Bab 10

Crime Series 719

Hitamnya langit malam itu terlalu pekat. Namun hadir cahaya bulan dan bintang sebagai perhiasan malam. Sama juga situasinya seperti sekolah ini, deretan tiang lampu di jalanan membuatkan suasana malam itu tidak terlalu sunyi. Ditambah pula cahaya-cahaya lampu yang datang dari tempat tinggal setiap seksyen. Tetapi cahaya yang paling terang adalah dari Senatorious Villa.

Tempat tinggal seksyen Sukses itu terletak di high ground sekolah, dengan pembinaan tiga buah villa yang saling menghadap antara satu sama lain. Parameter kawasan itu dipagari dengan dinding batu yang tinggi. Cuma ada dua pintu masuk sahaja untuk ke dalam Senatorious Villa, iaitu Gerbang Timur dan Gerbang Barat.

Setiap villa pula mempunyai tiga tingkat, seni binanya diinspirasikan daripada villa pemerintah british era dahulu. Tampak antik dan pada masa yang sama juga unik. Di tengah-tengah antara tiga villa itu, wujud satu tugu air pancuran berbentuk seorang pelajar lelaki. Pelajar Sukses percaya itu merupakan lambang figura kerusi no.1 dalam Majlis Tujuh. Pokok bunga yang menghiasi seluruh kawasan villa itu juga menambahkan seri pada suasana.

Hazni sedang sibuk terkinja-kinja di hadapan cermin. Dia sudah mencuba lebih 10 gaun dari tadi, tetapi masih tidak tahu yang mana satu pilihannya. Dia memuncungkan bibir, matanya kejap melihat ke arah blouse di tangan kanan, dan kejap melihat ke arah dress di tangan kiri. Kemudian dia menghenyakkan tubuh badannya di atas katil yang berbentuk love itu, sambil mengeluh.

" Nak pakai semua! " jerit Hazni kuat.

BEEP! BEEP!

Hazni lekas mencapai gajetnya di atas meja. Satu mesej daripada ibunya, Syarifah Rini telah masuk ke dalam peti mesej. Dia terus membuka mesej tanpa berfikir apa-apa.

' Hazni sayang, dah makan? '

' Baru nak makan lah ni, mommy. Ada grand dinner majlis tujuh '

' Awwhhh, mesti anak mama nak pikat Azami lagi kan? '

' Mana ada! Mommy ni suka usik Hazni '

Hazni meletakkan telefonnya di dada sebentar. Bukan dia tak tahu, dia bersiap lambat ini gara-gara mahu dilihat cantik di mata Azami. Dia hanya meluahkan perasaan ini pada ibunya sahaja, memandangkan mereka agak akrab.

Selepas itu, Hazni terus meminta pandangan dari ibunya, pakaian mana yg patut dipilih. Akhirnya dia menyarung gaun hitam yang bersulam manik emas.

Tok! Tok! Tok!

" Puan Hazni, saya nak maklumkan makanan sudah disiapkan. Ahli majlis tujuh yang lain juga dah hadir di meja " ujar seorang pelayan yang berada di sebalik pintu.

" Saya nak turun dah ni. Terima kasih! " sahut Hazni sambil mengenakan sedikit solekan ringan pada wajahnya. Setelah selesai dan yakin dia nampak sempurna, Hazni terus beredar dan turun ke bawah. Segera dia ke dewan jamu yang terletak di tingkat satu.

Villa yang didudukinya merupakan villa pertama, iaitu yang berada di tengah antara dua villa yang lain. Villa ini menempatkan ahli Majlis Tujuh dan orang-orang ternama Sukses seperti yang berjawatan. Dua villa yang selebihnya adalah milik pelajar Sukses lelaki dan perempuan. Reka bentuk ketiga-tiga villa ini sama. Di tingkat 3 dan 2 akan menempatkan bilik pelajar, manakala tingkat 1 adalah kemudahan fasiliti. Bezanya cuma villa pertama mempunyai lebih banyak pelayan dan kemudahan yang lebih canggih.

Hazni berhenti di hadapan pintu dewan jamu yang berketinggian 3 meter itu, terdapat seorang pelayan berkot putih sedang bertugas. Pelayan itu melemparkan senyuman pada Hazni seraya membukakan pintu untuknya, Hazni terus melangkah masuk.

" Ketibaan! Pemaisuri Hazni yang selalu lewat! Woooo " ujar Salman dengan nada yang tinggi. Lalu disambut dengan gelak tawa hadirin yang berada di ruangan. Hazni mencemikkan muka, namun hanya seketika. Dia kembali tersenyum dari telinga ke telinga melihat suasana di dalam dewan jamu itu.

Di hadapan matanya, terdapat sebuah meja yang begitu lebar hingga ke belakang. Setiap hadirin mengenakan pakaian formal yang bermacam jenis, disulami pula dengan perangai mereka yang bermacam ragam. Suasana itu ceria sekali dengan bantuan cahaya lampu candelier yang tergantung. Beberapa pelajar Sukses yang dijemput melambai ke arah Hazni, dia membalas dengan senyuman. Hazni terus mengambil tempat duduknya, di hadapannya ialah Fahmi, si pemegang kerusi no.3.

" Fuh lain macam kau malam ni, Hazni. Takkan nak tunjuk dekat Azami kot? " usik Fahmi.

" Ish mana ada lah! Aku pakai camni sebab semua nak pakai cantik-cantik kan... " Hazni menafikan.

Di belakang setiap kerusi, terdapat seorang pelayan yang sedang bersedia untuk apa-apa tugas. Tetamu yang hadir hanya perlu duduk dan menikmati sahaja. Hazni menoleh ke belakang untuk mendapatkan pelayannya.

" Tolong ambilkan ais " arah Hazni. Pelayan itu hanya mengangguk dan terus beredar.

Hazni melirik ke arah kerusi diraja yang berada di tengah-tengah menghadap mereka. Kosong.

Di situ lah tempat duduk si pemegang kerusi no.1 dalam Majlis Tujuh. Namun kelibatnya tidak kunjung tiba. Itu perkara biasa yang akan terjadi bilamana akan ada majlis yang besar, pasti yang terakhir hadir adalah kerusi no.1. Ada juga percaya bahawa itulah norma orang ternama, bagaikan sudah sebati antara lambat dengan VVIP.

" Haih... mana lah dia ni, lobster aku dah nak sejuk dah ni " ujar Salman sambil menjilat bibirnya, melihat ke arah seekor lobster merah yang terhidang.

" Oh Shania, kau order apa je? " tanya Salman kepada perempuan yang duduk di sebelah kirinya.

" Grilled Salmon je " balas Shania, Queen Sukses. Antara orang yang dihormati setaraf bersama Majlis Tujuh di Senatorious Villa.

" Ish ish ish, sedapnya. Kau tengoklah si Rafie tu, order air masak je selalu. Konon nak jaga kesihatan, tak fun langsung "

Gun Rafie tersenyum sinis dengan sindiran Salman. Dia merupakan King Sukses sejak dia kalah dalam pertarungan merebut kerusi no.1, tahun lalu. Dia ditawarkan kerusi no.2 namun dia tolak. Itulah pendiriannya yang berstandard tinggi. Jika tiada no.1, habis sahaja di situ. Tidak wujud no.2 dalam dirinya.

Pintu dewan jamu itu terbuka. Perbualan yang wujud tadi semua dihentikan, masing-masing menumpukan fokus ke arah pintu. Satu figura lelaki menapak masuk ke dalam.

Lelaki mengenakan sut tuxedo hitam bersama bow tie berwarna merah. Pakaian itu dijahit sesuai dengan tubuhnya yang tinggi. Dia mengambil tempat duduk di kerusi yang berada di tengah-tengah, berhadapan terus dengan tetamu yang lain. Semua tetamu yang hadir masih diam membisu. Cermin matanya diperbetulkan sedikit sebelum senyumannya terus dilemparkan.

" Mari kita mulakan " ujar Azami sambil mendepakan tangannya. Orang no.1 dalam Majlis Tujuh.

***

Asfan sedang duduk menunggu di bangku klinik sekolah. Sebentar tadi, dia bersama Payed dan juga Bad mengikuti ambulans untuk menghantar Jack ke sini. Asfan meraup wajahnya, dia berharap dan berdoa agar tiada apa-apa yang teruk akan berlaku ke atas Jack. Selang beberapa minit, pintu itu terbuka. Seorang doktor menapak keluar dari bilik.

" Macam mana doktor? " tanya Asfan.

" Setakat ni tak ada apa-apa, cuma berlaku gegaran pada otak akibat hentakan kuat. Sarafnya agak terganggu sebab ada paralyzer dalam darahnya. Apa yang jadi?"

Masing-masing mendiamkan diri. Mereka tahu paralyzer yang dimaksudkan itu mesti ubat penenang yang disuntik Payed tadi. Akibat dari itu jugalah, dengan sekali hentakan daripada Asfan, Jack rebah serta merta.

" Kalau semuanya ok, esok pagi dia akan sedar " ujar doktor itu apabila sedar mereka tidak mahu menjawab.

Asfan menarik nafas lega. Jauh sekali dia fikir kalau perkara buruk berlaku pada Jack, dia tidak mahu menjadi pembunuh tak pasal-pasal.

" Baiklah doktor, esok pagi tolong contact saya ya kalau ada apa-apa perkembangan " ujar Payed.

" Oh, boleh saya tahu kamu siapa pada pesakit? "

" Saya Payed, ketua seksyen Stigma. Kami tinggal bersama kat sekolah ni "

" Oh baik, nanti tolong tuliskan nombor telefon kamu dekat kaunter ya "

" Baik, terima kasih doktor "

Doktor itu pun beredar. Asfan mendekati pintu bilik, dia melihat ke dalam melalui cermin kecil yang direka khas pada pintu itu. Kelihatan Jack sedang terlantar tidak sedarkan diri. Wajah Asfan sayu melihat keadaannya.

" Sudah la Asfan, bukan salah kau. Aku pun ada salah jugak. Kalau kau tak buat macam tu pun, mungkin budak yang curi tu yang masuk sini " Payed cuba memujuk.

" Taknak call mak ayah dia ke? "

" Jack tu dibesarkan dalam rumah anak yatim, fan. Dia memang pandai, tapi entah lah. Aku pun tak berapa faham dengan diri dia " Asfan sedikit terkejut dengan info baru itu. Siapa sangka yang digelar raksaksa itu mempunyai cerita hidup yang menyedihkan.

" Jom kita balik dulu, nanti esok klinik call, aku roger kau "

Asfan hanya mengangguk. Mereka bertiga terus bergerak pulang ke kondominium.

Selang beberapa saat sahaja mereka bertiga pergi, sebuah kereta limo masuk ke perkarangan klinik. Pemandu kereta itu keluar dan terus bergegas ke pintu belakang, lalu membukanya. Saat itu, Fahmi keluar dari kereta. Dia masih memakai sut, barangkali baru usai Dinner Majlis Tujuh. Dia terus menapak masuk ke dalam klinik.

***

Asfan memulas tombol pintu biliknya. Tubuhnya terus dihenyak ke atas katil yang bertilam nipis itu. Kipas terus berpusing menyegarkan udara bahang yang berkeliaran. Asfan menarik nafas panjang sebelum matanya melirik ke katil sebelah.

Katil itu sudahpun bercadar. Apa yang menarik perhatiannya adalah sebuah komputer dengan set lengkap sedang berada di atas meja belajar itu. Dia dapat merasakan itu kepunyaan rakan sebiliknya. Namun batang hidung orang itu tidak pula ditemui.

FLUSH!

Bunyi kumbahan air mula kedengaran dari dalam tandas. Asfan terus bangun dari pembaringan. Seorang lelaki kurus keluar bersama tualanya di kepala, seketika dia mengelap kaca matanya yang berkabus menggunakan singlet. Lelaki itu terus berpaling ke arah Asfan.

" WARGHH! " lelaki terkejut bukan kepalang. Asfan turut sama tersentak dengan jeritannya.

" Asfan ke? "

" Haa "

Lelaki mengusap dadanya, melepaskan nafas lega.

" Aku ingat siapa lah, tadi " lelaki itu terus mengambil tempat duduk di katilnya, menghadap Asfan.

" Aku Haidar. Dah setahun dah aku takde roommate ni. Sorry la kalau bilik ni bersepah sikit " Haidar mula perkenalkan diri, menandakan dia pelajar tahun 2 di sekolah ini.

" Ah takde pape. Biasalah tu " Asfan cuba berbudi bahasa. Matanya kembali melirik pada set komputer yang ada di atas meja belajar Haidar.

" Tu komputer kau ke? "

" Haah, aku memang bawa sini masa aku masuk dulu. Kenapa? Nak try main ke? "

" Eh tak ada lah. Saja tanya "

" Kalau kau nak main game, sorry la. Komputer aku ni memang tak ada game, banyak kerja-kerja aku je kat situ "

" Kerja? "

" Ya, kerja berkenaan komputer gitu la " jawab Haidar bersahaja. Asfan tahu dia seperti sedang menyembunyikan sesuatu, namun dia melepaskan saja perkara itu. Mungkin tak perlu untuk dia mendesak cerita yang lebih dalam. Ini pun kali pertama mereka berjumpa dan berkenalan.

" Aku tidur dulu ya, fan. Ngantuk sangat ni, dah sehari suntuk aku hadap komputer " Dia mula merebahkan tubuhnya di atas tilam, dia mengiring ke kanan menghadap dinding.

" Beres, aku nak unpack barang aku dulu malam ni "

Dengkuran Haidar mula kedengaran. Dia sudahpun terlelap di alam buaian dengan hanya beberapa saat sahaja. Asfan bangun mula mengemas barang-barang peribadinya. Usai mengemas, dia terus menutup lampu dan tidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience