Bab 6

Drama Completed 14262

Suasana di meja makan di kediaman milik Encik Khalid dan Puan Irma hanya tenang kerana masing-masing khusyuk menikmati hidangan makan malam itu.

Lima buah kerusi yang berada di meja makan semuanya diduduki oleh mereka satu keluarga. Malam itu, keluarga mereka lengkap dengan kehadiran Azrul yang cuti sementara.

Dhia Erdina yang sedang leka menikmati makanannya terdiam apabila mendengar pertanyaan oleh abahnya.

"Abah dengar daripada angah yang adik masuk bahas. Macam mana? Okey semua?"

Dhia lantas memandang wajah kakaknya yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia sepatutnya sudah agak daripada awal yang perkara ini akan berlaku.

Semua mata sedang memandang Dhia untuk mendengar jawapan.

"Okey je, abah. Setakat ni adik rasa semuanya okey" jawab Dhia dengan penuh berhati-hati. Bukan dia tidak kenal dengan abahnya yang mementingkan kecemerlangan.

Peristiwa semasa dia memutuskan keputusan untuk mengambil aliran sastera ketika berada di awal tingkatan empat masih segar di ingatan.

Abahnya tidak bersetuju dengan pilihannya dengan mengambil sastera dek kerana along dan angahnya masing-masing mengambil aliran sains tulen dan perakaunan.

Encik Khalid merasakan bahawa bidang sastera tidak mempunyai skop pekerjaan yang luas seperti bidang sains tulen dan perakaunan.

Tetapi selepas diyakinkan banyak kali oleh Dhia, akhirnya Encik Khalid akur dengan keputusan anak bongsunya itu dengan syarat Dhia harus mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang pada setiap peperiksaan yang ada.

Selain itu, Dhia juga perlu mendapat 'top 3' di dalam kelas nya dan Dhia tersangat bersyukur kerana pada peperiksaan baru-baru ini Dhia mendapat tempat kedua dalam kelas dan sekurang-kurangnya itu dapat membanggakan abahnya walaupun sedikit.

"Jangan rasa rasa okey tak okey. Adik kena buat betul-betul. Ingat masa angah masuk bahas hari tu, dia yang paling terbaik sampai dapat pergi peringkat negeri. Abah nak adik jadi macam tu jugak. Jadi macam angah. Tunjuk dekat abah yang walaupun adik ambik sastera tapi masih boleh berjaya" kata Encik Khalid dengan nada yang serius.

Adina dan Azrul hanya diam dan makan seolah-olah mereka tiada di situ kerana pantang abahnya apabila dia sedang bercakap dan orang menyampuk percakapan nya.

Dhia mengetap kuat giginya. Sejak dia mengambil aliran sastera, kerap kali abahnya membandingkan dia dengan adik beradik nya yang lain.

"Okey, abah. Adik cuba" jawab Dhia dengan perlahan.

"Jangan main cuba-cuba. Ibu nak adik dapat pembahas terbaik jugak" kata Puan Irma pula.

Dhia memandang ke bawah. Hilang terus seleranya untuk menjamah makanan. Sesaat kemudian, Dhia bangun dari kerusi.

"Adik dah kenyang. Adik naik atas dulu, nak siapkan kerja sekolah" kata Dhia kemudian berlalu pergi menuju ke dapur untuk membasuh pinggan.

Semasa membasuh pinggan, Dhia cuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air matanya sehingga dia masuk ke dalam bilik.

Dhia mengunci pintu biliknya sebelum dia merebahkan badan nya di atas katil dan menangis teresak esak dengan perlahan.

'Kenapalah ibu dengan abah suka sangat bandingkan aku dengan along angah. Aku sedarlah aku ni bodoh' bisik hati Dhia.

Tidak lama kemudian, pintu biliknya diketuk.

"Adik, along nak masuk boleh?"

Sejurus sahaja mendengar suara alongnya, Dhia bangun dan terus membuka pintu bilik. Azrul melihat mata adiknya merah seperti baru selepas menangis.

"Adik menangis ke?" tanya Azrul walaupun sudah terang lagi bersuluh yang adiknya menangis.

"Eh, tak lah. Tadi adik sembur pewangi bilik lepas tu termasuk dalam mata. Itu yang mata merah ni" dalih Dhia sambil mengelap matanya dengan jari.

"Patutlah wangi bilik adik" sindir Azrul dengan senyuman.
"Adik terasa ke dengan apa yang abah cakap tadi?" sambung Azrul selepas dia mengambil di kerusi meja belajar milik Dhia.

Dhia menghela nafas panjang.

"Tipulah kalau adik cakap tak terasa. Tapi, tu lah. Bukan first time adik kena macam tadi. Berpuluh kali dah. Jadi, adik dah lali dengar benda-benda macam tu" Tiba-tiba fikirannya teringatkan Farhan. Farhan juga selalu merendahkan diri nya begitu. Seolah dia tiada harga diri.

"Abah cakap macam tu sebab dia nak adik berjaya. Dia tak ada niat nak downgrade adik"

"Betul sangat lah tu. Abah selalu ada je benda yang nak dibandingkan dengan adik. Adik rasa macam adik ni anak pungut pulak" kata Dhia dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh Azrul.

"Apa adik ni cakap macam tu? Adik, Dhia Erdina adik along. Dah, jangan fikir benda macam tu. Adik penat sangat ni, pergi lah tidur" kata Azrul. Dia bangun dari kerusi dan menuju ke pintu bilik.

"Okey" jawab Dhia dengan perlahan.

"Assalamualaikum" Azrul menutup pintu bilik dan melangkah pergi.

"Waalaikumussalam"

Dhia kembali merebahkan badan nya di atas katil.

"Dekat sekolah ada Farhan tak guna tu, dekat rumah abah dengan ibu. Haih, bertabah lah Dhia" ucap Dhia seorang diri sebelum lima minit kemudian dia tertidur.
•
Jantung kepunyaan Dhia Erdina berdegup dengan sangat kencang. Tangannya sudah mula berpeluh kerana terlalu takut.

Di hadapannya ada Danish atau lebih kepada ketua pembangkang sedang menyampaikan hujah. Hari itu Cikgu Zaim melatih mereka semua untuk berhujah seperti dalam pertandingan yang sebenar.

Danish dan Farhan masing masing menjadi ketua pembangkang dan pembangkang kedua. Manakala Dhia pula menteri ketiga yang perlu membuat bidasan kepada hujah-hujah mereka.

Itu kali pertama Dhia membuat kerjanya sebagai menteri ketiga dan itu juga kali pertama dia merasakan dia sedang memikul tanggungjawab yang besar.

Dia cuba untuk mendengar dengan teliti apa yang diucapkan oleh Danish untuk dia catat di atas kertas tetapi fokusnya hilang akibat dia terlalu takut.

Akibatnya, satu pun hujah Danish dia tidak dapat isinya.

Danish pula sangat baik menyampaikan hujahnya. Gayanya sebagai pembahas sudah menyerlah.

Apabila giliran Danish untuk berhujah sudah tamat, giliran Farhan pula untuk bangun dan berhujah. Dia juga tidak kurang hebatnya.

Cara Farhan bercakap sungguh berkeyakinan tinggi. Siapa yang mendengar, pasti akan tertarik dengan cara penghujahan nya.

Semasa Dhia sedang fokus mendengar hujah Farhan, dia juga melihat Farhan dengan fokus. Sehingga tidak berkedip matanya. Dia ingin mendengar dengan jelas apa yang diucapkan oleh Farhan.

Tetapi secara tiba-tiba mata Farhan terpandang ke arah Dhia yang membuatkan Dhia terus memandang ke tempat lain.

Dia sudah tidak boleh fokus. Hanya dua tiga baris sahaja isi yang sempat disalin nya daripada hujah Danish dan Farhan.

Duduknya Farhan sebagai pembangkang kedua kemudian sepatutnya Dhia pula bangkit untuk meneruskan tugasnya sebagai menteri ketiga.

Namun, bukan semudah itu.

Dhia sangat takut kerana dia tidak sempat membidas satu pun hujah mereka.

Kertasnya yang sepatutnya penuh dengan contengan bidasan, hanya bersih. Tiada apa-apa.

"Baiklah, kita beralih pula kepada menteri ketiga untuk membidas hujah hujah pihak pembangkang" kata Cikgu Zaim selaku Yang Dipertua Dewan.

Dhia mengetap kuat giginya kerana semua mata di bilik itu sedang memandang ke arahnya.

Apatah lagi apabila melihat mata Farhan yang berlagak itu.

"Cikgu, saya tak sempat nak bidas" kata Dhia dengan perlahan dan takut-takut. Dia sangat berharap yang Cikgu Zaim faham akan situasi nya itu.

Itu kali pertama dia membidas dan dia masih tidak jelas cara untuk membidas.

Cikgu Zaim diam seketika dan itu lebih membuatkan jantung Dhia bertambah kencang.

"Okey, tak apa. Sebab kali pertama kan? Lepas ni awak kena bidas ye sebab tugas awak agak penting jugak. Masa dekat pertandingan nanti, cuba untuk bidas hujah pihak lawan walaupun agak lari sikit. Janji awak kena yakin. Itu yang hakim nak tengok. Faham?" kata Cikgu Zaim dengan baik tetapi kedengaran tegas.

"Baik cikgu" jawab Dhia sambil mengangguk. Dalam hatinya, dia sahaja yang tahu betapa leganya dia apabila Cikgu Zaim memahami masalahnya.

Selepas tamat latihan bahas pada hari itu, Dhia Erdina secepat mungkin mengemas barang-barang dan ingin keluar dari bilik itu sebelum Farhan tetapi tidak sempat.

"Kau pandai buat kerja ke tak? Ke memang bebal? Kalau rasa tak reti nak jadi menteri ketiga, cari lah orang lain yang lagi berguna daripada kau untuk jadi menteri ketiga. Menyusahkan je" kata Farhan.

Dia tahu yang Dhia tidak pernah buat apa-apa salah pada dia tapi entah mengapa hatinya jadi benci apabila melihat wajah Dhia. Perasaan bencinya semakin membuak-buak selepas mereka disatukan dalam pasukan bahas.

"Apa hak kau nak panggil aku bebal? Kalau kau rasa kau hebat sangat, cuba lah jadi menteri ketiga. Kalau kerja kau setakat kena baca hujah je, tak payah nak sembang macam kau lah yang terpaling berguna" jawab Dhia dengan kasar.

"Paan, dah lah. Jom balik" kata Danish sambil menarik perlahan beg Farhan untuk keluar dari bilik itu.

Dia tidak suka melihat Farhan mencari masalah dengan Dhia.

"Sekurang-kurangnya aku buat kerja aku, tak macam kau. Bagi alasan tak sempat. Tadi apahal kau tengok aku? Kau suka aku ke?" kata Farhan tidak mempedulikan kata-kata Danish.

Dhia memandang Farhan dengan pandangan yang tidak puas hati. Macamlah dia kemaruk sangat nak hadap muka Farhan. Nak dipijak-pijak nya ada lah.

"Mati hidup balik pun aku tak ingin lah nak suka kau" jawab Dhia sebelum dia sendiri yang berlalu pergi meninggalkan Farhan dan Danish.

"Wei paan. Kau sudah-sudah lah asyik nak sakitkan hati Dhia tu. Biarlah dia hidup dengan aman. Tak lama pun kita latihan bahas ni. Sikit hari lagi nanti tak ada dah kau nak mengadap muka dia. Kau sabar lah. Aku pun tak faham apa masalah kau nak maki maki dia macam tu" kata Danish.

"Ah, biarlah"

Farhan berjalan keluar meninggalkan Danish yang terpinga-pinga.

thankyouuu!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience