Bab 15

Crime Series 719

Selepas 10 minit berjalan kaki, mereka tiba di satu dewan terbiar. Dewan itu merupakan dewan sukan yang lama sebelum wujudnya Pusat Sukan Dato' Amir. Namun tiada sebarang kerja runtuhan dilakukan, dewan itu terus dibiarkan bertahun lamanya sehingga dindingnya juga turut menjadi usang.

" Gelap je ni. Ada pape ke kat dalam? " tanya Asfan.

" Jom kita masuk dulu " arah Payed diikuti Bad. Asfan turut membuntuti.

Di dalam dewan itu, tiada sebarang lampu yang berfungsi. Keadaannya juga sudah menjadi tunggang-langgang. Peralatan sukan yang rosak semua bersepah di merata tempat. Di hujung dewan itu terdapat satu pintu kayu, mereka bertiga bergerak ke arahnya. Setibanya di situ, Payed mengetuk pintu itu tiga kali.

" Code? " sapa satu suara dari dalam.

" Scelus " jawab Payed. Selang beberapa saat, pintu itu terbuka. Satu pelajar mempersila mereka bertiga untuk masuk.

Sebaik saja melangkah ke dalam, terdapat satu tangga yang menurun ke bawah, seakan membawa mereka ke satu ruang di bawah tanah. Saat mereka menuruni tangga itu, barulah kedengaran bising yang semakin lama semakin kuat.

Setibanya di bawah, Asfan terus terpana. Ruang bawah tanah itu cukup luas menempatkan ratusan pelajar yang membanjiri Black Market itu. Cahaya oren yang malap dari mentol, menyala di setiap pelosok ruang.

Suasana agak riuh rendah dengan kehadiran ratusan pelajar di situ. Banyak meja-meja berbaris di segenap ruang, Asfan yakin setiap meja itulah kedai-kedai yang menjual barang larangan seperti yang disebutkan Payed.

" Semua ni dari mana? " tanya Asfan.

" Apa maksud kau? Dorang ni semua pelajar MESC la, dari semua seksyen. Bukan Stigma je, budak Sukses pun ada kat sini " terang Payed. Asfan sedikit terkejut dengan kenyataan itu. Bermakna Black Market ini bukanlah satu rahsia, ia sudahpun disebarkan kepada seluruh pelajar.

" Tapi tak semua orang tahu tempat ni. Code nak masuk akan bertukar setiap minggu. Siapa nak masuk, kene jumpa Badak "

" Badak air ke badak sumbu? "

" Badak tu gelaran lah, setan. Dia budak Standard tahun 3. Sebelum dia bagi kau code, dia akan siasat dulu kau ni layak tak nak masuk Black Market. Nak tau? Kau gi jumpa lah sendiri "

Mereka terus berjalan di sekitar Black Market. Bukan lelaki sahaja, malah pelajar perempuan juga turut hadir dalam kawasan larangan itu. Asap rokok berkepul di segenap udara. Akhirnya mereka berhenti di satu meja yang menjual pelbagai jenis kotak rokok.

" Ah Payed, apa khabar? Lama tak nampak kat sini, dah akhir bulan ke? " sapa penjual itu.

" Biasalah hujung-hujung bulan ni barang putus. Macam biasa lah, Ned " ujar Payed.

" Wokeh " balas Ned sambil mengambil 5 kotak rokok berjenama Dunhill. Dia terus menghulurkannya pada Payed.

" Berapa eh? " tanya Payed sambil mengeluarkan telefonnya.

" Hahaha buat-buat tanya pulak kau, Payed. Sebab kau regular customer, aku bagi diskaun lah. Jadi RM55 " ujar Ned dia juga mengeluarkan perantinya. Saat itu baru Asfan sedar, penjual-penjual di sini semuanya juga dari kalangan pelajar MESC. Di sini mereka masih berurusan menggunakan mata wang digital sekolah, bukan kertas RM yang biasa.

Saat mata Asfan meliar, dia tertarik pada sekumpulan pelajar yang berada di bucu ruang itu. Salah seorang dari mereka meletakkan sepaket serbuk putih di atas kertas. Lalu seorang perempuan terus menyedut masuk kesemua serbuk itu ke dalam hidungnya. Seraya itu matanya mula kemerahan dan mereka semua ketawa terbahak-bahak.

" Jangan terkejut, fan. Macam tu lah realiti sebenar kat luar. Rosak hidup dorang sebab dadah " tegur Payed apabila sedar Asfan memerhatikan mereka.

" Kau tak nak try? " tanya Asfan. Pecah ketawa Payed terbahak-bahak.

" Aku ni, kau memang nampak teruk, fan. Tapi aku fikir masa depan jugak, nak kahwin ada anak bini. Crush aku satu kelas ngan aku kot "

" Woooo " Asfan mengajuk Payed.

" Kau ingat orang macam aku tak ada perasaan ke? " mereka sama-sama tergelak. Bad hanya tersenyum kecil melihat gelagat Asfan dan Payed yang semakin rapat itu.

" Aku tengok Black Market ni macam dah lama bertahan, tak pernah kantoi ke? "

" Kita ada backup besar, fan. Pengasas Black Market ni " Asfan mula berfikir mendengar jawapan Payed. Selang beberapa saat, dia memandang tepat kepada Payed.

" Jangan cakap... "

" Ya, siapa lagi. Majlis Tujuh jugak la yang buat Black Market ni " ujar Payed. Asfan tidaklah terlalu terkejut dengan kenyataan itu. Dia sudahpun agak bagaimana korupnya mereka yang bertopengkan kecemerlangan.

" Sebut pasal Majlis Tujuh ni. Aku nak cerita kat kau pasal Jack "

" Ha kenapa dengan dia, tak bangun lagi ke? "

" Majlis Tujuh yang pengsankan dia " Dahi Payed terus berkerut mendengar kenyataan Asfan. Asfan terus menceritakan pada Payed kejadian yang berlaku pagi tadi. Bagaimana Jack disuntik dos penenang arahan dari Majlis Tujuh itu sendiri. Payed mula menggelengkan kepalanya. Dia berfikir-fikir sejenak.

" Si Azami tu macam dah melebih ni " kata Payed. Asfan berpaling.

" Azami? "

" Azami Hayat. Kerusi no.1 Majlis Tujuh, aku syak dia yang bagi arahan. Sebab hari tu Jack tumbuk dia kat kelas"

" Tumbuk je? " tanya Asfan. Tak mungkin orang seperti Jack akan menumbuk sahaja, selepas melihat kelakuannya yang gila pada hari lalu.

" Azami tu pun bukan calang-calang. Sekali sekala dia datang Gelanggang jugak. Kalau tak ada Jack, confirm dia menang. Boleh jadi juga tu motif dia, sebab Jack yang pegang Gelanggang sekarang " terang Payed.

" Gelanggang? "

" Tu " Payed menunjukkan jarinya ke arah satu gelanggang yang berada di tengah Black Market. Dua orang pelajar tidak memakai baju sedang bertarung di dalam gelanggang yang direka khas dengan tali putih. Di sekeliling itu pelajar-pelajar bersorak dan menjerit melihat pertarungan mereka.

" Kau ada belajar martial art ke, fan? " tanya Payed sambil menghabiskan sisa putung rokoknya di jari. Asfan diam seketika.

" Kenapa kau tanya? "

" Tengkuk Jack tu macam besi. Setakat ni tak ada lagi budak yang pengsankan Jack selain kau " Payed mengimbau kembali kejadian Asfan pada hari itu. Asfan tetap tidak menjawab soalan Payed. Sebaliknya dia tersenyum sahaja pada King Stigma itu.

Dia menghadiri kelas silat sejak sekolah rendah lagi. Tambahan pula, ibunya ada klinik persendirian. Di situlah rumah keduanya semenjak kecil. Banyak ilmu perubatan yang dia belajar dari ibunya secara tak langsung. Namun dia bukanlah pakar, cuma tak mudah untuk dibodohkan.

" Kau try lah masuk Gelanggang tu, fan. Pemenang dapat 10 SP " arah Payed.

" SP?! " jelas sekali Asfan terkejut dengan kenyataan Payed. Dia sangkakan pemenang hanya akan dapat duit digital sekolah. Namun Student's Point? Itu seperti sesuatu yang mustahil memandangkan pihak sekolah yang mengawal turun naik perkara itu.

" Tapi SP tu bukan dari sistem sekolah, kita kumpulkan SP pelajar yang bertaruh. Dorang pun buat fun-fun je, hilang satu dua SP apa lah sangat "

" Macam mana dorang buat tu? " Asfan masih musykil dengan cara mereka yang mengawal sistem Student's Point itu.

" Roommate kau tu la, fan. Haidar and the gang. Dorang digelar Hackares. Macam macam dah dorang buat. Paling power ni la, dorang buat apps tembus sistem Student's Point "

" Kiranya, boleh lah nak bagi semua SP dia dekat orang lain? "

" Ha yang tu tak boleh. Kalau banyak sangat confirm sistem dapat kesan. Paling tinggi 10 SP tu lah untuk pemenang Gelanggang. Sebab tu yang bertaruh pun satu dua SP je " terang Payed yang arif sekali dengan bab ini.

Asfan mengangguk. Barulah dia faham semuanya.

Mereka bertiga diam seketika. Masing-masing melihat pertarungan yang sedang berlaku di dalam gelanggang. Tampak seperti seorang pelajar sedang mendahului perlawanan, seorang lagi sudah tidak bermaya. Dalam beberapa minit, akhirnya pelajar itu tersungkur. Sesetengah pelajar di situ mula bersorak gembira dengan pilihan fighternya yang menang.

" Kau tak ada plan apa apa ke, fan? Pasal Jack ni " Payed memulakan bicara semula dengan kembali kepada topik tadi.

" Kalau dah yang buat tu Majlis Tujuh, mesti tak ada siapa yang dapat halang kan? "

Payed mengangguk sayu.

" Aku baca kelayakan Majlis Tujuh, sekurang-kurangnya tahun 2. Kalau camtu, biar aku yang jadi Majlis Tujuh tahun depan "

Bad dan Payed serentak memandang Asfan. Kenyataan yang dikeluarkan itu berbunyi agak kelakar namun jauh di sudut hati Payed. Dia percaya akan kebolehan Asfan.

" Kau serious ke, fan? " tanya Payed. Dia memandang tepat pada mata Asfan, menunjukkan dia juga sedang serius untuk tahu apa yang berada di fikiran Asfan. Asfan membalas pandangannya.

" Kau tak percaya aku ke? "

" Awal lagi aku nak percayakan kau, fan. Selama ni Majlis Tujuh semuanya datang dari kalangan Sukses. Standard pun tak pernah, apatah lagi Stigma " ujar Payed. Asfan mula berfikir.

" Kalau camtu aku lah Stigma pertama yang jadi Majlis Tujuh " jawab Asfan bersahaja.

Payed terus ketawa terbahak-bahak. Bad hanya menggeleng, mendengar jawapan yang keluar dari mulut Asfan.

" Hahaha aku suka orang macam kau ni, fan. Cuma kalau betul kau serious, aku akan jamin seluruh Stigma sentiasa ada kat belakang kau, fan " Bad memandang ke arah Payed. Kata-katanya bakal memberikan impak yang besar. Dia musykil sama ada King Stigma itu maksudkannya ataupun hanya pembakar semangat Asfan untuk pergi lebih jauh.

" Terima kasih, Payed. Kau sorang percaya aku, itu dah cukup " balas Asfan. Payed tersenyum gembira.

" Asfan! "

Mereka bertiga serentak berpaling pada empunya suara. Dari kejauhan, kelihatan seorang perempuan di tengah kerumunan pelajar. Dari segi pemakaiannya yang agak seksi, serta merta mengenalinya.

" Oh Erika. Dia buat apa kat sini " Payed mempersoalakan keberadaan Queen Stigma itu. Bad mengangkat kening tanda tidak tahu. Asfan mula menggaru belakang kepalanya.

" Aku rasa aku kene gerak dulu, Payed. Serious urgent ni " ujar Asfan.

" Ok, kau tau jalan balik kan? Pape hal roger " Payed sedar dia nak melarikan diri dari Erika. Asfan mengangguk lalu terus beredar dari situ tanpa membuang masa. Sebaik sahaja Asfan berlalu, Erika sampai di tempat mereka.

" Mana Asfan? " tanya Erika.

" Lah kau cari Asfan ke? " soal Payed semula seakan-akan tidak tahu.

" Habistu? Dia boyfriend aku! " tempik Erika. Bad menggeleng.

" Oh dia baru je pergi balik tadi. Urgent katanya, nak berak kot "

" Mesti dia lari dari aku lagi kan? " Payed mengangkat kening. Memberi isyarat tidak tahu. Erika terus memuncungkan bibirnya. Matanya terus meliar mencari kelibat jejaka yang berjaya menawan hati kerasnya itu. Siapa sangka Queen Stigma yang dahulunya benci lelaki, kini sangkut juga pada lelaki.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience