SEMBILAN BELAS

Romance Series 5664

Pagi itu Alyssa Az-Zahra tekad untuk menghubungi Najwa. Sepanjang malam dia berfikir tentang baik buruknya menghubungi Najwa tetapi dia tidak punya jalan lain lagi. Dia mahu tahu berkenaan surat tuntutan itu. Dia yakin dan sangat pasti Najwa dapat membantunya.

“Assalamualaikum akak. Alys ni.” Alyssa Az-Zahra memberi salam dan memperkenalkan dirinya. Lupa dia yang Najwa pasti tahu nombor telefon bimbitnya.

“Waalaikumsalam. Ye dik. Akak masih simpan nombor telefon awak.” Balas Najwa sambil tergelak-gelak dihujung talian. Gembira dia menerima panggilan dari gadis itu.

Semenjak Alyssa Az-Zahra berhenti kerja, ada sekali Najwa menghubunginya bertanya khabar dan mahu tahu cerita sebenar di sebalik pemberhentian gadis itu. Tetapi Alyssa Az-Zahra mengelak untuk menjawab setiap pertanyaannya.

“Hihihi… akak sihat?” Alyssa Az-Zahra ketawa kecil. Dia bertanya khabar sebelum ke tujuan sebenar dia menelefon.

“Alhamdulillah sihat. Alys macam mana? Semua okay?” Najwa duduk di kerusinya dengan selesa. Komputer di hadapannya hanya dipandang kosong.

“Alys sihat akak. Alhamdulillah. Baby akak dah pandai apa?” Soal Alyssa bermanis kata.

“Dah duduk Alys. Cepat betul.” Teruja Najwa bercerita. Memang anak kecilnya yang ini cepat sungguh duduk. Tidak merangkak lagi tapi sudah duduk.

“Wah... bagusnya. Akak, rindunya Alys dengan akak. Dengan Shima dan Salwa. Apa khabar dia orang?” terbayang gelagat nakal Shima setiap pagi dan muka merah Salwa. Alyssa Az-Zahra senyum sendiri.

“Kalau rindu datang lah sini. Jumpa kami. Ni tak… hilang macam tu aje.” Najwa membalas geram. Dia belum naik kerja, Alyssa Az-Zahra sudah berhenti. 24 jam dengarnya.

Entah apa masalah gadis itu dengan majikannya dia tidak tahu. Rafeq Iskandar pun diam sahaja tak langsung mahu membuka cerita. Sebagai pekerja dia takut mahu bertanya. Takut dikata menyibuk.

“Alys bukan tak nak jumpa akak tapi Alys tak nak nanti terserempak dengan Encik Rafeq.” Perlahan Alyssa Az-Zahra bersuara. Ada sendu pada suara itu. 

“Apa masalah Alys dengan bos ni sebenarnya? Cuba cerita?” soal Najwa lembut. Dia cuba mengorek cerita.

“Akak tak tahu atau buat-buat tak tahu? Akak rapat dengan diakan? Tak kanlah dia tak cerita?” duga Alyssa Az-Zahra pula. Mustahil sungguh kalau Najwa masih tidak tahu apa-apa.

“Kalau akak tahu, tak adalah akak tanya kat awak ni cik adik. Ish... budak ni…” bebel Najwa. Geram pulak dia dengan sikap Alyssa Az-Zahra yang sama saja seperti Rafeq Iskandar. Elok sangatlah tu.

“Alys tak boleh kerja dengan dia akak. Lebih tak elok dari eloknya. Sebab tu Alys berhenti.” Terang Alyssa Az-Zahra ringkas.

“Pasal jaket tu ke?” tebak Najwa terus.

“Itu puncanya. Tapi lepas tu kami memang tak serasi. Ada saja salah Alys. Ada saja kerja Alys yang dia tak puas hati.” Adu Alyssa Az-Zahra.

“Alys… kalau pasal jaket tu dia cuma tak mahu Alys malu kalau tahu jaket tu dia punya. Sebab tu dia diamkan saja.” Najwa cuba membetulkan tanggapan Alyssa Az-Zahra.

“Memang Alys malu pun. Dengan semua staff dia buat macam tu ke?” jujur Alyssa Az-Zahra bertanya. Malu dia bila memikirkan lelaki itu melihat dia tidur. Menyelimutkan tubuhnya. Argh… Alyssa Az-Zahra seperti mahu menjerit.

Kerana jaket itu, dia sudah mula pandai berangan. Kerana jaket itu juga dia jatuh cinta. Jaket kulit hitam yang meninggalkan berbagai peristiwa dan perasaan pada diri seorang gadis. Alyssa Az-Zahra melepaskan keluhan dalam diam.

“Tak lah dengan semua staff dia buat macam tu tapi mungkin masa tu dia ingat kalau Alys sakit susahlah dia sebab masa tu akak kan dah nak cuti bersalin. Cuba Alys faham?” pujuk Najwa yang masih tidak tahu duduk perkara sebenarnya.

“Alys faham akak. Cukup faham. Tapi…” Alyssa Az-Zahra terdiam seketika. Dia tidak pasti apakah dia patut menceritakan segala duduk perkara agar Najwa faham mengapa dia berhenti. Dia serba-salah. Bercerita bererti membuka aib diri sendiri. Oh tidak!

“Tapi apa?” soal Najwa bila Alyssa Az-Zahra tidak menyambung bicara.

“Tapi akak sekarang ni Rekabina Kreatif hantar surat tuntutan gantirugi sebab Alys berhenti kerja 24 jam. Katanya Alys tak bagi surat letak jawatan dan tak ikut syarat-syarat yang dah Alys tandatangan dulu.” Adu Alyssa Az-Zahra terus ke pokok persoalan dia menghubungi wanita itu.

“Apa?” terkejut Najwa mendengar kenyataan itu. Tuntut gantirugi? Sepanjang tempoh dia bekerja di Rekabina Kreatif, belum pernah dia mendengar mengenai syarikat itu menuntut apa-apa dari kakitangan yang berhenti. Walaupun dalam tempoh 24 jam.

“Biar betul ni Alys? Tak pernah-pernah lagi syarikat tuntut gantirugi dari staff yang berhenti.” Najwa seperti tidak percaya.

“Betul akak. Alys tak tipu. Ada surat pada Alys ni. Alys call akak ni pun nak tanya berkenaan perkara ni kalau-kalau akak tahu dan kalau-kalau akak boleh bantu Alys.” Lega hatinya dapat menerangkan keadaan sebenar kepada Najwa walaupun tidak semua.

Ada perkara yang masih perlu disimpan sebagai rahsianya sendiri. Rahsia hati dan perasaan. Rahsia yang mengaibkan dirinya kalau sesiapa tahu. Hanya dia, Maya dan Allah saja yang tahu.

“Ish… musykil juga akak ni Alys. Berapa tuntutannya Alys?” soal Najwa lagi ingin tahu.

“Enam ribu ringgit Malaysia akak. Gila banyak tau tak?” Adu Alyssa Az-Zahra lagi.

“Haa??” sekali lagi Najwa terkejut. Enam ribu ringgit? 

Apa yang Alyssa Az-Zahra dah buat hingga banyak begitu tuntutannya? Benarkah Rafeq Iskandar yang mengarahkan untuk membuat tuntutan sebanyak itu dari Alyssa Az-Zahra? Tapi kenapa?

“Banyakkan akak? Alys tak tahu macam mana nak bayar banyak macam tu. Pendapatan Alys sekarang alhamdulillah okay cuma kalau nak bayar sekaligus banyak tu memanglah Alys tak mampu akak.” Dari telinga kiri, telefon dialihkan ke sebelah kanan pula. 

“Gila tak banyak?” Najwa sudah terikut-ikut perkataan ‘gila’ Alyssa Az-Zahra. Dia kemudiannya senyum sendiri. Terkejut kot! Banyak tu! Najwa melepaskan nafasnya tenang dan perlahan. Terfikir-fikir bagaimana nak menolong gadis itu. 

“Alys buat apa kat Encik Rafeq tu sampai dia boleh tuntut banyak macam tu?” tiba-tiba Najwa terasa seperti mahu mengusik. Masih terbayang-bayang wajah kelat Alyssa Az-Zahra dan pertengkaran kecil antara majikannya dan gadis itu.

“Akak jangan nak mengada. Alys tak buat apa pun kat dia. Dia aje yang suka cari pasal dengan Alys.” Tanpa sedar Alyssa Az-Zahra terlepas kata.

“Dia buat apa kat Alys?” provok Najwa terus. Memang dia perasan Rafeq Iskandar lain benar perangainya bila dengan Alyssa Az-Zahra. Lelaki itu lebih ceria dan mudah mengusik. Alyssa Az-Zahra pula pantang diusik.

“Hmm… Aaa… Dia… dia tak lah buat apa-apa kat Alys. Dia cuma bagi Alys banyak kerja. Pastu dia cakap Alys lambat. Dia cakap Alys buat kerja banyak salah.” Alyssa Az-Zahra beralasan. Pantas dia menepuk-nepuk mulutnya yang terlepas kata.

“Entah-entah Alys goda dia tak?” usik Najwa terus. Dia yakin, pasti wajah Alyssa Az-Zahra sedang merah ketika ini. Dia ketawa gelihati.

“Allah… Akak ni… kalau Alys nak goda dia, nak buat apa Alys berhenti kerja? Kalau dia tergoda dengan godaan Alys ni, tak kanlah dia bagi surat cinta minta tuntutan banyak macam tu?” Alyssa Az-Zahra menggelangkan kepala walau Najwa tidak mungkin dapat melihatnya. 

Kalau sama-sama tergoda, menggoda dan digoda kahwin sajalah. Bagi surat tuntut macam ni buat apa? Ish… sudah-sudahlah tu Alyssa Az-Zahra. Dia dah bertunang. Kau tu pun dah ada yang booking. Bawa banyak-banyak sedar diri. Bawa banyak-banyak mengucap.

“So sekarang ni Alys nak akak bantu macam mana? Alys nak akak tanya dengan Encik Rafeq ke?” kasihan pula Najwa pada gadis itu. 

Betul juga kata-kata Alyssa Az-Zahra. Kalau Rafeq Iskandar tergoda dengan godaan gadis itu, buat apa sampai nak tuntut gantirugi? Tak mungkin pula Alyssa Az-Zahra yang akan menggoda Rafeq Iskandar. Tak mungkin. Tetapi kalau Alyssa Az-Zahra yang tergoda dengan majikannya itu, dia percaya.

“Boleh ke akak? Dia tak marah akak ke nanti?” tanya Alyssa Az-Zahra serba salah pula.

Belum sempat Najwa membalas kata-kata itu, Rafeq Iskandar keluar dari biliknya. Najwa sedikit terkejut. Kalut dia dibuatnya.

“Kenapa macam terkejut ni?” soal Rafeq Iskandar dengan dahi berkerut. Agak aneh melihat kelakuan setiausahanya itu. Najwa terdiam. Alyssa Az-Zahra yang berada dihujung talian turut terdiam.

Dengan jelas dia dapat mendengar suara Rafeq Iskandar. Hatinya berdebar-debar. Janganlah lelaki itu memarahi Najwa dan janganlah Najwa memberitahu yang dia sedang berada di talian itu.

“Tak… tak ada apa-apa bos.” Tergagap-gagap pula Najwa.

“Fail ni nanti you serah pada Amir.” Rafeq Iskandar meletak sebuah fail di atas meja Najwa. Matanya masih memandang wanita itu penuh curiga. Najwa tersenyum dan mengangguk.

“You bergayut dengan Halim ke? Lain macam aje?” soal Rafeq Iskandar tak puas hati. Matanya melirik ke arah telefon bimbit jenis Samsung Note 5 edisi terbaru di tangan Najwa.

“Tak. Eh... ya...” Najwa kehilangan kata. 

“Akak jangan bagi tahu dengan dia..” dihujung talian, Alyssa Az-Zahra yang mendengar sudah terjerit kecil. Pantas Najwa menjarakkan telefon itu dari telinganya. Bingit telinganya mendengar jeritan itu. Dalam waktu yang sama dia rasa mahu ketawa.

“I bercakap dengan Alyssa Az-Zahra. Dia…” jujur Najwa memberitahu dengan senyuman.

“Give me the phone…” pintas Rafeq Iskandar tegas. Tangannya sudah dihulur untuk mengambil telefon bimbit Najwa. 

“Betul ke you hantar surat tuntutan gantirugi sebab dia letak jawatan?” soal Najwa pantas. Telefon bimbitnya masih digenggam.

Alyssa Az-Zahra yang mendengar soalan itu sudah seram sejuk. Mahu saja dia meletakkan telefon ketika itu tetapi dia juga masih mahu mendengar penjelasan dari Rafeq Iskandar.

“Yes. Now give me the phone, Najwa. Let me talk to her.” Pinta Rafeq Iskandar sekali lagi. Dia mengaku menghantar surat tuntutan gantirugi itu dan itu sangat mengejutkan Najwa.

Antara mahu dan tidak Najwa menghulurkan juga telefon bimbit miliknya kepada lelaki itu. ‘Maafkan akak, Alys.’ Hatinya sudah tidak keruan dengan tindakannya sendiri. 

Sebelum bercakap dengan Alyssa Az-Zahra, Rafeq Iskandar terlebih dahulu membuka loud speaker pada telefon itu agar perbualannya dengan Alyssa Az-Zahra dapat didengar oleh Najwa. Najwa hanya memerhati tindak-tanduk nakal majikannya itu.

“Cik Alyssa Az-Zahra… apa khabar?” mukadimah Rafeq Iskandar itu membuatkan Alyssa Az-Zahra mencebikkan bibirnya. Lembut suara lelaki itu menghantar getar ke hatinya.

Najwa yang mendengar dan melihat aksi Rafeq Iskandar sudah menggeleng-gelengkan kepala. Lelaki itu bersandar di dinding sambil menghadap setiausahanya.

“Assalamualaikum Encik Rafeq. Saya khabar baik.” Jawab Alyssa Az-Zahra perlahan. Hatinya ketika ini hanya Allah saja yang tahu.

“Waalaikumsalam. So ada apa you call secretary i ni?” Rafeq Iskandar masih dengan sikap selambanya. Dia tersengih memandang Najwa.

“Tak ada apa. Tanya khabar je.” Perlahan saja Alyssa Az-Zahra membalas. 

“Oh tanya khabar? Bukan mengadu sebab dapat surat cinta?” duga Rafeq Iskandar dengan senyuman. Senyuman yang hanya Najwa dapat melihatnya. 

Najwa sudah membulatkan matanya. Dia sudah dapat membaca gaya lelaki itu. Pasti lelaki itu mahu mengenakan Alyssa Az-Zahra lagi.

“Surat cinta ke macam tu? Saya rasa tu bukan surat cinta Encik Rafeq Iskandar. Itu surat cerai talak tiga siap mintak harta sepencarian lagi.” Bidas Alyssa Az-Zahra geram. Tidak sedar apa yang terluah dari bibir mongelnya.

“Hahahaha…” ketawa besar Rafeq Iskandar mendengar ayat dari Alyssa Az-Zahra. Hatinya dipenuhi bunga-bunga keriangan kerana dapat mendengar suara gadis itu. Najwa yang turut mendengar sudah menutup mulut menahan ketawa.

“You memang menghiburkan Alyssa Az-Zahra. So sekarang ni you kenalah bayar harta sepencarian tu. Kalau tak…” sengaja dia berjeda. Alyssa Az-Zahra menepuk dahinya. 

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata… tepuklah dahi sendiri… berfikir dahulu sebelum bercakap Alyssa Az-Zahra. 

“Saya tak ada duit nak bayar sekarang. Nantilah saya fikir-fikirkan macam mana nak bayar. Sampaikan salam saya pada kak Najwa. Assalamualaikum.” Tanpa berlengah Alyssa Az-Zahra terus mematikan talian.

Tidak perlu lagi dia menunggu kata-kata mengarut yang akan menyakitkan hatinya dari lelaki itu. Selebihnya dia malu sendiri dengan kata-katanya yang terkeluar tanpa sengaja. Otaknya tidak sempat berfikir. Selalu saja dia hilang pertimbangan bila dengan Rafeq Iskandar.

Rafeq Iskandar dan Najwa sama-sama tergelak mengenangkan sikap Alyssa Az-Zahra.

“Adik you tu memang kelakar.” Seusai berkata-kata, pantas Rafeq Iskandar menghayun kakinya ke bilik sebelum dia dihujani dengan soalan-soalan dari Najwa. 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience