Dhia Erdina membetulkan sedikit blazer hitam yang tersarung di badannya. Dia melihat dirinya di hadapan cermin solek di dalam bilik tidurnya.
Hari ini adalah hari pertandingan bahas!
Terserlah kekemasan diri Dhia apabila dia memakai sebegitu.
Selama dia bersekolah menengah selama hampir empat tahun itu, itu adalah kali pertama dia memakai blazer. Dek kerana dia hanya murid biasa yang tiada jawatan, dia hanya memakai baju kurung putih yang biasa.
Sebelum ini dia hanya melihat sahaja pengawas yang lain memakai blazer dan akhirnya dapat juga dia merasa memakai pakaian itu.
"Wah, dah nampak macam peguam lah pulak!" kata Dhia seorang diri sambil tersengih.
Selepas merasakan penampilan dirinya sudah siap dan semua fail bahas telah disimpan di dalam beg sandang, Dhia menyandang beg dan menuju ke arah suis lampu dan kipas untuk ditutup.
Kemudian, kakinya menapak keluar dari bilik tidur kemudian terus ke meja makan.
Dhia melihat di meja makan, ayahnya sudahpun berada di situ sedang menjamah nasi lemak hasil air tangan Puan Irma.
Mata Encik Khalid di angkat memandang Dhia yang baru tiba disitu. Terbit rasa bangga dalam hati melihat anak bongsunya dalam pakaian ala-ala peguam itu.
Beberapa tahun lepas, waktu pagi yang sama, dia melihat Adina yang berpakaian seperti itu dan kini tanpa disangka-sangka giliran Dhia pula.
"Cantik anak abah" puji Encik Khalid sambil memandang wajah Dhia.
Dhia jadi terkedu dengan pujian ayahnya itu. Dia tersilap dengarkah? Jarang sekali dia boleh dengar pujian daripada ayahnya itu.
Kebiasaannya pujian Encik Khalid ditujukan kepada Azrul dan Adina.
Satu senyuman manis terukir di wajah Dhia untuk Encik Khalid.
Dhia menarik kerusi dan duduk di meja makan itu bersama dengan ayahnya. Puan Irma masih berada di dapur manakala kakaknya, Adina seorang yang tidak gemar bersarapan. Dia akan keluar dari bilik apabila Dhia sudah ingin ke sekolah.
"Pertandingan adik itu dekat SMA Putra kan?" tanya Encik Khalid. Nasi lemak yang berada di pinggannya sudah habis dijamah.
"Haah. Cikgu cakap lepas solat Zohor kitaorang pergi sana naik kereta cikgu" jawab Dhia kemudian menyuapkan nasi lemak ke dalam mulut.
Keenakan nasi lemak Puan Irma memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Sambal ikan bilis nya sahaja cukup untuk membuatkan semua yang makan ingin menambah nasi berkali-kali.
Kepala Encik Khalid terangguk-angguk. Seperti biasa, nasihat akan diberikan kepada anaknya itu.
"Adik buat betul-betul. Abah percaya dengan kebolehan adik. Angah ada cerita dekat abah yang adik belajar cara nak jadi menteri ketiga dengan angah. Abah suka dengan kesungguhan adik. Abah dengan ibu doakan semoga segala urusan adik hari ini dilancarkan oleh Allah. Insyaallah, pasukan adik boleh punya" kata Encik Khalid dengan nada yang tenang.
Segala kata-katanya itu ikhlas daripada hati seorang bapa. Ketika itu jelas terpancar di wajahnya sifat seorang ayah yang menasihati anaknya.
Terus terhenti kunyahan Dhia apabila mendengar nasihat Encik Khalid. Terkebil-kebil matanya cuba untuk menahan air mata daripada mengalir keluar.
Hati Dhia tersentuh kerana tidak sangka Encik Khalid yang selama ini selalu membandingkan dia dengan adik beradik yang lain, percaya dengan kebolehan dia.
"Amin, insyaallah. Terima kasih, abah" Dhia tidak mampu untuk berkata-kata banyak kerana bimbang akan menangis di situ juga.
Dia berjanji dengan dirinya untuk buat yang terbaik semasa pertandingan petang nanti. Dia juga ingin membuat abah dan ibunya bangga dengan dirinya seperti mana along dan angah sudah buat sebelum ini.
•
Kali ini kali yang kelima Faiq Farhan menguap dek kerana mengantuk. Dia sudah berada di dalam bilik Bahasa Melayu itu kira-kira 30 minit yang lalu.
Tidak pernah dia datang awal ke sekolah seperti hari itu. Ini semua kerana bimbang dia akan terlepas latihan sebelum ke SMA Putra sekiranya dia datang seperti biasa.
Hendak dibuka fail untuk membuat sedikit ulangkaji terasa berat sungguh tangannya. Apatah lagi untuk membaca teks hujah.
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menunggu cikgu dan yang lain sampai barulah dia buat apa yang patut.
Sementara dia menunggu, Farhan termenung kosong.
Sedang dia termenung jauh, Farhan dikejutkan dengan bunyi pintu bilik itu dibuka daripada luar. Tidak semena-mena jantungnya berdebar laju. Fikirannya terfikirkan seseorang.
Siapakah yang membuka pintu itu?
Namun persoalannya terjawab dan degupan jantungnya kembali biasa apabila melihat Yaya yang masuk ke dalam bilik itu.
Farhan menghela nafas berat. Apa kena dengan dirinya?
Yaya terkejut melihat Farhan yang sudah ada di dalam bilik itu. Tetapi tanpa berlengah di depan pintu, Yaya terus berjalan ke meja yang biasa dia duduk.
Keadaan bilik Bahasa Melayu itu seolah-olah tidak berpenghuni. Sunyi sepi sahaja. Hanya kedengaran bunyi kipas siling yang berputar ligat.
Keadaan yang membosankan itu membuatkan Farhan bertambah mengantuk. Matanya hampir sahaja tertutup.
Sebenarnya boleh sahaja dia bermain telefon pintar nya tetapi dia tidak punyai semangat untuk melihat telefon pintar.
Buat kali keenam sepanjang berada di bilik Bahasa Melayu, Farhan menguap lagi.
Semasa dia sedang menguap panjang, pintu bilik itu dibuka lagi dan secara tiba-tiba muncul seseorang yang mungkin Farhan tunggu daripada tadi cuma dia yang menafikan perkara itu.
Dhia Erdina yang masih berada di muka pintu terkejut melihat Farhan sama seperti Yaya semasa dia baru sampai sebentar tadi.
Farhan memandang Dhia. Buat kali kedua jantungnya berdegup laju. Malah lebih laju daripada sebelum itu apabila melihat Dhia yang berpakaian baju bahas itu.
Buat seketika mata mereka berdua bertaut.
Farhan boleh rasakan jantungnya berdegup kencang. Selepas tiga saat mereka berdua bertentangan mata, Dhia dengan pantas melarikan pandangan nya ke arah Yaya dan melangkah menuju ke mejanya.
Farhan terdiam. Dia membetulkan kedudukan nya di atas kerusi. Rambut disebak ke belakang untuk menenangkan jantungnya yang seolah-olah baru sahaja berlari sejauh 100 meter.
'Kau dah kenapa, Paan? Relax lah!' desis hati Farhan.
Dia mungkin masih boleh menutup perasaan nya tetapi dia tidak boleh menafikan yang Dhia kelihatan cantik memakai baju bahas.
•
"Kak Dhia, kitaorang keluar dulu ek? Sebab Cikgu Sofea last minute cakap yang kitaorang pergi SMA Putra dengan Cikgu Zaim dulu. Nanti akak pergi sana dengan Cikgu Sofea" kata Areen kepada Dhia yang sedang melipat kain telekung nya.
Di sisi Areen, Yaya sedang berdiri memegang beg telekung.
Mereka bertiga baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Jam di dinding surau perempuan menunjukkan pukul 2 petang.
Tinggal lagi beberapa jam sahaja, pertandingan bahas akan berlangsung di SMA Putra.
"Oh, okey-okey. Nanti jumpa dekat sana" jawab Dhia.
Tangannya mencapai tali leher dan disarung ke leher selepas selesai melipat telekung.
Areen dan Yaya mengangguk kepala seraya melambai tangan. Kemudian mereka melangkah keluar dari surau dan meninggalkan Dhia seorang diri.
Selepas Dhia merasakan penampilan nya kemas dan berpuas hati dengan pakaiannya, Dhia mencapai beg telekung dan juga melangkah keluar dari surau.
•
Farhan dan Danish yang sudah selesai menunaikan solat Zohor sedang menunggu kedatangan Cikgu Zaim di tempat parkir kereta guru. Fikir mereka, mungkin Cikgu Zaim masih belum selesai solat ataupun ada hal yang perlu diselesaikan.
Farhan yang kehausan kerana tekak kering memusingkan beg sandang nya ke bahagian hadapan badannya. Dia membuka zip beg dan ingin mengeluarkan botol air mineral.
Namun, belum sempat dia menyentuh botol air mineral, kedua biji matanya hampir terkeluar apabila melihat fail yang menyimpan kertas-kertas bahasnya tiada di dalam beg!
Farhan baru tersedar yang dia tidak mengambil fail bahasnya sebelum keluar dari bilik Bahasa Melayu.
Failnya tertinggal di dalam bilik Bahasa Melayu.
"Aduiii!" kata Farhan seraya menutup semula zip beg sandangnya.
"Apahal?" soal Danish. Dia melihat Farhan seperti gelisah semacam.
"Fail bahas aku tak ada. Aku rasa aku tertinggal dekat bilik BM. Terlupa nak ambil tadi"
Danish juga seperti Farhan. Terkejut. Masakan tidak terkejut, jikalau fail bahas itu tidak ada, apa yang nak dibahaskan.
Sementelah pula tugas mereka bergantung kepada teks bahas itu. Berlainan dengan Dhia.
"Kalau macam tu kau pergi lah ambik sementara Cikgu Zaim tak datang lagi ni. Aku tunggu sini" arah Danish kepada Farhan.
Farhan hanya mengangguk kepala kemudian berlalu pergi. Jarak antara tempat parkir kereta guru dengan bilik Bahasa Melayu agak jauh.
Jadi Farhan mungkin akan mengambil masa yang lama untuk sampai semula ke tempat parkir kereta guru.
Selang 5 minit Farhan berlalu pergi, kereta Honda Civic milik Cikgu Zaim lalu di hadapan Danish.
"Jom, Danish. Naik cepat. Dah pukul 2:30 dah ni, lambat nanti kita sampai sana" ujar Cikgu Zaim dari dalam kereta.
Danish tercengang dengan ajakan tiba-tiba Cikgu Zaim itu. Tergagap-gagap Danish menjawab.
"Tapi cikgu, Paan tengah ambil fail dia dekat bilik BM. Saya tunggu dia ni sebab kitaorang naik dengan Cikgu Sofea"
"Farhan tu tak apa. Dia lambat lagi tu. Nanti saya cakap dengan Cikgu Sofea yang Farhan naik dengan dia. Awak naik sekarang ni, kita dah nak daftar ni" kata Cikgu Zaim, sekali lagi.
Secara spontan Danish melihat ke dalam kereta. Di tempat duduk belakang, Areen dan Yaya sedang duduk. Hati Danish terdetik.
'Dhia tak ada?'
Secara pantas Danish berfikir. Kalau Dhia tiada di situ, pasti dia naik kereta Cikgu Sofea dan kalau Farhan juga naik kereta Cikgu Sofea, jadi...
"Danish! Apa yang difikirkan lagi tu. Saya yang bawak kereta bukan awak. Naik cepat" Buat kali ketiga Cikgu Zaim mengajak Danish masuk ke dalam kereta.
Dengan hati yang berat, Danish menapak ke pintu hadapan kereta Honda Civic itu dan membuka pintu kereta itu. Dia melangkah masuk ke dalam kereta.
Dengan wajah yang ketat, Danish mengeluarkan telefon pintar nya untuk memberitahu Farhan yang dia sudah pergi ke SMA Putra dahulu.
Danish: Paan, Cikgu Zaim ajak aku pergi sana dulu. Nanti kau pergi dengan Cikgu Sofea.
Sengaja Danish tidak menyebut tentang Dhia. Dia tidak mampu menipu dirinya yang dia cemburu. Dia sebenarnya perasan dengan sikap Farhan sejak akhir-akhir ini.
Farhan sudah tidak lagi mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Dhia. Dia lebih banyak mendiamkan diri apabila bersama dengan Dhia.
Bukanlah dia lebih suka Farhan menyakitkan hati Dhia, tetapi dia bimbang jika ada sesuatu yang Farhan sorokkan daripada dia sehingga Farhan berubah seperti ini.
Selepas sahaja Danish menghantar pesanan itu, Danish menutup telefon pintar nya dan memandang ke hadapan.
•
Dhia hanya termenung kosong memandang ke luar tingkap di tempat duduk belakang kereta milik Cikgu Sofea. Kereta Alza kepunyaan Cikgu Sofea masih kekal berada di tempat parkir itu walaupun enjin nya sudah dihidupkan.
'Cikgu tengah panaskan enjin kereta kot' bisik hati Dhia.
Tiba-tiba suara Cikgu Sofea memecahkan kesunyian kereta itu.
"Dhia, boleh tak awak tunggu Farhan dekat luar? Takut dia tak tahu kereta cikgu yang mana satu. Dia terlambat tadi, Danish dah pergi sana dengan Cikgu Zaim" kata Cikgu Sofea yang membuatkan Dhia hampir menjerit kerana terkejut dengan cerita itu.
'Menyusahkan betul lah dia ni!' jerit Dhia dalam hati. Kali ini giliran Dhia pula yang melabel Farhan menyusahkan.
Namun dia tetap juga menjawab walaupun sebenarnya hati tidak rela duduk satu kereta dengan lelaki yang paling dibencinya.
"Boleh cikgu"
Kemudian Dhia keluar dari kereta dan berjalan sedikit supaya dia dapat melihat kalau-kalau Farhan sudah ada di situ.
Farhan yang baru sahaja membaca pesanan ringkas daripada Danish mencari-cari kereta Cikgu Sofea. Dia tidak pernah tahu jenis model kereta Cikgu Sofea.
Secara kebetulan semasa Farhan sedang mencari kereta Cikgu Sofea, matanya terhenti di susuk tubuh seseorang yang kebelakangan ini namanya selalu bermain di fikiran.
Dari kejauhan, Dhia sedang memandang Farhan dengan pandangan yang tajam. Tak pasal-pasal dia perlu menjemput Farhan seolah-olah Farhan itu tengku mahkota.
"Dah elok-elok pergi dengan Danish, tiba-tiba pulak kena pergi dengan aku. Apa masalah dia ni pun tak faham aku" bebel Dhia tanpa memperlahankan suaranya.
Biarlah Farhan dengar sekalipun. Kisah apa dia.
Sebaik sahaja Farhan melihat Dhia di situ, dia terus menuju ke arah tempat Dhia berdiri.
"Kau buat apa dekat sini? Bukan sepatutnya kau dah sampai SMA Putra ke?" tanya Farhan. Dia langsung tidak tahu apa-apa.
"Aku pergi dengan Cikgu Sofea. Cepat lah masuk kereta. Kerja aku pulak nak kena menjemput kau" jawab Dhia dengan nada yang kasar.
Farhan yang masih terpinga-pinga tanpa berlengah menuju ke kereta Alza Cikgu Sofea. Beberapa saat kemudian, dia terkedu apabila melihat di dalam kereta itu hanya ada Cikgu Sofea sahaja.
Ini bermaksud hanya dia dan Dhia yang masih belum ke SMA Putra.
"Sorry lah Paan, awak kena duduk tempat duduk belakang. Dekat depan ni ada kotak kertas-kertas soalan abang kakak awak yang nak SPM tu. Susah nak letak belakang sebab berat" terang Cikgu Sofea kepada Farhan sudah duduk di tempat duduk belakang.
"Oh, tak apa cikgu. Tak payah susah-susah" jawab Farhan.
Dia memandang Dhia yang duduk berdekatan dengan nya menggunakan ekor matanya. Dhia kelihatan sedang sibuk menyalin maklumat daripada Google untuk dijadikan isi bidasannya.
Entah Dhia betul-betul sibuk atau sengaja buat-buat sibuk. Farhan pun tidak tahu.
Jarak antara dia dan Dhia tidaklah dekat. Punyalah mereka ingin menjaga jarak, sehingga hampir sahaja mereka terkeluar daripada pintu. Jika pintu kereta itu dibuka, pasti mereka akan tergolek keluar.
Sepanjang perjalanan mereka ke SMA Putra, sedikit pun Dhia tidak mengangkat mukanya. Apatah lagi ingin memandang ke arah Farhan.
Dia hanya sibuk dengan kertas, pen dan telefon pintar nya. Dia tidak berminat untuk melihat Farhan. Tidak berguna.
Dalam diam-diam, Farhan beberapa kali melihat Dhia.
Melihatkan kesibukan Dhia sebagai menteri ketiga, terbit perasaan ingin menolong Dhia mencari maklumat seperti yang dilakukan oleh Danish semasa awal-awal latihan bahas mereka.
Dia juga sedia maklum yang tugas Dhia bukan sesenang tugas dia dan yang lain. Dia mengakui perkara itu.
Dia teringat dahulu ketika Dhia mengatakan yang tugasnya sebagai menteri kedua hanya mengharapkan teks bahas.
Betullah apa yang Dhia katakan.
Tetapi apakan daya dia. Mungkin belum sempat dia ingin menolong, mungkin Dhia akan terlebih dahulu keluar daripada kereta.
Apa yang boleh dia lakukan adalah berdoa agar Allah mudahkan urusan Dhia dan bantunya nanti semasa pertandingan. Doa itu dilafazkan Farhan jauh dalam sudut hatinya.
thankyou sebab sudi baca!!
Share this novel