BAB 5

Romance Completed 8579

Petang itu, dia di rumah, bertanggungjawab menjaga adik bongsunya yang ketika itu berusia 3 tahun. Ibu dan abah telah setengah jam keluar ke rumah Mak Long, membantu apa-apa yang patut memandangkan mak longnya mengadakan kenduri perkahwinan anak sulungnya esok hari. Oleh itu, dia diminta menjaga adiknya dan Safiah. Safiah yang ketika itu berumur 9 tahun sedang lena di kamarnya di tingkat atas. Dia leka dengan kerja sekolahnya, memandangkan tidak lama lagi dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Adiknya Syafiq begitu asyik bermain dengan permainan-permainan kesayangananya di hadapan tv. Sesekali dia tersenyum melihat adiknya itu yang bagaikan berada dalam dunianya sendiri.

Sedang khusyuk mengulangkaji, terdengar satu suara memberi salam. Dia menjenguk melalui tingkap. Pak Hassan. Dia tersenyum. Memang setiap dua minggu sekali Pak Hassan akan datang memotong rumput di halaman rumahnya. Dia bergegas membuka pintu pagar rumah teres dua tingkat yang dibeli abah sejak lima tahun lalu itu lalu mempersilakan Pak Hassan masuk. Pak Hassan sangat baik dengannya. Kadang-kadang Pak Hassan selalu berbual-bual dan menasihatinya agar selalu menjadi anak yang baik.

“Sunyi saja, ibu dan abah ke mana?” Soal Pak Hassan. Dia menjawab seadanya sambil meminta diri untuk ke dalam. Tidak mahu mengganggu Pak Hassan menyudahkan kerjanya. Dia kembali menyambung ulangkajinya. Adiknya Syafiq masih di tempat sama, tidak berganjak langsung dari mainan di tangan. Dia menjenguk ke luar seketika. Pak Hassan hampir siap melakukan tugasnya. Dia bergegas ke dapur. Jus oren dalam kotak dituangkan ke dalam gelas, dan dia turut meletakkan segelas air putih kepada Pak Hassan. Ketika dia tiba di muka pintu, telinganya terdengar jeritan Pak Hassan dan matanya tertanggkap Pak Hassan yang sedang memangku Syafiq di tepi jalan. Ya Allah.

Bila pula Syafiq keluar? Dia hanya ke dapur sebentar.. dan dia baru tersedar dia terlupa mengunci pintu pagar sehingga Syafiq mampu melangkah keluar ke jalan. Ya Tuhan… Dulang yang dipegang terlepas ke lantai dan dia bergegas ke arah adiknya yang nyawa-nyawa ikan. Air matanya berjujuran, panik. Pak Hassan menyuruhnya menghubungi abah sementara Pak Hassan membawa Syafiq ke hospital. Dan bermula di hospital itulah hidupnya berubah. Dia bukan sahaja terpaksa menerima kehilangan adiknya yang sangat-sangat disayangi keluarga, tapi dia juga terpaksa menerima hakikat bahawa dia turut kehilangan abahnya. Abahnya yang selama ini sangat penyayang dengannya, kini seakan membencinya dan membuangnya.

Abah tidak dapat menerima kecuaiannya. Abah meletakkan kesilapan atas bahunya sedangkan dia sendiri tidak mahu semua itu terjadi. Masih diingat dia dijerkah oleh abah dan masih dia ingat, kata-kata abah yang tajam berbisa. Abah tidak mahu menganggapnya anak. Abah menganggapnya membunuh adik. Sedarkah abah, semuanya kehendak Dia yang Maha Kuasa? Ketika itu, Pak Hassan yang memeluk bahunya. Ada air jernih di mata Pak Hassan ketika memandangnya. Jika tiada Pak Hassan, pasti abah akan turut memukulnya. Dia pasti walaupun selama ini abah tidak pernah memukul anak-anak, namun hari itu dia yakin, jika bukan Pak Hassan yang menenangkan abah, dia pasti menjadi mangsa kemarahan abah yang sedang marak menyala. Ibu langsung tidak terkata apa-apa. Terkejut dengan pemergian adik, juga terkejut dengan kemarahan abah.

“Ibu… Kakak mintak maaf. Kakak tak jaga adik dengan baik. Ibu pun…marah kakak dan benci kakak macam abah benci akak ke? Kenapa ibu tak cakap dengan kakak dah tiga hari?”

Soalan itu yang terluncur dari bibirnya malam itu setelah selesai majlis tahlil yang ketiga. Ibu yang bersedih nampak tersentak dengan soalannya, laju air matanya menuruni pipi lantas dia ditarik ke dalam pelukan ibu. Saat itu dia lega, kerana dia tahu, abah membencinya, tapi tidak ibu.. ‘ibu..kakak akan mati jika ibu juga benci kakak.’ Bisik hati kecilnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience