Prolog

Crime Series 719

September Abad ke-22

Pancaran matahari sudahpun memunculkan sinarnya, namun cahaya dari timur itu tidak memancarkan bahangnya seperti selalu. Seakan tahu ada sesuatu yang besar bakal terjadi. Awan pula redup menaungi sekumpulan manusia yang sedang berada di atas Bukit Wilayah.

Tiga figura sedang berdiri di hadapan pagar besi semi automatik, yang berlambang M.E.S.C. Seorang kepalanya botak, seorang lagi kemas disikat rambutnya, seorang lagi panjang berikal. Mereka adalah Tiga Jutawan yang sering menjadi fenomena di negara ini. Sebut sahaja Tiga Jutawan, hatta yang berada di hujung negara pun akan heran. Mana tidaknya, kerja amal mereka tak terkira. Tiap-tiap bulan pasti ada sumbangan yang akan disalurkan. Gelandangan, anak yatim, orang miskin, semua tempat mereka sudah jejak.

Tengku Farabi Hajj, Dato' Amir Hisham dan Orang Kaya Talib. Ingat nama nama ini. Bukti lambang kemanusiaan masih ada sinar di sebalik kejahatan yang kini meluas.

Mereka bersalaman sambil memegang banner yang ditulis pelbagai ucapan tahniah.

" Akhirnya, projek 5 tahun ni siap jugak ya " ujar Tengku Farabi.

" Itulah pasal, padahal tahun lepas rasa nak cancel je lepas ada masalah tu. Fuh nasib baik kita dapat baiki " Amir Hisham melepaskan nafas lega.

Orang Kaya Talib berdehem. Mereka berdua serentak berpaling.

" Dah dah la tu bersembang, pandang kamera depan tu. Dorang nak ambil gambar " arah Orang Kaya Talib.

Serentak itu mereka bertiga membetulkan postur tubuh mereka dan memberikan senyuman paling manis pada lensa-lensa kamera wartawan. Dalam kiraan tiga, cahaya putih terpancar dari segenap arah. Hari ini, majlis perasmian Malaya's Elite School berjalan dengan lancar.

Sekolah ternama ini mempunyai luas 5 kilometer per segi. Segala kemudahan fasiliti disediakan. Klinik, Pasaraya dan Pusat hiburan semuanya wujud di dalam lingkaran sekolah bertuah ini. Tak hairan lah jika Ibubapa terkejar-kejar mahu menghantar anak-anak mereka ke sini.

Semasa hari pertama dilancarkan, pihak atasan sudahpun menerima lebih 50 ribu pendaftaran. Namun setiap tahun, hanya 350 pelajar sahaja akan terpilih berdasarkan satu ujian khas.

Sekolah ini hanya menyediakan pengajian selama 3 tahun. Bermula dengan pelajar baharu 16 tahun, lalu mereka akan bergraduasi pada umur 18 tahun. Uniknya, sijil graduan MESC diiktiraf Kementerian untuk menyambung terus ke peringkat ijazah dan wajib diterima mana mana universiti tempatan.

" Malaya's Elite School merupakan sekolah elit dibina dengan dana 50 juta ringgit. Visi dan Misi kami Tiga Jutawan mewujudkan sekolah ini akan dijelaskan pada sidang media rasmi. Justeru, saya mengucapkan semoga berjaya kepada semua pendaftar. Jika anda diterima, tahniah. Jika anda ditolak, bukan salah saya " Amir Hisham berseloroh di hadapan sidang media. Para wartawan sekeliling ikut ketawa, ada juga yang ketawa terpaksa. Mungkin peringkat kehambaran lawaknya agak tinggi.

" Maaf saya gurau sahaja. Jika anda tidak terpilih, saya ucapkan takziah dan percayalah rezeki kamu ada di tempat yang lain " sambung Amir Hisham sebelum menutup bicara.

***

Anak muda itu masih leka memakan popcorn di depan televisyen 34 inchi yang sedang menyiarkan rancangan Running Man. Kedua belah kakinya dilunjurkan di atas meja kopi, tubuhnya pula disandar pada sofa empuk. Sekali sekala dia tergelak dengan adengan-adengan yang pecah perut. Sungguh selesa hidupnya dilahirkan dalam keluarga yang kaya.

Kereta mewah mula meluncur masuk ke dalam perkarangan banglo 3 tingkat itu. Setelah diparkir dalam garaj khas, seorang wanita berusia lewat 40-an keluar dari kereta. Gayanya cukup elegan seperti seorang tokoh yang dilimpahi kejayaan demi kejayaan. Seri mukanya juga tidak menunjukkan tanda lanjut usia. Mungkin kegembiraan hidupnya yang mengekalkan awet wajah. Dia menapak masuk ke dalam rumah.

Anak tangga rumah itu dipanjat naik. Secara tak langsung melatih dirinya untuk bersenam, tiada lagi kerisauan untuk mendapat sakit kaki di hujung hari. Sampai sahaja di atas, dia lihat anak lelakinya sedang khusyuk menonton.

" Asfan, mak ada berita gembira ni "

" Apa dia, mak? " Asfan berpaling. Dia menyahut seruan ibunya walaupun rancangan kegemarannya masih tersiar. Begitulah hormatnya pada wanita itu.

" Mak dapat e-mel, Asfan diterima masuk MESC! " ujar ibu Asfan teruja.

" Hmm pasal tu rupanya " namun reaksi Asfan acuh tak acuh sahaja.

Ibu Asfan terus mendekati. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Asfan. Badannya didakap dari sebelah dan bahunya ditepuk-tepuk.

" Kenapa? Asfan tak suka ke? "

Bukan soal tidak suka, cuma Asfan lebih gemar untuk masuk ke sekolah biasa bersama rakan lamanya. Tetapi ibunya sentiasa memujuk dan merayu agar dia mengambil MESC Special Test sejak 2 bulan lepas. Asfan hanya akur dengan permintaannya.

" Tak ada lah. Kalau mak nak Asfan masuk, Asfan ok je " Asfan tersengih.

Ibu Asfan turut tersenyum. Seraya dia mencium dahi anaknya itu. Sejak Asfan kecil lagi, dia hanya hidup bersama ibunya di banglo mewah ini. Kerana itulah dia amat menyayangi dan menghormati satu-satunya orang tua yang dia ada. Asfan membalas dengan memeluk erat ibunya di sisi.

***

Nun di hujung kota, seorang gadis desa sedang bertungkus-lumus mengayuh basikal cabuk. Kayuhannya bermula dari pejabat pos yang berada di hujung kampung. Di sebelah tangannya memegang sepucuk surat putih, mukanya pula dari tadi tak lekang dari senyuman. Berita gembira yang dibawa itu terus merentasi sawah padi yang luasnya kira kira 2 hektar. Pekerja-pekerja yang sedang bercucuk tanam sempat memandang sekejap pada kelibat wanita yang menderu itu.

Akhirnya kayuhan itu berhenti di hadapan sebuah rumah kayu. Tidaklah usang, namun seni binanya boleh dikatakan moden untuk sebuah rumah di kampung. Palang rumahnya yang tinggi menyebabkan gadis itu memanjat anak tangga sebelum sampai ke pintu masuk.

" Ibu! Ayah! Ina dapat tawaran! " jerit gadis itu dari luar lagi.

Seorang lelaki lewat usia 50-an sedang ralit membaca surat khabar yang dibeli dari kedai Ah Seng, cina mualaf yang murtad sebanyak 3 kali. Namun setelah dileter oleh Haji Othman, akhirnya dia membuat keputusan untuk keluar dari kampung. Kini anaknya Ah Kwong pula yang mengambil alih bisnes kedai runcitnya.

" Siapa tu? " tanya Othman

" Anak kita lah, bang. Zurina " jawab isterinya.

" Oohhhh yeke?! "

Haji Othman terus keluar dari dapur untuk mendapatkan anak sulungnya itu. Saat Zurina melangkah ke dalam rumah, dia terus meluru ke arah ayahnya. Tubuh sang bapa itu dipeluk erat.

" Ayah! Zurina dapat masuk MESC! " ujar Zurina teruja. Sekolah impiannya sejak dari dulu lagi.

Haji Othman tersenyum gembira. Dia terus menerus memeluk erat anaknya yang rajin itu. Ibunya juga muncul dari pintu dapur bersama adik-adiknya. Budak-budak itu turut serta memeluk kaki Zurina dan Haji Othman.

Zurina seorang budak yang bijak. Semenjak tadika lagi, keputusan peperiksaannya selalu cemerlang. Dan setiap kali itulah dia menjerit memanggil kedua ibubapanya saat sahaja pulang dari sekolah. Tetapi boleh pula Haji Othman lupa akan suara anaknya. Kata orang kampung, telinganya rosak sebab Ah Seng menghantar santau hantu cina. Sejauh mana kebenarannya tiada siapa yang tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience