SEBELAS

Romance Series 5664

    Sudah dua hari dia membawa diri ke pantai Port Dickson itu untuk mencari ketenangan hati. Di bawa bersama, satu-satunya anak perempuan yang dia ada hasil perkahwinannya dengan Linda, arwah isteri yang sangat dia cintai.

    Pada Alyssa Az-Zahra dikhabarkan yang dia tidak masuk ke pejabat kerana tidak sihat. Selama dua hari itu juga, setiausahanya itu tidak langsung mengganggu. Mungkin faham dengan keadaan dirinya yang tidak sihat atau mungkin memang tiada hal yang memerlukan tindakan segera darinya. Rafeq Iskandar tidak tahu.

    Dia percaya Alyssa Az-Zahra dapat menangani situasi di pejabat dengan baik. Teringatkan sahaja gadis itu, dia tersenyum. Mesej terakhirnya kepada gadis itu sehingga kini tiada balasan. Pasti Alyssa Az-Zahra mengatakan dia gatal atau gila. Dia tidak kisah.

Sebenarnya dia sendiri tidak tahu mengapa kata-kata itu yang dihantar walau hatinya sendiri tidak pasti dengan tindakan yang dia lakukan. Dia senang melihat gadis itu marah-marah dan merajuk. Dia suka memandang leretan senyuman di bibir mongel itu walau sejak kebelakangan ini semakin sukar untuk dia melihat senyuman meleret gadis itu.

Ah… semuanya gara-gara mulut Sara. Dia perang dingin dengan Alyssa Az-Zahra. Keras kepala tapi nampak manja. Itulah Alyssa Az-Zahra pada pemerhatiannya. Dia tahu semua usikan itu bukan kerana dia sudah jatuh cinta tetapi lebih kepada satu perasaan yang membuatkan jiwanya kembali hidup setiap kali menyakitkan hati Alyssa Az-Zahra. Dia tidak kisah kalau Alyssa Az-Zahra marah. Dia puas!

Nyata ingatan pada Alyssa Az-Zahra tetap tidak dapat membuang resah jiwanya dengan permintaan ayah dan emaknya beberapa hari lepas. Kerana itu lah semalam dan hari ini dia terdampar di sini mencari ketenangan hati dan mengimbas segala kenangan bersama arwah isterinya. Memandangkan Chenta Malika yang tersenyum padanya, seolah-olah Linda ada di situ, memandang dan tersenyum pada mereka. Chenta Malika masih terlalu kecil untuk memahami gelodak hatinya ketika ini.  

Rafeq Iskandar meraup rambutnya kebelakang. Perbincangan yang semakin hangat ini, sedikit sebanyak menghangatkan juga hatinya. Sudah habis dia beralasan namun ayah dan emaknya tetap juga dengan kehendak mereka. Kehendak mereka untuk menyatukan dia dengan anak kenalan semasa sama-sama mengerjakan umrah tempohari. Dia buntu. 

    “Budak tu baik Is. Cantik dan berpelajaran. Pandai memasak. Perempuan macam mana lagi yang Is nak? Atau Is dah ada pilihan sendiri?” Hajjah Khatijah bertanya lembut. 

Dia memang sudah berkenankan anak Hajjah Zainon itu sewaktu pertama kali mereka dipertemukan ketika gadis itu bersama adik-beradiknya yang lain menghantar Haji Bakhtiar dan Hajjah Zainon untuk mengerjakan umrah. 

Semasa di Mekah tempohari, tidak putus-putus dia berdoa agar anak lelaki sulongnya itu dipertemukan jodoh dengan perempuan yang baik-baik agar dapat menjadi pengganti mama kepada Chenta Malika, satu-satunya cucu yang dia ada sekarang. 

    “Is bukan memilih dan Is pun belum ada siapa-siapa lagi dalam hidup Is, mak. Tapi hati Is ni belum terbuka lagi nak beristeri. Soal Chenta biar Is yang fikirkan nanti, mak.” Rayu Rafeq Iskandar lagi. Sejak kematian isterinya semasa melahirkan Chenta Malika, hatinya memang sudah tertutup untuk mencari pengganti. Sayangnya kepada arwah Linda terlalu dalam. 

    “Bila masanya kau nak fikirkan soal Chenta tu Is? Pagi pergi kerja, Chenta belum bangun tidur. Petang kau balik, dah penat. Kadang-kadang balik malam langsung tak ada masa untuk cucu ayah tu.” Sembur Haji Rosli tidak puas hati. 

Dia bukan mahu memaksa tetapi Chenta Malika memerlukan seorang wanita bergelar mama untuk bermanja. Memanglah dia dan isterinya selalu memanjakan si kecil itu, tetapi tetap tidak sama dengan belaian seorang ibu.

    Dia juga sama seperti isterinya. Sudah berkenankan Alyssa Az-Zahra. Gadis itu memenuhi ciri-ciri menantu pilihan mereka. Bertudung, lemah lembut, sopan-santun dan pandai memasak. 

    “Macam ni lah Is. Apa kata Is pergi jumpa dulu dengan Zara tu. Kenal-kenal.” Cadang Hajjah Khatijah. Wajah anak sulongnya ditatap lama. 

Anaknya hanya dua orang. Rafeq Iskandar dan Razeq Ilhan. Tetapi Razeq Ilhan sudah punya pilihan sendiri. Mereka bakal ditunangkan selepas Hari Raya nanti.  

    “Tak payah nak kenal-kenal. Dah kita tengok baik budaknya, baiklah. Nak disuruh kenal-kenal, entah apa dia cakap nanti dengan budak tu, kita pun tak tahu.” Sanggah Haji Rosli. Geram betul dia dengan sikap keras kepala Rafeq Iskandar. 

    “Abang...” belum sempat Hajjah Khatijah menghabiskan ayatnya, Rafeq Iskandar sudah menyampuk.

    “Ayah dengan mak teruskan sajalah niat murni ayah dengan mak tu. Is ikut saja tapi....” Rafeq Iskandar berjeda seketika. 

“Is minta tempoh setahun atau mungkin lebih untuk ikat pertunangan ini. Is perlukan masa, ayah. Bukan mudah untuk Is lupakan Linda. Is sayang dan cintakan dia dan tidak akan ada perempuan lain yang dapat menggantikan tempat dia dalam hati Is.” Luah Rafeq Iskandar perlahan.

    “Mak dengan ayah bukan suruh Is lupakan Linda. Mak dengan ayah cuma minta Is fikirkan soal Chenta. Sudah empat tahun, Is. Chenta perlukan mama untuk melengkapkan hidupnya. Dia perlukan belaian dan kasih sayang seorang mama, Is. Is seorang tidak akan mampu untuk menjadi papa dan mama pada Chenta. Dan… Is pun perlukan seorang wanita dalam hidup Is. Untuk melengkapkan hidup Is.” Nasihat lembut Hajjah Khatijah menerobos masuk ke telinganya dan terus ke hati. Kepala Chenta Malika yang tertidur di atas pangkuannya di usap penuh kasih sayang.

    “Kalau Is terima dia pun mak, semuanya sebab Chenta. Sebab mak dan ayah cakap Chenta perlukan seorang mama. Untuk Is, buat masa ini Is tak perlukan sesiapa lagi dalam hidup Is. Is ada Chenta, ada mak dan ayah dan Is juga ada kenangan yang cukup manis dengan Linda. Itu sudah cukup untuk Is.” Rafeq Iskandar bangun lalu mengendong si kecil yang tertidur di atas pangkuannya dan berlalu ke biliknya.

    “Dengar namanya aje aku dah tak berkenan. Zara!” rungut Rafeq Iskandar di hadapan Iman Mikhail petang itu. Memang sengaja dia mencari sepupu merangkap teman baiknya itu untuk meluahkan perasaan.

    “Kau dah tengok ke belum pilihan orang tua kau tu?” soal Iman Mikhail tenang. Dia berlagak seolah-olah tidak tahu apa-apa. Wajah bengang sepupunya itu direnung dengan senyuman.

    “Tak kuasa lah aku nak tengok. Sekarang ni bro, mana ada urusan jodoh ni mak ayah cari? Kita cari sendirilah. Ni zaman moden. Bukan zaman tok nenek kita dulu yang jodoh orang tua carikan! Lagipun aku ni bukan budak-budak lagi. Aku dah pernah kahwin sebelum ni.” sanggah Rafeq Iskandar keras. Teh tarik dihadapannya hanya dipandang sepi.

    “Memang betul orang sekarang semua nak cari sendiri. Nak bercinta dulu, kenal hati budi dulu, keluar dating dulu, baru kahwin.” Sokong Iman Mikhail. Terangguk-angguk Rafeq Iskandar kerana menyangka Iman Mikhail menyokongnya.

    “Tapi bro... kalau nak tunggu kau cari, sampai ke tua lah kau tak kahwin-kahwin. Bukan sehari dua aku kenal kau.” Sambung Iman Mikhail kemudian. Tersedak Rafeq Iskandar dibuatnya.

    “Wei... kau ni kurang ajar kan. Aku ingat kau sokong aku!” marah Rafeq Iskandar. Merah wajahnya kerana tersedak tadi. Iman Mikhail tergelak kerana dapat mengenakan sepupunya itu. 

    “Is, kalau aku jadi kau, aku jumpa dulu budak tu. Kenal-kenal dulu. Mana tahu cantik macam Fazura ke? Manis macam Siti Nurhaliza ke? Atau comel macam Zara Zya ke? Pak ngah dengan mak ngah mestilah pilih yang terbaik untuk kau.” Pujuk Iman Mikhail. Sengaja dia membandingkan Alyssa Az-Zahra dengan artis-artis perempuan yang diminati oleh Iman Mikhail. 

Alyssa Az-Zahra bukan gadis biasa-biasa. Dia cantik, manis dan comel. Pandai dan yang paling penting gadis itu sentiasa merendah diri walaupun dia anak orang kaya. Senang bergaul dan mudah mesra serta mudah disayangi dan menyayangi. 

‘Ah… hatiku sudah dimiliki oleh seseorang. Jika tidak, pasti aku tidak akan melepaskan gadis seistimewa Alyssa Az-Zahra kepada Iskandar.’ Bisik hati Iman Mikhail. 

Iman Mikhail tahu dia tidak berhak untuk memaksa Rafeq Iskandar walau dia sangat yakin yang Rafeq Iskandar pasti akan jatuh cinta dengan Alyssa Az-Zahra satu hari nanti. Mengenang gadis itu dia tersenyum sendiri. Manja dan sedikit keras kepala bila bersama-sama orang yang rapat dengannya.  

    “Nama dia je macam sama dengan Zara Zya tu. Tapi tak mungkin sama comel macam Zara Zya.” Bidas Rafeq Iskandar. Meluat benar dia mendengar kata-kata Iman Mikhail.

    “Kau dah pernah jumpa dia ke? Tak kan? Tak kenal maka tak cinta, Iskandar.” Senyuman menguntum di bibir Iman Mikhail.

“Yang kau tersengeh-sengeh ni kenapa? Kau sendiri pernah ke jumpa dia?” sergah Rafeq Iskandar bila dilihat senyuman tersungging di bibir Iman Mikhail. 

Iman Mikhail hanya menggelengkan kepala. Tidak mungkin dia akan memberitahu Rafeq Iskandar yang dia mengenali Alyssa Az-Zahra.

“Aku tak nak jumpa budak tu. Kenal-kenal pun aku tak mahu. Ni bukan masanya aku nak berkenal-kenalan. Bercintan cintun. Semua tu aku dah rasa dulu masa aku jatuh cinta pada Linda.” Luah Rafeq Iskandar geram. 

Bercakap dengan Iman Mikhail rupa-rupanya tidak menyelesaikan masalah. Lelaki itu juga sama seperti ayah dan emaknya yang mahu dia mengenali gadis yang bernama Zara itu. Huh!!

    “Aku rasa kau ni tak nak kenal dengan dia bukan sebab kau dah pernah rasa bercinta. Tapi aku rasa selebihnya sebab budak perempuan kat pejabat kau tu kan?” Iman Mikhail cuba menyerkap jarang.

“Tak ada kena mengena dengan dia lah Man” sanggah Rafeq Iskandar. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Iman Mikhail itu.  

“Kau bukan muda lagi Is. Dah 30 tahun umur kau. Buang sikit keras kepala kau tu. Aku tahu dan aku dapat rasa yang kau ni sebenarnya takut terjatuh cinta dengan tunang kau tu kan? Atau kau dah terjatuh cinta dengan setiausaha kau tu?” giat Iman Mikhail lagi. Sengaja mahu mengusik.

    “Ha’ah… sedap mulut kau mengata aku kan? Kau tak tengok pulak diri kau tu. Sekurang-kurangnya dalam usia 30 tahun ni aku dah ada seorang anak perempuan! Kau tu? Kahwin pun belum tahu! Kita sebaya bro... ingat sikit.” Rafeq Iskandar melepaskan beberapa das tembakan tepat ke arah Iman Mikhail membuatkan dia ketawa besar. 

    “Aku ni lain Is... rupa tak ada…. harta pun tak ada... siapalah yang nakkan aku ni?” sengaja dileretkan suaranya dengan sendu membalas kata-kata Rafeq Iskandar. 

    “Alah sudah lah kau. Kau tu kalau mengenakan aku pandai tapi kau pun sama kau tak sedar. Kalau kau tak takut jatuh cinta, yang kau tu asyik lari dari Yana tu kenapa?” balas Rafeq Iskandar selamba dan ketawa mereka menambah keriuhan di restoran mamak itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience