Bab 9

Crime Series 719

" Sorry kau kene hadap benda ni. Dah jom aku bawak kau jumpa Payed jap " Bad terus melangkah pergi, Asfan terus membuntutinya.

" Siapa Payed? "

" Oh dia King Stigma "

" King? " Bad mengangguk.

" Ya, setiap seksyen Stigma, Standard ngan Sukses ada King dengan Queen tersendiri. Dalam erti kata lain ketua dan penolong untuk seksyen tu lah. Cuma kita dah biasa guna term ni kat sekolah ni " terang Bad panjang.

" Ohh..minah tadi tu siapa pulak? "

" Erika? Oh dia lah Queen Stigma "

Asfan terdiam, seakan tidak percaya perempuan yang cuba menggodanya tadi adalah penolong ketua seksyen di sini. Timbul sekelumit perasaan risau dalam dirinya jika tindakan yang dia lakukan tadi ada akibatnya. Bad sedar akan perubahan Asfan, terus ketawanya pecah.

" Kau takyah risau la. Semua orang kenal kat sini kenal dia, perangai dia memang macam tu " ujar Bad bersahaja.

Akhirnya, mereka tiba di satu pintu bilik berwarna hitam. Bad mengetuk pintu tiga kali.

" Masuk! " sapa satu suara dari dalam. Bad memulas tombol pintu dan mereka melangkah masuk ke dalam.

Asap rokok berkepul-kepul berterbangan memenuhi ruang bilik itu. Kelihatan seorang lelaki kurus memakai singlet sedang bertenggek di tingkap dengan putung rokoknya di mulut. Sebaik sahaja dia melihat Bad dan Asfan, putung rokok itu dibuang keluar dan dia turun dari beranda. Dia mula mendekati Asfan.

Lelaki itu kini berada betul-betul di hadapan Asfan dengan jarak sedepa. Jelas sekali perbezaan ketinggian di antara mereka. Kepala lelaki itu berada setaraf dengan dada Asfan, membuatkan dia perlu menunduk untuk melihat lelaki kontot itu. Ada satu parut yang memanjang dari pipi kirinya hingga ke telinga. Dia menghulurkan tangan.

" Payed " lelaki itu memperkenalkan diri.

" Asfan "

" Tahu dah " Payed terus bergerak ke katil dan melabuhkan punggungnya di situ.

" Mai duduk sini dulu, Asfan " Asfan akur, dia duduk di atas kerusi belajar bilik itu.

" Untuk pertamanya, aku nak ucapkan tahniah lah dekat kau. Sebab belum pernah lagi budak tahun 1 masuk Stigma seawal ni. Biasa lepas periksa pertama "

Asfan hanya tersenyum.

" Nak buat macam mana "

" Kan? Nak buat macam mana dah kalau kau pi terajang si Salman tu. Memang ke sini lah kau punya tempat "

" Aku tak menyesal pun "

" Memang kau tak perlu menyesal pun " Payed membetulkan postur tubuhnya. Pandangannya tepat menghadap Asfan.

" Hari tu kau baru nampak kesialan Salman, kau tak nampak lagi belang sebenar Majlis Tujuh "

Asfan hanya mendengar dengan teliti.

" Kau duduk lah sekolah ni lama sikit, baru kau rasa sepakan kau tu layak bukan dekat kepala Salman je, tapi setiap tujuh kepala yang lain " ujar Payed serius.

" Oh by the way, bilik kau dekat tingkat 5 ya. Untuk pengetahuan, tingkat 2 sampai 5 semua bilik pelajar lelaki. Tingkat 6 sampai 9 pulak bilik pelajar perempuan. Jadi tingkat 6 sampai 9 adalah kawasan larangan bagi lelaki, sama jugak untuk perempuan. Ini semua demi maslahat nak menjaga kemaluan korang " terang Payed panjang. Ada sesuatu yang bermain di fikiran Asfan sekarang.

" Tapi tingkat 10 ni? "

" Kecuali tingkat 10, ada campur bilik lelaki dan perempuan. Dan semua yang ada dekat tingkat 10 ni berjawatan dalam Stigma. Macam Bad tu, dia orang kanan aku " ujar Payed sambil menunjuk ke arah Bad. Bad hanya mengangkat kening.

" Ada apa apa peraturan lagi ke kat sini? "

" Ah peraturan...ada ada " Payed menggosok dagunya.

" Peraturan kat sini senang je. First, kau jangan kacau Jack. Second, kau jangan kacau Erika, dan last, kau jangan kacau aku "

Dahi Asfan berkerut. Dia yakin itu bukanlah peraturan yang bertulis secara rasmi.

Tiba-tiba seorang lelaki muncul tercungap-cungap di hadapan bilik Payed. Mereka bertiga serentak melihat ke arah lelaki itu. Dia membongkok, mengumpul nafas semula untuk memulakan bicara. Payed bangun mendekati.

" Kenapa? "

" Jack mengamuk lagi, King. Ada budak sengaja masuk bilik dia nak curi barang " kata lelaki itu sambil tercungap-cungap. Asfan hairan, dah beberapa kali dia mendengar nama itu tapi dia masih tidak kenal.

" Asfan, tengok ni. Inilah jadinya kalau budak tak ikut peraturan, menyusahkan aku je " Payed mula membuka singletnya. " Bad, Erika kat mana? "

" Ada dekat bilik lagi rasanya, dia masih marah pasal Asfan tadi "

Ketawa Payed pecah.

" Hahaha, Erika pun suka kau fan. Bukan biasa-biasa dah kau ni, selalu kalau dia jumpa budak baru memang dia sepak anu dorang sebab usha body dia " Payed mengambil sesuatu dari dalam laci almarinya. Dia meletakkan di dalam poket seluar.

" Dah jom Asfan, ikut aku. Kita tengok camne kepala besar Stigma settle masalah " Payed terus melangkah keluar. Asfan masih buntu, mahu mengikutnya atau tidak. Bad menunjukkan isyarat supaya ikut sahaja Payed ke situ. Dia akur jua, barangnya ditinggal sebentar di bilik ini.

***

Payed dan Asfan turun ke bawah. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, sudah kedengaran riuh rendah suara pelajar di aras itu. Asfan membuntuti Payed di koridor sehingga lah mereka jumpa bilik yang menjadi punca keriuhan itu. Pelajar yang berkerumun di luar seperti sedang menonton movie. Saat sahaja mereka melihat Payed, mereka membuka laluan.

" King datang! "

Semua pelajar yang berkerumun itu membuat laluan untuk Payed masuk ke bilik. Asfan pula berhenti di luar, dia percaya kini tiada lagi tujuan untuk dia masuk bersama. Asfan mendekati, dirinya yang tinggi memberi peluang kepadanya untuk lihat dengan mudah apa yang sedang berlaku di dalam bilik.

Mata Asfan terbuntang. Seorang pelajar terapung di udara sedang dicekik. Sudah ada beberapa kesan lebam pada mata dan pipinya. Asfan percaya yang mencekik itu mestilah Jack. Tubuh badannya begitu sasa dan tinggi, rambutnya pula panjang berikal sampai ke leher. Sekali pandang, Jack itu memang seperti gergasi. Asfan merasakan tingginya sama, cuma tubuh badannya lebih kecil.

" Jack, bawa bertenang. Kau turunkan budak tu sekarang. Biar aku je yang hukum dia " pujuk Payed yang kini berhadapan dengan Jack. Namun Jack tidak betah, dia tidak menghiraukan kehadiran Payed di situ.

Muka budak yang dicekik itu sudah mula kebiruan. Tubuhnya terkapai-kapai di udara, satu suara pun tidak mampu dikeluarkan. Bila bila masa sahaja nafasnya akan terputus. Muka Payed bertukar serius.

" Jack, last aku cakap. Turunkan budak tu sekarang " Hasilnya masih sama, Jack terus mencekik budak itu.

" Sumpah dorang fight. Standby semua " ujar seseorang yang berada di luar. Asfan mula risau akan keadaan budak itu.

" OK, Jack " Payed terus mendekati Jack.

Sejurus itu, dia terus melompat. Tubuh Payed terapung sebentar di udara. Pada masa yang sama, kaki kanannya dihayun 360 darjah, meresap segala tenaga yang membelah udara. Dan akhirnya mendarat tepat di dada Jack. Gergasi itu terundur, tangannya yang mencengkam leher budak itu terlepas. Budak itu terus jatuh terkulai di atas lantai.

Jack mendengus, dia meluru ke arah Payed. Tangan kanannya digenggam, tumbukan itu dihayun laju mendekati muka Payed. Namun sebelum sempat tumbukan itu mendarat, Payed menunduk. Sekali lagi kakinya dihayun, tetapi sasarannya kali ini adalah kedua kaki Jack. Akibat terlalu fokus pada tumbukannya, Jack jatuh terjelopok sebaik saja kaki Payed menyauk.

" Tahan dia sekarang!!! " jerit Payed. Pelajar yang berkerumun di luar tadi, melangkah masuk beramai-ramai. Mereka terus menghempap tubuh Jack yang berada di lantai, tangan dan kakinya semua dikunci. Lebih sepuluh orang kini sedang menahannya. Jack menggelupur ingin dilepaskan.

Payed terus mendekati. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Picagari. Alat suntik itu sudahpun diisi ubat penenang. Tanpa membuang masa, jarum picagari itu terus Payed suntik pada leher Jack. Tubuhnya yang menggelupur tadi perlahan-lahan mengendur. Selang beberapa saat, tubuhnya terus tidak memberi respon.

Payed menarik nafas lega. Selepas memastikan Jack tidak lagi bergerak, dia mengarahkan semua untuk bangun. Mereka semua mula melonggarkan kuncian pada tubuh Jack.

Asfan hanya menjadi pemerhati dari luar bilik. Dia sangat kagum dengan kehebatan Payed dalam bertarung. Tubuhnya yang kecil itu membuatkan dirinya ringan untuk mengelak dan menyerang.

Sedang Asfan memerhati, matanya tertangkap pada jari kaki Jack yang sedang bergerak-gerak. Dia melihat masing-masing sudahpun mula bangun dari menghempap si gergasi itu. Matanya terbeliak.

" Jangan bangun lagi! Tahan dia balik! " jerit Asfan dari luar. Mereka semua menoleh ke arah Asfan, namun semuanya sudah terlambat.

Mata Jack terbuka semula. Refleks Payed terus ingin menyiku kerongkong lehernya, tetapi tangan kanan Jack sudahpun bebas. Penumbuknya laju membuat uppercut dan mendarat ke dagu Payed, si ketot itu terpelanting ke belakang. Kelam kabut semua pelajar tadi ingin mengunci tubuhnya semula, namun semuanya tidak berguna lagi. Jack hanya membuat sekali libasan tubuh, terlerai semua ikatan pada dirinya. Tubuh semua pelajar tercampak ke merata tempat.

Jack terus bangun. Fokusnya tepat pada budak yang mencuri barangnya tadi. Muka budak itu bertukar resah, dia terundur. Jack meluru ke arahnya dan terus mencekiknya sekali lagi. Saat lehernya dicengkam, budak itu tidak melawan. Dia terus merelakan, seakan menerima inilah takdir penghujung nyawanya. Kepalanya berpinar, matanya mula terkatup.

PAP!

Asfan menyiku belakang tengkuk Jack dengan kuat. Tidak semena-mena tubuh Jack rebah ke lantai. Kali ini dia tidak lagi memberikan respon, budak yang dicekik tadi sudahpun pengsan. Payed terus mendekati Jack untuk menyuntiknya sekali lagi.

" Jangan, dia dah pengsan dah " Asfan menghalang.

" Kau yakin ke? Sekarang jugak dia boleh libas kepala aku "

" Bukan soal yakin sekarang. Aku pukul saraf dia kuat tadi, aku takut dia bukan pengsan tapi.. " Asfan tidak menghabiskan bicaranya. Payed seakan faham. Dia menghempaskan keluhan.

" Call ambulan sekarang! " arah Payed. Seorang pelajar di situ laju mendail nombor kecemasan sekolah di telefonnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience