Kaki Asfan terhenti di hadapan bangunan 10 tingkat itu. Pada hematnya, kondominium pelajar itu nampak menarik. Dia sangkakan cat bangunan itu sudah terkopak, tetapi bangunan itu masih cantik dengan cat hitam putih yang berselang-seli. Perksekitarannya juga tampak bersih. Jika nak dibandingkan dengan Hostel Mahara memang jauh, tetapi kondominium Stigma ini tidaklah seteruk yang disangka.
Asfan mendekati mesin gedegang yang terletak di bawah blok. Dia mengeluarkan telefonnya, dan membuka aplikasi Student's Account. Apabila aplikasi ini dibuka, secara automatik ia akan membuka segala rangkaian transaksi jual beli di persekitarannya. Jika dia berada di kedai, nama kedai akan tertera. Jika dia berada di wayang, nama wayang itu akan tertera. Termasuklah mesin-mesin yang wujud di sekolah ini yang melibatkan transaksi. Asfan menekan nombor siri mesin gedegang itu.
' Out of Order '
Dia mengangkat pandang. Baru Asfan sedar terdapat beberapa kesan kemekan yang wujud mungkin akibat daripada ditumbuk atau ditendang. Dia menggelengkan kepala, mungkin benar uar-uar yang mengatakan pelajar Stigma ini adalah punca kepada masalah disiplin.
Tanpa membuang masa, dia terus mendapatkan lif untuk naik ke tingkat atas.
Dia sendiri tidak tahu mahu ke mana buat masa ini. Mungkin person in charge yang dimaksudkan Aizad berada di tingkat atas. Perlahan-lahan lif itu turun ke bawah.
Ting!
Pintu lif terbuka, Asfan ingin melangkah masuk namun hajatnya terbantut.
Di dalam lif, seorang perempuan sedang berdiri menghadapnya sambil menyandar pada dinding lif. Mereka saling bertukar pandangan. Perempuan itu hanya mengenakan t-shirt putih namun bahagian depannya diikat, mendedahkan pusat wanita itu. Rambutnya pula pendek separas bahu, yang menarik perhatiannya adalah dia memakai lipstick berwarna hitam. Ini kali pertama Asfan melihat pelajar perempuan berperwatakan sebegitu.
" Kau tengok apa?! " jerkah perempuan itu. Asfan tersentak, kakinya beku disitu juga.
Giliran perempuan itu pula melihat Asfan dari atas ke bawah. Selepas seketika, baru dia sedar akan beg galas dan luggage yang bersama-sama dengan Asfan. Mukanya yang bengis tadi kembali normal.
" Oh " perempuan itu mula medekati Asfan.
" Kau Asfan ke? Budak tahun 1 yang nak masuk tu? " tanya perempuan itu.
" Haah " Asfan mengiyakan. " Uhm..Kau ke yang uruskan? Bilik aku? "
" Oh, haaa... aku lah yang uruskan. Jom ikut aku "
Asfan hanya patuh saja, dia sendiri tidak tahu untuk ke mana.
Perempuan itu menekan punat nombor 10, lalu pintu lif terkatup dan menderu naik ke atas.
Suasana di dalam lif itu sepi, masing-masing tidak bersuara. Tiba-tiba Asfan rasakan dirinya diperhati, dia menoleh ke sebelah. Ternyata perempuan itu sedang menyandar pada dinding lif sambil melihat ke arah dirinya.
" Lagi hensem tengok kau depan-depan " puji perempuan itu sambil tersenyum.
" Hmm? " Asfan hairan. Perempuan itu seakan pernah melihatnya sebelum ini.
" Video kau gaduh ngan Salman tu. Grrr I Like " perempuan itu mengetap bibirnya.
" Oh "
Asfan menelan air liurnya. Dia dapat rasakan perempuan ini tidak normal. Yang dimaksudkan tidak normal itu kerana tingkah lakunya seperti liar.
" Nama kau siapa? " tanya Asfan cuba melarikan topik.
" Erika " Dirinya dari tadi tidak henti-henti melihat Asfan. Asfan hanya terangguk-angguk, berasa agak tidak selesa.
Ting!
Board digital itu memaparkan nombor 10. Tanpa membuang masa Erika terus keluar dari lif sambil diikuti Asfan.
Mereka menyusuri koridor tingkat 10 itu bersama. Mata Asfan meliar ke arah setiap pintu bilik yang berderet di sepanjang koridor itu, dia dapati setiap pintu bilik tu ada nombor yang tertera. Erika berhenti di hadapan sebuah pintu yang tidak bernombor. Dia mengeluarkan kunci dan membuka pintu tersebut. Tangan kirinya didepakan, mempelawa Asfan untuk masuk dahulu. Asfan hanya ikut.
Dia meletakkan beg galasnya ke lantai, sambil melakukan sedikit stretching kerana badannya lenguh. Erika menutup pintu bilik dan kekal berdiri di pintu.
Asfan terus berjalan mengelilingi bilik itu, segala perabot dan barang keperluan sudahpun tersedia. Terdapat satu katil, di sebelahnya satu meja belajar. Persekitarannya juga selesa tidak terlalu kecil.
" Bilik air ke tu? " tanya Asfan sambil menunjuk ke arah pintu tandas yang terbuka itu. Erika hanya mengangguk.
" Setiap bilik ada bilik air sendiri? " Erika mengangguk lagi, dirinya masih kekal di pintu.
Barulah Asfan faham, dari tadi dia fikir bagaimana mereka mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan dalam satu kondominium ini. Dia fikirkan bilik air akan dikongsi seperti asrama. Jika begini, privasi seseorang tetap akan selamat selagimana dia berada di dalam bilik. Asfan melangkah ke arah bilik air untuk melihat.
Saat dia membuka pintu bilik air itu, matanya terbeliak. Sehelai baju dalam wanita sedang tergantung di dalam. Kakinya laju melangkah keluar. Dia kembali melihat ke arah katil, tilam itu sudahpun disarung cadar. Asfan memandang ke arah Erika.
" Ni bilik siapa? "
" Aku " jawab Erika sepatah. Asfan terbungkam seketika.
" Bilik aku mana? "
" Sini "
Asfan bingung. Dia sangkakan Erika sedang bermain dengannya.
" Apa maksud kau? Aku duduk sebilik dengan kau ke? " Erika mengangguk laju. Kemudian dia tersenyum. Dia mula mendekati Asfan.
Asfan menggeleng, kakinya mengundur ke belakang setiap kali Erika melangkah ke arahnya. Perempuan itu kekal tersenyum mendekati dia. Tubuh Asfan terhenti melanggar dinding di belakangnya. Langkah Erika masih ke hadapan.
" Woah stop dekat situ " arah Asfan sambil telapak tangannya di angkat. Erika akur.
" Jadi boyfriend aku nak tak? Please.... " rayu Erika tiba-tiba. Asfan mengerutkan dahi.
' Naharam apahal perempuan ni? ' getus hati Asfan.
" Jom lah. Aku nak ajak Jack tapi dia macam tak ada perasaan pulak. Kau jelah yang kuat sekarang, yang lain penakut " Asfan masih kekal membisu. Tiba-tiba wajah Erika yang ceria tadi bertukar muram.
" Kau nak reject aku ke? Berani kau! Kau tahu tak aku siapa? " nada suara Erika naik secara spontan. Mukanya bertukar bengis. Hati Asfan masih berdoa agar pertolongan berkunjung tiba.
Mata Erika menikam Asfan. Dia mula mendekati dirinya sekali lagi. Asfan sudahpun terperangkap di situ, membuatkan dia nekad. Saat saja dia melakukan apa-apa, pasti kakinya akan menjadi santapan malam yang terakhir buat Erika. Tiba-tiba Erika meluru ke arah Asfan, kini dia tiada pilihan.
" Hiyaa! " Kaki Asfan terangkat.
Tok! Tok! Tok!
Pintu bilik diketuk. Asfan dan Erika serentak memandang ke arah pintu.
" Erika buka pintu ni, Erika! " jerit satu suara dari luar.
Asfan menarik nafas lega, kakinya yang ingin disumbatkan ke dalam mulut Erika tadi diturunkan. Erika mendengus, dia terus mendapatkan pintu bilik dan memulas tombol. Lalu pintu bilik terbuka.
Seorang lelaki berkulit gelap sedang berdiri di luar pintu. Dia dan Erika saling bertukar pandangan.
" Kau nak apa, Bad? " tanya Erika sambil matanya berjegil. Bad tak mengendahkan soalan itu. Sebaliknya dia menjenguk ke dalam bilik, matanya tertangkap pada Asfan yang sedang tersandar pada dinding.
" Asfan? " tanya Bad dari luar. Asfan hanya mengangguk, Bad memanggilnya menggunakan tangan, mengisyaratkan supaya dia keluar dari bilik. Asfan pun segera mengangkat beg galas dan luggage nya dan menuju keluar. Namun Erika segera berdiri di hadapannya, menghalang dirinya dari keluar.
" Tak boleh, Asfan aku punya. Dia nak jadi boyfriend aku " jawab Erika. Bad terpana. Dia melihat ke arah Asfan di dalam bilik. Asfan laju menggeleng.
' Sejak bila lahanat? Aku tak cakap apa apa pun ' getus hati Asfan dengan harapan agar Bad faham dan segera menolongnya. Giliran Bad pula menggeleng.
" Erika, Payed yang nak jumpa Asfan. Bukan aku saje-saje nak datang ni "
Erika mendiamkan diri.
" Ish! Dah keluar la! " Erika terus menengking.
Tanpa banyak bunyi, Asfan terus keluar dari bilik itu. Sejurus sahaja tapak kakinya di luar, Erika menghempas pintu biliknya dengan kuat. Bad hanya tergelak.
Share this novel