BAB 15

Romance Completed 8579

Safiah pulang dengan wajah yang menyinga. Begnya dihempaskan ke sofa. Api marahnya menjulang-julang hingga ke kepala. Dia tidak boleh bersabar. Sekarang, dia perlu mencari Soffea. Memang kakaknya itu mencari nahas dengannya. Abahnya yang sedang menonton beriita jam lapan itu tidak disapanya langsung. Ibunya yang menatang kopi dari dapur juga terkejut melihat keberangannya.

Dia mendaki anak tangga menuju ke bilik. Pintu bilik Soffea diketuk. Keras sekali. Soffea yang terasa kepalanya sakit berusaha bangun membuka pintu. Kepalanya sejak tadi terasa menyengat. Ubatnya sudah dimakan, namun kesakitan di kepala tidak hilang. Baru dia sedar kini, hatinya yang gagal berfungsi telah menjejaskan hampir keseluruhan sistem tubuhnya. Proses pencernaannya kadang-kadang terganggu, sistem pernafasannya ada kalanya terjejas. Dan kepalanya sering sakit.

Pang! Sebaik sahaja dia membuka pintu, pipinya terasa pijar. Satu tamparan daripada tangan adiknya itu mengejutkannya. Sakit di kepala tidak terasa kerana sakitnya dipipi dan di hati menular tiba-tiba. Dia memandang tajam ke wajah insan di depannya.

“Kau ni kenapa? Sedap-sedap nak tampar akak?” Marahnya namun nadanya itu masih lembut. Safiah mencebik.

“Kakak buat apa jumpa Azim tadi, hah? Saja je kan, nak rampas Azim balik? Tak sedar ke Azim dah tak suka kakak, yang nak terhegeh-hegeh lagi tu kenapa?” Serangnya tanpa belas. Soffea beristighfar. Api kemarahan di mata Safiah sangat kelihatan.

“Jangan nak tuduh-tuduh akak ye.. Tanya Azim sendiri kenapa kami berjumpa. Jangan tanya kakak. Akak tak ada kena mengena dengan hubungan koranglah..” balasnya geram. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia lempang adiknya. Tapi..itu semua hanya mengundang kemarahan abah. Abah pantang kalau anaknya yang seorang ini disentuh kasar.

“Ingat orang tak nampak, dia pegang-pegang tangan kakak? Kakak biarkan dia pegang tu kenapa? Saje je kan? Nak menggatal. Nak balas dendam kat Pia..kan?” Safiah meneruskan serangan. Bertalu-talu peluru soalannya menembak Soffea. Soffea menggeleng. Geram sungguh dengan budak ni sorang. Namun sabarnya masih bersisa, Alhamdulillah.

“Kenapa diam? Betulkan Pia cakap, kakak memang nak menggatal dengan Azim, nak balas dendam dengan Pia. Kakak saja nak goda Azim. Kakak memang tak puas hati dengan Pia kan, sejak dulu. Sebab abah sayang Pia. Sebab abah tak sayang Akak.. akak yang bunuh adik. Tak jaga dia betul-betul..”

Tempelak Pia, kata-katanya mula hilang arah dek terlampau marah. Tiba-tiba terasa pijar pipinya. Tangan Soffea terketar-ketar. Tidak sengaja mahu menyakiti adiknya itu. Namun hatinya terlalu sakit bila kisah lama itu diungkit. Bukan salahnya. Bukan dia yang salah. Bukan.. air matanya menitis.

Pipinya kini terasa pijar lagi. Lebih sakit dari tadi. Dia terhoyong ke belakang. Patutlah sakit yang teramat. Tangan itu milik abah. Hatinya berdarah saat ini. Abah nampak dia menampar Pia..dan kini abah membalasnya untuk Piakah?

“Aku tak pernah ajar kau tangankan adik. Dulu pun Syafiq pergi sebab kau, Soffea, sekarang nak buat benda sama pada Pia ke?”Marah abah mengatasi ruang sekarang ini. Dia terkejut. Ibu meluru mendapatkannya. Pelukan ibu membuat dia merasa selamat. Namun hatinya sedang berdarah saat ini. Ya Tuhan..berikan aku kekuatan..

“Ni pasal lelaki pun nak bergaduh, buat malu saja. Pasal lelaki pun boleh ditangankan adiknya, esok-esok boleh sampai membunuh!”marah abah lagi. Tajam dan bias.

“Sudahlah tu abahnya.. Bukan awak tak dengar dan tengok si Pia ni yang cari pasal dulu. Kalau nak ajar anak pun, biarlah adil.” bidas ibu. Abah mengeluh kasar. Pandangan tajam dihala ke arah ibu.

“Itulah..sikit-sikit nak dibelanya budak ni. Dah namanya kakak, beralah la sikit. Hal kecik pun nak ribut satu rumah? Anak awak memang macam ni..” gerutu abah dalam kemarahan. Ibu melepaskan pelukan. Dia sekarang berdepan dengan suaminya.

“Ye.. anak saya.. bukan anak abang ke? Khadijah Aisyah Soffea binti Rais..bukan anak abang? Anak orang lain yang nama sama dengan abang ke? Hah?”

Ibu begitu berani menentang mata marah abah. Soffea jadi takut. Safiah diam tidak terkata. Takut melihat ibu dan abahnya begitu. Dia menjeling Soffea. Ini semua kakaknya punya pasal.

“Awak dah lama menafikan hak dia, En. Rais. Anak yang awak begitu gembira menyambut kelahirannya dulu dan beria-ia mahu memilih nama untuknya awak buang macam tu saja sebab marah dan ego awak? Budak ni ada ayah tapi macam tak ada ayah. Sampai bila baru awak nak sedar, semua yang jadi dulu takdir Tuhan yang diberi untuk menguji keimanan kita? Kenapa nak salahkan Fie? Awak ingat awak sorang yang terluka bila Syafiq pergi? Habis, kami tak terluka? Fie pun terluka abang. Syafiq adiknya, dan dia yang paling terseksa, menyalahkan diri sendiri atas semua yang terjadi. Dia bukan je hilang adik, tapi hilang orang yang dia panggil abah. Awak sedar tak, En. Rais?”

Ibu sudah tidak hiraukan apa-apa lagi. Abah perlu disedarkan malam ini. Pemergian Syafiq adalah ketentuan Tuhan.. tidak boleh persalahkan Soffea dengan alasan dia gagal menjaga adiknya. Soffea tidak bersalah, kenapa harus dihukum begitu oleh ayah sendiri? Tiga belas tahun Soffea membesar dalam kebencian seorang ayah, dan haruskan dia pergi menemui Sang Penciptanya juga dalam kebencian seorang ayah? Tidak.. dia tidak sanggup membiarkan anaknya itu menutup mata tanpa mendpat kasih sayang abahnya kembali.

“Awak jangan nak bersyarah kat sini, Milah.. Awak sedar tak awak bercakap dengan siapa?” marah abah. Ibu senyum.

“Sedar.. Saya bercakap dengan suami saya. Dengan abah keapda anak-anak saya, Khadijah Aishah Soffea dan Khadijah Afifah Safiah. Abah kepada arwah Muhammad Syafiq Afnan yang sangat rapat dengan kakaknya Soffea.. Awak tak rasa ke anak awak yang sedang bahagia di sisi Tuhan tu mungkin tak suka kalau tau awak perlakukan kakak yang dia sayang macam ni?” tukas ibu lagi. Wajah abah kendur tiba-tiba. Dia meraup muka.

“Kak!”jeritan Safiah mengkalutkan keadaaan. Serentak abah dan ibu berpaling. Soffea rebah di lantai. Gadis itu tidak bergerak. Ibu menerpa laju lantas memangku kepalanya.

“Cepat ambil handphone kakak.. Telefon Doktor Affan..!”jeritnya kepada Safiah. Dia mula menangis teresak-esak. Wajah Soffea yang layu dan kaku dicium bertalu-talu.

“Jangan tinggalkan ibu, kakak..” ujarnya lirih. Dia takut tiba-tiba. Abah kaku memandang. Safiah berlari keluar membuka pintu dan kemudian datang kembali bersama Nazrin. Lelaki itu menelefon di telefon kakaknya tadi mengatakan dia berada di hadapan ruamh. Kebetulan pula.

“Mak cik, kita perlu bawak dia ke hospital segera.. Saya takut…”

Nazrin tidak mampu meneruskan kata-kata. Ya Allah.. Nasib baik dia tergerak mahu menjenguk Soffea setelah Soffea tidak menjawab panggilannya tadi.

“Pia dah call Doktor Affan.. Dia tunggu di hospital.” Safiah mencelah. Nazrin mencempung tubuh Soffea apabila melihat abah hanya kaku. Dalam hatinya ada rasa geram pada lelaki itu namun dipendamnya. Yang penting sekarang dia perlu membawa Soffea ke hospital. Dalam hati tidak habis-habis berdoa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience