BAB 2

Romance Completed 6551

Malam yang indah. Kelekaannya terganggu bila mendengar suara seseorang berdehem. Dia berpaling. Faiz! Dia membetulkan tudung yang tersarung di kepala namun masih mengayunkan buaiannya perlahan-lahan.

“Sya.. balik cuti?” soalnya, memulakan perbualan. Syazira hanya mengangguk. Dari ekor mata dia nampak Faiz melabuhkan punggung atas bangku yang biasa menjadi tempat abah mengambil angin.

“Lama juga tak datang sini..lama tak jumpa Sya.. dah nampak lain. Dulu masih sekolah, sekarang, dah..makin cantik..” ujarnya selamba. Berani pun ye juga. Syazira diam.

“Err.. Tak sangka Abang Faiz masih ingat kami?”

“Abang mana pernah lupa. Walaupun dulu pertemuan sekejap je, tapi kenangan tu mana boleh lupa. Ni, dah kebetulan abang ada kerja dekat sini, dah ada dalam negeri sama, so, abang datanglah sini..”

“Mak kata abang bawak budak pergi buat ekskavasi dekat gua..” Faiz mengangguk.

“Diorang dah balik petang semalam. Lepas diorang balik, abang datang sini.”

“Tak apa pulak abang biar diorang tu..”

“Lecturer lain ada.. balik sama diorang. Lagipun, kan ada cuti hari Isnin ni, so, ni la masa abang datang sini. Lepas ni dah kembali sibuk, mana ada masa lagi.”

Syazira hanya membulatkan bibirnya membentuk huruf ‘o’. Seketika dia memandang Faiz. Erk. Dia terpempan bila perasan anak mata lelaki yang bersinar itu sedang memandangnya.

“Sya belajar lagi ye? Mak kata tengah sambung master..”

“A’ah.. dekat Tanjung Malim jugak. dekat tempat sama..malas nak pergi tempat lain..”

“Hmm…berapa lama lagi nak habis..?”

“Ada satu semester lebih lagi. Sya pun nak jadi lecturer macam abang jugak..” Syazira membalas. Faiz tersenyum lebar. Kalau dia tidak silap, lelaki bercermin mata ini adalah seorang pensyarah dalam bidang sejarah di UM. Itu menurut kata emaklah,dia bukan tahu sangat.

“Elok la tu, belajar je yang dia ingat.. nak kahwinnya entah bila..” satu suara mencelah. Aduh. Syazira memandang ke arah emaknya yang datang menyertai mereka tiba-tiba. Faiz tersenyum.

“Kak Long masih muda la mak..baru 25 kan..”

“Haa..tahun depan 26..lepas tu 27..”

“Lepas tu 28.. Memanglah umur kita akan meningkat, normal la tu..” jawabnya, selamba mengusik emaknya. Faiz merenungnya bagaikan tidak suka Syazira berlawan kata dengan Mak Kiah.

“Kak Long, tempoh subur seorang wanita adalah di bawah usia 35 tahun. Sila maklum ye..” suara Aariz pula mencelah. Syazira mencerlung adik bongsunya yang sedang datang mendekati mereka sambil membawa Nescafe ais untuk mereka dan dua cawan Nescafe panas untuk Mak Kiah dan Pak Mail yang akan pulang dari surau bila-bila masa saja.

“Kau ni dah kenapa, apa pulak masuk bab tempoh subur pulak..” Syazira buat-buat tidak faham. Wajahnya sudah memerah melihat senyuman Faiz. Susah jadi anak sulung ni, anak perempuan pula. Umur baru 25 tahun setengah, masih muda kan?

“Maksudnya Kak Long ada masa tak sampai sepuluh tahun tau untuk settle down, ada suami and ada anak..” Aariz menyambung sambil menghulurkan satu mug air untuk Faiz. Syazira menjeling Aariz. Kalau nak ceramah pasal kahwin ke, pasal tempoh subur ke, janganla depan orang.

“Sudah la kau.. bak sini air..” Syazira mengalih topik. Bila dia terpandang Faiz, dia terpandangkan satu renungan yang berlainan. Entahlah apa. Dia malas mahu ambik kisah.

“Kalau ada orang masuk meminang lagi, janganla ditolak, ye, Long. Mak nak jugak tengok anak mak kahwin. Kak Ngah tu pun dah ada calon..” Mak Kiah menyambung lagi. Syazira ketap bibir. Ingat dah tutup kes. Dia pandang langit, kot-kot ada tahi bintang, boleh buat modal bercakap.. tak ada pula…

“Kak Long masuk dulu la mak, baru teringat belum solat Isyak lagi. Mata pun dah mengantuk ni, nanti karang tidur tak solat pulak.” dia sengaja meminta diri, lari dari serangan kanan dan kiri. *******

Syazira menggosok-gosok mata bila pintu bilik diketuk. Jam ditoleh. Matanya membuntang, sudah jam 6 petang? Aduh. Janji dengan Aariz nak pergi pasar malam!

“Kak Long.. kata nak pergi pasar malam? Dah lewat ni..” Aariz memanggil.

“A’ah.. ye.. ye la.. Kak Long tertidur tadi. Tunggu kejap ye, nak solat. 20 minit!” dia berlari mencapai tuala dan keluar menuju ke bilik air. Sebaik saja selesai solat dan bersiap ala kadar, dia keluar dari bilik. Dilihatnya Aariz sedang sedap melepak di atas buaian, dan Faiz pula sedang berada dalam kereta.

“Jom..”Aariz mengajak sambil bangun dari duduk dan terus melangkah ke arah kereta milik Faiz. Eh..

“Aariz!” Syazira memanggil.

“Abang Faiz nak ikut, kita pergi dengan kereta dialah.” Aariz menjawab. Syazira memuncungkan bibir, tapi kakinya tetap melangkah.

Masuk saja ke perkarangan pasar malam, Syazira menonong ke gerai yang menjual murtabak. Aariz yang memandang hanya mencebik. Tak habis-habis murtabak. Dia pula terus ke gerai bersebelahan yang menjual beberapa jenis kuih tradisional, membeli sedikit kuih untuk emaknya.

“Kak Long ni, asal datang pasar malam, murtabak. Asal pasar malam, murtabak.”

“Mestilah. Kat sana mana ada murtabak sedap macam ni..” dia mengunjukkan plastik berisi murtabak pada adiknya. Aariz tersenyum mengusik.

“Kak Long memang suka murtabak dia ke, atau Kak Long sukakan orang yang jual murtabak ni? Maklumlah, Kak Long kan suka lelaki yang bercermin mata..” Aariz mengusik. Syazira terkedu. Aariz memang nak kena. Mulut berus tandas betul. Dia mengerling Faiz yang hanya tersenyum kecil sambil membetul-betulkan cermin matanya.

“Abang Faiz nak beli apam balik.. ada dekat mana ye?” Faiz bersuara.

“Oh.. kat hujung sana. Jom.” Mereka beriringan ke gerai paling hujung. Tapi, langkah Syazira terhenti seketika bila terasa lengannya disentuh. Dia berpaling. Hatinya bergetar. Seorang lelaki bercermin mata dengan gaya yang cukup menarik pada pandangan matanya sedang tersenyum.

“Sya..lama tak jumpa..” sapa lelaki itu. Syazira memandang Aariz dan Faiz yang makin menjauh. Dia turut melangkah, tidak menghiraukan lelaki itu.

“Sya..nanti! Boleh abang mintak nombor phone?” soal lelaki itu. Syazira diam. Menunduk seketika, kemudian senyum.

“Maaflah. Kita dah tak ada apa-apa urusan. Saya pergi dulu..”

“Abang masih sayang Sya. Kita sambung balik apa yang pernah putus, Sya?” Syazira terkesima. Dia memandang wajah lelaki di depannya. Pelbagai rasa bermain dalam dada. Yang pasti kenangan lama kembali tergali.

“Kita dah lama kosong-kosong. Sya dah ada hidup baru.. abang pun dah kahwin kan..”

“Abang dah bercerai..” balas Ady cepat. Syazira merenungnya. Takkan baru setahun dua dah bercerai?

“Abang dengan dia memang tak boleh serasi. Abang tak boleh nak teruskan apa yang abang tak suka. Abang…”

“Tak payah cakap apa-apa. Antara kita, dah tak ada apa-apa. Kalau sekali pun abang nak Sya, tapi mak abang, tetap tak suka Sya jugak kan. Sejak kita mula-mula kenal, dia beri macam-macam alasan untuk hubungan kita. Tup-tup dia pinangkan kawan Sya untuk abang..” Syazira sudah tidak mahu terjebak dengan masalah sama. Dia pandang sekeliling. Manalah Aariz..datanglah selamatkan aku..

“Sya..?” suara Faiz menyapa. Dia berkalih ke kiri. Bibirnya tersenyum.

“Abang Ady!” Aariz pula menegur Ady. Dia bersalam dengan lelaki itu.

“Balik cuti sekejap, kebetulan ada pulak hal keluarga nak kena selesai..” ujar Ady tanpa sempat Aariz menyoal. Dia kemudian memandang pada Faiz.

“Oh ye, ni abang Faiz. Anak angkat mak dan abah..” Aariz perkenalkan. Ady dan Faiz saling bersalaman.

“Dah sudah? Dah lewat ni.” Faiz bersuara. Syazira hanya mengangguk, mengatur langkah menuju ke kereta. Dia hanya mendengar Aariz yang meminta diri dari Ady. Dia biarkan saja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience