TUJUH

Romance Series 5664

“Sakit hati aku bila tahu jaket tu dia punya. Dia pulak boleh nafikan bila aku tanya. Geramnya…” luah Alyssa Az-Zahra pada Maya. Tangannya mengetuk-ngetuk kaunter di Maya Aura Spa sebagai menunjukkan rasa marah dan geramnya pada Rafeq Iskandar.

Maya masih diam. Memandang tepat ke wajah sahabat baiknya dengan rasa simpati dan rasa mahu ketawa. Dari tadi walaupun dia hanya diam tetapi dia tetap memberi sepenuh tumpuan dan perhatian pada apa yang diluahkan oleh gadis itu.

“Lagi sakit hati aku bila perempuan bajet bagus tu sound aku suruh pulangkan jaket pakwe dia tu. Eeee... dia ingat aku ni hadap sangat ke nak pakai jaket tu? Kalau aku tahulah jaket tu dia punya, mati hidup balik pun aku tak akan pakai kau tahu tak?” sendu suara Alyssa Az-Zahra membuatkan Maya tambah simpati. Marah atau tidak suara itu tetap lembut.

Kadang-kadang Maya tidak tahu bila masanya Alyssa Az-Zahra benar-benar marah. Gadis itu pasti membalas kalau dia rasa sakit hati tetapi nada gadis itu yang lembut dan beralun-alun membuatkan orang yang dimarahinya tidak akan terkesan atau takut.

“Kau ni sebenarnya marah ke tak?” tanya Maya mengusik Alyssa Az-Zahra. Wajah kemerahan temannya itu dipandang dengan senyuman.

“Aku tengah marahlah ni! Kau ingat aku tengah berdondang sayang ke?” balas Alyssa Az-Zahra. Maya tergelak besar. Dia mengajuk cara percakapan gadis itu membuatkan Alyssa Az-Zahra membuntangkan biji matanya.

“Macam tu kau cakap marah? Kalaulah bos kau dengar, confirm dia gelak guling-guling atas tanah tau?” sakat Maya terus. Pantas Alyssa Az-Zahra menumbuk bahu Maya. Sakit hati bila diketawakan.

“Kalau nak marah... haa... macam ni… dia ingat aku hadap sangat ke nak pakai jaket tu?” Maya mengeraskan suaranya. Dia mengulang semula ayat yang dituturkan oleh sahabat baiknya tetapi di dalam nada yang lebih keras. Alyssa Az-Zahra ketawa.

“Muka kau macam nak terkam orang. Takut aku.” Alyssa Az-Zahra ketawa lagi. Dengan Maya tiada apa yang menjadi rahsia. Rahsia dia mahupun rahsia Maya, bukan lagi rahsia buat mereka berdua. Semuanya mereka kongsi bersama.

“Macam tu lah baru marah namanya. Ini tak... marah tapi nada macam memujuk... confuse orang yang dengar tahu tak?” balas Maya. Dia bangun menuju ke sofa berangkai dua.

“Patutlah mamat BMW hari tu pun takut dengan kau. Garang betul.” Usik Alyssa Az-Zahra. Sengaja mahu mengenakan Maya. Sudah puas gadis itu mentertawakannya tadi.

“Kau ni… jangan disebut-sebut lagi pasal mamat tu boleh tak?” tersentap Maya mendengar kata-kata Alyssa Az-Zahra. Segera kejadian tempohari berlegar di ruang matanya.

“Tapi aku pelik. Kenapa kau kasar sangat dengan dia? Kau yang aku kenal bukanlah jenis yang kasar macam tu.” Alyssa Az-Zahra turut melabuhkan punggungnya di sofa yang sama.

“Entahlah… Aku pun tak tahu.” Perlahan Maya menjawab. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dan mengapa dia boleh marah sungguh dengan mamat BMW tempohari. Terang-terang sudah salah dirinya.

“Hmm… Lain macam aje?” Alyssa Az-Zahra mencuit bahu temannya itu. Maya menjeling geram.

“Tak ada lain macam pun. Biasa aje.” Maya mencapai senaskah majalah dari atas meja kopi. Diselak-selak. Cuba lari dari usikan Alyssa Az-Zahra.

“Sebenarnya kau tu marah dia langgar kau atau kau malu bila kena langgar dengan dia?” Alyssa Az-Zahra masih mahu mencuit sekeping hati milik gadis bernama Nur Maizatul Akmar itu.

“Dah kenapa pulak aku nak malu bila kena langgar dengan dia? Kau ingat sedap ke jatuh tergolek dari motor tu dan luka berdarah siku dan kaki aku ni?” soal Maya dengan wajah mencuka.

Ah… sebenarnya memang dia malu dilanggar oleh lelaki yang memandu kereta BMW itu. Malu kerana walaupun dia seorang perempuan tetapi cara dia menunggang motosikal seperti lelaki. Malu kerana yang keluar dari kereta itu seorang lelaki tampan dan bergaya. Argh… Maya menjerit di dalam hati.

“Memang lah tak sedap tapi masa tu aku memang tak sangka yang bercakap ‘kau aku’ dengan lelaki tu ialah kawan baik aku. Kasar. Garang. Memang bukan Nur Maizatul Akmar yang aku kenal.” Bidas Alyssa Az-Zahra.

“Sejak bila pulak aku ni lemah lembut, sopan santun macam gadis melayu terakhir? Macam kau lah senang cerita.” Sanggah Maya dengan senyuman.

“Kau memanglah bukan macam aku. Disebabkan perbezaan kita ini lah, kita jadi ngam. Rapat.” Maya memeluk mesra bahu Alyssa Az-Zahra mendengar kata-kata yang terluah dari bibir sahabat baiknya.

“Sekarang kau berhenti cerita tentang aku. Yang aku nak tahu sekarang ni, apa reaksi bos kau bila kau pulangkan semula jaket dia? Tak terkejut ke?” tanya Maya.

Memang dari awal lagi dia mahu tahu bagaimana reaksi Rafeq Iskandar bila Alyssa Az-Zahra memulangkan jaket itu. Mendengar cerita dari Alyssa Az-Zahra bagaimana jaket itu boleh berada di badan sahabat baiknya itu, dia sudah dapat merasakan sesuatu tetapi penafian Alyssa Az-Zahra membuatkan dia malas mahu terus mengusik gadis itu.

Alyssa Az-Zahra walau gadis itu tidak setinggi dia, tetapi sahabatnya itu boleh dikategorikan sebagai comel. Mudah mesra dan peramah. Keselambaan Alyssa Az-Zahra membuatkan orang disekelilingnya tidak susah untuk jatuh hati pada gadis itu. Tetapi agak sukar untuk membuatkan gadis itu jatuh hati.

Alyssa Az-Zahra terdiam. Mengingati kejadian di dalam bilik lelaki itu membuatkan dia malu dan bengang sendiri. Hingga ke hari ini malunya masih menebal. Dek kerana rasa itu juga dia mengambil keputusan untuk membataskan dirinya dari terlebih mesra dengan bosnya itu.

“Sempat lagi nak termenung?” Maya menguis lengan Alyssa Az-Zahra yang nampak hanyut dalam menungan. Dia menggeleng perlahan.

“Dia terkejut. Dia minta maaf dan… dan…” tersekat-sekat Alyssa Az-Zahra cuba menjawab persoalan Maya. Malu mahu meneruskan bicara. Tahu dia akan ditertawakan lagi.

“Dan apa?” Sergah Maya tanpa sabar. Terserlah sifat seorang gadis yang agak kasar perlakuannya.

“Dan dia cium jaket tu depan aku. Dia cakap wangi.” Laju ayat itu meluncur keluar dari ulas bibir Alyssa Az-Zahra dek kerana terkejut disergah.

Maya ketawa terbahak-bahak. Lebih melucukan bila melihat seraut wajah yang sudah kemerah-merahan dihadapannya.

“Serius?” tanya Maya dalam sisa tawanya. Wajah kelat Alyssa Az-Zahra ditenung terus.

“Tak kelakor!” Marah Alyssa Az-Zahra. Dia meniru gaya percakapan Dato’ Ramli M.S. seorang insan seni yang sangat berwibawa. Wajahnya mencuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience