EMPAT BELAS

Romance Series 5664

Senyuman dan renungan,

Berkocak di ruang ingatan,

Memutar saat pertembungan,

Merakam detik perpisahan,

Kapan tak ku tahu adanya pertemuan,

Yang mungkin terjalin ikatan…

**********************************************************

    Angin tidak, ribut pun tidak. Pagi-pagi lagi Rafeq Iskandar sudah mengamuk. Ada sahaja yang tidak kena. Alyssa Az-Zahra sudah berkali-kali dipanggil. Ada sahaja kerja setiausahanya itu yang tidak berkenan di matanya.

    Namun Alyssa Az-Zahra masih tenang. Alhamdulillah… hati dan jiwanya semakin kental bila berhadapan dengan Rafeq Iskandar walau kadang kala dia tahu hatinya hanyut juga. 

Kadang-kadang dia terfikir, apakah Rafeq Iskandar sudah tahu berkaitan surat perletakan jawatannya yang telah di hantar kepada Bahagian Sumber Manusia minggu lalu maka lelaki itu bersikap sedemikian? Namun segera hati menghentikan prasangka.

Rafeq Iskandar lelaki yang berkerjaya. Dia bukan sahaja kacak tetapi ketenangannya membuatkan segala apa yang dilakukan oleh lelaki itu nampak cool. Tak mungkin kerana dia, lelaki itu bersikap begitu. Lagi pun dia bukan siapa-siapa pada lelaki itu.

“Kau banyakkan bersabar Alys. Aku pun tak tahu apa kena Encik Rafeq tu meroyan dari pagi. Dia tak pernah macam ni.” Kata-kata Shima yang meminta dia bersabar membuatkan Alyssa Az-Zahra tersenyum. Senyum dalam kepahitan.

“Alyssa Az-Zahra!” segera Alyssa Az-Zahra meletakkan gagang telefon bila namanya dijerit lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Seisi Rekabina Kreatif pagi ini sunyi sepi. Masing-masing takut untuk bersuara.

“Masuk kali ini sudah dua kali i suruh you betulkan ayat tu. Takkan lah ayat macam tu pun you tak boleh nak fikir? Takkan kerja semudah ini pun you susah nak buat? Hei… you bukan belajar setakat tingkatan tiga tau?” luah Rafeq Iskandar geram. 

“Saya betulkan sekali lagi En Rafeq.” Lembut Alyssa Az-Zahra membalas. Wajahnya masih menunduk. 

Rafeq Iskandar mencampakkan laporan kerja-kerja yang diperoleh dan yang telah diselesaikan oleh Rekabina Kreatif bagi setengah tahun pertama. Bertaburan kertas-kertas itu di depan mata Alyssa Az-Zahra. Ada juga yang jatuh ke bawah. 

“Listen here Alyssa Az-Zahra… kalau macam ini lah prestasi kerja you, i tak fikir akan ada syarikat lain yang akan ambil you bekerja.” Tersentap Alyssa Az-Zahra mendengar kata-kata itu. Sah! Dia sudah tahu.

“Saya keluar dulu…” lembut Alyssa Az-Zahra bersuara. Dia malas maahu melayan angin kemarahan majikannya.

“I belum habis cakap lagi!” potong Rafeq Iskandar dengan suara yang masih tinggi.

Ketenangan Alyssa Az-Zahra menyakitkan hatinya. Surat perletakan jawatan setiausahanya itu yang baru diketahui tadi dari Amir amat mengejutkannya. Sangkanya gadis itu hanya bergurau sewaktu mereka bertikam lidah di rumah Najwa dulu. Nyata Alyssa Az-Zahra bersungguh-sungguh dan sudah nekad. Bukankah dia sudah meminta maaf? Sangkanya semua sudah kembali seperti sedia kala.

“You jangan ingat bila you dah hantar surat perletakan jawatan tu i akan terima. You jangan fikir bila you dah nak berhenti, you boleh buat sesuka hati.” Rafeq Iskandar masih tidak puas melampiaskan amarahnya.

“Saya….”

“You apa? You nak cakap yang you tak terniat nak buat macam tu? Satu apa pun yang you cakap i tak percaya.” Sela Rafeq Iskandar.

Telah cuba di bawa hatinya untuk bertenang. Telah dipujuk hatinya agar merelakan sahaja gadis itu pergi kerana dia tahu antara mereka tidak mungkin akan ada apa-apa hubungan istimewa. Namun hatinya enggan beralah.

  Alyssa Az-Zahra diam. Seminit, dua minit hingga lima minit berikutnya dia masih tidak bercakap apa-apa. Dia hanya memandang kosong raut majikannya yang nampak tegang. Memang dia sengaja berbuat begitu. Sudah dua kali kata-katanya dicantas oleh Rafeq Iskandar. Kini dia ingin memberi peluang kepada lelaki itu untuk melepaskan segala apa yang terpendam.

Melihatkan Alyssa Az-Zahra yang terdiam, Rafeq Iskandar turut terdiam. Dari lima minit hingga sudah mencecah ke lima belas minit, suasana masih sunyi. Masing-masing dengan ego. Hanya mata yang berbicara.

“Kalau Encik Rafeq dah tak ada nak cakap apa-apa lagi, saya keluar dulu.” Alyssa Az-Zahra bingkas bangun. 

Sudah cukup lama dia memberi peluang kepada lelaki itu untuk bersuara tetapi semakin dia diam, lelaki itu turut terdiam sama. Hati dan jiwanya terseksa. Terseksa kerana dalam diam dia terjatuh hati pada majikannya sendiri. Terseksa mengenang status diri yang sudah disunting oleh orang lain.

“Alyssa Az-Zahra…” Rafeq Iskandar bersuara tenang. 

Dia bangun dari kerusinya dan menghampiri gadis yang sudah sedia berdiri itu. Kalau pun mungkin tiada jodohnya dengan Alyssa Az-Zahra, dia tetap tidak mahu gadis itu pergi dari Rekabina Kreatif. Lebih tepat lagi dia tidak mahu gadis itu pergi dari sisinya.

Sampul surat putih yang berada di tangannya, di koyak-koyakkan di hadapan mata Alyssa Az-Zahra. Biar setiausahanya itu tahu bahawa dia tidak akan sesekali melepaskannya pergi. Tidak akan!

Pergelangan tangan Alyssa Az-Zahra yang berlapik dipegang. Sampul surat yang sudah dikoyak-koyakkan itu diletakkan di telapak tangan Alyssa Az-Zahra sambil matanya tidak lepas dari memandang seraut wajah bersih gadis itu. Alyssa Az-Zahra tergamam.

“I tak akan terima surat perletakan jawatan you. I masih tak puas hati mahu mendera you. You ambil balik surat ni.” Tenang saja Rafeq Iskandar menuturkan ayat itu. Dia tersenyum kemudiannya.

“Tapi…” sekali lagi ayat Alyssa Az-Zahra terhenti. 

Namun kali ini bukan dengan cantasan kata-kata dari Rafeq Iskandar tetapi kerana jari telunjuk lelaki itu sudah melekat di bibir Alyssa Az-Zahra membuatkan gadis itu terpana.

“Kurang ajar!” Marah Alyssa Az-Zahra tertahan-tahan. Memerah wajahnya diperlakukan begitu oleh Rafeq Iskandar. 

Seumur hidupnya, belum pernah ada seorang lelaki pun yang berani menyentuh tubuh badannya. Tetapi Rafeq Iskandar sudah dua kali memperlakukan dia sebegitu. Sekali menyentuh pergelangan tangannya dan kali ini menyentuh bibirnya pula.

Tanpa kata dia meninggalkan Rafeq Iskandar. Air matanya menitis lagi. Menyesali dosa-dosa yang telah dia lakukan pada hari ini. Menyesali diri yang terlalu rapuh dengan godaan lelaki yang tidak bertanggungjawab seperti Rafeq Iskandar.

“Lelaki yang mahu mengambil kita sebagai isteri, dia tidak akan sesekali menyentuh kita selagi belum halal baginya. Tapi… kalau belum kahwin pun dia sudah berani sentuh kita maknanya dia hanya mahu suka-suka. Kalau kita leka dan terpedaya, maka kita hanya akan menjadi penyumbang kepada meningkatnya anak tidak sah taraf di negara kita ini….” Kata-kata nasihat dari Ustazah Azizah bermain difikirannya. Membuatkan air matanya semakin lebat gugur.

Setelah Alyssa Az-Zahra keluar dari biliknya, Rafeq Iskandar juga meninggalkan bilik itu. Ke mana dia melangkah dia sendiri tidak pasti namun yang dia tahu dia akan kehilangan gadis itu dan dia tidak akan mampu untuk menahannya.

Setelah pasti bahawa tidak ada lagi kakitangan Rekabina Kreatif yang masih tinggal di pejabat, Alyssa Az-Zahra segera mengemaskan barang-barang yang mahu di bawa pulang. Hanya barang peribadi miliknya yang dimasukkan ke dalam kotak manakala barang lain tidak di bawa bersama.

Pada Shima dan Salwa akan dia terangkan kemudian duduk perkara sebenar. Pada Najwa pula dia sangat yakin bahawa wanita itu tahu apa yang terjadi antara dia dan Rafeq Iskandar. 

Segugus kunci pejabat termasuk kunci bilik Rafeq Iskandar di letakkan di atas meja lelaki itu. Selepas kejadian tengahari tadi, Rafeq Iskandar tidak masuk semula ke pejabat dan ini memudahkan dia untuk menjalankan urusannya dengan tenang dan aman tanpa kehadiran lelaki itu.

Sekeping nota untuk Rafeq Iskandar di letakkan di atas meja bersama-sama surat perletakan jawatannya yang berkuatkuasa dua puluh empat jam.  

En. Rafeq, di sini saya serahkan kunci pejabat dan kunci bilik encik. 

Saya hanya mengambil barang peribadi saya sahaja. 

Terima kasih kerana memberi peluang pada saya bekerja di syarikat ini.

~ Alyssa Az-Zahra Binti Bakhtiar

Alyssa Az-Zahra mematikan langkah kakinya di hadapan pintu bilik Rafeq Iskandar. Seluruh ruang pejabat di jelajah dengan matanya bagi merakam hari-hari terakhirnya di situ. Selepas ini dia yakin dia tidak akan menjejakkan lagi kakinya ke pejabat itu.

Dia mahu memulakan langkah baru. Bidang baru. Dan dia mahu menjadi Alyssa Az-Zahra yang baru. Alyssa Az-Zahra tersenyum bersama tekadnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience