Dalam beberapa minit sahaja, Dewan Serbaguna 1 sudahpun dipenuhi para pelajar dari pelbagai tahun. Semuanya mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk melihat si kembar genius berentap. Ada juga yang obses terhadap Majlis Tujuh sehingga membawa sepanduk buatan khas buat Daim dan Rasyiqah. Manakala kelas pelajar kelas 1-5 juga turut hadir untuk memberi sokongan pada Asfan dan Zurina.
" Asfan yang lawan, aku pula yang berdebar " ujar Shahrun.
" Berdasarkan pengalaman aku, memang perlawanan akhir lah yang paling buat kita berdebar " terang Karim.
" Berdebar sebab takut kantoi main tipu ke? "
Karim mencebik. Ternyata lelaki itu masih tidak puas hati dengan dirinya selepas mengetahui dia membelot dalam acara catur sebentar tadi. Begitulah prinsip hidup Karim. Selagi ada jalan pintas untuk kesenangan, itulah yang dipilihnya. Tanpa mengambil endah risiko yang mungkin berlaku. Kerana dia tidak percaya akan kemungkinan, dunia ini semuanya berdasarkan realiti yang sudah terjadi.
Suara-suara bisikan mula kedengaran.
" Weh kau tahu tak pasal kelas 1-5 yang Daim dengan Rasyiqah nak lawan tu? "
" Kenapa? "
Shahrun dan Karim mula memasang telinga, mencuri dengar perbualan pelajar yang sedang duduk di belakang mereka.
" Dari awal sampai final, lelaki tu tidur je kerjanya. Yang jawab semua kuiz perempuan tu! "
" Oh pasal tu aku dah baca kat community. Lelaki tu jugak yang gaduh dengan Salman hari tu "
Shahrun dan Karim saling berpandangan. Khabar yang baru sahaja mereka terima agak mengejutkan. Sama ada betul atau tidak, jawapannya ada di atas pentas.
Dalam kehangatan suara-suara di dalam dewan, seorang MC berpakaian kemas mula melangkah ke podium. Mikrofon mudah lentur itu diketuk-ketuk dan percubaan suara dibuat. Sekaligus menarik perhatian para pelajar untuk berdiam seketika. MC itu berpandukan teks sebelum memulakan bicara alu-aluan.
" Baiklah, tanpa membuang masa. Dipersilakan wakil kelas 1-5 dan kelas 2-1 untuk naik ke pentas! "
Sorakan kuat mula bergema di seluruh dewan. Nama Daim dan Rasyiqah kedengaran berulang-ulang. Suara sokongan pelajar kelas 1-5 pun menjadi tenggelam. Yang unggul di sini hanyalah aura Majlis Tujuh.
Daim dan Rasyiqah melambai-lambai ke arah penonton semasa naik ke pentas. Asfan dan Zurina pula jalan bersahaja ke meja yang disediakan. Mata Zurina tertangkap pada kumpulan pelajar kelas 1-5 yang berada di hadapan, dia tersenyum kecil. Saat sahaja mereka duduk di kerusi, tanpa segan silu Asfan terus melentokkan kepalanya di atas meja.
" Serious lah? " Shahrun mempersoal.
" Nampaknya memang betul lah apa yang kita dengar " Karim menggeleng melihat kelakuan Asfan.
" Buuuu "
Suara pelajar mula mencerca kelakuan Asfan yang tidak beretika itu. Jelas sekali selama ini dia hanya menumpang kemenangan yang dibawa Zurina. Namun konflik sebenar yang terjadi, hanya mereka berdua sahaja yang tahu.
" Aih, bising pula kali ni aku nak tidur " rungut Asfan. Selama ini tiada siapa yang kesah ketika dia tidur dalam perlawanan, kerana semua perlawanan dilakukan serentak di bawah pentas. Manakala final ini dia berada di atas pentas dan semua mata tertumpu pada satu perlawanan ini sahaja.
" Padan muka! " puas hati Zurina mendengar 'boo ' yang diberikan oleh pelajar kepada Asfan. Sekurang-kurangnya terdapat juga sokongan terhadap beban yang dibawanya.
" Selamat datang ke perlawan akhir bagi acara kuiz matematik. Tahniah kepada kelas 1-5 dan kelas 2-1 kerana berjaya ke peringkat ini. Sebelum kita mulakan perlawanan hangat di antara dua kelas ini, seperti biasa saya akan membacakan peraturan kuiz dahulu "
Cikgu Amir membacakan semua peraturan yang tertulis di atas kertas. Semua pelajar tetap sabar walaupun sudah bosan mendengar peraturan itu berulang kali. Mereka mahukan perlawanan dimulakan segera!
" Baiklah, perlawanan akan dimulakan " ujar Cikgu Amir usai membacakan peraturan.
TING!
Bersorak riang pelajar-pelajar MESC apabila loceng pertama dibunyikan. Serentak dengan itu mata mereka semua tertumpu pada skrin putih berada di tengah pentas. Soalan kuiz akan dipaparkan di situ menggunakan pancaran sinar projektor.
" Soalan pertama "
' 27 adalah bentuk kiub yang sempurna. Terangkan '
TING!
TING!
Kedua-dua loceng peserta dibunyikan. Namun salah satu daripada kelas itu lambat sesaat ketika menekannya.
" Kelas 2-1 tekan dulu, sila jawab"
" Luas sebuah kiub adalah 3 x 3 x 3. Dan 3 kuasa 3 sama dengan 27 " jawab Daim lancar.
" Betul! Satu markah untuk kelas 2-1! " jerit Cikgu Amir dengan penuh semangat.
Sekali lagi bergema seluruh dewan dengan suara pelajar, bersorak melihat idola Majlis Tujuh mereka mendapat mata. Seperti sudah menang, mereka semua jerit sepuas-puasnya.
" Fuh laju bakhang. Aku tengok soalan tu pun fikir dua tiga kali " seloroh Karim. Kagum dengan kepintaran si genius di atas pentas itu. Manakala Shahrun tetap menepuk tangan bersama-sama pelajar kelas 1-5 agar terus memberi semangat pada Asfan dan Zurina. Mungkin Zurina sahaja.
Asfan masih lena di atas meja peserta. Tidak menghiraukan segala hiruk-pikuk yang berlaku di dalam dewan. Ada kemungkinan juga dia hanya tidur-tidur ayam sahaja. Tiada manusia yang boleh terlena dalam kebingitan dewan itu.
" Soalan kedua "
' Faktorkan, 16w3 – u4w3 '
Sebaik sahaja soalan itu terpapar, keadaan di dalam menjadi sunyi seketika. Soalan faktor itu tidaklah susah namun perlu kepada kiraan yang panjang. Maka untuk soalan kali ini, siapa yang cepat mencongak, dialah pemenang.
Setelah 5 saat berlalu, akhirnya satu loceng dibunyikan.
TING!
" Kelas 2-1, silakan jawab "
" Jawapannya B, w3(4 + u2)(2 + u)(2 - u) " kali ini Rasyiqah pula yang menjawab dengan tenang.
" Betul! 1 mata lagi untuk kelas 2-1! Kedudukan kini 2 berbalas 0 "
Shahrun meraup wajahnya, tak endah dengan sorakan pelajar yang menyokong Daim dan Rasyiqah. Kedudukan terkini sangat tidak menyebelahi kelas 1-5, soalan ketiga nanti jika dijawab oleh Majlis Tujuh lagi, secara automatik mereka akan juara 3 berbalas 0 kerana soalan yang disediakan hanya lima sahaja.
" Aduh fan, tolong lah Zurina kau tu " rungut Karim. Dia juga berasa risau. Raut wajah setiap pelajar kelas 1-5 juga mula menampakkan tidak tenteram.
Suasana mula tertumpu pada perlawanan semula.
' Apakah nama poligon dengan 1000 sisi? '
Terbeliak biji mata Zurina melihat soalan ketiga. Namun bukan kerana terkejut, tetapi satu peluang yang jatuh betul di hadapan matanya. Dengan pantas tangannya menghentam loceng di meja.
TING!
" Ya, kelas 1-5 sila jawab "
Zurina menarik nafas sebentar sebelum menjawab
" Jawapannya A, chiliagon "
Dia yakin jawapannya itu betul. Kerana baru sahaja semalam dia selesai membaca buku falsafah yang memberi gambaran bahawa minda kita seperti chiliagon, iaitu poligon bulat yang mempunyai 1000 sisi. Ahli falsafah menggambarkan bulatan itulah minda manakala 1000 sisi itu mewakili memori atau idea seseorang manusia.
" Betul! 1 mata untuk kelas 1-5! "
" YEAH! "
Shahrun dan Karim melompat girang. Sorakan mereka diikuti juga dengan pelajar-pelajar kelas 1-5, seperti mendapat sinar harapan yang baru. Namun hanya mereka sahaja yang bersorak, mata-mata pelajar lain yang menyokong Majlis Tujuh mula menjeling ke arah mereka, mengjengkelkan.
" Baiklah, soalan seterusnya "
Zurina membulatkan mata pada skrin. Inilah peluang terakhir bagi dirinya untuk menjawab dengan betul. Jika mata kali ini jatuh ke tangan kelas 2-1, kemenangan pertandingan kuiz ini akan menjadi milik mereka secara mutlak. Namun Daim dan Rasyiqah turut fokus, bukan mudah-mudah mereka mahu memberi mata secara percuma kepada Zurina.
' Apakah cara untuk mendapatkan 1000 daripada nombor 8 sahaja? '
TING!
TING!
Kedua loceng dibunyikan bersamaan sekali lagi seperti pusingan pertama. Tetapi kali ini Zurina lebih pantas. Air muka Daim dan Rasyiqah sudah mulai berubah.
" Kelas 1-5 tekan dulu, sila jawab "
" 888 + 88 + 8 + 8 + 8 " jawab Zurina lancar.
" Betul! 1 mata untuk kelas 1-5! "
Bergema seluruh dewan dengan suara-suara sorakan daripada pelajar kelas 1-5. Masing-masing berpelukan kerana mata kini berada pada 2-2. Sekaligus meletakkan kelas 1-5 di nisbah 50 peratus untuk meraih kemenangan pertandingan. Sedangkan pada awalnya kelas 2-1 mendahului dengan 2 mata.
Dalam suasana sorakan, Shahrun terus bergegas ke sudut penyokong Daim dan Rasyiqah. Dengan tidak tahu malunya, dia menyindir mereka dengan meletakkan jari jemarinya di hidung. Dia membuat beberapa pusingan dalam keadaan sebegitu. Siapa yang tidak menyirap, pasti tak siuman.
" Eh pergi blah lah! "
" Kau takyah suka sangat, anjai! Belum juara lagi! "
Marah penyokong.
" Baiklah. Perhatian... perhatian... " Cikgu Amir cuba meredakan suasana hiruk pikuk di dalam dewan semula. Sebaik sahaja corong pembesar suara mengeluarkan bunyi, seluruh dewan kembali ke keadaan sunyi.
" Mata sekarang adalah 2 berbalas 2 di antara kelas 1-5 dan kelas 2-1. Kini kita akan terus ke soalan terakhir. Di mana ini juga peluang terakhir bagi kedua-dua belah pasukan untuk meraih pingat emas. Baiklah saya harap kedua pasukan kekal fokus "
Zurina, Daim dan Rasyiqah masing-masing menajamkan pandangan pada skrin yang masih memaparkan soalan lalu, menanti untuk ditukar dan terus dijawab. Asfan masih lagi seperti tadi, kepalanya dilentokkan tanpa menghiraukan suasana. Dalam kiraan 3 saat, skrin bertukar memaparkan soalan terakhir.
' 16 - 06 - 68 - 88 - ? - 98 '
Suasana masih kekal sunyi. Tiada deringan loceng dilakukan.
Soalan kali ini tidak seperti sebelumnya. Selang beberapa saat, mesti loceng akan dibunyikan salah satu pihak. Namun jeda kali ini agak panjang. Termasuklah para penonton dan penyokong yang berada di bawah, masing-masing menunjukkan reaksi yang sama. Berkerut.
Sudah 15 saat berlalu.
" Nak guna apa ni, subtract ke, tapi macam tak kena. Ke ni gagasan nombor, tapi asal jauh sangat " Zurina tak henti-henti bermonolog sendirian. Dia kesuntukan, pada bila-bila masa sahaja loceng boleh dibunyikan pihak lawan. Dia harus segera.
Daim dan Rasyiqah turut berpandangan sesama sendiri. Mereka masih buntu mahu menggunakan aplikasi apa untuk mendapatkan jawapan. Mereka tidak terlalu gopoh kerana peluang menjawab hanya sekali. Jika salah, peluang menjawab itu akan diberikan oleh pihak lawan. Mereka hanya boleh menjawab bila jawapan yang diberikan salah sekali lagi.
Dalam kesunyian suasana, Asfan perlahan-lahan mengangkat kepala. Dia melihat pada skrin yang memaparkan soalan sebentar. Setelah itu, dia pun bangun membetulkan postur tubuh. Mengeliat sedikit dan bersenam ringan untuk meredakan ngantuk. Kelakuannya tak diendah langsung oleh Zurina yang sedang fokus. Namun beberapa pihak tertarik dengan perbuatannya.
" Weh Karim, tengok tu Asfan dah bangun! " panggil Shahrun dalam keadaan Karim yang juga fokus pada soalan.
" Bertuah punya budak. Jangan kau buat hal sudah " ujar Karim.
Asfan memandang skrin semula. Dahinya turut berkerut.
" Dah try bahagi ke semua nombor? " tanya Asfan bersahaja pada Zurina. Namun Zurina tidak memandang wajahnya langsung, lagikan pula membalas soalannya.
" Kalau semua tak boleh.... " Asfan berfikir-fikir sejenak. Setelah beberapa saat memerhatikan soalan, Asfan sedar akan sesuatu. Tanpa membuang masa dia terus....
TING!
Satu dewan tertumpu pada bunyi loceng yang datang dari meja kelas 1-5. Mata Daim dan Rasyiqah terbuntang, risau jika inilah situasi penamat bagi mereka. Ironinya, Zurina juga membuntangkan mata, kerana saat ini juga boleh jadi penamat bagi mereka jika Asfan tersalah dalam menjawab.
" Ah sudah, dia nak buat hal ke ni " Shahrun mula mempersoal. Karim hanya menggeleng kepala.
" Kau kenapa bunyikan loceng?! " marah Zurina.
" Sebab aku nak jawab lah "
" Nampaknya orang yang tidur dah bangun " kata Cikgu Amir.
" Oh saya buat-buat tidur je tadi, cikgu. Boleh ke saya jawab? "
" Awak wajib jawab. Loceng dah ditekan "
Asfan menarik nafas sebentar. Dia memandang Zurina sejenak, wanita itu sudahpun menggelengkan kepala. Seakan pasrah dengan takdir yang sudah ditentukan.
" 87 " jawab Asfan.
Suasana masih kekal sunyi. Tumpuah juga kekal pada Asfan. Zurina turut melihatnya semula, kerana seingatnya, tidak pernah terlintas jawapan itu dikepala selepas berkali-kali percubaan menggunakan aplikasi yang berbeza.
" 87 " jawab Asfan sekali lagi selepas jawapan pertamanya tidak disahut sesiapa.
Cikgu Amir tersenyum.
" Terangkan aplikasi yang awak guna "
" Oh saya terbalikkan je "
Seluruh dewan pelik dengan jawapan Asfan. Mereka menanti penerangan lanjut.
" Terbalikkan je. 16 terbalikkan jadi 91. 06 terbalikkan jadi 90 dan seterusnya. Sebenarnya tu nombor menurun, 91 - 90 - 89 -88 - 87 - 86 kalau terbalikkan " terang Asfan. Mulut Zurina terlopong mendengar penerangannya.
Cikgu Amir tersenyum lagi. Kini tumpuan dewan beralih padanya, menunggu dia mengesahkan jawapan tersebut. Sekiranya benar, juara milik kelas 1-5. Sekiranya salah, kelas 2-1 akan mendapat peluang menjawab. Cikgu Amir berdiri dari tempat duduknya. Dia menarik nafas sebentar.
" BETUL! Dengan ini, saya isytiharkan kelas 1-5 adalah juara pertandingan quiz metamatik! " jerit Cikgu Amir dengan penuh bersemangat.
Serentak dengan itu, sorakan terus bergema di dalam dewan sekali lagi. Suara-suara itu semua dari pelajar kelas 1-5. Shahrun dan Karim melompat-lompat di atas kerusi menyambut kemenangan. Pada masa yang sama, Daim dan Rasyiqah terus bangun dari kerusi dan keluar dari dewan. Mereka tidak dapat menanggung malu dengan kekalahan. Berada di kedudukan nombor 2 adalah suatu penghinaan bagi mereka.
" Siapa yang cakap belum juara tadi? Meh sini aku sekeh pala kau " Shahrun mula memprovok penyokong pihak lawan. Sedikit lagi pergaduhan akan meletus, namun cepat-cepat pelajar kelas 1-5 meredakan keadaan.
" Itulah realiti dunia. Jangan sempitkan fikiran, sekali sekala kita kene fikir luar kotak " kata Asfan sedikit angkuh kepada Zurina, bersulam nada seperti orang yang sedang berceramah.
Zurina mendengus. Dia bergegas turun dari pentas dan mendapatkan rakan kelasnya di bawah. Walaupun dia meraih kemenangan, namun dia tetap tidak berpuas hati kerana Asfan menjawabnya dengan mudah. Jawapan yang diberikan Asfan langsung tidak terlintas langsung dalam kepalanya. Dia sedaya upaya cuba menyelesaikan dalam permasalahan matematik, tetapi dia tidak sangka jawapannya tiada kaitan langsung dengan ilmu tersebut. Asfan juga turut mendapatkan Shahrun dan Karim.
" Peh legend teruk, fan. Hujung-hujung baru jawab, awal-awal tidur je " seloroh Shahrun.
" Aku dah lah kena paksa masuk, lepas tu team sekali dengan minah tu. Memang malas la jawabnya. Biar dia je jawab semua benda " Asfan memperakui, hubungannya bersama Zurina memang agak dingin sejak dahulu lagi.
" Jangan benci sangat, fan. Nanti kahwin kang " ucap Karim serius.
" Cliche betul "
Mereka bertiga gelak serentak. Terpancar sinar kebahagiaan pada raut wajah pelajar-pelajar kelas 1-5 di atas kemenangan sulung mereka dalam acara sukan tahunan kali ini.
Share this novel