dihulur ditarik semula bila Alyssa Az-Zahra tersenyum-senyum dan tidak menyambut huluran tangannya. Dia segera faham.

“Macam nilah Encik Adam, saya tak tahu siapa yang salah sebab saya tak berada di tempat kejadian. Tapi melihatkan keadaan kawan saya ni, saya rasa Encik Adam yang langgar dia.” Alyssa Az-Zahra bersuara sehabis lembut. Dia menjeling Maya yang masih duduk.

“Memang dia salah pun.” Sampuk Maya dengan nada yang masih marah. Dia sudah berdiri bersebelahan Alyssa Az-Zahra sambil memandang tepat ke wajah lelaki yang melanggarnya itu.

“Ish… aku pun tau cara kau bawak motor macam mana.” Marah Alyssa Az-Zahra perlahan tetapi suaranya yang perlahan sempat ditangkap oleh telinga Adam Zafril membuatkan lelaki itu tersenyum lebar.

“Kau ni…” Maya sudah menarik muka. Geram kerana Alyssa Az-Zahra tidak menyebelahi dirinya.

“Saya rasa kereta Encik Adam okay aje. Cuma nombor plat tu je yang patah. Motor kawan saya ni pun nampak macam okay jugak. Kalau kita pergi buat report kat balai pun, Encik Adam yang salah sebab langgar dia.” Alyssa Az-Zahra berjeda seketika. Menanti kalau-kalau ada apa-apa yang lelaki itu mahu katakan.

“Saya tahu saya salah tapi kawan awak ni yang mencilok depan kereta saya tiba-tiba. Kena sikit-sikit ni okay lah. Kalau teruk tadi macam mana? Kalau patah kaki tangan macam mana?” Adam Zafril mengalihkan pandangannya kepada gadis yang dilanggar tadi.

‘Tak padan dengan kecil. Perempuan pulak tu. Bawak motor mengalahkan lelaki yang merempit.’ hatinya merungut.

“Encik Adam maafkanlah kawan saya ni. Dia ni anak yatim…” Alyssa Az-Zahra terdiam bila Maya mencubit lengannya.

Dia mengerutkan keningnya memandang kawan baiknya itu. Itu kenyataan. Maya sememangnya anak yatim. Dia kehilangan ayahnya sewaktu berada di darjah satu.

“Lagi pun Encik Adam pakai kereta besar, pakaian pun kemas, segak, kacak, kasut berkilat. Nak dibandingkan dengan kawan saya ni…” Alyssa Az-Zahra mematikan kata-katanya sekali lagi. Dipandang wajah sahabat baiknya itu dari atas ke bawah.

Adam Zafril sudah menjongketkan kening. Dia rasa mahu ketawa mendengar kata-kata Alyssa Az-Zahra dan memandang wajah cemberut Maya.

“Kawan saya ni Encik Adam tengoklah… bawak pun motor aje walaupun muka bolehlah tahan cun. Pakai pun baju kurung aje dengan tudung terlilit-lilit atas kepala. Kasut pulak tengok… kasut sekolah aje.” Alyssa Az-Zahra sudah mahu ketawa dengan kata-katanya sendiri.

Adam Zafril sudah ketawa besar mendengar kata-kata itu. Matanya memandang dari atas ke bawah gadis yang bernama Maya itu. Dia tersenyum lagi. Ada sesuatu yang menarik minatnya.

“Wei... NIKE kot ni walaupun putih!” marah Maya apabila Alyssa Az-Zahra mengutuk kasut yang tersarung dikakinya. Geram pulak dia mendengar kata-kata Alyssa Az-Zahra yang terang-terang mengenakan dirinya.

“Ala… aku mana tau. Janganlah marah. Wei… tangan kau berdarah. Jom pergi klinik. Mahu dua puluh jahitan ni.” Alyssa Az-Zahra memujuk. Dia memegang lengan Maya.

“Dah puas kau kutuk aku baru nak sedar aku cedera parah? Apa punya kawan?” Marah Maya manja. Alyssa Az-Zahra tersengih-sengih.

Adam Zafril yang masih berdiri di situ hanya memerhati. Dia mengeluarkan wang dari dompetnya lalu dihulur kepada Maya tetapi gadis itu tidak menyambut. Memandang kepada dia juga tidak.

“Kira settle ya Encik Adam. Duit klinik kawan saya ni biar saya saja yang bayar. Terima kasih.” Ujar Alyssa Az-Zahra bila melihat Maya tidak menyambut duit yang dihulur dan tidak memandang wajah lelaki itu. Pelik pula dia dengan sikap keras Maya hari ini. Adam Zafril serba-salah tetapi dia mengangguk juga.

“Hantar motor aku ke spa dulu. Aku tak nak Cik Enon tengok aku macam ni.” Maya bersuara dan mula menghidupkan enjin motornya. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam pada Adam Zafril sebelum dia dan Alyssa Az-Zahra berlalu dari lokasi kemalangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience