BAB 9

Romance Completed 8583

Nazrin memarkir kereta di ruang parkir hospital itu. Afiqa keluar dari kereta dan menuju ke pintu masuk hospital. Tadi abangnya menghubunginya meminta dia menghantarkan satu fail yang tertinggal di atas meja di bilik tidurnya.

Memandangkan hari ini dia tiada kuliah, dan kebetulan mahu keluar bersama Nazrin yang mengajaknya makan tengah hari, dia tidak kisah untuk singgah dan menghantarkan fail itu kepada abangnya. Nazrin menanti di dalam kereta. Sementara menanti Afiqa, tiba-tiba dia ternampak Soffea yang sedang berjalan menuju ke keretanya tidak jauh dari tempatnya. Hairan, apa yang dibuat oleh sahabatnya itu di sini? Berkira-kira mahu memanggil Soffea namun kelibat Afiqa yang menghampirinya membantutkan keinginannya.

“Amboi.. Bukan main lagi ye, pandang perempuan..”

Sapa Afiqa dalam nada tidak senang. Dia melabuhkan punggung ke kerusi di sebelah Nazrin. Nazrin berdehem.

“Tu pesakit abang Affan.. Kenapa pandang dia macam tu sekali? Berkenan?” Soalnya lagi. Nazrin yang mendengar terkejut. Pesakit?

“Dia sakit apa?” Soalnya pula. Afiqa memandangnya hairan. Sudah mula memuncung. Malam tadi baru pujuk, sekarang nak sakitkan hatinya lagikah?

“Abang Affan tak bagitau. Tadi masa jumpa abang Affan, perempuan tu ada kat bilik abang, temujanji la kot. Tak tanya pun pasal patient dia tu, nanti abang Affan marah tanya pasal pesakit dia banyak-banyak. Katanya tak boleh bagitau.” Adu Afiqa. Dia mencubit lengan Nazrin yang termenung mendengar jawapannya.

“Kalau nak tau, tu la kawan baik abang yang abang cerita tu. Kawan baik sejak sekolah lagi. Dulu Fiqa nak sangat jumpa dia kan. Haa..tu la orangnya.”

Kata-kata Nazrin mengejutkan Afiqa. Dengan perempuan ini jugalah dia merajuk dua hari lepas. Melihat Nazrin tengah makan bersama seorang gadis di tempat dia selalu ber’dating’ dengan Nazrin membuatkan dia terasa cemburu. Dia lupa bertanya, dan hanya tau merajuk.

“Jadi dia…”

“Tu la.. orang nak jelaskan, tak mahu dengar, jual mahal..kan dah makan hati sorang-sorang!” bidas Nazrin sambil senyum. Afiqa menunduk. Tahu kesilapannya. Bibirnya mengucap perkataan ‘sorry’. Mereka kemudian meninggalkan kawasan hospital itu.

Perut sudah berkeroncong, apa mahu ditunggu lagi. Wajah Nazrin keruh. Dalam kepalanya sedang memikirkan tentang Soffea. Dia jarang dapat bertemu Soffea kini kerana masing-masing selalu sibuk dengan kerja. Hanya kadang-kadang jika berkesempatan, dia akan memastikan dia akan makan tengah hari bersama-sama sahabatnya itu. Persahabatan yang terjalin sejak sekolah menengah itu terlalu berharga buatnya. Soffea, sahabat yang paling memahami dirinya.

Celoteh Afiqa sepanjang mereka makan hanya separuh-separuh sahaja yang masuk ke dalam kepalanya. Selebihnya dia hanya terbayangkan muka Soffea. Dalam hatinya ada kegusaran. Sakit apakah dia? Kenapa tidak pernah memberitahunya? Tidak bermaknakah dia dalam hidup Soffea sehingga gadis itu merahsiakanntya? Soffea selalu bercerita tentang dirinya, tentang Azim mamat tiga suku, tentang abahnya yang selalu mengguris hati, tentang apa-apa sahaja. Tapi kali ini, kenapa dirahsiakan? Dia kemudiannya menghantar Afiqa pulang dengan hati yang tidak tenang.

“Maafkan abang.. Abang sayang Fiqa.” Kata-kata itu terluncur dari bibirnya di saat Afiqa membuka pintu kereta dan mahu melangkah keluar. Afiqa terpana. Dia perasan Nazrin seperti orang yang tidak sihat, melayannya ala kadar saja tadi, namun dia belajar untuk tidak cepat terasa hati. Dia mahu lebih memahami.

“Fiqa tahu.. Fiqa pun sayang abang. Erm..drive elok-elok ye..” ujar Afiqa dengan senyuman. Nazrin mengangguk.

“Nanti abang call.” Janjinya.

Terasa bersalah kerana sepanjang pertemuan tadi, dia sedar dia tidak sepenuhnya memberi perhatian pada apa yang Afiqa katakan. Fikirannya melayang. Dan dia bimbang kalau Afiqa berkecil hati. Namun melihat Afiqa senyum, hatinya sedikit lega. Dia memecut pergi, dan dalam kepalanya saat itu hanya mahu cepat sampai ke rumah. Mahu menenangkan diri dan kemudiannya menghubungi Soffea, meminta penjelasan. Soffea tidak boleh berahsia dengannya kini. Dia akan pastikan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience