Kereta BMW 8 Series Coupe meluncur turun dari bukit itu dengan laju, meninggalkan perkarangan sekolah yang berada di puncak Bukit Wilayah. Kelihatan seorang lelaki berpakaian jaket kulit dan seluar jeans hitam, berdiri di hadapan pagar. Dia melambai ke arah kereta yang baru sahaja meninggalkannya.
" Bye Mak " ujar Asfan sambil melambai ke arah kereta ibunya, semakin lama semakin jauh dari pandangan. Dan akhirnya hilang di hujung simpang.
Asfan mengangkat beg galasnya semula, tangan kanannya pula kejap memegang luggage yang sederhana besar. Dia menoleh ke belakang, melihat pagar besi automatik yang berketinggian 5 meter, di atasnya terpampang kadbod digital yang bertulis 'MESC'. Asfan tersenyum sendirian.
Asfan Haniff, berumur 16 tahun. Kulitnya putih mengikut norma putih orang melayu. Berambut panjang dan disikat naik ke atas. Seorang yang tinggi lampai mencecah 6 kaki. Tubuhnya pula tidak terlalu sasa, namun dapat dilihat bentuk ototnya.
Hari ini merupakan hari pertamanya untuk mendaftar ke sekolah baru.
Asfan boleh dikatakan orang yang bertuah. Daripada 50 ribu yang mendafatar, hanya 5 ribu sahaja yang layak menduduki MESC Special Test. Dan hanya 350 orang sahaja yang terpilih untuk mendaftar setiap tahun.
" Surat tawaran? " tanya pengawal keselamatan apabila dia mendekati pagar. Asfan pantas mengeluarkan sehelai surat dan ditunjukkan kepadanya. Pengawal keselamatan itu terangguk-angguk.
Pengawal itu kembali ke pondoknya dan menekan sesuatu punat. Lalu pagar besi itu terus terbuka secara automatik. Tidak terlalu luas, hanya mampu memuatkan tubuh Asfan bersama beg-begnya. Asfan melemparkan senyuman ke arah pengawal sebelum terus melangkah ke dalam.
***
Langkah Asfan terhenti, dia terpana melihat segala infrastruktur bangunan moden yang berada dalam sekolah ini. Jalan raya juga wujud dan agak sibuk dengan bas-bas dan kereta berwarna putih. Ini benar benar membuatkan sekolah itu seperti sebuah bandar yang hidup.
" Boleh saya minta surat tawaran awak? " datang satu suara dari sebelah telinga kanannya. Asfan tersentak, seraya menoleh ke arah pemilik suara tersebut. Seorang wanita sedang memandang ke arahnya.
" Ah, maafkan saya " Asfan menghulurkan surat tawarannya kepada wanita tersebut.
Sementara wanita itu membelek surat tawaran, Asfan curi-curi melihat ke arahnya. Wanita itu berpakaian seragam kot berwarna biru tua.
" Err, saya Amirah dari Majlis Perwakilan Pelajar. Saya yang akan kendalikan pendaftaran awak di sekolah ni " pantas Amirah memperkenalkan dirinya selepas sedar dirinya dilihat atas bawah.
" Saya Asfan, terima kasih tolong saya "
" Ok jom ikut saya. Saya bawa awak ke hostel dulu. Kita naik kereta depan tu " ujar Amirah sambil menunjuk ke arah keteta putih yang berada tidak jauh dari sini. Asfan hanya mengangguk dan memberi isyarat supaya dia jalan dahulu. Asfan terus membuntutinya tatkala dia memulakan langkah.
Setibanya di kereta, Asfan terus meletakkan luggage dan begnya ke dalam but kereta.
" Siapa yang bawa kereta? "
" Ada driver "
Amirah terus masuk duduk di kerusi hadapan. Asfan mengambil kerusi belakang. Pemandu kereta dalam lingkungan umur 40-an itu melemparkan senyuman ke arah mereka berdua.
" Pergi Hostel Mahara, ya encik " arah Amirah kepada pemandu kereta itu. Dia hanya mengangguk. Kereta itu terus meluncur ke arah destinasi tersebut.
Dalam perjalanan, Asfan tak henti-henti menoleh ke luar tingkap. Melihat segala keindahan yang ada pada sekolah ini. Mulutnya ternganga sepanjang perjalanan.
Amirah hanya tersenyum melihat dari cermin tengah. Baginya itu adalah perkara normal bagi pelajar yang baru mendaftar di sini. Segala-segalanya bakal bertukar biasa, bila mereka sudah lali dengan melihat keindahan ini setiap hari. Amirah sendiri merupakan pelajar tahun akhir di MESC yakni tahun ketiga di sekolah itu. Senyumannya tiba-tiba mengendur, Seakan teringat akan sesuatu.
" Ni bangunan apa? "
Amirah menoleh melihat ke arah bangunan yang ditunjuk.
" Oh, ni Tengku Farabi Mall. Satu satunya mall yang ada dalam sekolah ni " jawab Amirah secara pakar. Asfan hanya terangguk-angguk.
Selang 5 minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di destinasi. Asfan menjenguk ke luar. Reka bentuk bangunan hostel itu nampak antik dan unik, secara tak langsung Asfan terpukau dek keindahannya.
" Ok dah sampai Hostel Mahara. Ni hostel sementara untuk semua pelajar baru lelaki. Awak boleh letak barang barang awak dulu " arah Amirah.
" Hostel sementara? "
" Ya, tunggu taklimat seterusnya "
Dia keluar dari kereta, mendapatkan barangnya di but. Sebelum dia berlalu pergi, sempat dia singgah di tingkap kereta yang diduduki Amirah.
" Terima kasih ya Amirah. Tolong saya daftar ni " ujar Asfan ikhlas. Dia membongkokkan sedikit badannya.
Amirah tersenyum lalu mengangguk tanpa memberi balas apa-apa. Kereta itu terus meluncur keluar dari perkarangan Hostel Mahara. Meninggalkan Asfan berdiri terperuk di situ.
Asfan berpaling, melihat bangunan Hostel Mahara yang tersergam gah di hadapan matanya. Bangunan itu setinggi 5 tingkat dan berbentuk V. Persekitarannya juga dihiasi pohon-pohon kecil sekaligus menyumbang perisa pada kecantikan suasana tersebut.
" Asfan? " sapa satu suara dari belakang. Asfan menoleh, melihat seorang lelaki berpakai seragam kot biru, sama seperti Amirah.
" Ya, saya Asfan. MPP ke? Laju betul buat kerja " puji Asfan. Tidak dinafikan kerja mereka sangat teratur. Dia baru sahaja memperkenalkan namanya pada Amirah, tetapi sudahpun diketahui yang lain. Pasti ada jalan pintas yang mereka gunakan untuk mendapatkan maklumat.
" Jom ikut aku. Aku bawak kau gi bilik " Asfan terus mengikuti lelaki itu dari belakang.
***
Mereka bersama-sama memasuki lobi hostel.
Secara tak langsung Mata Asfan terbuntang. Teruja.
" Wow "
Suasana lobi Hostel Mahara itu tak ubah persis hotel yang ada di luar sana. Di tengah lobi itu terdapat satu kolam ikan yang sejajar dengan tangga lebar untuk ke aras seterusnya. Persekitarannya juga penuh dengan fasiliti dan kemudahan asas. Beberapa pelajar berkot biru tua sedang berkeliaran di situ.
Asfan dan MPP tadi terus mendapatkan meja Receptionist yang terletak tidak jauh dari kolam ikan tersebut.
" Nama? "
" Asfan Haniff "
Jari jemari pekerja itu laju mengetuk papan kekunci. Sambil matanya fokus pada skrin monitor yang berspek tinggi.
" Baiklah, bilik awak nombor 49. Aras 5. Ini kuncinya ya " ujar pekerja itu sambil menghulurkan kunci bilik. Asfan terus mengambilnya. Mereka terus bergerak mendapatkan lif lobi untuk ke tingkat atas.
Suasana di dalam lif agak sepi, hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam. Baik Asfan mahupun si MPP itu, sama sama tidak mahu membuka bicara. Akhirnya, Asfan sendiri yang mengalah,
" Err.. Asfan Haniff "
" Aizad " jawabnya sepatah.
" Oh, Aizad " Asfan terangguk-angguk.
Sekali lagi suasana kembali sunyi.
" Memang sekolah ni banyak staf ke? " tanya Asfan sekadar berbasi-basi.
" Ya, semua kerja-kerja perkhidmatan kat sekolah ni semua dikendalikan staf. Tak ada satu pun pelajar "
" Tapi kau kendalikan pendaftaran? "
" Cuma pendaftaran awal tahun je dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar. Ni atas arahan terus daripada Majlis Pengetua. Kerja-kerja lain memang staf sekolah yang urus "
Asfan mengiyakannya. Tak heran lah padanya pemandu dan pekerja hotel tadi agak kelihatan sudah berumur. Sekolah ini sendiri menyediakan staf yang begitu banyak untuk kerja yang efisyen. Mata Asfan tertangkap pada tag nama yang berada di poket Aizad, ia tertulis 'MPP'.
" Tag nama tu, MPP je ke yang pakai? "
" Haah, ni cuma nak bezakan, sebab pakaian kita sama dengan pelajar Standard " Aizad membetulkan tag namanya secara spontan.
" Pelajar Standard? "
" Ya, nanti kita terang semuanya masa taklimat "
TING!
Pintu lif terbuka. Namun mereka baru berada di tingkat 3.
Seorang pelajar lelaki berkot seragam sekolah muncul. Namun tidak berwarna biru tua seperti yang Aizad dan Amirah pakai, tetapi berwarna hijau. Dia melangkah masuk.
" Ah Aizad, kau buat apa kat sini? " tanya lelaki itu usai sahaja berada di dalam. Sepertinya mereka saling-mengenali.
" Ada kerja sikit nak urus budak baru masuk "
" Oh mana budaknya? Ni ke? "
Lelaki itu melirik ke arah Asfan. Asfan sedar lirikannya itu penuh dengan kejelekan. Seperti dirinya ini tampak hina.
" Asfan Haniff, selamat berkenalan " pantas Asfan memperkenal diri untuk mengelak dari situasi tegang. Pemuda itu tersenyum sinis.
" Tengok muka macam tak layak je masuk sini " ujar lelaki itu angkuh.
Asfan sedikit tersentak dengan jawapan diberi. Namun dia membiarkan sahaja perkara itu berlalu, tambahan pula dia baru sahaja masuk ke sekolah ini. Mungkin segala pergaduhan yang tak berfaedah perlu dielakkan.
Lif berhenti di tingkat 3, seraya pelajar itu terus keluar. Aizad terus menekan punat untuk menutup pintu lif.
" Tadi tu Salman, salah seorang Majlis Tujuh " jawab Aizad pantas bagai tahu apa yang akan Asfan tanyakan.
" Majlis Tujuh? "
" Terdiri dari 7 orang pelajar yang ter-elit. Boleh jugak panggil tujuh pelajar yang paling pandai kat sekolah ni. Mereka digelar Majlis Tujuh "
" Ada berapa banyak Majlis kat sekolah ni? " tanya Asfan setelah sedar banyak perkataan Majlis yang sudah didengarinya.
" Sekolah ni dikawal oleh Majlis Pengetua, Majlis Guru dan Majlis Tujuh. Majlis Perwakilan Pelajar pula bertindak sama seperti pengawas. Macam time kat sekolah kau dulu "
Asfan mengangguk. Cuba menghadam info yang diterima.
" Majlis Tujuh ni special sebenarnya "
Asfan memandang ke arah Aizad semula. Kenyataan itu seakan keluar secara tiba-tiba. Penjelasan lanjut harus diberikan.
" Nanti kau tahu lah " ujar Aizad sambil tersenyum.
TING!
" Jom, letak barang-barang kau. Lepastu kita terus pergi dewan untuk taklimat " arah Aizad.
Mereka sama sama menuju ke bilik 49.
Share this novel