SEPULUH

Romance Series 5664

Sentuhan kasih kita,

Tak pernah berbicara,

Meronta namun tiada mula,

Pandangan kita bertaut mesra,

Tidak siapa menjangka,

Bicara kita tiada indahnya,

Hanya gambaran penyentuh rasa,

Luka kita tiada ubatnya,

Hanya penentu yang maha Esa!

*********************************************************

    Jodoh, pertemuan, ajal dan maut itu ketentuan Allah s.w.t. Manusia merancang dan Allah juga merancang tetapi perancangan Allah tentunya sebaik-baik perancangan untuk hamba-hambanya. Maka kerana itu, Alyssa Az-Zahra pasrah dengan jodoh yang cuba diaturkan oleh kedua-dua orang tuanya.

    Sebagai syarat Alyssa Az-Zahra, sebelum ayah dan ibunya menerima apa jua pinangan dari pihak lelaki, dia tidak mahu sebarang majlis pertunangan di adakan. Dia hanya menerima cincin merisik iaitu sebentuk cincin dengan sebutir batu permata kecil di atasnya. Walaupun berat untuk Haji Bakhtiar dan Hajjah Zainon menerima syarat Alyssa Az-Zahra tetapi mereka terpaksa juga mengikut sahaja segala permintaan anak gadis mereka itu.

    Tempoh satu tahun yang ditetapkan oleh pihak lelaki disambut baik oleh Alyssa Az-Zahra kerana dia sendiri memerlukan ruang untuk dirinya bersedia mengahwini lelaki yang tidak dikenali jauh sekali dicintai. Dia masih punya impian yang belum tercapai dan dia berharap segala impian itu akan dikecapi sebelum dia mendirikan rumah tangga.

Rafeq    : i tak sihat hari ni so please cancel any appointment for today.

Alys    : Ok bos.

Rafeq    : any urgent cases directly call me.

Alys    : Ok bos.

Rafeq    : i’ll miss u

   

Alyssa Az-Zahra menarik nafas panjang. Mesej yang diterima dari Rafeq Iskandar mengenai ketidakhadiran lelaki itu pagi ini amat menyenangkan hatinya. Sekurang-kurangnya dengan bebanan perasaan yang sedang dia alami kini, ketidakhadiran Rafeq Iskandar memberi peluang kepada dirinya untuk lebih bertenang sementelah dia sendiri tiada mood untuk melakukan sebarang kerja dari pagi lagi.

Cuma mesej terakhir bosnya itu mengundang getar di naluri kegadisannya. Apakah benar Rafeq Iskandar akan merinduinya? Kenapa harus merindui dia sedangkan di antara mereka tidak punya sebarang hubungan yang istimewa? Argh... Alyssa Az-Zahra tidak punya jawapan itu.

Mesej terakhir itu juga tidak dibalas. Hanya berkali-kali kata-kata terakhir itu dibacanya dan dia merasakan seolah-olah Rafeq Iskandar membisikkan sendiri kata-kata itu ditelinganya.Lantas kedua-dua tangannya ditekup ke telinga. Ah… gilakah dia!

Sungguh dia tidak mahu ditimpa perasaan perasan. Sungguh dia takut bermain-main kata dengan hatinya. Sungguh dia takut untuk mengharapkan sesuatu yang dia tahu tidak mungkin akan dia peroleh. Cinta ini bukan buta tapi cinta ini gila! Apakah ini sebenarnya perasaan mencintai dan rasa dicintai? Alyssa Az-Zahra tidak pasti.

    Setelah penat melayan perasaan, petang itu dia menanti Maya, satu-satunya teman yang amat memahami diri dan perasaannya setelah berjanji untuk berjumpa di rumahnya.

“Haa... termenung!” sergah Maya. Gadis itu masuk ke biliknya dan duduk di sisi katil. Jelingan maut Alyssa Az-Zahra membuatkan dia tergelak.

    “Kau ni kenapa? Orang lain bertunang senyum sampai ke telinga. Kau ni aku tengok bertunang tapi gaya macam orang mati laki.” Usik Maya lagi. Sengaja ingin menyakat dan menceriakan sedikit hati gadis itu.

    “Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku ke apa ni, Maya?” Alyssa Az-Zahra sedikit membentak. Entah kenapa hari ini dia memang tiada mood untuk bercakap atau membuat apa sahaja. Fikirannya tak menentu.

    “Hei... janganlah marah Alys. Aku bergurau aje kan.” Maya serba salah. Dia menghampiri gadis yang nampak tertekan itu lalu memeluk bahunya lembut. 

    “Kenapa ni? Cuba cakap dengan aku, lepaskan semua tekanan yang kau ada. Tak elok kau simpan dalam hati macam ni.” Pujuk Maya perlahan. Tangan sahabatnya itu digenggam kemas menandakan dia akan bersama-sama dan menyokong gadis itu dalam apa jua keadan.

    Tiba-tiba Alyssa Az-Zahra menangis teresak-esak. Tangisan yang sudah tidak mampu dibendungnya lagi. Sudah puas dia cuba selindungkan kekusutan hatinya dari pengetahuan ayah dan ibu namun bila berdepan dengan Maya, dia sudah tidak mampu untuk berpura-pura lagi. 

    “Aku tak suka dengan pertunangan ini Maya! Aku tak suka lelaki tu. Aku tak suka ibu dan ayah aturkan semua ni untuk aku! Aku benci tahu tak?” luah Alyssa Az-Zahra tersedu-sedu. Lantas sahabat dihadapannya itu dipeluk erat.

    Maya terdiam. Bukan dia tidak tahu jodoh sahabatnya itu diaturkan oleh Haji Bakhtiar dan Hajjah Zainon tetapi sangkanya Alyssa Az-Zahra ikhlas menerima. Kadang-kadang dia sendiri keliru. Alyssa Az-Zahra mengatakan dia bertunang tetapi gadis itu hanya menerima cincin merisik. Katanya andai benar jodoh dia dengan lelaki itu ada, mereka akan terus berkahwin bila sampai waktunya. Dia tidak mahu terikat dengan tali pertunangan.

    “Alys… kalau kau tak suka dengan semua ni, kenapa kau terima?” soalnya lembut. Belakang badan teman itu di usap penuh kasih sayang. Tidak sampai hati dia mendengar dan melihat tangisan itu.

    “Aku terpaksa... aku... aku tak nak ibu dan ayah risaukan aku lagi bila aku tolak semua pinangan sebelum ni. Aku tak nak jadi anak derhaka, Maya.” Tersedu-sedanAlyssa Az-Zahra bersuara.

    “Tapi ini melibatkan masa depan kau kan? Kau yang akan kahwin. Ibu tak suruh kau kenal atau jumpa dulu dengan lelaki tu ke? Siapa nama dia?” Tanya Maya pelik. 

Mustahil Alyssa Az-Zahra tidak berjumpa dulu dengan lelaki itu. Dia sendiri sudah melihat gambar lelaki itu bila di tunjuk oleh kakak ipar Alyssa Az-Zahra, Intan. Kacak orangnya walau sudah mempunyai seorang anak perempuan.

    “Ada. Ibu dan ayah ada suruh aku kenal dulu dengan mamat tu tapi aku yang tak mahu. Aku... aku tak suka. Nama dia pun aku tak mahu tahu.” Beritahu Alyssa Az-Zahra jujur. Maya melepaskan keluhan. Jari-jemari Alyssa Az-Zahrayang masih digenggam, diramas lembut. 

    “Alys... kau ni kan degil tak bertempat tahu tak? Kenapa kau tak nak kenal dulu? At least tengok gambar ke? Aku ambilkan gambar dan kau tengok dulu nak?” Maya sudah bangun dari duduknya. Kawannya itu mesti dibantu. 

    “Aku tak nak Maya! Aku tak nak tahu apa-apa pun pasal dia. Kalau ibu dan ayah rasa dia terbaik untuk aku, aku terima aje walaupun aku makan hati.” Beritahu Alyssa Az-Zahra degil. Maya duduk semula bersebelahan Alyssa Az-Zahra. Dia memang sudah sedia maklum dengan perangai manja dan keras kepala gadis itu. Nampak saja lembut.

    “Kau tak nak tengok muka dia... kau tak nak tahu pasal dia... tapi kau menangis bagai nak rak ni sebab dia. Ishh… tak paham lah aku kau ni Alys.” Rungut Maya. Sengaja dia ingin melihat respond sahabatnya itu.

    “Aku bukan menangis sebab dialah. Aku menangis sebab terpaksa bertunang dengan dia. Lepas tu kena kahwin dengan dia.” Balas Alyssa Az-Zahra perlahan. Air mata yang masih menitis di pipi diseka perlahan. Sungguh dia tidak suka dengan perasaannya sekarang ini. 

    “Ala samalah tu. Semuanya sebab dia kan? Tapi kan Alys... rugi tau kalau kau tak tengok muka dia. Tak kenal dia. Handsome kau tahu tak tunang kau tu? Adalah sikit-sikit iras Adi Putra. Pelakon lelaki kesayangan kau tu.” sakat Maya lagi. Kali ini dia tersenyum. 

    “Handsome pun buat apa? Duda anak satu pulak tu! Ibu dengan ayah ingat aku ni janda ke yang dia carikan aku duda anak satu ni? Tension kau tahu? Tak suka! Tak suka!” Duda anak satu!! Itu lagi satu faktor yang membuatkan hatiAlyssa Az-Zahra begitu kecewa. 

Allah telah janjikan lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Nampaknya dia masih belum cukup baik di sisi Allah. Dia mula menilai dirinya sendiri. Masih banyak kelemahannya. Masih banyak kekurangannya.

    “Kau kan suka budak-budak. Dapat pulak anak instant... baguslah.” usik Maya terus. Geli hati dia melihat wajah cemberut Alyssa Az-Zahra. Alyssa Az-Zahra membeliakkan matanya ke arah Maya. Geram dia dengan usikan sahabatnya itu. Melampau!

    “Wei... memanglah aku suka budak-budak. Tapi aku ni anak dara. Mestilah aku nak bakal suami aku tu bujang. Lepas tu kita orang buat anak sendiri. Bukan anak instant macam ni. Macam mi segera!” balas Alyssa Az-Zahra tidak puas hati. Lengan Maya di ketip geram. Menyeringai Maya menahan peritnya cubitan Alyssa Az-Zahra.

    “Hahaha… mi segera ni Alys, cepat dimasak sedap dimakan!” Maya sudah mula membuat perangai loyar buruknya. 

    “Kau ni kan Maya, teruk tahu tak!Apa punya ayatlah yang kau guna tu.” marah Alyssa Az-Zahra tetapi akhirnya dia ketawa dengan gelagat Maya. 

Habis ke semua bantal hiasan katilnya yang berbentuk hati dibaling ke arah Maya. Tak cukup dengan itu mereka sudah melancarkan perang bantal pula. 

    “Dah lah Maya. Tak larat aku nak pukul kau lagi. Aku pukul kau sekali, kau pukul aku tiga kali.” Adu Alyssa Az-Zahra sambil terbaring kepenatan. Maya juga terbaring keletihan di sebelahnya. 

    “Aku tak suka tengok kau sedih-sedih tau Alys. Buat masa ni aku nak kau lupakan dulu soal pertunangan kau ni. Lagi pun kau bukan betul-betul bertunang pun. Merisik aje.” Maya bersuara perlahan. Cuba memujuk.

    “Kau tahu tak Maya…” tiba-tiba Alyssa Az-Zahra bersuara.

    “Mana aku tahu selagi kau tak cakap?” sampuk Maya sebelum Alyssa Az-Zahra menghabiskan ayatnya. Spontan tangan Alyssa Az-Zahra menekup mulut sahabatnya itu. Mereka ketawa lagi.

    “Walaupun aku belum betul-betul dapat capai impian aku untuk membuka ‘Sweet Alys’ tetapi tempahan yang aku terima setiap hujung minggu memang penuh. Aku syukur sangat.” Sambung Alyssa Az-Zahra perlahan. Ya, dia bersyukur dengan rezeki Allah itu.

    “Itu maknanya rezeki orang nak kahwin. Kau kena ingat Alys... kahwin, suami, isteri dan anak-anak, telah Allah tetapkan rezeki kita tu. Kau kena selalu bersyukur dan berhenti merungut dengan apa yang mungkin telah Allah tetapkan untuk kau ni.” Nasihat Maya.

    “Maya… ada lagi yang kau tak tahu sebenarnya…” Alyssa Az-Zahra berjeda seketika. Menanti respon dari temannya itu.

    “Apa lagi lah yang aku tak tahu ni? Sejak bila kau ni banyak sangat berahsia dengan aku ni?” rungut Maya manja. Tampang Alyssa Az-Zahra dipandang mohon penjelasan.

    “Kau rasa cinta tu macam mana Maya?” melopong Maya mendengar soalan itu. Berkerut keningnya mendengar soalan sahabat baiknya.

    “Hmm… aku pun tak pastilah. Aku ni dari dulu tak berkawan dengan lelaki. Lelaki-lelaki pulak sebelah mata pun tak pandang aku.” Luah Maya dengan senyuman.

    Memang dia dari dulu tidak begitu rapat dengan lelaki. Yang ada hanya papa. Itu pun lelaki kesayangannya itu sudah meninggal dunia waktu dia masih bersekolah rendah. Entah kenapa dia selalu berasa tidak selamat bila dihampiri oleh mana-mana kawan lelakinya. Maka dia lebih senang bersendirian.

“Ye lah kau tu. Ada yang nak tapi kau jual mahal!” sindir Alyssa Az-Zahra.

“Siapa lah yang malang nak aku tu Alys? Rasa rabun kot mata dia..” sela Maya sambil tergelak-gelak.

“Mamat BMW.” Perlahan Alyssa Az-Zahra berbisik ditelinga Maya. Sengaja mahu menyakitkan hati gadis itu. Maya terpempan.

“Dah sekarang ni semua tu tak penting. Yang penting apa lagi rahsia kau yang aku tak tahu? Kau jangan main-main Alys… kau jangan cakap dengan aku yang kau dah tersyok kat orang lain pulak?” jerat Maya sedikit mengugut. Malas dia mahu memikirkan tentang lelaki yang melanggarnya tempohari.

Alyssa Az-Zahra terdiam. Dia tahu sahabatnya itu dapat membaca apa yang ada dalam hatinya. Saat Alyssa Az-Zahra menganggukkan kepala, Maya terdiam seribu bahasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience