Bab 16

Drama Completed 14262

Dhia Erdina melajukan langkah kakinya supaya dia tidak berjalan berdekatan dengan Faiq Farhan. Sudahlah pakai baju yang sama. Nanti nampak macam pasangan kekasih pula. Tidak ingin dia kelihatan seperti itu.

Farhan hanya melihat sahaja Dhia meninggalkan dia di belakang dan berjalan pantas untuk mengikut Cikgu Sofea.

Seperti biasa, Farhan akan mengatakan dalam hati, jikalau dia tidak mulakan persengketaan ini, pasti Dhia akan baik-baik sahaja dengan dia.

Tetapi walaupun sebegitu, Farhan tetap merasakan tindakan Dhia itu 'comel'. Punyalah Dhia sanggup berjalan dengan laju walaupun kain yang dipakai Dhia itu agak sempit semata-mata ingin menjauhkan diri daripada dia.

Ada satu senyuman kecil terukir di wajah Farhan.

'Engkau nak lari mana Dhia oi. Masa bahas nanti, kau duduk sebelah aku jugak' bisik hati Farhan.

Dia sendiri tidak tahu sejak bila dia mempunyai perasaan seperti ini. Adakah semasa dia membaca diari milik Dhia? Ataupun semasa pertama kali dia melihat Dhia berhujah? Ataupun semasa Danish mengatakan yang dia menyimpan perasaan terhadap Dhia? Dia sendiri tidak sedar bila perasaan itu hadir.

Satu kain rentang yang tertulis Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Negeri menyambut ketibaan Cikgu Sofea, Dhia dan Farhan.

Kelihatan sudah ramai peserta bahas dari sekolah-sekolah Putrajaya sudah berada di situ. Dhia yang melihat mereka semua tiba-tiba diserang perasaan gemuruh.

Jantungnya berdegup dengan kencang sehingga hampir terloncat keluar. Air liur nya ditelan beberapa kali kerana takut yang teramat sangat. Dia sudah tidak tentu arah. Nafasnya juga sudah tidak teratur tetapi dia cuba untuk mengawal dirinya.

Tiba-tiba dia teringat pesanan daripada kakaknya, Adina yang diberikan padanya sebelum dia keluar dari kereta pagi tadi.

"Adik tak payah takut sangat bila tengok peserta-peserta lain. Kadang-kadang diaorang semua tu acah je lebih. Tapi sebenarnya tak ada isi pun. Yang penting adik kena yakin. Confident dengan diri sendiri. Itu yang hakim nak tengok. Keyakinan"

Pesanan Adina disemat dalam hati. Dia percaya dengan kata-kata kakaknya.

Mereka bertiga nampak Cikgu Zaim bersama dengan Danish, Areen dan Yaya sedang duduk di kerusi di situ. Cikgu Sofea terus melangkah ke arah mereka dan diikuti oleh Dhia dan Farhan.

Danish memandang Farhan dan Dhia. Dia mengetap giginya. Hendak dimarah, bukannya salah sesiapa.

"Dah daftar ke?" tanya Cikgu Sofea kepada Cikgu Zaim.

"Dah. Sekejap lagi kena cabut undi. Aku kena balik sekolah balik sebab ada urusan. Kau boleh ke uruskan?" kata Cikgu Zaim. Mereka berlima hanya mendiamkan diri sahaja.

Mungkin semuanya sedang gementar.

"Boleh. Kau pergilah balik sekolah"

Cikgu Sofea dan lima pelajar nya sedang dalam perjalanan ke bilik yang akan menjadi tempat mereka berbahas. Debaran di dada semakin terasa.

Sampai sahaja di bilik itu, mereka melihat meja untuk berbahas sudah disusun dengan elok. Ada dua buah meja di tengah-tengah untuk tempat Yang di-Pertua dan penjaga masa.

Di sebelah kanan dan kiri, lima buah meja disusun secara tiga buah meja di hadapan dan dua di belakang. Dan akhir sekali tiga buah meja disusun bertentangan dengan meja Yang di-Pertua dan penjaga masa untuk meja hakim yang akan menilai mereka.

Tujuan mereka ke situ untuk meletakkan beg mereka dahulu dan kemudian akan ke bilik kuarintin.

Bilik kuarintin adalah bilik dimana mereka diberi masa kira-kira 10 minit untuk membuat persediaan akhir sebelum masuk ke bilik bahas.

10 minit yang lalu, Cikgu Sofea sudah mencabut undi. Nasib yang baik berpihak kepada mereka kerana mendapat pihak kerajaan dan bukannya pembangkang.

Sejak daripada tadi Farhan melihat Dhia gementar sehingga dia ternampak tangan Dhia menggigil ketakutan. Sebelum dia keluar dari bilik itu untuk menuju ke bilik kuarintin, dia mengambil sesuatu dari dalam beg sandang nya.

Kemudian dia turut serta bersama kawannya yang mendengar nasihat Cikgu Sofea buat kali terakhir sebelum ke bilik kuarintin. Hal ini kerana cikgu pengiring tidak boleh ke bilik kuarintin. Hanya peserta bahas sahaja.

"Awak semua buat yang terbaik yang awak mampu. Awak semua anggap je kita berlatih dekat bilik BM setiap petang. Abaikan orang lain. Fokus dekat hakim. Kalau pihak lawan bagi izin laluan, jawab dengan tenang dan yakin dan kalau boleh setiap kali pihak pembangkang bangun bagi izin laluan dekat diaorang. Bagi contoh izin laluan yang kita dah bincang sebelum ni. Ada banyak kan? Bagi mana yang awak rasa sesuai. Tapi ingat, kalau awak rasa tak sedia nak jawab izin laluan, suruh dia duduk dulu. Nanti dah habis hujah, baru jawab. Boleh ke semua? Muka pucat je saya tengok korang semua ni" kata Cikgu Sofea dengan tersangat panjang lebar.

Dia sangat-sangat berharap anak murid nya itu mampu buat yang terbaik.

"Boleh cikgu" jawab semua selepas tersenyum apabila Cikgu Sofea menegur muka pucat mereka.

Selepas pelajar perempuan bersalaman dengan Cikgu Sofea, mereka mula melangkah pergi.

Dhia yang berjalan paling hadapan. Dia ingin cepat sampai ke bilik kuarintin untuk menyiapkan apa yang patut. Di belakang Dhia, Danish juga sedang pantas berjalan.

Dia juga seperti Dhia ingin menyiapkan teks hujahnya yang akan dia baca sebentar nanti. Dia perlu mengasingkan teks hujahnya. Dia memerlukan teks kerajaan dan teks pembangkang akan diletak jauh-jauh.

Areen dan Yaya yang tugas mereka senang tidak segelabah Dhia. Mereka masih boleh berjalan dengan tenang sedikit.

Tiba-tiba kedengaran suara Farhan daripada belakang memanggil mereka.

"Wei"

Areen dan Yaya terus menoleh ke belakang untuk melihat Farhan.

Tanpa menunggu Areen dan Yaya berkata apa-apa, Farhan menghulurkan sebotol kecil minyak wangi. Tetapi bukan minyak wangi biasa. Itu adalah minyak wangi aromaterapi yang boleh membuatkan orang tenang menghidunya.

"Boleh tak korang pass minyak ni dekat Dhia. Aku tengok dia macam gelabah semacam je. Tapi jangan cakap aku yang bagi. Cakap minyak ni kau yang punya" kata Farhan tanpa mempedulikan riak wajah terkejut Areen dan Yaya mendengar kata-kata Farhan.

Selepas Yaya mengambil botol minyak wangi itu, Farhan terus berlalu pergi meninggalkan Areen dan Yaya yang masih terpinga-pinga.

Mereka berdua saling berpandangan kemudian tersenyum nakal.

"Drama apa ni, Reen? Aku bau-bau macam ada something ni" kata Yaya dengan senyuman sinis.

"Itu lah tu. Biasa lah, mula-mula benci lepas tu cinta. Alahai, macam drama pukul 7" sambung Areen.

"Betul kau cakap. Tapi drama, drama jugak. Lepas ni kita bahas. Memang lah kita ni celahan je, tapi jangan tenang sangat"

Ketawa mereka tercetus sebelum menuju ke bilik kuarintin.

Kini, penantian yang dinanti sejak daripada beberapa minggu yang lalu sudah tiba. Bagaikan mimpi, mereka berlima sudah berada di dalam Bilik 1 iaitu bilik persidangan mereka.

Di dalam Bilik 1 itu terdapat beberapa penonton yang terdiri daripada pelajar SMA Putra sendiri sementelah tempat itu adalah sekolah mereka.

Di hadapan mereka atau lebih kepada pihak pembangkang ialah peserta bahas dari Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11(2).

Aura daripada kelima-lima pihak pembangkang itu membuatkan bulu roma Dhia menegak.

Bagaimana jikalau semasa giliran dia untuk berhujah, dia tidak dapat berhujah dengan baik? Kalau dia tergagap-gagap? Atau dia tidak dapat mengeluarkan suara? Persoalan-persoalan seperti kerap berlegar-legar di fikirannya.

Disebabkan terlalu gementar, Dhia membawa pergelangan tangannya ke hidung. Terasa tenang sedikit hatinya apabila menghidu minyak wangi aromaterapi yang diberikan oleh Yaya sebentar tadi.

"Kak Dhia. Saya tengok daripada tadi akak gelabah. Nah kak, minyak wangi aromaterapi ni. Bagi hati akak tenang sikit" kata Yaya dengan nada suara yang agak kuat supaya Farhan dapat mendengarnya.

Tangan kanannya menghulurkan botol minyak wangi aromaterapi itu kepada Dhia.

Farhan hanya mendiamkan diri tetapi ekor matanya melihat mereka bertiga.

Dhia mengambil botol minyak wangi aromaterapi itu daripada tangan Yaya dan mencalitkan sedikit di pergelangan tangannya.

"Thank you Yaya" ucap Dhia.

Yaya hanya menguntumkan senyuman manis kepada Dhia dan kemudian memandang ke arah Farhan.

Farhan mengangguk sedikit kepalanya menandakan terima kasih.

Tingkahlaku Dhia yang menghidu minyak wangi itu membuat jiwa Farhan bergetar. Sekurang-kurangnya itu boleh membuat Dhia sedikit tenang daripada kegelisahan.
Lima minit kemudian, persidangan mereka bermula.

Sudah lebih 30 minit persidangan itu berjalan. Danish sebagai perdana menteri sudah menyampaikan hujahnya semasa awal persidangan kemudian ketua pembangkang bangun untuk membangkang hujah Danish.

Duduknya ketua pembangkang, Farhan pula bangun dan menyampaikan hujah dengan penuh keyakinan.

Sebaik sahaja 8 minit Farhan berhujah, giliran pembangkang kedua pula bangun. Apabila sampai giliran pembangkang kedua, Dhia mulai gusar kerana giliran dia selepas itu.

Setakat ini, Danish dan Farhan lakukannya dengan baik sekali. Saling tidak ubah seperti latihan mereka setiap petang. Dhia risau dia akan merosakkan peluang untuk mereka menuju ke peringkat seterusnya.

Berhelai helai kertas sudah dia guna untuk menulis bidasannya berdasarkan hujah pihak pembangkang.

Tulisannya semakin lama semakin cakar ayam kerana perlu pantas menulis tajuk hujah pihak lawan. Hanya dia sahaja yang dapat membacanya.

Jantung Dhia bagai direntap apabila mendengar kata-kata akhir pembangkang kedua. Dia memandang sekilas ke arah pihak pembangkang. Pembangkang kedua sudah duduk!

Air liur ditelan berulang kali untuk menenangkan dirinya.

"Dewan perbahasan kita akan dihangatkan lagi dengan bidasan-bidasan daripada menteri ketiga iaitu Dhia Erdina binti Ahmad Khalid"

Dhia gagahkan diri nya untuk bangun walaupun kakinya lemah ketika itu. Farhan menoleh ke arah kanannya dan memandang wajah Dhia.

Mulutnya ingin sekali mengucapkan 'good luck' kepada Dhia tetapi ayat itu seolah-olah tersekat di kerongkong nya. Mulutnya pula seperti di gam dengan gam gajah.

Pada akhirnya, dia hanya melihat sahaja Dhia berjalan menuju ke tepi meja kiri Danish, tempat berhujah.

Dhia memandang tepat ke arah mata ketiga-tiga hakim. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian memulakan hujahnya.

"Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, rakan-rakan kabinet kerajaan, pihak pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan yang bersidang sekalian. Assalamualaikum dan selamat bersidang. Bertindak selaku menteri ketiga pada hari ini, saya menyokong penuh gagasan usul Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu Rakyat Sihat Menjamin Negara Sejahtera. Hal ini kerana kami di pihak kerajaan berpendirian tegas bahawa potensi rakyat dalam keadaan sihat mampu menjamin kesejahteraan kepada negara"

Dhia menarik nafas seketika sebelum meneruskan hujahnya lagi. Renungan mata para hakim yang memandang nya membuatkan debaran di dada tidak berkurang.

"Tuan Yang di-Pertua, saya akan melakukan dua gerak kerja utama iaitu membidas setiap hujah pihak pembangkang dan kedua melakukan pengesahan hujah kami di pihak kerajaan"

Danish yang sedang duduk di sebelah Dhia yang berdiri membantu Dhia menyelak kertas yang lain selepas Dhia membaca ayat yang terakhir.

Farhan hanya menjeling tindakan Danish itu dengan ekor matanya.

"Baiklah Tuan Yang di-Pertua, kita mulakan dengan sesi bidasan terhadap pembangkang kedua menerusi hujah ketiga mereka berdasarkan kata kunci pengabaian terhadap pesakit mental..."

Setelah pembangkang ketiga selesai menyampaikan hujah, maka berakhirlah persidangan mereka pada hari itu.

Kedua-kedua pihak diberikan masa kira-kira tiga hingga empat minit untuk menyediakan penggulungan yang akan diberikan oleh perdana menteri atau menteri kedua untuk menyakinkan para hakim sama ada usul layak diterima atau ditolak.

Selama tiga hingga empat minit itu, kedua-dua pihak saling bekerjasama menyediakan penggulungan untuk menteri yang akan menyampaikan penggulungan.

Bagi pihak kerajaan, yang akan menyampaikan penggulungan ialah Farhan, menteri kedua manakala pihak pembangkang ialah ketua pembangkang mereka.

Selepas penggulungan berakhir, kini para hakim mula berbincang sesama mereka. Dhia akhirnya boleh menghela nafas lega kerana tugasnya pada hari itu sudah selesai.

Dia hanya mampu berdoa agar usul diterima dan mereka berlima layak untuk ke peringkat seterusnya.

Danish, Farhan, Dhia, Yaya dan Areen sedang berjalan bersama-sama dengan Cikgu Sofea menuju ke tempat parkir kereta. Jelas terpancar kegembiraan dan kepuasan di wajah mereka berlima termasuk dengan Cikgu Sofea.

Usul mereka diterima seisi dewan.

Dan yang paling gembira antara mereka ialah Dhia Erdina kerana dia berjaya mendapat Menteri Terbaik seperti yang dia idam-idamkan selama ini.

"Tahniah Dhia sebab dapat Menteri Terbaik. Awak memang layak untuk terima" puji Cikgu Sofea.

"Hebatlah akak dapat Menteri Terbaik" puji Areen dan Yaya dengan riak wajah yang ceria.

"Congrats Dhia. Aku memang dah agak kau yang dapat Menteri Terbaik" ucap Danish dengan senyuman yang manis.

Seperti biasa, akan ada seorang lagi yang mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa walaupun jauh dalam sudut hatinya dia ingin sekali mengucapkan tahniah.

Hanya melihat senyuman lebar Dhia mampu membuatkan Farhan turut tersenyum.

"Macam mana? Usul diterima ke tak?" tanya Adina dengan teruja sebaik sahaja dia nampak Dhia menuju ke arah keretanya.

Punyalah Adina tidak sabar mendengar keputusan, sehingga dia sanggup menunggu di luar kereta.

Semenjak dia mengajar Dhia cara-cara menjadi menteri ketiga, dia dapat rasakan yang hubungan antara dia dan Dhia semakin rapat. Mereka sudah kurang bergaduh dan berselisih faham seperti hari-hari sebelum ini.

Farhan yang sempat terdengar soalan Adina kepada Dhia itu mengukir senyuman kecil di wajahnya sebelum dia turut masuk ke dalam kereta Cikgu Zaim yang sudah menunggu mereka sejak 30 minit yang lalu.

"Adik dapat Menteri Terbaik!" Dhia memberitahu kakaknya mengenai berita gembira itu. Dia dan Adina juga turut masuk ke dalam kereta.

"Ye ke? Alhamdulillah! Jadi esok adik bertanding lagi lah kan?" Adina juga seperti Dhia. Teruja dalam pada masa yang sama juga gembira dengan berita itu.

Melihatkan kegembiraan turut terpancar di wajah Adina membuatkan Dhia merasakan kebahagiaan dalam dirinya.

Piala Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen sudah terbayang-bayang di benak fikiran nya.

Malam itu selepas Dhia selesai makan malam bersama keluarganya, Dhia naik ke bilik tidur. Fokusnya hanya satu iaitu untuk menelaah kertas-kertas bahas supaya dia lebih bersedia semasa pertandingan esok.

Dhia lebih tekad untuk mendapat tempat tiga ke atas selepas mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada abahnya, Encik Khalid dan ibunya, Puan Irma.

Abangnya, Azrul yang menerima perkhabaran gembira itu juga turut mengucapkan tahniah melalui panggilan telefon.

Tindakan mereka sekeluarga yang mengucapkan tahniah seolah-olah pasukan bahas nya sudah menjuarai pertandingan itu membuatkan semangat Dhia lebih berkobar-kobar.

Dhia Erdina menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Sebelum dia meneliti kertas-kertas nya, dia ingin memeriksa telefon pintar nya dahulu.

Aplikasi WhatsApp dibuka namun tiada pesanan mesej yang masuk. Bahagian status Whatsapp menunjukkan ada kenalannya yang membuat hantaran status Whatsapp.

Keningnya bertaut apabila melihat nama Farhan di ruang status.

"Sejak bila manusia ni buat status Whatsapp?" kata Dhia, perlahan.

Tanpa menunggu lama, status Whatsapp Farhan ditekan dan satu ayat terpapar di skrin telefon pintar nya.

'You did your job great. Congrats to you'

Jantung Dhia bagai terhenti seketika apabila membaca ayat yang ditaip oleh Farhan di status Whatsapp itu.

Tetapi cepat-cepat dia mengusir keluar daripada fikirannya tentang perkara yang tidak sepatutnya dia fikirkan.

"Dia cakap dekat Danish lah tu. Tak pun dia cakap untuk diri dia sendiri" kata Dhia, cuba untuk menyedapkan hati nya.

sorryy lambat update and thankyouuu sebab sudi baca!! bab kali ni banyak cerita pasal pertandingan bahas so, sorry kalau bosan sikit. hehe

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience