Akhirnya setelah dua hari cuti sekolah, Dhia Erdina datang ke sekolah hari ini dengan semangat yang baru. Jika Dhia Erdina sebelum ini tidak mahir untuk menjadi menteri ketiga, tapi kini dia yakin dengan dirinya.
Dia yakin dia mampu untuk menjadi menteri ketiga yang baik.
Sepanjang dua hari dia bercuti, selain ingin mengelakkan diri daripada berjumpa Farhan selepas kejadian Farhan menyelamatkan dia daripada dilanggar oleh kereta, dia menggunakan kesempatan itu untuk belajar membidas hujah dan menjawab izin laluan daripada kakaknya, Adina.
Walaupun dia terpaksa menahan telinga dan hati mendengar kata-kata yang agak mencengkam jiwa raga nya, tetapi tetap dia gagahkan juga diri apabila dia teringatkan tentang pasukan bahas sekolahnya.
Sekiranya pasukan bahas mereka kalah disebabkan kecuaian dia membidas hujah pihak lawan, dia pasti akan rasa bersalah kepada cikgu-cikgu dan rakan sepasukan nya.
Dhia juga lebih rela dimarahi oleh kakaknya daripada mendapat malu disebabkan oleh Farhan yang ringan benar mulutnya untuk mengkritik kelemahan dirinya.
Segala usaha Dhia sepanjang dua hari menimba ilmu bersama dengan Adina terbukti apabila mereka berlima menjalani latihan bahas seperti biasa pada petang itu.
Cikgu Zaim meminta Danish, Farhan dan Dhia membuat latihan bahas seperti berada dalam pertandingan yang sebenar. Mereka duduk secara bertiga manakala Areen dan Yaya duduk di belakang mereka bertiga.
Selepas sahaja Danish dan Farhan selesai membaca hujah mereka berdua, giliran Dhia pula untuk bangun dan membidas hujah.
Walaupun dia berasa agak yakin dengan dirinya, tetapi debaran di dada tetap juga terasa. Risau juga sekiranya dia tidak dapat menyampaikan bidasan itu dengan sebaik mungkin.
'Dia tak dapat bidas punya ni. Aku yakin. Dia akan bangun lepas tu terkulat-kulat sebab tak tahu nak buat bidasan. Mana tak nya, dua hari cuti mesti tak tahu apa-apa' bisik hati Farhan dengan yakin apabila melihat Dhia bangun daripada kerusinya untuk berdiri.
Namun segala bisikan hati Farhan salah sama sekali apabila melihat Dhia menyampaikan bidasan hujahnya dengan lancar sekali. Dia terkedu dan terkesima melihat perubahan Dhia yang secara tiba-tiba itu.
Apa yang dilihatnya berbeza dengan hari-hari sebelum ini.
Setelah Dhia selesai menyampaikan kata-kata akhir untuk mengakhiri tugasnya, kedengaran bunyi tepukan daripada Danish, Yaya dan Areen kepada Dhia menandakan tahniah.
Mereka sedia maklum bahawa tugas seorang menteri ketiga agak sukar dan mencabar berbanding dengan tugas-tugas mereka yang lain.
Danish, sebagai perdana menteri juga berpendapat sebegitu.
Dhia menjadi agak malu apabila mendapat tepukan yang tidak disangka daripada yang lain. Dia juga agak gembira apabila melihat ada senyuman meniti di wajah Cikgu Zaim.
Namun, Farhan masih diam tidak berkutik. Dia masih lagi terkejut. Seolah-olah seorang bayi yang sebelum ini tidak pandai bercakap, tiba-tiba boleh berkata-kata dengan jelas.
Itu perumpamaan nya.
Hatinya merasa sesuatu yang lain apabila melihat Dhia membidas sebentar tadi.
Dhia menjeling sekilas ke arah Farhan. Dia tidak berharap pun Farhan turut menepuk tangan bersama yang lain. Lebih elok juga kalau dia tiada di bilik itu.
"Bagus, Dhia. Macam tu lah yang saya nak. Saya harap awak dapat buat persembahan macam tu bila pertandingan nanti. Saya pun harap yang lain dapat buat yang terbaik bila pertandingan nanti, boleh?" soal Cikgu Zaim.
"Boleh, cikgu" jawab yang lain.
Sebelum Cikgu Zaim menamatkan latihan bahas pada hari itu, dia ada menyampaikan sedikit kata-kata akhir sebelum mereka semua pulang.
"Latihan yang seterusnya, kita akan berlatih sebagai pembangkang pula. Sebab sebelum pertandingan, kita baru tahu kita dapat kerajaan ataupun pembangkang. Jadi, kita kena berlatih sebab pertandingan dah tak lama. Minggu depan hari Isnin dah pertandingan" kata Cikgu Zaim sambil memandang wajah seorang demi seorang pelajar di hadapannya.
Kelima-lima pelajar mengangguk kepala tanda faham dan kemudian latihan bahas mereka pun tamat.
"Danish, kau balik lah dulu" kata Farhan kepada Danish yang sudah bersiap untuk balik.
Danish memandang Farhan dengan dahi yang berkerut.
"Habis tu, kau tak balik ke?" tanya Danish. Dia melihat Dhia masih lagi mengemas kertas-kertas yang berselerakan di atas meja.
"Aku ada benda sikit nak cakap dengan Dhia" jawab Farhan dengan berhati-hati.
Sebetulnya, dia ingin memulangkan semula diari kepunyaan Dhia. Tidak ingin dia menyimpan barang kepunyaan orang lama-lama.
Farhan juga tidak mahu Danish melihat dia memulangkan kembali diari kepunyaan Dhia. Malu pula rasanya.
Danish mula berasa curiga. Apa benda pulak yang Farhan ingin katakan kepada Dhia?
"Kau jangan macam-macam, Paan" kata Danish, ringkas tetapi penuh dengan makna tersirat.
Farhan yang terkejut dengan kata-kata Danish itu spontan memukul bahu Danish tetapi tidak terlalu kuat kerana bimbang didengari oleh Dhia.
"Aku sepak kau nanti, apa pun tak dapat. Fikir bukan-bukan lah kau ni. Aku memang ada benda penting nak cakap dengan Dhia. Tak lama pun. Sekejap je" Farhan cuba untuk meyakinkan Danish. Tidak pula dia sangka Danish boleh berfikir di luar jangkaan nya.
Akhirnya Danish mengalah. Dia mengeluarkan segugus kunci daripada dalam poket seluarnya lalu diserahkan kepada Farhan.
"Kalau macam tu, okey. Nah, kunci. Kunci pintu bilik ni lepas kau dengan Dhia keluar. Lepas tu hantar kunci ni dekat pejabat"
"Ye. Aku tahu. Kan aku pun pernah kunci bilik ni" jawab Farhan.
Kemudian Danish mengatur langkah keluar dari bilik Bahasa Melayu itu walaupun hakikatnya hatinya agak keberatan apabila mengenangkan Farhan ingin bercakap sebentar dengan Dhia.
Jauh dalam sudut hatinya, dia menyimpan satu rahsia yang hanya dia sahaja yang tahu.
•
"Dhia" panggil Farhan setelah Danish berlalu pergi.
Dhia yang baru sahaja menyandang beg sekolah nya memandang Farhan yang berada di hadapannya. Dia mengeluh perlahan.
'Apa lagi lah yang 'malaun' ni tak puas hati dengan aku?' bisik hati Dhia.
"Apahal? Kau nak hamun aku apa lagi? Kau tak nampak ke aku buat kerja aku tadi? Tak cukup lagi ke dekat mata kau?" balas Dhia bertubi-tubi.
Jujur dia sudah penat mendengar segala kata-kata yang menyakitkan hati nya yang keluar daripada mulut Farhan.
Farhan tersentak seketika. Buat pertama kalinya dia rasa bersalah dengan Dhia setelah segala macam kata yang dia lontarkan kepada Dhia.
Farhan sedar yang Dhia tidak pernah buat salah padanya tetapi entah mengapa rajin benar dirinya untuk mencari salah Dhia.
Dia ingin sekali meminta maaf kepada Dhia namun perkataan maaf itu teramat berat untuk dia lafazkan.
Namun, Farhan masih cuba untuk mempamerkan riak wajah yang selamba.
"Aku tak cakap apa-apa lagi, kau dah mengarut tak tentu hala. Kau ingat aku nak sangat ke bercakap dengan kau? Tak ada masa aku nak menghadap muka kau" jawab Farhan, masih lagi dengan cara yang lama tapi tiada lagi kata-kata hinaan dan makian seperti dulu.
'Huh, kalau kau tak nak bercakap dengan aku, aku 50 kali ganda tak ingin nak bercakap dengan kau. Kalau boleh tengok sikit pun tak nak' luah hati Dhia. Andainya dia boleh katakan itu kepada Farhan, sudah lama dia luahkan.
"Habis tu, kau nak apa?" soal Dhia.
Tanpa menjawab persoalan Dhia, Farhan mengeluarkan diari milik Dhia daripada dalam beg. Dhia yang amat mengenali buku itu agak terkejut.
Belum pun sempat Farhan menghulurkan buku itu kepada Dhia, Dhia sudah terlebih dahulu merentap buku itu daripada tangan Farhan.
"Mana kau dapat diari aku? Kau mencuri ke?" tuduh Dhia secara melulu.
Manakan mungkin bukunya boleh tertinggal pada Farhan. Mereka bukannya kawan rapat. Duduk sebelah menyebelah pun tidak pernah walau sekali. Selain daripada duduk apabila berlatih seperti pertandingan bahas.
Panas pula telinga Farhan apabila dia dituduh mencuri buku Dhia yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada dirinya. Lain lah kalau dia boleh menjual semula buku itu dan mendapat duit.
Tapi, benarkah diari tidak mendatangkan apa-apa faedah langsung kepada dirinya?
"Eh kau. Cakap elok sikit. Kau ingat aku tak ada kerja ke nak mencuri pulak? Dia sendiri yang tinggalkan dia sendiri yang lupa. Kau lupa ke yang kau campak buku kau tu masa kau marah sangat dekat aku dua hari lepas?" kata Farhan.
Kata-kata Farhan membuatkan Dhia terkesima. Secara tidak langsung, peristiwa dua hari lepas menjengah dalam fikiran nya.
Dia masih ingat dengan jelas yang dia mencampakkan bukunya itu ke lantai kerana terlalu geram dengan sikap Farhan.
Dia tidak sangka Farhan masih ingat lagi peristiwa itu.
'Ya Allah, malunya!!'
Perasaan malu mula menyerang Dhia tetapi dia cuba berlagak tenang.
"Kau ada baca ke isi dalam buku ni?" soal Dhia, cuba untuk menukar topik.
Kali ini, giliran Farhan pula yang tergamam dengan soalan Dhia. Memang sudah dia baca segala isi kandungan buku milik Dhia itu.
Daripada muka surat hadapan sehinggalah muka surat yang terakhir. Termasuk sekali dengan catatan Dhia tentang dirinya yang tertulis dalam buku itu.
Farhan berpura-pura ketawa.
"Aku? Baca diari kau yang macam budak-budak ni? Tolong lah sikit. Tak berminat aku nak baca apa yang kau tulis dekat dalam tu" bohong Farhan.
Dia merasakan yang lakonannya cukup untuk membuat Dhia percaya dengan pembohongan nya itu.
Dhia menghela nafas lega. Dia percaya dengan kata-kata Farhan yang Farhan tidak berminat untuk membaca apa yang dia tulis. Tambahan pula, dia ada tulis tentang diri Farhan dalam buku itu.
"Betul ke kau ni? Boleh percaya ke? Ini privasi aku tau!"
Sengaja Dhia ingin menduga Farhan walaupun sebenarnya dia memang percaya dengan apa yang Farhan katakan.
"Ye lah! Kecoh lah kau" jawab Farhan dengan tenang untuk menutup rasa gugup nya.
"Okey, fine. Terima kasih sebab pulangkan" kata Dhia kemudian terus berlalu pergi meninggalkan Farhan seorang diri di situ.
Farhan hanya melihat Dhia berlalu pergi dan kemudian dia tersenyum. Dia amat pasti yang Dhia akan mengamuk habis-habisan sekiranya Dhia tahu yang dia sudah menipu.
Tiba-tiba hatinya merasai satu perasaan yang lain. Perasaan yang tidak pernah dia rasa sepanjang dia bercakap dengan Dhia sebelum sebelum ini.
Farhan seolah-olah tersedar.
"Paan, kau jangan buat gila. Jangan Paan, jangan" kata Farhan kepada dirinya sendiri setelah dia terfikir apa maksud perasaan nya itu.
Dia menggelengkan kepalanya tanda menafikan.
Dia kemudiannya mengunci pintu bilik itu seperti yang diarahkan oleh Danish.
Dhia yang sedang menunggu kakaknya mengambil dia termenung sejenak. Dia teringat yang Arissa memberitahu yang Farhan mencari dia dua hari lepas.
'Rupanya ini lah sebab dia cari aku. Nak pulangkan buku. Bukannya pasal bahas' bisik Dhia dalam hati.
thankyou!!
Share this novel