BAB 20

Romance Completed 6551

Syazira mengetap bibir. Panggilannya tidak berjawab. Dia malu untuk mencuba sekali lagi, nanti dikata buang tabiat pula. Sudahnya dia hanya memandang telefon yang sunyi sepi. Tatkala dia hampir terlelap jam 11.30 malam, telefonnya berdering. Faiz. Setelah lama membiarkan, dia menjawab juga.

“Dah tidur? Suara serak aje..” soal Faiz.

“Hmm… err..abang kat mana?”

“Dekat bilik. Baru je balik.. nak datang ke?”

“Baru balik? Keluar dengan siapa?” dalam nada mengantuk, dia masih ingin tau siapa kawan yang dimaksudkan.

“Sya nak tau ke? Bukan selama ni, semua tu tak pernah penting, ke?” Faiz melempar soalan sinis. Syazira rasa terhenyak.

“Okaylah. Sya nak tidur.” Dia tidak menjawab pertanyaan Faiz, sebaliknya meminta diri dengan alasan sudah mengantuk. Dan dia hairan, Faiz membiarkan saja. Biasanya pasti Faiz akan berusaha mengajaknya berbual walaupun sekejap. Syazira keluar dari bilik. Dilihatnya Muna terbaring di depan tv, masih dengan pakaian yang belum ditukar.

“Baru balik ke?” soalnya. Memandang Muna curiga. Muna mengangguk. Syazira terdiam. Dua-dua baru balik. Hatinya tidak sedap, tapi takkan Muna sanggup berbuat begitu.. tapi mana tau, Muna mengambil kesempatan, kerana sahabatnya yang seorang ini tahu sejauh mana hubungannya dengan Faiz. Dia yang mudah sangat bercerita dan meluah perasaan bila Muna bertanya dulu.

“Kau dengan Faiz, kenapa aku nampak macam ada yang tak kena..?” soalan Muna mengimbau dalam kenangan.

“Okay je..”

“Tapi nampak macam tak ada kemesraan langsung. Eh kau, kau jangan buat hal.. Kau masih fikir Ady ke?” Muna menyoal lagi. Syazira menggeleng kuat.

“Habis tu? Kau ingat aku budak kecik? Aku nampak kejanggalan korang bila berdua. Faiz tu memang nampak mesra tapi kau tu, mencacatkan segalanya..haih..” Muna mengeluh. Dia tidak puas hati melihat layanan Syazira yang ala kadar ketika Faiz datang bertemunya dua bulan yang lalu..

“Kau ni macam orang tua..semua mudah nampak..”

“Kau tak suka Faiz ke?” soalan Muna membuatkan Syazira senyap. Hatinya sesak. Dia bukan tidak suka tapi ada perasaan lain yang mengganggu keyakinannya.

“Memang sukar nak memulakan sesuatu dengan orang yang kita tak pernah ada apa-apa perasaan.. tapi aku masih mencuba..” dan dia menceritakan semuanya pada Muna dengan harapan gadis itu mampu memahaminya.

“Banyakkan baca surah 3 Qul. Mak aku cakap, itu surah pelindung dari syaitan yang suka menganggu hubungan suami isteri..” pesanan Muna diingat dan diamalkan, tapi..sekarang rasa macam Muna pulak yang jadi syai…. Astaghfirullah. Kenapa nalurinya kali ini cepat sangat meneka?

“Kau termenung apa ni? Mata dah merah, pergilah tidur. Aku nak duduk sini sekejap..” suara Muna dan tepukan halus di lengannya membawa Syazira kembali ke alam nyata. Dia memandang Muna. Dia bingkas bangun, berlalu ke dalam bilik. Semuanya mungkin sudah terlambat. Syazira memejam mata. Emak kata, naluri seorang isteri itu kuat. Benarkah apa yang sedang nalurinya rasakan ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience