DUA

Romance Series 5664

Iramanya beralun lembut…

Gemersik…

Dengan seulas senyuman…

Manis…

Gemalai rentak lenggok membelai…

Pandangan di kejauhan…

Ah… terpana!

*********************************************************

Suasana di dalam bilik Pengarah Urusan Syarikat Rekabina Kreatif itu sunyi. Tiada seorang pun di antara mereka yang bersuara. Seorang gadis kelihatan berdiri tegak dengan kepala tertunduk ke bawah. Lagaknya seperti menanti hukuman ataupun kemarahan CEO syarikat di tempat dia bekerja itu. Sudah lebih kurang lima belas minit dia dibiarkan berdiri bagaikan patung cendana.

Dari kedua-dua kakinya tegak sehingga sudah naik lenguh, dia masih tidak mendengar sepatah kata pun yang dilafazkan oleh majikannya itu. Untuk mengangkat kepala dan memandang lelaki itu, dia terasa kecut perut. Tetapi untuk terus berlama-lama di situ juga dia sudah tidak mampu.

‘Ah...cakap je lah nak keluar. Berdiri kat depan dia lama-lama pun dia buat tak tahu aje. Kalau aku keluar mesti dah banyak kerja yang boleh selesai.’ Hatinya bermonolog sendiri. Saat segala tekad sudah dibulatkan di dalam hati, kepala yang tadinya tertunduk diangkat terus. ‘Alamak!’

Rafeq Iskandar sengaja membiarkan pekerjanya itu berdiri dengan agak lama di hadapannya. Memang dia menyuruh setiausahanya memanggil gadis itu kerana ada perkara yang harus ditanyakan. Tetapi kemudian dia terus leka dengan kerja-kerjanya sehinggalah dia tersedar yang sudah agak lama gadis itu terpacak dihadapan mejanya.

Dengan bersandar selesa di kerusi empuk miliknya, dia memerhati gadis itu yang berkerut-kerut dahinya. Saat kepala pekerjanya itu terangkat dan memandang kepadanya, dia hanya mengangkat kening.

“Apa yang awak cakap dalam hati tu? Awak mengutuk saya lagi?” soal Rafeq Iskandar pantas bila wajah gadis itu tertunduk semula. Ibarat seperti kura-kura yang menyembunyikan kepalanya di dalam cengkerang bila berasa tidak selamat. Alyssa Az-Zahra terkedu.

“Tak... Tak cakap apa-apa pun.” Sedikit tergagap-gagap dia bersuara. Dalam hati dia mula mengutuk dirinya sendiri.

“Dah berapa lama awak bekerja dengan syarikat ini?” soal Rafeq Iskandar terus tanpa memberi apa-apa ulasan pada jawapan gadis itu.

“Haa?” reaksi spontan Alyssa Az-Zahra itu membuatkan Rafeq Iskandar melepaskan keluhan perlahan. Dia berdiri dan mendekati gadis itu.

“Saya tidak suka mengulang soalan. Pastikan awak dengar dan beri perhatian pada apa yang saya perkatakan. Untuk menjadi orang yang berjaya, kita mesti peka dengan keadaan sekeliling. Bukan termenung dan bermimpi di siang hari.” Tegas suara Rafeq Iskandar mengingatkan.

“Maafkan saya Encik Rafeq.” Balas Alyssa Az-Zahra dengan rasa bersalah dan takut-takut.

Dia tidak pasti atas kesalahan apa dia dipanggil oleh lelaki itu. Apakah kerana kata-katanya semalam yang mengumpamakan lelaki itu sebagai bapak singa atau keranaapa yang dilakukannya selepas waktu pejabat menjadi kesalahan kepada syarikat.

Sungguh dia lupa segala perjanjian dan lebih tepat lagi dia tidak pun membaca peraturan-peraturan syarikat sewaktu menandatangani kontrak pekerjaan dengan syarikat itu. Keseronokan dan keghairahan diterima bekerja di Rekabina Kreatif membuatkan dia menandatangani sahaja semua perjanjian tanpa terlebih dahulu membaca semua syarat-syarat perjanjian tersebut.

“Saya tanya sudah berapa lama awak bekerja dengan syarikat ini?” ulang Rafeq Iskandar sekali lagi. Kali ini suaranya lebih tegas. Dia duduk di penjuru meja kerjanya dan menghadap gadis itu.

“Bulan empat ni genap setahun Encik Rafeq.” Jawab Alyssa Az-Zahra yakin. Semangatnya sudah mula pulih. Ya, sudah hampir setahun dia bekerja di Syarikat Rekabina Kreatif itu.

Dan sepanjang tempoh hampir satu tahun itu, dia jarang sekali berurusan dengan CEO muda itu. Dia tidak pernah dipanggil. Di antara dia atau mana-mana kerani lain dengan CEO Syarikat itu, ada pengurus lain yang menjadi penghubung atau pun orang tengah.

“Sudah berapa lama awak bekerja part-time di luar waktu bekerja?” soal Rafeq Iskandar lagi. Kali ini Alyssa Az-Zahra memberanikan diri menentang pandangan lelaki itu.

Nah, itu dia persoalannya yang sebenar. Dia tertangkap sendiri secara tidak sengaja sewaktu bekerja secara part-time selepas waktu pejabat. Itu pun kerana lelaki itu menemani seorang wanita cantik masuk ke kedai peralatan sukan di tempat dia bekerja secara sambilan dan dia terus menegur pasangan itu.

“Akak nak beli kasut jogging ke?” tanyanya ramah kepada pelanggan yang baru melangkah masuk. Dia menegur dari arah belakang. Sewaktu pasangan itu menoleh kepadanya dan si wanita cantik melemparkan senyuman kepadanya, dia terkedu. ‘Matilah aku!’ hanya itu yang terlintas dihatinya saat itu.

“Awak tak payah berangan lagi. Jawap soalan saya!” Tegur Rafeq Iskandar tegas. Terkebil-kebil Alyssa Az-Zahra bila ditegur begitu.

“Sa... Saya... kerja kat situ baru lima bulan Encik Rafeq.” Beritahu Alyssa Az-Zahra jujur. Kepalanya ditundukkan semula. Mahu bila keluar dari bilik ini kepalanya sudah tidak boleh diangkat tegak kerana terkehel.

“Awak tak tahu peraturan syarikat atau awak buat-buat tidak tahu?” Soal Rafeq Iskandar dengan nada sedikit tinggi. Menjadi pantangnya bila pekerja mengambil sikap sambil lewa dalam bekerja atau dalam apa-apa perkara yang melibatkan soal syarikat.

“Tahu Encik Rafeq.” Balas Alyssa Az-Zahra perlahan.

‘Ah... belasah sajalah. Bukan dia tahu pun kalau aku baca atau tak peraturan syarikat dulu.’ Bisik hati kecilnya nakal. Dia tersenyum dalam hati.

“Kalau awak tahu, kenapa awak bekerja part-time selepas waktu pejabat tanpa berbincang atau mendapat persetujuan dari saya? Saya mahu semua pekerja saya, tidak kira diperingkat apa sekalipun menjaga nama baik syarikat.” Sergah Rafeq Iskandar. Nada suaranya masih tinggi seperti tadi.

“Saya nak cari duit lebih Encik Rafeq. Lagi pun saya kerja jadi sales girl aje. Bukannya saya buat kerja yang boleh menjatuhkan maruah saya atau reputasi syarikat. Saya kerani aje kat sini. Bukan ada client Rekabina Kreatif yang kenal saya pun. Saya pun tak pernah berurusan dengan pelanggan syarikat secara terus.” Jawab Alyssa Az-Zahraberani untuk membela diri.

“Betul. Saya tahu awak tidak berurusan secara terus dengan pelanggan tetapi apa pun alasannya, awak tetap tertakluk kepada syarat-syarat di dalam perjanjian yang telah awak tandatangani semasa awak diterima bekerja di syarikat ini. Saya juga tahu awak bekerja sebagai sales girl sahaja tetapi ianya tetap membabitkan syarikat ini sebab awak adalah pekerja tetap syarikat ini. Apakah gaji bulanan yang awak terima tidak mencukupi?” balas Rafeq Iskandar pula. Matanya masih tidak lepas dari menatap sekujur tubuh dihadapannya itu.

“Cukup Encik Rafeq.” Jawab Alyssa Az-Zahra lemah. Dia tahu macam mana sekalipun dia mempertahankan dirinya, dia tetap bersalah kerana dirinya sudah terikat dengan perjanjian yang telah dibuat.

Dia juga tahu kalau dia terus mempertahankan dirinya dihadapan lelaki itu, maka akan lebih lama lagi dia terpaksa berhadapan dengan majikannya. Lebih baik dia mengaku saja segala kesilapan. Lagipun dia gadis terpelajar. Untuk apa dia menegakkan benang yang basah sedangkan terang-terang dia bersalah.

Rafeq Iskandar melepaskan keluhan. Dia tahu tiada gunanya dia terus memarahi gadis itu. Mendengar suara bersalah gadis itu dia segera sedar. Bukan semua orang dilahirkan dengan keluarga yang kaya raya dan mewah. Mungkin gadis itu banyak tanggungjawab yang perlu digalas. Dia bangun dan duduk semula di kerusinya. Masih memandang ke arah gadis itu tetapi kali ini dengan rasa simpati.

“Macam ni lah Cik Alyssa Az-Zahra. Saya benarkan awak terus bekerja secara part-time. Mungkin awak banyak tanggungjawab yang perlu awak laksanakan dan saya tidak tahu apa masalah yang awak hadapi. Saya cuma minta awak menjaga nama baik syarikat ini dan saya tidak mahu nama syarikat saya tercemar kerana awak. Dan yang paling penting jangan disebabkan kerja part-time itu, maka awak mengabaikan kerja awak di sini. Awak juga tidak boleh lewat masuk ke pejabat. Faham?” Ujar Rafeq Iskandar tegas. Kemarahannya sudah mengendur. Tidak sampai hati dia melihat raut wajah gadis itu yang kelihatan sedih.

Alyssa Az-Zahra mengangkat kepala dengan rasa tidak percaya. Dia memandang majikannya itu dengan senyuman paling manis yang dia ada. Dia tidak kisah seandainya lelaki itu menyangka dia anak orang susah dan mempunyai tanggungjawab yang banyak. Apa yang penting hasrat hatinya untuk mengumpul modal permulaan sebelum memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan tercapai. Kalaulah ayahnya sudi membantu, pasti dia tidak perlu bersusah payah membuat dua kerja dalam sehari.

“Saya faham. Saya juga janji saya tak akan lewat dan tak akan abaikan kerja saya. Terima kasih banyak-banyak Encik Rafeq.” Bersungguh-sungguh Alyssa Az-Zahra berjanji dan senyuman manis masih terukir di bibirnya.

“Awak boleh keluar.” Arah Rafeq Iskandar setelah gadis itu membalas kata-katanya tadi.

Sebaik sahaja kakiAlyssa Az-Zahramelangkah keluar dari muka pintu, setiausaha Rafeq Iskandar sudah memandang kepadanya dengan kepala yang terangkat-angkat. Penuh dengan tanda tanya kenapa dia dipanggil. Dia sekadar membalas dengan memberi isyarat ibu jari ditelinga dan jari kelingking di bibir. Menandakan yang dia akan menghubungi wanita itu nanti. Kepala Najwa terangguk-angguk tanda mengerti.

Tanpa menunggu lebih lama, Najwa pula mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan majikan mereka. Ada perkara yang perlu dibincangkan segera.

“Encik Rafeq, boleh kita berbincang sekejap?” Tanya Najwa perlahan apabila dia sudah melangkah masuk ke bilik lelaki itu.

“Nak bincang apa mak buyong?” usik Rafeq Iskandar. Sudah lima tahun Najwa menjadi setiausahanya dan dia sangat berpuas hati dengan kerja wanita beranak satu itu.

“Duduklah. Kang terberanak kat sini masalah pulak.” Sambungnya lagi dengan senyuman.

“Belum masa lah bos. Lagi empat bulan lebih kurang.” Terang Najwa sambil tergelak. Dia dan Rafeq Iskandar biasa bergurau begitu. Duda beranak satu itu sangat perihatin dengan keadaannya kini.

“So… nak bincang apa? Nak cuti?” soal Rafeq Iskandar terus ke persoalan yang ingin disampaikan oleh Najwa. Kebetulan hari itu dia tidak sibuk dengan mesyuarat atau berjumpa pelanggan. Maka sepanjang hari dia akan berada di pejabat sahaja.

“Macam ni, i akan bersalin in shaa Allah dalam empat bulan lagi. Maka i cadangkan agar you memikirkan seseorang yang akan menggantikan tempat i selama dua bulan nanti. Dulu Mei Ling ada bolehlah dia ganti sebab dia dah biasa tapi sekarang dia dah berhenti. Jadi i kena ajar kerani lain. Kalau tak nanti takut kelam kabut kalau i bercuti. Itulah yang nak i bincangkan.” Luah Najwa tanpa selindung.

“Hmm…betullah tu. Tapi i tak tahu siapa yang i nak suruh gantikan tugas you nanti.” Rafeq Iskandar berjeda seketika. Berfikir-fikir. Jarinya bermain-main dengan pen di atas meja.

“I mahu yang cekap macam you. Yang tak banyak mulut. Yang boleh balik lewat kalau ada urgent case. Yang penting ialah dia sangat boleh dipercayai sama macamyou agar cerita–cerita perihal diri i tidak dijaja sehingga keluar dari bilik i ini. Ada ke yang macam tu?” soal Rafeq Iskandar sambil bersandar tenang.

Najwa menelan air liur. Dia tidak pasti apakah calon pilihannya mempunyai ciri-ciri terakhir itu. Memang calon pilihannya sangat boleh dipercayai tetapi kadang-kadang manusia boleh berubah.

“You ni macam nak pilih bakal isteri pulak.” Usik Najwa. Tampang Rafeq Iskandar menjadi sasaran matanya.

“Hmm… Kalau calon you masih bujang, boleh juga jadi calon bakal isteri i tapi kalau bakal isteri, i ada syarat-syarat tambahan lain lagi.” Balas Rafeq Iskandar tersengih-sengih. Dia hanya bergurau.

“Jadi sekarang ni macam mana Encik Rafeq?” soal Najwa. Malas dia mahu melayan gurauan lelaki itu. Kenal benar dia dengan perangai Rafeq Iskandar. Lelaki itu terlalu setia pada arwah isterinya.

“You rasa ada ke yang sesuai? I memang rasa nak ambil seorang pembantu untuk you sebab kalau kita ada tender baru, dia boleh bantu you untuk buat semua kerja-kerja penyediaan dokumen termasuk mesyuarat.” Luah Rafeq Iskandar kembali serius dengan perbincangan mereka.

“You nak bagi i pembantu? Syukur Alhamdulillah!” Najwa bersuara riang. Senyumannya melebar. Memang dia sangat pasti calonnya adalah orang yang paling sesuai untuk menjadi pembantunya. Rafeq Iskandar tersenyum dengan gelagat setiausahanya.

“Macam ni lah Najwa,you boleh pilih siapa yang you rasa sesuai untuk jadi pembantu , cuma kalau boleh dapatkan juga yang mempunyai ciri-ciri yang i sebutkan tadi bagi memudahkan urusan kerja antara i dengan dia.” Arah Rafeq Iskandar. Wajah berseri setiausahanya yang gembira itu menggembirakan juga hatinya.

“Jangan risau Encik Rafeq. Bukan setakat ciri-ciri yang you sebutkan tadi dia ada tetapi dengan ciri-ciri tambahan pun i rasa dia ada.” Usikan Najwa itu membuatkan Rafeq Iskandar tergelak. Ada-ada saja setiausahanya itu mahu mengenakan dirinya.

“Ciri tambahan tu i rasa tak perlu kot sebab i belum terfikir nak cari pengganti arwah isteri i. Mengarut aje. Nanti you suruh dia duduk di meja belakang you. Bersihkan meja tu.” Arah Rafeq Iskandar. Setiap kali berbicara tentang Linda, hatinya pilu.

“Baik bos…” dengan rasa senang hati Najwa keluar dari bilik itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience